Saturday, May 27, 2017

Titik Ramadhan

Assalamualaikum..

Salam Ramadhan Kareem..

Sekali lagi kita menjejakkan lagi dalam bulan barokah ini. Bulan yang amat menenangkan. Panas atau hujan itu bukanlah cabaran. Tapi kesabaran itu harus diiringi ikhlas dan redha.

Kali ini bukan tentang Ramadhan yang aku ingin coretkan. Ingin sahaja aku buka kembali kisah-kisah Ramadhan waktu dulu, tapi bukan itu yang ingin aku ceritakan.

Syahdunya memang terasa. Semakin menggigit jiwa apabila waktu ini, dia tiada bersama kita. Insan yang kita harapkan akan bersama selamanya.

Setiap kali ada harapan, kita gembira seolah-olah takkan ada awan hitam yang akan tiba.

Setiap kali bahagia, kita lupa, Allah memerhati bagaimana cara kita terjemahkan bahagia itu. Semakin dekat pada-Nya atau semakin jauh?

Cinta yang pernah mekar pada bulan Ramadhan, akhirnya layu pada Ramadhan kali ini. Ramadhan seakan permulaan kisah suka dan di situ juga pengakhirannya.

Walau semakin kita kejar bayangnya, kita takkan dapat capai. Walau semakin laju kita berlari, ia akan tetap pergi dan hilang.

Hakikatnya, Allah yang meletakkan takdir itu. Hanya Allah yang tahu. Lalu siapa kita untuk menidakkannya?

Kita ini hamba, harus patuh, taat dan ikhlas. Sekalipun dalam hati tak pernah hilang namanya, Allah tahu. Allah pasti akan menggantikan cinta yang lebih baik lagi.

Yang lebih pasti, Allah ingin kita mencintai-Nya sepenuh hati.

Sunday, May 21, 2017

Hikmah Sakit

Alhamdulillah.. Setelah lima bulan Allah beri sihat, hari ini aku kembali sakit.

Mula-mula sakit tekak selama dua hari. Pagi tadi mula selsema dan sekarang berkurang sedikit. Cuma panas baru nak naik.

Allahu.. Hebat dugaan Allah..

Esok pula nak mengajar anak-anak aktif kesayanganku. Kalau pening begini, boleh pengsan jawabnya.

Selesai makan ubat lepas solat Isyak tadi, aku bermuhasabah diri. Sememangnya sakit itu penghapus dosa.

Tapi seperti aku ini, hanya sakit biasa. Sebentar sahaja, nanti inshaaAllah dah sihat.

Teringat pada seorang sahabatku, penghidap SLE.. Tahun ini tahun kelapan dia sakit begitu.. Sedangkan seorang lagi sahabatku telah pergi menghadap Ilahi tahun lepas selepas dua tahun menghidap penyakit yang sama.

Terkilan? Ya, sangat terkilan. Tiba-tiba hadis tentang menyambung silaturahim menyapa akalku.

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya, berbuat baik kepada jirannya dan menyambung silaturahim."

Ada satu lagi hadis yang berbunyi begini,

"Sambunglah silaturahim supaya panjang umurmu dan terpelihara daripada penyakit."

Untuk kesohehannya, aku pasti keduanya soheh. Cuma sanad dan matannya tak kuhafal secara betul2, hanya ingatan drpd zaman sekolah.

Apabila teringat hadis itu, betapa menyesalnya aku tidak bertanya khabar tentangnya. Sedangkan aku punya banyak masa sebelum bekerja. Dan kini, dia telah pergi menemui Allah.

Seorang lagi sahabatku yang masih ada, ceritanya hari ini dia nak makan pun kena merangkak untuk mendapatkan makanannya. Aku yang membaca coretannya pun terasa seksa, dia? Mungkin lebih lagi. Tapi Allah telah menganugerahkan kekuatan untuknya.

Hebatnya cara Allah menguatkan hamba-hamba-Nya. Diuji dengan pelbagai ujian yang berat, sehingga kekuatan itu lahir. Allah Maha Tahu semua takdir-Nya.

Aku sendiri pernah demam, tidak dapat bangun. Hanya bangun untuk solat dan baring semula. Bila demam lagi kali ini, rasa agak trauma peristiwa pengsan tahun lepas.

Namun, semuanya aku harus terima dengan redha. Allah menguji untuk beri kekuatan padaku. Moga begitulah hendaknya.

Teringat sahabat-sahabat yang menderita penyakit lebih menakutkan daripada aku yang hanya sekadar demam, aku bersyukur. Allah tahu aku tak mampu seperti mereka. Ujian begini pun aku sudah menangis di hadapan Allah.

Dikalih semula silapku. Mungkin doaku tidak ikhlas meminta kesihatan yang baik daripada Allah. Selalu nak cepat. Allah mahu aku sedar semula kesilapanku.

Ramadhan hampir tiba. Tetap kurindui meskipun kali ini aku menggamitnya dengan pelbagai kelemahan yang ada padaku.

Semoga Allah beri kesembuhan kepada ibu bapa kita, saudara mara kita, adik beradik kita dan sahabat-sahabat kita serta kepada diri kita sendiri.. Aamiinn ya robbal 'alamiinn..

Saturday, May 20, 2017

Wanita Dan Bunga

Assalamualaikum..

Sudah lama kiranya saya tidak menulis di teratak bisu ini. Hanya jiwa yang membacanya akan tahu rasa yang ada di sini.

Minggu lepas, saya baru sahaja selesai menjaga peperiksaan anak-anak kecil. InshaaAllah, minggu depan akan ada ujian hafazan pula.

Teringat anak-anak murid yang umurnya sekitar 4 hingga 6 tahun, hatiku terdetik. Bagaimanakah agaknya mereka bakal menghadapi usia-usia seterusnya? Adakah seperti kita? Seperti saya atau seperti orang lain?

Yang pastinya doa saya selalu ada untuk mereka.

Wanita persis bunga yang kembang. Setiap bunga ada wangiannya tersendiri. Begitulah wanita. Ada kelebihan dalam personaliti masing-masing.

Ada bunga hidup kembang di dalam taman, namun tidak lama. Seperti mawar berduri. Ada bunga indah di permukaan tasik, seperti teratai. Teguh di celahan daun. Namun siapa yang tahu, daunnya itu menjadi tempat persinggahan sang katak.

Hakikatnya wanita itu terlalu setia dan inginkan kasih sayang. Malu untuk memperlihatkan manjanya di hadapan orang.

Saat saya beriadah bersama sahabat di taman rekreasi berdekatan rumah saya, bunga-bunga yang terlalu mekar menggamit perasaan saya sebagai wanita.

Mungkin itu makna bunga yang Allah ciptakan. Semestinya apa sahaja yang Allah ciptakan bukanlah perkara mainan dan sia-sia. Allah menciptakan semua ini ada maksudnya, dan manusia yang berakal harus mentafsirnya mengikut alquran dan assunnah.

Wanita, dirimu lebih berharga daripada segalanya. Lebih indah daripada bidadari jika dirimu benar-benar mentaati Allah. Dirimu yang menjadi peneguh hati suami dan anak-anak.

Andai hati rapuh, siapa akan meneguhkannya? Maka kembalilah pada Allah Yang Maha Mendengar isi hati hamba-hamba-Nya. Dia tahu jiwa insan, kerana Dialah Pencipta kita.

Sekian, coretan untuk hari ini. Moga ada isi untuk dikutip, ada cebis hikmah untuk disimpan.

Wassalam.

Monday, May 15, 2017

Mimpi yang hilang

Aku kira waktu itu takkan sampai. Bukan putus asa. Tapi sudah jauh aku berlari. Baru sahaja hendak mencapai mimpi, terus jatuh tersungkur.

Saat itu, pada siapa lagi harus kuserahkan hati? Hanya pada Dia. Yang Sentiasa Ada, dan sentiasa Mendengar rintihan hamba.

Bila ada luka, di situ ada kecewa. Dan yang tahu hanya Tuhan.

Mahu diberitakan kepada siapa perasaan ini kalau bukan kepada Allah? Hidup matiku juga kerana Allah..

Mungkin aku hanya perlu menunggu. Seseorang yang sebenarnya telah lama ku tunggu. Meskipun dia tidak tahu. Meskipun dia telah menyepi.

Aku bukan mengalah, cuma aku lelah. Sering bertemu orang yang salah.

Di mana yang benar? Di mana insan yang benar-benar diceritakan oleh ustaz ustazah. Boleh bersama selamanya kerana Allah. Susah senang bersama kerana Allah.

Cerita hatiku sukar ditelah. Kerana sudah banyak waktu yang telah disiakan oleh pedihnya kepalsuan cinta dunia.

Mungkin ada benarnya cerita Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Vijk. Atau Merantau Ke Deli. Atau Di Bawah Lindungan Kaabah.

Hanya ada penyatuan jiwa, akhirnya mati membawa cinta yang luka.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...