Sunday, November 7, 2010

Warkah anakanda untuk ayahanda dan bonda

Assalamualaikum warahmatullah...

Ke hadapan ayahanda dan bonda yang sudah tiga minggu tiada di bumi Malaysia. Anakanda tertanya-tanya bagaimana agaknya khabar ayahanda dan bonda di bumi berkah itu. Semoga berada dalam baik-baik sahaja ya, ayahanda dan bonda berdua.

Ayahanda dan bonda yang dirindui,

Masih tidak lekang dari fikiran anakanda saat kalian berdua hendak berangkat pergi meninggalkan kami adik-beradik untuk menunaikan rukun kelima tersebut. Walaupun pada mulanya anakanda yang berdegil supaya ayahanda dan bonda pergi ke sana, tidak perlu memikirkan tentang kami adik-beradik kerana anakanda pasti kami semua boleh menjaga diri kami di sini. Lagipun, ini panggilan khas dari Allah. Tidak mungkin panggilan ini akan datang berkali-kali. Sesungguhnya anakanda sangat bersyukur dengan pemergian kalian berdua menuju Allah Yang Satu di sana.

Namun begitu, ayahanda dan bondaku, sesungguhnya anakandalah yang terasa sangat sayu dengan perpisahan kita walaupun sementara. Di saat ayahanda dan bonda sedang bersiap hendak pergi, saudara-mara sudah ramai membanjiri rumah kita. Saat Pak Cik Bakar melaungkan azan, hati anakanda sudah pun berasa sangat pilu. Anakanda tak mampu menahan tangis melihat wajah ayahanda dan bonda pada ketika itu.

Ayahanda dan bondaku yang dicintai,

Adik Akmal demam selama beberapa hari semenjak sebelum kalian berangkat lagi. Anakanda masih ingat waktu di lapangan terbang menghantar ayahanda dan bonda berdua, Nurul dan Hakim menangis. Aisyah, Asyraf dan Akmal hanya menahan sebak di dada. Sedangkan anakanda, anakmu yang sulung ini, sejak berhari-hari pemergian kalian pun tidak mampu menahan air mata yang mengalir. Sehingga saat anakanda menaip ini pun, air mata seakan tidak mahu berhenti.

Anakanda tahu ayahanda dan bonda berdua sedang menunaikan kewajipan yang Allah perintahkan. Anakanda berasa gembira dengan hal itu. Tetapi, apabila terkenangkan tahun inilah Hari Raya Haji yang kami sambut adik-beradik tanpa ayahanda dan bonda. Sesungguhnya anakanda semua sangat merindui ayahanda dan bonda. Mungkin kerana kesibukan dan susah untuk membuat talian dari sana, sudah lama kita tidak dapat berhubung.

Ayahanda dan bonda yang sangat disayangi,

Sesungguhnya biarpun sesiapa pun yang menjaga kami dengan sangat baik, takkan menyamai kehadiran ayahanda dan bonda. Anakanda minta ampun dan maaf atas segala kesilapan anakanda yang banyak menghiris hati kalian berdua sejak anakanda lahir hinggalah berakhir hidup anakanda.

Sudah dua minggu anakanda menduduki peperiksaan, tetapi peperiksaan kali ini tidak sama dengan peperiksaan sebelum ini. Sebelum ini, anakanda pasti menghubungi ayahanda dan bonda sebelum masuk dewan dan selepas keluar dewan. Jika anakanda bosan, sedih atau gembira pasti anakanda akan menelefon ayahanda dan bonda. Tetapi, kali ini semuanya jauh berbeza. Anakanda yakin ini semua ujian dari Allah untuk anakanda hadapi dengan tabah, juga apabila memikirkan adinda-adinda yang tersayang jauh di Terengganu sedangkan anakanda berada di Kuala Lumpur.

Ayahanda dan bondaku yang tercinta,

Nurul bakal menghadapi SPM selepas Hari Raya Haji nanti. Aisyah pula akan mendapat keputusan UPSR pada November ini juga. Anakanda ingin menemani adinda Aisyah mengambil keputusannya. Anakanda yakin adinda Aisyah pasti dapat keputusan yang bagus. Nurul pula menghadapi masalah untuk SPMnya. Gurunya tidak membenarkan Nurul tinggal di asrama pada tempoh peperiksaan berjalan selagi tidak membayar semua yuran selama tinggal di sana. Anakanda telah meminta adinda Nurul supaya meminta gurunya memberi kebenaran untuk membayar untuk bulan November dahulu. Untuk bulan Disember, anakanda akan gunakan duit pinjaman anakanda yang akan masuk akhir bulan November. Anakanda tahu ini permintaan bonda supaya Nurul tinggal di asrama sepanjang tempoh tersebut untuk memudahkan Nurul menghadapi peperiksaan. Anakanda pun telah meminta Mak Ti untuk berjumpa dengan gurunya itu. Anakanda harap gurunya lembut hati untuk membenarkan Nurul tinggal di asrama sepanjang tempoh peperiksaan berjalan.

Hakim pula memberitahu anakanda ingin balik kampung di Kelantan untuk beraya dengan nenek. Anakanda sudah menghubungi Pak Su memberitahu hal ini. Jika Pak Su datang barulah Hakim boleh balik sana. Mungkin juga Asyraf akan menemani Hakim ke sana. Kalau tidak, mungkin beraya di Terengganu. Kemungkinan Hari Raya Haji yang ketiga, ada dua orang sahabat anakanda dari Kuala Lumpur hendak bertandang ke rumah kita. Anakanda ingin bawa mereke mengenali Terengganu dan keindahannya yang masih lagi segar.

Ayahanda dan bonda yang sangat dirindui,

Jagalah kesihatan kalian berdua di sana. Semoga kalian dapat balik ke sini dengan selamat dan haji yang mabrur. Anakanda mohon ampun andai banyak tersalah bicara dalam warkah anakanda ini dan juga selama anakanda lahir hinggalah ke hujung nyawa anakanda. Ampunkanlah kesalahan-kesalahan anakanda yang tak terkira itu. Anakanda sangat bersyukur mempunyai ayahanda dan bonda yang sangat penyayang meskipun ada kekurangan dalam keluarga kita, tapi kali ini apa yang nampak di pandangan anakanda hanya semua kebaikan ayahanda dan bonda terhadap kami adik-beradik.

Salam sayang sejernih aliran al-Kautsar di Jannah, semoga titis-titis mutiara jernih akan menambah tautan kasih dalam usrah kita, menganyam rindu saat menghitung hari, diiringi doa kudus pertemuan setelah perpisahan sementara ini. Semoga Allah sentiasa menemani hari-hari kalian.

Anakandamu yang sangat merindui kalian,
Siti Zulaikha Binti Mohd Zain

Thursday, November 4, 2010

Warkah anak kepada ibu bapanya

Assalamualaikum warahmatullah... Salam seindah pagi yang hening, bertemankan kicauan burung-burung yang riang. Ada satu cerita yang sangat menarik (bagiku) yang aku petik dari laman Islamik...

Warkah seorang anak kepada ibu bapanya..


�� �
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…


Kepada ayah yang ku kasihi dan bonda yang ku cintai…


�� �Apa khabar dengan keluarga di Labuan? Semoga hendaknya dalam keadaan sihat dan mendapat rahmat ALLAH sentiasa.


�� �Ajib pun tak berapa jelas mengapa ajib nak tulis surat ni kepada mak dan ayah. Rasanya sepanjang hidup ni, jarang benar ajib tulis surat untuk mak dan ayah. Selalunya kalau ada apa-apa pun, ajib selalu telefon saja berbanding untuk menulis surat. Tapi adakalanya juga, ada sesetengah perkara yang ajib tak boleh nak cakap melalui telefon dan lebih suka untuk membincangkannya dalam bentuk surat.


�� �Dipendekkan cerita, ajib sebenarnya untuk meminta redha dari mak dan ayah untuk bernikah. Mungkin mak dan ayah terkejut apabila ajib cakap macam nie. Ajib bercadang untuk bernikah dalam tempoh kurang dari satu tahun dari sekarang. Ajib nak nikah nie bukan kerana nafsu semata-mata tapi hanya ingin menyempurnakan sebahagian dari agama. Selain itu, dengan nikah, ajib akan lebih terpelihara daripada melakukan sebarang maksiat kepada ALLAH.


�� �Kadang-kala, ajib rasa hairan, masyarakat sekarang lebih suka anak-anak mereka ada boyfriend dan girlfriend. Kemudian dibenarkan pula berjalan berdua-duaan tanpa mahram perempuan tersebut. Perkara ini haram di sisi Islam. Sedangkan Islam telah memberikan satu jalan keluar yang baik dalam masalah ini iaitu dengan nikah.



�� �Ajib bukan terburu-buru untuk bernikah, tapi ajib nak mak dan ayah boleh faham konsep nikah yang sebenarnya di dalam Islam. Islam menganjurkan nikah adalah untuk mengurangkan berlakunya maksiat di dalam masyarakat seperti zina. ALLAH SWT berfirman:


�� �“Dan janganlah kamu menghampiri zina…” (Surah al-Isra 17: 32)


�� �Zina takkan terjadi di antara lelaki dan perempuan dengan serta-merta. Zina akan berlaku melalui beberapa step (langkah) yang menghampiri kepada zina sebagai contoh berjalan berduaan lelaki dan perempuan tanpa mahram (boyfriend dan girlfriend). Walaupun bertunang, Islam tidak membenarkan pasangan tunang tersebut untuk berdua-duaan tanpa mahramnya. Tunang bukan tiket untuk menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan. Ini hanya tradisi yang terdapat dalam masyarakat melayu. Islam menyuruh orang muslim untuk bernikah untuk menghalalkan hubungan tersebut.


�� �Mengikut kajian yang dilakukan di sebuah universiti tempatan, 80% mahasiswa yang cemerlang adalah terdiri dari mereka yang telah berkahwin. Ini kerana pasangan yang telah berkahwin, merasakan mereka ada tanggungjawab yang harus mereka pikul, dan akhirnya mereka bersungguh-sungguh dalam pelajaran untuk mencapai kecemerlangan. Jadi, orang yang bagi alasan bahawa menikah sewaktu belajar akan mengganggu study adalah tidak tepat.


�� �Di universiti ajib, ramai pelajar yang ‘bercouple’ dan mereka boleh belajar seperti biasa. Tapi, apa yang mereka buat tu adalah maksiat. Kan elok, kalau ibubapa mereka membenarkan mereka bernikah dan mereka pun boleh belajar seperti biasa. Yang ini adalah yang disuruh dalam Islam. Jadi apa perbezaannya? Yang satu, belajar tapi diiringi dengan maksiat (macam mana nak berkat ilmu yang belajar) dan yang satu lagi belajar dan telah pun menunaikan salah satu sunnah Rasul SAW. Sekarang pilihan di tangan kita, samada nak kepada benda baik atau buruk.


�� �Mengenai calon, ajib takde lagi. Tapi, InsyaALLAH kalau mak dan ayah bagi ajib green light, masalah calon, mak dan ayah jgn risau (bagi tempoh 6-8 bulan), yang penting mak dan ayah bersedia. Ajib lebih suka calon tu ajib yang pilih sendiri. Tapi tak bermakna mak dan ayah tak boleh memilih calon yang sesuai untuk ajib.


�� �Mak dan ayah mungkin akan bertanya bagaimana pulak ajib akan memberikan nafkah zahir dan batin kepada isteri yang ajib nikahi nanti. Seperti yang ajib katakan awal-awal tadi, ajib nak nikah bukan kerana nafsu semata-mata. Dalam tempoh ajib belajar, dan kemungkinan juga perempuan tu juga sedang menuntut di unversiti, maka ajib akan buat syarat yang dipersetujui bersama untuk menangguhkan dahulu nafkah batin untuk tempoh tertentu.�

Dalam sirah Rasulullah SAW, Rasul bernikah dengan dengan Saiditina Aisyah ketika Aisyah berumur 9 tahun dan berumah tangga dengannya pada umur Aisyah mencecah 12 tahun. Ini bermakna Rasulullah menunaikan nafkah batin untuk Aisyah ketika mana Aisyah berumur 12 tahun, iaitu 3 tahun selepas menikah. Kalau dalam istilah kita dipanggil ‘nikah gantung’. Tak kisah lah apa pun namanya yang penting Rasulullah telah mencontohkan perkara seperti itu. Tapi selepas menikah, maka hubungan lelaki dan perempuan yang dulunya terbatas kini telah tiada. Kalau ajib telefon dia, ajib dapat pahala, ajib rindu kat dia, ajib dapat pahala, ajib bagi hadiah kat dia, ajib dapat pahala malahan kalau ajib keluar berdua-duaan dengannya adalah halal. Kan ini lebih baik dari mereka yang ber ‘couple’. Kalau pasangan yang belum menikah, mereka telefon sesama sendiri, dipanggil zina mulut dan telinga (dosa), rasa rindu di hati dipanggil zina hati (dosa), keluar berdua-duaan lagi, tambah lagi satu dosa. Jadi, ajib nak tanya pada mak dan ayah, adakah mak dan ayah sanggup untuk membiarkan anaknya untuk bergelumang dengan dosa atau mengikut Sunnah Rasul yang tercinta iaitu nikah. Sekarang pilihan di tangan kita…


�� �Berkenaan nafkah zahir pula, memandangkan ajib masih belajar dan mungkin juga dia masih belajar, maka ana akan berbincang dengannya untuk mempertimbangkan perkara ini. Nafkah zahir wajib ajib bagi sebagai suami walaupun dalam jumlah sedikit. Sebagai contoh, kalau nanti dia setuju untuk menerima RM 50 sebulan, maka ajib akan bagi dia sesuai dengan kehendaknya. Lagipun, untuk sementara waktu ini, biarlah mak dan ayahnya menanggung makan, minum dan pakaiannya walaupun sebenarnya ini tugas seorang suami. Tapi tak salah kalau ibu bapa sanggup untuk menyara kehidupannya sementara menunggu waktu apabila sudah bersedia berumah tangga. (minta dibezakan antara erti nikah dan berumah tangga). Macam sekarang ni lah, kalau nenek bagi mak baju sebagai hadiah, takkan mak tak terima dan bagi alasan kewajipan beri pakaian ini hanya terletak pada suami. Mak akan terima juga. Kalau nenek menjamu mak dengan makanan, mak jangan tak makan kerana dengan alasan yang patut menanggung makan minum kita adalah suami. Yang penting, isteri mesti redha dengan apa yang diberi oleh suami. Kalau mak dan ayah masih kurang jelas, mak boleh bertanya kepada ustaz mengenai masalah ini. Mak dan ayah jgn risau, sebelum ajib nak nikah, ajib akan jelaskan hal ini kepada bakal isteri ajib. Kalau dia menyetujuinya, alhamdulillah, kalau tak ajib tangguh dulu. Apa-apa pun, ajib tegaskan sekali lagi, ajib nikah ni bukan kerana nafsu semata-mata, tetapi adalah untuk memelihara seluruh anggota zahir dan batin ini dari terjebak ke lembah dosa.


�� �Ajib tengok semua abang ajib nikah awal dalam umur 22 tahun. Ajib cadang pun gitu juga. Banyak juga kelebihan kahwin awal ni antaranya waktu ajib tua nanti, ajib tak risau sebab waktu tu anak-anak dah besar dan mungkin dah ada kerjaya sendiri. Kalau kahwin lambat, nanti waktu tua (dah pencen), ada anak-anak ajib nanti baru masuk darjah satu, ada yang ambik PMR dan SPM dan perlu banyak duit. Waktu dah pencen, nak harap wang pencen, sikit sangat. Mau tak mau, dah tua-tua kena kerja juga banting tulang nak sara anak-anak yang masih sekolah. Sepatutnya waktu tu, ajal nak dekat sampai, patutnya lebih banyak beribadat kepada ALLAH. (tak bermaksud sekarang tak perlu nak beribadat, ajal dan maut di tangan Tuhan. Tua pun mati, yang muda pun mati). Ajib juga harap, anak-anak ajib nanti (kalau ada rezeki) akan dapat menerima belai kasih dari datuk dan neneknya sebelum mak dan ayah meninggalkan dunia yang fana ini.


�� �Dan kelebihan yang lebih besar dari itu ialah kita dapat menundukkan pandangan dan nafsu kita dari bermaksiat kepada ALLAH di samping mengikut sunnah Rasul SAW. Dalam umur muda nie, macam-macam dugaan dan cabaran yang menanti. Punca maksiat ada di mana-mana. Ajib tak nak ajib akan terjerumus ke dalam jurang dosa dan lebih-lebih lagi harapan mak dan ayah untuk tidak nak melihat anaknya untuk menderhaka kepada ALLAH dan Rasul.


�� �Ajib sebenarnya dah buat satu risalah mengenai nikah ni tahun lepas dan ajib dah pos ke rumah pada tahun lepas juga. Tapi sampai kat Usu Mol, sebab ajib tak tulis nama mak dan ayah. InsyaALLAH dalam risalah tu ajib ada terangkan tentang konsep perkahwinan di dalam Islam.


�� �Diharap mak dan ayah tak terkejut dengan kehadiran surat ini. Ajib nak mak dan ayah terima surat sebagai satu surat biasa yang tak perlu untuk dijadikan isu keluarga yang besar. Sebab bagi ajib, kalau ajib membicarakan masalah ni, ia adalah satu yang normal sebab ajib pun seorang lelaki yang akhirnya akan bernikah jua. Mungkin saja ajib membicarakan hal nikah ni ketika mana ajib baru berusia 20 tahun (dalam tahun Islam, ajib dah 21 tahun). Tapi ini tak boleh dijadikan alasan untuk tidak menyetujui pendapat ajib ini. Diharap mak dan ayah dapat membaca surat dengan ikhlas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Ajib tidak memaksa mak ayah untuk menyetujui seratus peratus apa yang ajib katakan ini, tapi jika ada kebenaran dalam hakikat, apa salahnya untuk kita menerimanya dengan hati yang lapang dan fikiran yang terbuka.


�� �Kalau boleh jgn bagitau abg jul dan abg didi, mungkin mereka tak setuju dengan keputusan ajib ini atas beberapa faktor. InsyaALLAH, kalau ada apa-apa nanti, ajib akan maklumkan kepada mereka. Sebenarnya bagi seorang lelaki, dia tak perlu untuk minta izin kalau nak nikah tetapi Islam menyuruh kita tidak membelakangi orang tua dalam kita nak buat keputusan. Sebab redha ALLAH adalah berserta dengan keredhaan mak dan ayah. Berbanding dengan perempuan, mereka harus minta izin, sebab ayahnya harus jadi wali dalam pernikahan nanti.


�� �Akhirul kalam, doakan ajib di sini agar dipermudahkan urusan di dunia dan di akhirat. Kirim salam dengan semua keluarga di Labuan.

�� �Puteramu,
�� �Ajib

Sesungguhnya semua yang diperkatakan oleh ajib itu memang benar. Sepatutnya itulah yang dilakukan oleh sesiapa yang ingin berpasangan. Semoga cinta yang bersemi dalam hati pasangan yang mengharapkan redha Allah adalah cinta yang berupoa rahmat dari Allah.. Amin..

sumber : www.halaqah.net

Wednesday, October 13, 2010

The Choice - Ahmad Deedat

Buku The Choice - terbitan Jahabersa, Johor adalah berbahasa Malaysia (Terjemahan Melayu). Cetakan Pertama, tahun 2006. Editor: AL-Faqir Ibnu Hussin.
Sebelum ini ada terjemahan bahasa Indonesia - terbitan Pustaka Kausar, Jakarta cetakan ke-4, tahun 2000. Penerjemah: Dr. Setiawan Budi Utomo.

The Choice - Dialog Islam & Kristian judul asalnya ialah The Choice. Islam and Christianity. Ada 2 jilid.

Artikel di dalamnya ialah:

1-Apa yang Bible perkatakan tentang Muhammad s.a.w.?
2-Muhammad Pengganti Alamiah Christ.
3-Muhammad Yang Agung.
4-Al-Quran sebuah Mukjizat.
5-Ahli Kitab.
6-Combat Kit Menghadapi Para Paderi.
7-Adakah Bible Firman Tuhan?
8-Penyaliban atau Kisah Penyaliban.

Buku ini saya baru baca bahagian satu. Sangat hebat perdebatan antara Muslim dan Kristian. Silalah baca untuk tambahkan lagi pengetahuan tentang agama kita dan kaitannya dengan Kristian yang menggunakan konsep trinity sedangkan konsep yang benar ialah Allah Yang Esa. Harap-harap boleh baca sampai habis lepas final nanti.. Insya Allah..

Jauhi Tujuh Dosa Besar

Hadis :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan.Baginda ditanya:"Apakah dosa itu wahai Rasulullah?" Baginda berkata:" Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina." Riwayat Muslim

Huraian :
1. Terdapat tujuh dosa besar yang dilaknat oleh Allah SWT terhadap sesiapa yang melakukannya iaitu:

i. Syirik kepada Allah- iaitu mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain seperti mempercayai perkara-perkara khurafat, memuja hantu syaitan dan sebagainya.
ii. Sihir
iii. Membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar seperti untuk mempertahankan diri atau menegakkan hukum Allah (menjalankan hukuman keadilan)
iv. Memakan harta anak yatim
v. Memakan riba
vi. Lari dari medan pertempuran
vii. Menuduh perempuan yang suci melakukan zina.

2. Setiap mukmin hendaklah berusaha agar bebas dan selamat daripada melanggar hak saudaranya apalagi hak anak-anak yatim yang diamanahkan untuk dijaga dengan baik. Seseorang yang telah menghkianati amanah tersebut hendaklah ia mengembalikannya atau meminta untuk dihalalkan.

3. Orang yang telah melakukan dosa hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha dan meminta ampun kepada Allah kerana pintu taubat sentiasa terbuka sampai terbitnya matahari dari barat.

sama2 kita beramal dan menggapai redha ALLAH...

sumber : www.halaqah.net

Monday, October 11, 2010

Nota Hati untukmu sahabat


Alhamdulillah..

Setelah lama menanti detik ini, akhirnya anugerah Allah masih ada untukku. Sahabatku, tak pernah terdetik di hatiku untuk mengenepikan dirimu daripada hidupku tetapi keliru membuatkan aku terlupa akan sekelilingku.

Aku sangat bersyukur dan tersangat gembira kerana kita kembali mesra seperti dahulu. Aku tidak mahu lagi persahabatan kita goyah seperti hari yang berlalu itu. Maafkan aku, sahabatku..

Tenangnya hatiku setelah semua kekusutan ini terlerai jua. Janganlah disimpan sakit hatimu dan luka pedihmu itu. Katakanlah padaku, luahkan segalanya. Biar aku tahu dan aku faham keadaan dan situasimu.

Tetapi, sahabatku. Fahamilah jua keadaanku sekarang. Bantulah aku jika aku terjatuh, ingatkanlah aku jika aku terlupa. Janganlah aku terus disalahkan atas kesalahan yang aku sendiri tidak menyedarinya. Aku harap kita akan terus bersama dan saling membantu kerana Allah.

Sahabatku sayang, aku tidak akan melupakanmu insyaAllah.. Tapi kita juga ada teman lain yang juga perlukan perhatian kita. Terkadang rasa bersalah meninggalkan dirimu tetapi sama-samalah kita imbangkan kasih sayang kita sebagai Muslim yang bersaudara.

Pertemuan kita kerana Allah. Harapnya perpisahan kita juga kerana Allah. Redhalah kita dalam persahabatan ini kerana Allah. Semoga janji cinta Allah bagi orang-orang yang berkasih sayang kerana-Nya akan menjadi milik kita di Jannah abadi.. Amin.. Bittaufiq wannajah..

Sunday, October 3, 2010

Kadang-kadang...

Alhamdulillah.

Setinggi-tinggi puji dan syukur aku rafakkan ke hadrat Allah subhanahu wa ta'ala. Betapa selama ini begitu banyak nikmat yang Allah kurniakan.

Kadang-kadang, kita tidak sedar nikmat yang datang kerana terbiasa dengan kesenangan. Namun, bila datang ujian dan dugaan, mulalah mengeluh dan resah gelisah. Padahal, ujian inilah yang menguji tahap keimanan.

Kadang-kadang, kita berasa ilmu kita sudah cukup. Namun bila Allah uji dengan kegagalan waktu peperiksaan, barulah tersedar. Ilmu itu milik Allah dan takkan pernah cukup untuk kita sebab Allah berikan kita ilmu seperti titisan air dari lautan yang sangat luas.

Kadang-kadang, kita berasa mampu untuk terus istiqamah walaupun pelbagai ujian datang menimpa. Namun, sesekali teruji juga dengan dugaan yang yang tak diduga.

Semoga ujian yang datang lebih mendekatkan diri kita kepada Allah dan menjauhkan diri kita daripada maksiat. Amin...

Sunday, September 26, 2010

Musykilat Hamba Allah

Assalamualaikum..

Bicara singkat di pagi yang agak dingin ini membuka sedikit ruang untuk aku berkongsi sedikit cerita atau lebih tepatnya musykilat.

Sejak akhir-akhir ini, aku berasa kurang enak. Bukan kerana aku sakit tetapi sesuatu yang amat payah untuk aku ungkapkan.

Bagaimana untuk menjaga perasaan dan hubungan kita dengan manusia yang kita cintai tanpa meninggalkan Allah yang sepatutnya kita cintai lebih daripada segala-gala yang kita ada di dunia ini?

Bagaimana untuk menjaga harga diri supaya tidak dipandang serong oleh orang sekeliling?

Aku memahami situasi yang berlaku sekarang. Ceritanya begini,

Seorang hamba Allah ini gemar bertarbiah dan selalu berhalaqah. Dia dan sahabat-sahabatnya selalu berpesan-pesan antara satu sama lain. Setiap kali pesanan dan nasihat diakhiri dengan kesimpulan yang sama, mengharap cinta dan redha Allah.

Suatu ketika hamba Allah ini didatangi seseorang yang berniat untuk menjadikannya teman hidup untuk bersama-sama mengharap redha Allah. Hamba Allah ini menganggap baik niat tersebut lalu menerimanya setelah beberapa kali istikharah. Setiap kali hatinya ragu, dia istikharah lagi. Keputusan yang diterima tetap sama.

Namun begitu, bermula pada hari itu hamba Allah ini tidak lagi bertarbiah seperti dahulu. Mungkin salah dirinya sendiri kerana tidak cuba menyesuaikan diri dalam keadaan tersebut. Ikatan antaranya dengan ikhwan tersebut belum sampai kepada pernikahan, mungkin kerana itulah terjadi salah faham dengan orang sekeliling.

Aku merenung kembali cerita tersebut. Mungkin benar hamba Allah ini telah bertemu jodoh sekarang tetapi dia belum mampu untuk bernikah kerana belum habis belajar. Sabda Rasulullah S.A.W.,

"Wahai sekalian anak muda, sesiapa antara kamuyang mempunyai kemampuan, maka bernikahlah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata serta lebih menjaga kehormatan diri. Dan sesiapa yang belum mampu hendaklah berpuasa, kerana puasa itu dapat membentenginya."(Muttafaq 'alaih)

Aku sendiri dapat merasakan hamba Allah ini pastinya berasa sangat rindu untuk duduk bersama lagi dalam halaqah dan sama-sama mentarbiah diri. Namun, sahabat-sahabatnya terasa semakin jauh. Entah bila kemesraan dan perkongsian mengharap cinta dan redha Allah akan terjadi lagi. Perasaannya kepada ikhwan tersebut juga mahu dijaga sebaiknya kerana sudah tetap di hati itu pilihannya. Tetapi, bagaimanakah caranya untuk dia menjaga dirinya dan ikhwan tersebut supaya tidak dimurkai Allah serta tidak dipandang serong oleh manusia lain..

"Ya Allah, jika ada cinta-Mu untukku, limpahkanlah rahmat-Mu untukku dan orang-orang yang bersama denganku, lindungkanlah kami di bawah lembayung hidayah-Mu dan jadikanlah kami daripada kalangan hamba-hamba-Mu yang sentiasa beringat-ingat dan bertakwa. Sesungguhnya tidak kuharapkan redha selain hanya daripada-Mu ya Allah..."

Friday, September 24, 2010

Illuminati??

[/img]
Dalam keadaan yang sangat terdesak tetapi sangat terahsia perancangannya, Illuminati sekali lagi cuba menjalankan program teater desperado bagi merealisasikan matlamat ‘lain’.


Situasi isu Hari Membakar Al-Quran tidak lebih kepada suatu usaha terancang untuk mempromosikan bakat kepimpinan seorang pemimpin Islam tajaan Illuminati. Dalam erti kata lain, suasana tegang ini dicetuskan untuk memberi populariti kepada seorang hero palsu umat Islam.

Hero palsu ini sudah tentulah akan dinobatkan sebagai pembawa harapan-harapan pemimpin negara Islam lain untuk diketengahkan di tengah-tengah meja rundingan pemimpin dunia. Pemimpin-pemimpin negara Islam juga berharap negara-negara barat yang degil dapat mendengar kata hero palsu ini.

Individu yang dijangka menjadi sandaran besar Illuminati bagi menjalankan dasar-dasar New World Order akan datang ialah Imam Feisal bagi Masjid Ground Zero.

Lakonan ini dilihat terlalu mudah kerana umum mengetahui bahawa cadangan pembinaan Masjid Ground Zero sudah pasti akan mengundang kemarahan rakyat Amerika yang racist.

Bukti 1 : Promosi media anti-Islam terhadap Imam Feisal

Larry King yang terkenal sebagai rancangan anti-Arab dengan tiba-tiba menjemput Imam Feisal Abdul Rauf pada 8 September 2010 lepas bagi bersoal-jawab tentang pembinaan Masjid Ground Zero.

Selain itu, Imam Feisal adalah satu-satunya Imam yang mendapat publisiti meluas dari media-media massa Yahudi di Amerika seperti CNN, New York Times, Frontline dan lain-lain lagi.

Akhbar pro-zionis milik Yahudi, Washington Post juga melakukan sesuatu yang pelik iaitu memuji-muji Imam Feisal sebagai seorang pemimpin yang sangat toleran dan mementingkan perpaduan kaum. Ini berbeza dengan nada Washington Post sebelum ini yang selalu menyebarkan ideologi anti-Arab.

Pada 12 September 2010, Imam Feisal juga akan dijemput oleh ABC News bersama-sama dengan Austan Goolsbee, Pengerusi bagi White House Council of Economic Advisers.

Sebelum itu, pada 23 Ogos 2010, Imam Feisal pernah mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan kerajaan Amerika yang menceroboh negara-negara Islam Timur Tengah. Agak mencurigakan, kenyataan pedas ini dipromosikan media barat dengan luas malah tiada kecaman langsung dari mana-mana anggota ADL atau ahli-ahli kabinet Obama.

Ia tidak sama seperti Prof Ismail Faruqi yang tidak pernah mengecam melalui akhbar tetapi dibunuh bersama isterinya hanya kerana mengeluarkan idea ‘Gagasan PengIslaman Ilmu’.

Bukti 2 : Pembinaan masjid diluluskan tetapi dibiarkan menghadapi isu kemarahan rakyat

Seperkara yang membuktikan ia lakonan, Terry Jones sebagai revolusionist tidak pula mengutarakan bantahan ketika Islamic Centre of New York mengemukakan cadangan awal kepada majlis bandaraya New York dalam usaha membina masjid di Ground Zero.

Manakala Imam Feisal tiada langsung kelihatan berusaha untuk berjumpa Terry Jones sebaliknya peranan tersebut diambil sepenuhnya oleh Imam Muhammad Musri, Presiden Islamic Society of Central Florida.

Di dalam isu ini, Imam Feisal harus dipersalahkan 100 peratus kerana beliau sendiri mengetahui bahawa dengan cadangan membina masjid di kawasan Ground Zero, ia sudah pasti mengundang prasangka negatif masyarakat barat terhadap Islam.

Imam Feisal juga sudah sedia maklum bahawa masjid merupakan simbol tempat ibadat bagi umat Islam, jadi cadangan pembinaan tersebut akan membuatkan para racist barat lebih benci kepada umat Islam. Cadangan itu seolah-olah merendah-rendahkan reputasi agama Islam di mata barat.

Selain itu, Imam Feisal tidak mengendahkan tawaran Donald Trump, billionaire New York yang menawarkan untuk menanggung semua kos pembinaan masjid jika ia dipindahkan ke bahagian lain di New York. Trump cuba bersikap berkecuali dan percaya tawarannya itu boleh meredakan ketegangan kedua-dua belah pihak.

Namun, ia tetap tidak diendahkan oleh Imam Feisal.

Bukti 3 : Imam Feisal Abdul Rauf adalah sekutu Yahudi Elit

Kami bukanlah bertujuan memburuk-burukkan sesama umat Islam tetapi dewasa ini propaganda zionis dan sekutu-kutunya tidak lagi dipelopori oleh yahudi sahaja bahkan segelintir umat Islam turut bersekongkol dengan puak ini.

Terdapat seperkara yang mencurigakan tentang Imam Feisal Abdul Rauf. Pertama sekali cadangan untuk pembinaan masjid di Ground Zero adalah hasil idea beliau sendiri bukannya melalui suatu mesyuarat jawatankuasa atau mesyuarat khas bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin di New York Islamic Center.

Keduanya, Imam Feisal juga merupakan anggota rasmi bagi pertubuhan elit Yahudi Zionis iaitu Council on Foreign Relation (CFR atau disebut juga sebagai CAFFIR) yang mana organisasinya dikawal selia oleh David Rockefeller. Keanggotaan Imam Feisal di dalam CFR adalah sebagai Pengarah bagi Suruhanjaya Penasihat Agama di CFR dan Pengerusi Cordoba Initiative.

Menurut laporan Corbett Report, hasil perbualan mereka dengan Nancy Pelosi, mendedahkan bahawa dana pengurusan Cordoba Initiative bukan disumbangkan oleh umat Islam tetapi beberapa pertubuhan elit antarabangsa.

Manakala dalam Steve Watson (prisonplanet.com), Imam Feisal (yang juga boleh berbahasa Melayu) jelas seorang boneka bagi CFR dalam usaha mereka merencanakan perang akhir zaman antara Islam dan barat. Watson juga menegaskan bahawa kos pembinaan Masjid Ground Zero bernilai USD100 juta dibiayai American Society for Muslim Advancement (ASMA).

Manakala dana tabung ASMA pula adalah daripada Carnegie Corporation of New York, the Ford Foundation, Rockefeller Brothers, Rockefeller Philanthropy dan Rockefeller Brothers Fund. Kesemuanya organisasi milik Yahudi Elit Zionis.

Menurut Jerry Mazza, penulis buku State Of Shock: Poems from 9/11 on, Imam Feisal telah meletakkan umat Islam Amerika di dalam bahaya serta membuatkan mereka sentiasa dikelilingi oleh rakyat-rakyat Amerika yang marah.

Kesimpulan

Rentetan dari isu ini sejak ia digembar-gemburkan oleh media-media antarabangsa, jelas menunjukkan bahawa ‘Pesta Membakar Al-Quran’ adalah satu helah Zionis untuk menimbulkan kemarahan umat Islam serata dunia.

Bagi merangsang kemarahan masyarakat Amerika pula, Zionis melalui agen-agennya membuka ruang kelulusan mendirikan projek pembinaan Masjid Ground Zero di tempat punca tercetusnya istilah ‘pengganas’ terhadap agama Islam pada 2001 iaitu kawasan runtuhan World Trade Center.

Pertembungan kemarahan kedua-dua belah pihak ini merupakan objektif utama Illuminati. Dan selepas itu kita dapat melihat di celah-celah pertembungan dan kemarahan itu, seorang individu muslim di sebelah pihak Islam dan seorang individu non-muslim akan menjadi hero dalam meredakan ketegangan yang timbul.

Untuk semua isu di atas, ‘key person’ bagi propaganda Illuminati 11 September 2010 kali ini ialah Imam Feisal Bin Abdul Rauf.

Mudah-mudahan Allah melaknat tipu helah Illuminati yang sentiasa merancang menjatuhkan agama Islam sejak ratusan tahun dahulu.

sumber : www.halaqah.net

Sunday, September 19, 2010

KiSah AinuL MaRdhiaH

Assalamualaikum.. Salam Perantau memandangkan saya akan kembali ke tempat belajar ketika bercerita tentang kisah ini, Ainul Mardhiah, yang juga nama pena saya. Maksud Ainul Mardhiah ialah 'mata yang diredhai'.

Ainul Mardhiah merupakan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari yang lain. Suatu pagi dalam bulan puasa ketika Rasulullah S.A.W. memberi targhib iaitu berita-berita semangat di kalangan sahabat untuk berjihad pada agama Allah, katanya, "Barangsiapa yang keluar di jalan Allah tiba-tiba ia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari syurga. Mendengar berita itu seorang sahabat yang usianya sangat muda teringin hendak tahu bagaimana cantiknya bidadari tersebut tetapi dia malu hendak bertanyakan kepada Rasulullah S.A.W. kerana malu pada sahabat-sahabat yang lain. Namun dia tetap memberi nama sebagai salah seorang yang akan keluar berjihad.

Sebelum Zohor, sunnah Nabi akan tidur sebentar, dipanggil khailulah, maka sahabat yang muda tadi juga turut bersama jemaah tadi, tidur bersama-sama. Dalam tidur tersebut dia bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian yang bersih lagi cantik dan muka yang berseri-seri lalu ditanyakan dimanakah dia. Lelaki itu lalu menjawab inilah syurga. Lalu dia menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan 'Ainul Mardhiah. Lelaki itu menunjuknya di suatu arah maka berjalanlah dia ke situ. Di suatu pepohon beliau mendapati ada seorang wanita yang tidak pernah dilihat kecantikan begitu didunia ini lalu diberi salam dan dia bertanya, "Adakah kamu ini Ainul Mardhiah?" Wanita itu menjawab, " Tidak, saya khadamnya. Ainul Mardhiah ada di dalam singgahsana sana."

Lalu dia berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda daripada yang pertama tadi sedang mengelap permata-mata perhiasan di dalam mahligai. Dia memberi salam dan bertanya lagi, "Adakah kamu Ainul Mardiah?" Lalu wanita itu menjawab, "Tidak, saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini. Ainul Mardiah ada di atas mahligai sana." Lelaki itu menaiki anak-anak tangga mahligai permata itu. Kecantikannya sungguh mengkagumkan. Akhirnya dia sampai ke satu mahligai dan mendapati seorang wanita yangberganda-ganda cantik daripada yang pertama dan yang kedua, tidak pernah dilihat di dunia.. Wanita itu berkata, "Akulah Ainul Mardhiah, aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk aku."

Apabila lelaki itu mendekatinya Ainul Mardhiah menjawab, "Nanti, kamu belum syahid lagi." Tersentak pemuda itu lalu terjaga dari tidurnya. Dia menceritakan segala-galanya kepada seorang sahabat lain, namun begitu dia berpesan agar jangan menceritakan cerita ini kepada Nabi SAW. Tetapi, sekiranya dia syahid barulah diceritakan kepada Nabi.

Petang itu pemuda itu bersama-sama dengan jemaah dan Nabi SAW telah keluar berperang lalu ditakdirkan pemuda tadi telah syahid. Petang tersebut ketika semua jemaah telah pulang ke masjid, ketika waktu hendak berbuka puasa maka mereka telah menunggu makanan untuk berbuka yang juga merupakan salah satu sunnah Nabi SAW. Maka kawan sahabat yang syahid tadi telah bangun dan merapati Nabi SAW lalu menceritakan perihal sahabat Nabi yang syahid tadi. Ketika bercerita itu Nabi menjawab, "Benar... benar... benar..." sepanjang cerita tersebut. Akhirnya Nabi SAW berkata, "Memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di syurga."

Wallahu wa'lam

Friday, August 27, 2010

BiSiKaN AiNuL MaRdHiAh

Duhai mujahidku,
pejuang Allah di medan jihad
semangatmu kental
membara demi Islam tercinta

Duhai mujahidku,
Allah menjanjikan kemenangan
dan tiada kesedihan serta ketakutan
bagi orang-orang yang beriman
dan beramal soleh

Mujahid sejati itu
bukan dilihat pada ketampanannya
bukan pada ramai wanita yang mengaguminya
bukan juga pada pujuk rayunya

Mujahid sejati itu
dikenal pada sikapnya yang mulia
terhadap makhluk Allah yang lain
dilihat pada jernih kesabaran di hatinya
dinilai pada kental jiwanya
berjuang di jalan Allah
Baginya hanya Allah tempatnya bertawakal
rasa 'khauf' di hati jika Allah murka
lembut dengan kebaikan dan tegas dengan kemungkaran

Ku mencari mujahidku
yang setia dalam ad-din al-Islam
yang teguh dalam ukhwah Islamiah
yang kuat taqwa keimanannya
yang yakin dengan ketentuan Allah

Ya Allah
Andai Kau telah menemukanku dengan mujahidku
relakanlah hatiku menantinya
seperti Ainul Mardhiah menanti pejuang yang syahid
di jannah abadi
di hatinya ada Allah Yang Esa..

Tuesday, August 17, 2010

Apa kita tahu tentang rahsia PuaSa?

Kajian menunjukkan amalan menahan makan dan bertadarus memberikan ketenangan

PUASA Ramadan yang difardukan kepada umat Islam bukan saja ujian kepada keimanan menahan nafsu makan minum, ibadat itu juga memberi kebaikan kepada tubuh badan terutama untuk menghapuskan toksin yang tersimpan selama ini.

Pengamal Perubatan dan Penceramah Motivasi, Dr Danial Zainal Abidin, berkata selepas sekian lama badan menerima makanan dan minuman yang memudaratkan, puasa Ramadan memberi peluang kepada manusia mengembalikan ketahanan tubuh badan.

Katanya, makanan serta minuman yang diambil sepanjang 11 bulan sebelum kedatangan Ramadan mungkin halal dari segi sumber dan bahan asasnya tetapi tidak semestinya makanan itu baik kepada kesihatan.
Oleh itu, sebulan Ramadan yang ditetapkan Allah untuk umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga membawa bersama hikmah kefarduannya menurut pandangan sains berdasarkan kajian dilakukan pelbagai pihak mengenai kaitan puasa dari aspek kesihatan.

“Memang asasnya niat puasa itu penting supaya kita tidak terbabas. Jangan kata niat kita puasa untuk kuruskan badan atau kurangkan kolesterol kerana tujuan utama puasa adalah mencapai status takwa dengan mentaati, sentiasa mengingati serta mensyukuri nikmat Allah.

“Namun di sebalik kewajipan itu tidak dinafikan banyak kebaikan diperoleh berdasarkan kajian dibuat mengenai kesan ibadat puasa terhadap sistem badan. Ini kerana makanan halal yang kita makan tidak semestinya toyyibah atau berkhasiat kepada tubuh badan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Ramadan dan Sains pada Seminar Penghayatan Ramadan anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Hospital Pakar An Nur dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM).

Seminar bertemakan Puasa Membentuk Ketakwaan dan Kesejahteraan membabitkan kira-kira 150 pengamal perubatan, kakitangan hospital kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan. Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan merangkumi aspek ibadah serta panduan perubatan kepada pesakit di bulan Ramadan.

Pada pembentangan itu, Dr Danial menjelaskan kajian dilakukan pelbagai pihak mengenai kesan makanan terhadap sikap manusia serta keberkesanan puasa membantu mengatasi masalah kesihatan yang dihadapi sesetengah pihak sebagai panduan masyarakat umum.

Antara diketengahkan ialah laporan CNN.com mengenai makanan ringan boleh menyebabkan kerosakan jantung dan kumpulan berisiko adalah remaja belasan tahun yang ketagih makanan ringan. Kajian oleh Universiti Toronto pula mendapati makanan ringan boleh merosakkan otak.

Buku Dr Jack Goldstein mengenai puasa memberitahu amalan itu dapat membina kekuatan tubuh badan, sementara Dr Shahid Athar dalam laporan mengenai rumusan Kongres Kesihatan dan Ramadan yang diadakan di Casablanca pada 1994 turut memperakukan puasa Ramadan dari sudut sains dapat meningkatkan ketahanan tubuh.

Justeru, menurut Dr Danial, masyarakat tidak perlu bimbang terhadap kesan puasa kepada tubuh dan sistem imunisasi kerana terbukti amalan menahan diri daripada lapar dan dahaga pada siang hari bermula dari waktu imsak hingga berbuka memberi lebih banyak manfaat daripada kemudaratan.

“Sahur jika kita lakukan dikira ibadat dan faedah sains membuktikan dalam tempoh 24 jam, makanan paling penting ialah sarapan pagi. Yang malas sarapan adalah calon untuk penyakit obesiti, dia-betes dan sakit jantung. Jadi sahur ambil tempat sarapan pagi dan jika tidak makan 12 jam selepas itu pun kita tak ada apa-apa.

“Nabi galakkan kita bersahur pun sudah cukup saintifik. Begitu juga amalan makan kurma ketika berbuka puasa kerana kelebihan kurma mengandungi vitamin A, B1, B2, B3, B5 dan 20 asid amino yang bagus untuk sistem penghadaman selain memberi tenaga,” katanya.

Katanya, Ramadan bulan pendidikan untuk mentarbiah fikriah, jasadiah serta ruhiah dengan memastikan niat yang betul melaksanakan ibadat puasa dan pada masa sama mengambil kesempatan diberi Allah menggandakan ibadat sunat bagi merebut ganjaran dijanjikan.

Dr Danial berkata, kajian oleh Dr Ebrahim Kazim dari Akademi Islam, Trinidad, menunjukkan pada bulan Ramadan hormon yang banyak mempengaruhi tingkah laku manusia dinamakan opioids dirembeskan dalam tubuh menjadikan orang yang berpuasa dengan betul, banyak bertadarus serta berzikir lebih tenang.

Sementara Dr Ahmad E Kadi yang membuat kajian mengenai solat serta penyembuhan merumuskan hanya dengan mendengar bacaan al-Quran dapat menurunkan tekanan darah, mengurangkan nadi serta memberi kerehatan kepada otot.

“Satu lagi kajian tetapi belum disahkan, sebutan kalimah al-Quran seperti Alif Lam Min dan Ya Sin, baik untuk jantung serta otak. Namun, ini masih dalam kajian lagi. Apapun, nasihat saya kepada umat Islam, Ramadan ini jangan fokus masalah tetapi fokus kepada Allah, masalah akan reda,” katanya.

sumber : www.halaqah.net

Tuesday, August 10, 2010

Kau Datang Lagi

Betapa lama ku merinduimu,
betapa jauhnya jarak kita setelah kau berlalu dahulu,
bulan-bulan mendatang tak seberkah dirimu

Hadirnya kau sebagai bulan umat Muhammad
setelah berlalunya bulan Allah dan Rasul-Nya
Hadirnya kau penyeri di kala mereka yang berduka
kerana pelbagai rahmat Allah terserlah di dalam bulanmu

Ramadhan Al-Mubarak,
kau datang lagi akhirnya
menghampar rasa qana'ah dalam diri
meraup sinar syukur dalam sujud malam-malammu
menyingkap warna suci hidayah Ilahi

Aku ingin menjadi
antara hamba-hamba-Nya yang taat
dan lebih taat dalan bulan Ramadhan
kerana bonus ketaatan itu sangat mudah dicapai
syaratnya ikhlas kerana Allah

Ya Allah ya Tuhanku
ku pohon diberkati bulan Ramadhan kali ini
lebih baik dari bulan-bulan sebelumnya
semoga kami mendapat hidayah
dan rahmat cinta-Mu
untuk pedoman hidup kami

Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam
dan para sahabat serta ahli keluarga baginda...

Thursday, July 22, 2010

Sabarkah aku..

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah.. Syukur ke hadrat Allah kerana dengan rahmat-Nya aku mampu lagi melihat alam ini, mendengar kicauan burung-burung di sekeliling, melangkahkan kaki ke kolej, walaupun tetap ada halangan dan cabaran yang mendatang.


Beberapa hari ini, telah datang ujian dari Allah padaku bertimpa-timpa. Mungkin ini tanda kasih sayang Allah padaku. Tetapi aku merasakan sungguh kerdil untuk mendapat kasih sayang dari Tuhan Yang Maha Penyayang.


Pada hari Ahad baru-baru ini, aku bangun awal macam biasa. Selepas subuh, aku pergi membuang sampah dan selepas itu pula aku study Cost Accounting. Selepas itu, aku main game kat laptop aku. Kemudian, ada orang datang, saudara kepada sahabat aku. Katanya mahu meminjam laptop aku. Sedang aku dengan beberapa lagi sahabat yang lain menyiapkan hidangan dan air teh untuk tetamu kami itu, sahabat yang sedang berada di ruang tamu menjerit-jerit mengatakan saudaranya telah pergi begitu sahaja.


Sahabatku juga mengatakan bahawa laptop dan broadband aku turut dibawa pergi. Aku hanya mendiamkan diriku. Subhanallah, aku tak tahu harus berbuat apa. Kata sahabatku lagi, saudaranya memang tidak pandai mengambil barang orang. Aku hanya menenangkan diriku, tidak mahu sahabatku itu rasa bersalah denganku.


Beberapa hari sahabatku mencari, tak juga berjumpa. Aku tetap macam biasa. Cuma mungkin agak nampak aku banyak mendiamkan diri. Bukan kerana aku marah kerana berlakunya hal tersebut tapi kerana aku mahu menenangkan diriku. Aku juga tidak mahu sahabatku itu berasa sedih. Lalu hal itu aku serahkan pada Allah sahaja untuk mengaturnya.


Hari Isnin, kami terlambat ke kolej. Dari jauh kami sudah nampak lif hampir tertutup. Aku pula terlupa bahawa kasutku ini licin. Aku berlari ke lif tersebut namun belum sampai ke destinasi, aku terjatuh. Cerita ini agak kelakar bagiku tetapi sakitnya masih terasa sehinggalah aku masuk ke kelas.


Hari Selasa pula, aku dengan bangganya memberitahu seorang sahabat melalui mesej bahawa aku akan membantu sahabat di rumahku memasak. Sebelum itu, aku terbaca kisah Zulaikha dan Yusuf yang ketika Zulaikha menjemput wanita-wanita Mesir untuk melihat ketampanan Yusuf. Ketika itulah, mereka terhiris jari sendiri kerana terpukau dengan ketampanan Yusuf yang disangka malaikat. Kisah aku pula, agaknya aku asyik termenung. Jadinya, ketika aku memotong bawang putih, jari manisku terhiris. Agak dalam juga lukanya. Aku terpaksa pakai plaster sampai hari Khamis. Tapi aku terhiris jari bukan kerana terpukau dengan keindahan sesiapa, mungkin kerana hatiku tidak di situ.


Hari Rabu pula, aku terlanggar almari bajuku sendiri. Entah macam mana boleh jadi macam tu. Pagi itu juga aku dan Fara memasak udang masak lemak cili padi. Sahabat-sahabat serumah yang lain kata sedap tapi terlampau pedas.


Hari ini, Khamis. Aku terasa sangat jauh dari Allah. Bercelarunya hati dan perasaanku. Mengapa sangat celaru hatiku? Aku juga berasa tersangat sedih jika memang benar aku telah jauh dari Allah. Aku tidak sedih dengan dugaan yang bertimpa-timpa mendatangiku, itu tandanya Allah ingat aku. Tapi apakah aku ini selalu mengingati-Nya?



Ya Allah, janganlah Engkau jauh dariku. Sesungguhnya aku tidak mampu bernafas tanpa rahmat-Mu...

Friday, July 16, 2010

Untuk Sahabat


Aku terbaca ceritamu sahabatku
aku juga merasai kerinduanmu
yang jauh di sana

Maafkan aku sahabatku
kerana tidak memberitahumu khabarku
sudah terlalu lama kita menyepi
tapi aku tahu kau memahamiku
dan aku juga memahamimu

Dari Allah hati kita bersatu
mawaddah kita mekar kerana-Nya
sayang kita harapnya sampai ke syurga

Sahabatku,
ketahuilah bahawa kita memang saling melengkapi
aku ingin menjadi seperti As-Siddiq
setia berkorban untuk sahabatnya
tetap percaya walau dicerca

Namun,
Jika aku banyak melukaimu sahabatku sayang
maafkanlah aku
aku hanya insan yang terlalu banyak kurangnya

Sahabatku sayang
harapnya nanti perjuangan kita tetap mekar kerana Allah
berterusan ukhwah ini sehingga hembusan nafas terakhir
bersama-sama meniti As-Sirat
dan juga melangkah kaki ke Jannah Abadi

Semuanya kerana Allah
Insya Allah...

Saturday, July 10, 2010

Bicara malam hari

Alhamdulillah..

Inilah masakan sahabat-sahabat saya petang tadi. Nasi ayam. Berselera sungguh saya makan. hehe.. Sambil membantu tadi, saya dapat juga belajar. Minggu depan dah start semua ahli rumah bertugas. Setiap seorang memang tak terlepas daripada tugas memasak. Agaknya dah boleh belajar jadi suri rumah ni. (hehehe..)

Kali ini, saya tak ada cerita yang menarik sangat. Hari cuti betul-betul membosankan. Masa yang berlalu terasa begitu lambat. Mahu sahaja saya menarik hari Isnin supaya duduk dekat sikit dengan saya. Bukan apa, best sikit ada kerja nak buat kalau duk kat kolej.

Pagi tadi saya dah post tentang Israk Mikraj. InsyaAllah, jika berkesempatan lagi saya nak kongsi lagi cerita-cerita yang menarik.

Kepada sahabat-sahabat yang sudi mengunjungi 'halaman rindu' saya ni, terima kasih daun keladi. Lain kali datang lagi.. (",)

Bertemu kita kerana Allah, berpisah juga kerana Allah. Semoga penghujungnya ada keredhaan dari Allah. Insya Allah dan amin..

Friday, July 9, 2010

Peristiwa bersejarah Israk Mikraj


Alhamdulillah..

Bersyukur ke hadrat Allah kerana memberi peluang pada hari ini, 27 Rejab 1431 H untuk kita sama-sama menghayati kisah bersejarah Israk Mikraj. Alhamdulillah juga kerana Allah membukakan hati seorang sahabat untuk mengingatkan tentang peristiwa ini tepat pukul 3.30 pagi tadi.

Terdetik di hati saya untuk berkongsi kisah yang saya petik daripada iluvislam.com. Terima kasih juga diucapkan kepada iluvislam.com. Marilah sama-sama kita hayati kisah ini.

Sejarah Isra' dan Mikraj


Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Isra" itu.

Semasa Isra'
(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa)


Sepanjang perjalanan (isra') itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);


Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

Masjidil Aqsa Hari Ini

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj
(Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)


Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah.

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ila ha illallah allahuakbar dan Wa La Haulawala Quwata Illabillahil Azim.

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.

10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T: Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Subhanallah! Betapa banyak keistimewaan yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umat baginda. Sama-samalah kita muhasabah diri apakah tindakan kita setelah mengetahui semua ini.

Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1)

Tuesday, July 6, 2010

Cinta Tanpa Hijab

Bismillahirrahmanirrahim..

Pagi yang indah dan dingin. Suasana kota kurang terasa kerana letaknya apartmenku terperosok ke dalam sedikit. Merpati-merpati jinak menarik perhatianku di pagi hening ini.

Teringat pula semalam. Aisyiah dan Syu datang ke rumah. Gembira juga rasa di hati kerana ada juga sahabat-sahabat yang ingin bertandang ke rumah kami. Lagipun, ada barangnya yang aku simpan daripada semester lepas di rumahku.


Aku turut rasa bertuah kerana mempunyai sahabat-sahabat yang sangat menjaga, di samping itu sangat memahami. Perasaanku terjaga, pergaulanku juga turut terjaga. Hidayah itu milik Allah. Tiada siapa yang dapat mengubah ketentuan-Nya. Allah akan memberinya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Bukanlah kita yang menetapkan siapa yang akan mendapat hidayah Allah.

Aku juga pernah terfikir dahulu tentang perkara ini. Kita cuba untuk mengubah orang lain tetapi jika orang itu sendiri tiada usaha untuk berubah, kita tiada kuasa untuk mengubahnya. Allah juga ada berfirman, "Kami tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu sendiri mengubah dirinya.."


Pernah suatu masa dahulu ada ikhwan bersama temannya datang ke kelasku. Temannya memberitahu aku bahawa ikhwan itu ingin berubah jika aku ingin menerimanya. Aku pelik. Dia yang hendak berubah, mengapa harus memberitahu aku? Beritahulah pada Allah. Sedangkan aku ini cuma manusia. Aku juga dalam proses perubahan.


Ikhwan tersebut bersungguh-sungguh menunjukkan perubahannya tetapi aku pula berasa tidak sedap hati. Seperti ada yang tidak kena. Lalu aku biarkan sahaja ikhwan tersebut. Tidak lama kemudian, kami terserempak lagi. Perubahannya yang hari itu tidak kekal lama. Dia kembali menjadi seperti dahulu.
Salah akukah itu atau salah dia? Atau salah Allah? Astaghfirullahal azim, sesungguhnya Allah tak pernah salah. Dalam sabda Nabi S.A.W.:

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Jika dia berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya. Jika hijrahnya kerana dunia dan perempuan yang ingin dikahwininya, maka dia mendapat apa yang dihijrahkannya."

Hadith tersebut sangat berkaitan dengan kehidupan kita. Bukanlah kita ini mempunyai kuasa untuk mengubah sesiapa, kerana hanya Allah yang berkuasa ke atas hati-hati makhluk-Nya.

Sebagai Muslim, memang wajib bagi kita untuk berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. Namun, hanya Allah yang akan menentukan siapa yang akan menerima pesanan kita dan berubah. Sedangkan setiap kita juga mengalami proses perubahan. Mungkin hari ini kita rasa boleh beribadah sebanyak mana yang kita nak. Tapi, kadangkala terdetik rasa malas.
Diriku hanya insan biasa. Bukan maksom seperti Rasulullah S.A.W. Banyak juga kurang dari lebihnya. Terasa diri ini begitu kerdil di hadapan Allah.

"Hidayah itu milik Allah. Kadang-kadang kita suka kat seseorang itu, kita cuba hendak mengubah dia menjadi lebih baik. Supaya jadi lebih Islamik. Namun ada juga terdetik rasa tidak sedap hati. Ada sesuatu pula yang menghalang hubungan kita dengan Allah. Rupa-rupanya ada hijab yang pula antara kita dengan Allah," kata seorang sahabat serumahku.

Aku bersetuju dengannya. Bukan muhrim tetap bukan muhrim. Tetap ada peraturan yang perlu dipatuhi supaya tak terleka dengan fitrah. Macam mana pun kita anggap seorang ajnabi sebagai sahabat biasa, namun perasaan sebagai manusia dan bisikan syaitan tetap mengganggu.


Perasaan inilah yang mulanya kecil akhirnya menjadi sesuatu yang besar yang bisa membunuh hati kita sendiri. Kasihannya hati kita kerana sikap dan perbuatan kita sendiri.
Aku tersedar dari lamunanku yang agak panjang. Alhamdulillah.. Allah masih memberi aku peluang merasai nikmat nyawa ini supaya aku dapat terus istiqamah dalam perubahanku. Sesungguhnya cinta tanpa hijab ialah cinta Allah dan hamba-Nya yang tidak memerlukan perantaraan. Hanya kita dan Dia.

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya akau bertawakkal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki arasy yang agung."(Surah Ali Imran : 129)

Atas Nama Cinta



Tika mata diuji manisnya senyuman
terpamit rasa menjunjung harapan
dan seketika terlontar ke dunia khayalan
hingga terlupa singkat perjalanan

Tersedar aku dari terlena
dibuai lembut belaian cinta

Rela aku pendamkan impian yang tersimpan
engganku keasyikan
usah keindahannya merampas rasa cinta
pada Dia Yang Lebih Sempurna

Bukan mudah bernafas dalam jiwa hampa
dan ku cuba menyirnakan pesona maya
kerana tak upaya kuhadapinya
andai dukanya menghukum leka

Di atas nama cinta pada Yang Selayaknya
kunafikan yang fana
moga dalam hitungan setiap pengorbanan
agar disuluh cahaya redha-Nya

Biar sendiri hingga hujung nyawa
asal tak sepi dari kasih-Nya
kerana sesungguhnya hakikat cinta
hanya Dia Yang Esa

Di atas nama cinta pada Yang Selayaknya
kunafikan yang fana
moga dalam hitungan setiap pengorbanan
agar disuluh redha

Salahkah hati ini dengan cinta hakiki
sehingga kurasai
nikmat-Nya
syurga-Nya
cinta-Nya...

Lirik lagu oleh UNIC ini terkadang membawa semula diriku kepada-Nya tika diri hanyut dalam arus permainan dunia. Semoga Allah menetapkan hati kita pada-Nya...

Sunday, July 4, 2010

Saya sayang mak dan abah!


Hidangan makan malam


Bismillahirrahmanirrahim.. Alhamdulillah.. Sekali lagi saya berpeluang untuk berkongsi cerita di halaman saya yang sudah sepi beberapa hari ini.

Terlebih dahulu nak juga saya kongsi cerita pertama kali tinggal di rumah sewa. Terfikir juga bagaimana hendak mencari makanan tengahari kerana kedai-kedai makan Melayu dibuka pada pukul 5.00 petang. Hanya kedai-kedai mamak yang dibuka dari pagi sampai malam.

Allah memang memberi rezeki kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Rupa-rupanya sahabat-sahabat serumah memang pandai memasak. Semalam dah makan ayam masak kurma. Pagi tadi kami makan makaroni. Dan baru sahaja sebentar tadi kami menjamu dengan penuh selera mihun sup yang sangat lazat. Insya Allah hasil tangan kami dari enam buah negeri yang berlainan. Sambil memasak pun pelbagai loghat bahasa yang keluar. Kadang-kadang tercuit rasa lucu apabila melihat sahabat-sahabat ter'hairan' dengan loghat sendiri. (hehehe..) Alhamdulillah..

Sementara menunggu 'turn' nak solat, saya mencapai buku tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang bertajuk 'Bercinta Sampai Ke Syurga' jilid dua, sambungan daripada 'Aku Terima Nikahnya'. Kebetulan sesampainya saya di sini, sudah habis saya baca buku 'Aku Terima Nikahnya'. Agak best jugak cerita dalam buku tu. Banyak mesej yang dapat dijadikan panduan khususnya bagi pelajar yang sudah berfikir soal nikah kahwin ni. Satu yang saya dapat kongsi ialah:

'Perkahwinan bukanlah hanya menghalalkan yang haram tetapi ia mesti bertunjangkan atas dasar tanggungjawab di samping adanya dalam memahami perasaan pasangan'.


Saya baca buku ini bukanlah kerana ingin berkahwin cepat atau apa. Cukuplah untuk saya memahami bagaimana keadaan abah dan mak masa nak kahwin dahulu. Lagipun, buku tersebut pun sangat bagus dibaca oleh yang belum berkahwin. Sangat penting untuk kita memahami semua ini.
Dalam jilid kedua yang saya baru baca sedikit, dapat juga saya ambil sedikit input tentang IBU BAPA.

Perkongsian kali ini bagi saya mungkin agak menyedihkan kerana kenangan lama waktu kecil kembali membayangi ruangan mata.
Saya bukanlah anak yang sangat taat ketika dahulu. Ibu bapa saya sangat baik terhadap saya. Seharusnya saya membalas dengan berlaku baik pula kepada kedua ibu bapa saya.

Sewaktu saya di darjah enam, saya sudah pandai melawan cakap. Saya tidak suka berada di rumah.
Saya akan lakukan apa sahaja asalkan saya rasa gembira. Saya lupa bahawa semasa saya di darjah tiga, saya pernah dilempar dengan batu oleh seorang budak lelaki. Mak saya terkejut sebaik sahaja melihat dahi saya bengkak semasa baru pulang dari sekolah dan saya pula teresak-esak menangis. Mak saya yang pada ketika itu dalam pantang cepat-cepat ke dapur mengambil batu untuk menuam dahi saya. Astaghfirullahal Azim..

Banyak lagi yang mak sanggup lakukan untuk saya. Saya sentiasa lupa. Ternyata saya bukanlah anak yang baik. Allah memang Maha Pengasih kerana dalam masa sekejap sahaja Dia menyedarkan saya. Saya memang sangat angkuh kerana membelakangkan mak saya.

Allah memang Maha Adil. Peperiksaan UPSR saya tidak seperti yang saya jangkakan. Saya tidak mendapat keputusan yang cemerlang. Pada hari keputusan keluar juga, mak yang menemani saya. Tapi, wajah mak saya tidak menunjukkan sebarang reaksi. Saya pula terus menangis tidak henti-henti setelah masuk ke bilik. Saya memang anak yang ego dan sangat suka mempertahankan ego yang hanya akan memusnahkan diri sendiri.
Tangisan itu bukan hanya bersedih dengan keputusan peperiksaan tersebut, tetapi PENYESALAN DI ATAS DOSA-DOSA.

Subhanallah! Allah masih sayangkan kita kerana memberi peluang untuk menebus balik kesalahan-kesalahan tersebut.
Tekad saya selepas itu untuk mentaati sepenuhnya mak dan abah saya selagi tidak melanggar syariat Islam. Saya sebenarnya sangat bertuah kerana memiliki ibu bapa saya. Tetapi kadang-kadang saya rasa sedih kerana sering sahaja melukakan hati mak dan abah saya.

Teringat pula sebuah cerita dari dalam buku 'Bercinta Sampai Ke Syurga':


Suatu ketika Umar bin Al-Khattab dan para sahabat terlihat seorang perempuan yang mendukung seorang lelaki tua. Umar r.a. bertanya kepada perempuan tersebut: "Kenapa dengan kamu ini?"

Perempuan itu menjawab, "Ini ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku."
Umar r.a. sangat teruja dengan peristiwa tersebut lalu berkata, "Wahai sahabat, tengoklah perempuan ini. Dia sudah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya."
Perempuan itu membalas, "Tidak ya Amir al-Mukminin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku ketika kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaganya ketika tua, aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati!"


Subhanallah! Sangat terkejut saya membaca cerita tersebut. Na'udzubillahi min dzalik. Janganlah perkara tersebut berlaku kepada kita.

Allah berfirman dalam Al-Qur'an, " Dan berbuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapamu..." Kebetulan tengahari tadi yang menambahkan lagi kesedihan saya yang menjadi perantau ini, saya bermimpi mak dan abah saya. Mak saya sangat sakit dan hanya menunggu masa sedangkan abah saya menjaganya dengan sangat prihatin. Dalam mimpi itu juga saya rasa sangat berdosa kepada mak saya. Tersedar sahaja dari mimpi, saya terasa ingin menangis.

Selepas baca buku 'Bercinta Sampai Ke Syurga', saya terus menelefon mak dan abah saya. Seronoknya dapat bercakap dengan mereka.
Kata Ustaz Hasrizal, kita ada ramai kawan, tapi kita cuma ada seorang ibu dan seorang bapa. Tepat sekali pernyataan tersebut. Saya sangat bersetuju.

Keseronokan bersama sahabat-sahabat di sini diharapkan tidak akan melupakan saya terhadap mak dan abah saya. Sememangnya saya bukan seorang yang mesra bila dekat dengan mereka tetapi bila jauh rindu pula bertamu. Itulah yang menambahkan kasih sayang antara saya dengan mak dan abah. Insya Allah..

Monday, June 28, 2010

Rahsia yang terbongkar

Hari ini, saya teringin untuk berkongsi satu blog yang saya baru sahaja membacanya. Sungguh menarik. Hal ini mengenai Fifa World Cup 2010, millatfacebook dan menjelang olympics. Marilah kita sama-sama membacanya dan seterusnya fikirlah sendiri apakah tindakan kita selepas itu. Janganlah setelah kebenaran datang kepadamu, maka setelah itu kamu menyembunyikan kebenaran itu.
perkongsian bersama:
http://bradokapak.blogspot.com/2010/06/millatfacebook-fifa-world-cup-2010-dan.html

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...