Sunday, July 16, 2017

Diskusi hati

Assalamualaikum..

Sunyi malam bandar dan kampung jauh amat bezanya. Di kampung, cengkerik bersahut-sahutan. Di bandar, hanya suara angin kipas menderu-deru mendinginkan suasana.

Sekali lagi, aku terbangun dari mimpi yang panjang. Bukannya fantasi, tapi realiti.

Bagaimana kita boleh menangis begitu hiba kehilangan cinta orang yang kita sayang, sedangkan kita tidak takut kehilangan cinta Allah yang selalu menyayangi kita?

Terusik jiwaku dengan pertanyaan sendiri.

Hidup ini masih jauh perjalanannya. Meskipun kita bukan berdiri di atas jalan yang kita mahu, tapi itu yang Dia mahu. Dia tahu dan Dia memberikan yang terbaik untuk kita.

Di dunia ini hakikatnya semua hanya pinjaman dan sementara. Di akhirat nanti Allah akan memberikan kita yang kekal, yang tiada tandingannya di dunia ini.

Bercinta kerana Allah, redha kerana Allah, yakin kerana Allah dan tawakkal kerana Allah.

Biar seluruh hidup kita hanya kerana Allah.

Meskipun kita cuba mengubah dunia seluruhnya, takkan berlaku tanpa izin Allah. Sedangkan mahu mendidik anak kecil juga perlukan izin Allah, barulah anak itu boleh mendengar kata.

Diskusinya, jiwa kosong itu akan terus resah tanpa zikrullah. Kita tak mampu hidup tanpa Allah, dan tak mungkin dapat tinggalkan kebiasaan kita mengadu kepada Allah. Hanya Dia yang Maha Mendengar segalanya.

Moga ada cinta Allah untuk kita semua.. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita semua..

Friday, June 9, 2017

Ifthar with sahabat

Alhamdulillah..

Semalam adalah perkara yang amat manis untuk dikenang. Bersama sahabat yang tak pernah meninggalkanku saat aku jatuh dan terluka. Dia ada.

Meskipun hidup ini terlalu payah. Namun sebenarnya indah. Jika kita pandang kepada keindahannya, bukan kepada kepayahannya.

Coretan kali ini ingin sekali aku ceritakan tentang seorang sahabat baik yang sentiasa cuba meluangkan masanya denganku.

Semestinya aku bahagia bertemu mereka. Dalam masa aku temui orang yang banyak meneroka kelemahanku, dia adalah orang yang menyimpan kelemahan dan menyembunyikannya daripada orang lain. Alangkah indah mempunyai sahabat seperti ini.

Semakin kita mengenali sahabat kita, semakin kita sedar siapa kita. Semakin mereka menghargai kita, semakin jauh rasa rendah diri dan lebih selesa bersama. Sudah tentu persahabatan yang kita damba hingga syurga tercapai.

Kadang-kadang kita berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa alasan. Itu kerana kita seorang yang suka berkawan. Dan bukan semua kawan kita tahu kisah hidup kita, perangai kita semasa bersendiri dan segalanya tentang kita. Pastinya, bila kita selesa dengannya barulah kita berasa mudah untuk menjadi diri kita yang sebenarnya.

Sahabatku yang aku keluar ifthar bersama, mempunyai minat yang sama denganku. Aku juga mempunyai seorang lagi sahabat yang sama juga sepertinya. Open-minded, positif, well-going with others, memahami.. Seriously, memang sangat aku suka tentang mereka.

Maaf, post kali ini agak berterabur dan menggunakan bahasa 'rojak'. Tapi itulah aku sebenarnya. Not really perfect. Tapi selalu nak sempurnakan anak-anak muridku supaya tak jadi seperti aku.

Still, aku sayang kepada semua sahabatku. Hanya yang aku ceritakan ini, dia terlalu menjagaku. Keluar dengannya pun macam keluar dengan kekasih. Haha

Tengahari itu setelah dua orang sahabatku dari tempat kerja hantar aku ke Terminal Bas Selatan, aku terus menaiki tren LRT ke Bandaraya untuk menyelesaikan hutang MARA.

Tiada apa sangat nak kena buat. Cari kaunter bayaran MARA, isi borang dan bagi cash. Kemudian, orang tu bagi resit, settle.

Lepas tu terus aku pergi ke Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Jalan TAR. Baru nak beli baju raya. Cari-cari baju aku yang nak, akhirnya jumpa juga setelah pusing dan dah masuk Jakel Mall. Tapi bukan beli kat Jakel tau. Mahal sangat. Saje jalan-jalan situ sebab seorang kawan kerja kat situ. Dia nak tolong bayar harga staf. Hmm.. Design tu tak sama macam aku nak.

Yang aku jumpa ada kat Jalan TAR. Lepas tu, cari tudung untuk mak, diri sendiri dan dua orang sahabat yang minta tolong belikan juga.

Habis semua tu dah lepas Asar juga. Teruslah pergi Masjid Jamek. Alone Traveller memang macam ni. Dah tak hirau orang lain.

Sahabatku pun telefon cakap dah nak sampai. Aku cari-cari sampai kat tengah jalan. Mulanya aku cakap boleh je naik LRT jumpa kat stesen lain. Lagipun jem kan. Dia cakap tak apa. Tunggu je situ. So sweet my friend. Macam mana aku tak sayang dia? Kalau orang lain, memang suruh tunggu stesen lain je.

Sahabatku ajak berbuka kat tempat special, katanya. Murni Discovery Restaurant. Aku ikut aje. Lagipun tak pernah juga rasa lagi makanan kat situ.

Dah sampai situ, penuh pula orang book untuk berbuka puasa. So, dia bawa aku pergi Bandar Tasik Permaisuri. Serius, banyak sangat kenangan kat KL ni. Sehingga waktu aku kecewa dulu, aku pernah janji tak nak datang sini lagi. Bertahun juga aku tak datang dan tak pernah jejak kat bangunan tempat belajar aku dulu.

Tapi sekarang aku dah tegar. Aku ada sahabatku. Yang selalu minta aku jangan ingat benda yang dah lama. Bila bersembang tentang kawan-kawan lama kami, macam tak pernah habis cerita. Cuma jangan masuk topik kecewa aku dulu, walaupun aku dah okey. Haha.. Sahabat..sahabat.. Punyalah nak jaga hati kawan.

Kami berbuka di Taman Tasik Permaisuri. Banyak perkara kami sembangkan. Perkara lepas dan sebenarnya banyak perkara baru. Lepas tu, kami pergi semula ke Murni Discovery tu. Bersungguh dia nak aku rasa makanan kat situ. Aku okey je. Jenis tak memilih makanan sangat. Jangan bagi makanan basi je, memang tak makanlah. Haha

Aku doakan sahabatku ini bertemu bahagia dia. Moga Allah mudahkan jalannya, kerana dahulunya dia sanggup berhenti kerja untuk jaga arwah maknya yang sakit dulu. Dan aku masa tu sangat terkilan tak dapat melawat dia.

Inni uhibbuki fillah, Ili Nur Adila.
Salah seorang sahabat setiaku.

Thursday, June 8, 2017

Lembaran Ramadhan

Assalamualaikum..

Saat ini memang terasa benar-benar ingin menulis.

Bulan Ramadhan seakan-akan mahu ada 30 lembaran kisah dan dengan harapan semuanya terisi.

Namun, masa mencemburui niat itu. Lantas, yang ada hanya ini. Secebis helaian daripada lembaran Ramadhan 1438H.

Seiringan hari yang berlalu, aku semakin gembira di sini. Dalam kegaranganku mendidik, masih ada kasih untuk anak-anak muridku seperti waktu mula-mula aku masuk ke sini dulu.

Demikianlah anak. Bila dimarahi, dia rasa terpinggir. Bila disayangi, dia rasa seakan dunia ini miliknya. Senyuman mereka saat aku menghargai usaha-usaha mereka, begitu lebar dan ikhlas. Dan bening mata mereka memandangku seakan aku akan pergi daripada hidup mereka.

Hakikatnya, mereka yang akan meninggalkanku. Mereka akan melangkah ke sekolah rendah. Kerana itu jua aku selalu berpesan supaya mereka boleh menjaga diri mereka, mampu berdikari sebagaimana mereka berada di Pasti.

Terkadang kurasakan agak keras. Dan terkadang kurasakan agak memanjakan mereka. Lalu ku ambil jalan tengah. Buat baik disayangi, buat yang dilarang pasti ditinggalkan seketika. Hingga mereka sedar kesilapan mereka.

Ramadhan kali ini begitu indah. Sering aku berpesan pada mereka untuk belajar berpuasa betul-betul. Separuh hari pun tidak mengapa. Nanti dah biasa boleh puasa sampai maghrib.

Seringkali juga diingatkan kepada mereka sewaktu mengambil ibrah surah-surah kecil. Orang yang buat baik mendapat pahala dari Allah dan segala kebaikan dunia akhirat, manakala yang berbuat jahat Allah tidak akan sayang dan di akhirat nanti pasti Allah campakkan ke neraka.

Buah amalnya? Skop buat baik dapat kebaikan terus kita tunjukkan. Jadi, jelas maksud ayat yang Allah turunkan dalam Surah Az-Zalzalah.

Anak-anak kecil benar-benar mendidik jiwa kita. Mereka baru belajar dan kita pun masih belajar. Semakin meningkat dewasa mereka mendapat pelbagai jenis ilmu. Sedangkan kita, semakin banyak lupa dan alpa. Itulah hakikat manusia, pelupa.

Maka wajiblah untuk kita mohon petunjuk daripada Allah. Hanya Allah sahaja yang dapat memberikan petunjuk-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Ramadhan indah, bulan yang penuh barokah dan mudah mendapat pahala. Kerjakan kebaikan sebanyak-banyaknya seperti Ramadhan ini yang terakhir buat kita.

Saturday, May 27, 2017

Titik Ramadhan

Assalamualaikum..

Salam Ramadhan Kareem..

Sekali lagi kita menjejakkan lagi dalam bulan barokah ini. Bulan yang amat menenangkan. Panas atau hujan itu bukanlah cabaran. Tapi kesabaran itu harus diiringi ikhlas dan redha.

Kali ini bukan tentang Ramadhan yang aku ingin coretkan. Ingin sahaja aku buka kembali kisah-kisah Ramadhan waktu dulu, tapi bukan itu yang ingin aku ceritakan.

Syahdunya memang terasa. Semakin menggigit jiwa apabila waktu ini, dia tiada bersama kita. Insan yang kita harapkan akan bersama selamanya.

Setiap kali ada harapan, kita gembira seolah-olah takkan ada awan hitam yang akan tiba.

Setiap kali bahagia, kita lupa, Allah memerhati bagaimana cara kita terjemahkan bahagia itu. Semakin dekat pada-Nya atau semakin jauh?

Cinta yang pernah mekar pada bulan Ramadhan, akhirnya layu pada Ramadhan kali ini. Ramadhan seakan permulaan kisah suka dan di situ juga pengakhirannya.

Walau semakin kita kejar bayangnya, kita takkan dapat capai. Walau semakin laju kita berlari, ia akan tetap pergi dan hilang.

Hakikatnya, Allah yang meletakkan takdir itu. Hanya Allah yang tahu. Lalu siapa kita untuk menidakkannya?

Kita ini hamba, harus patuh, taat dan ikhlas. Sekalipun dalam hati tak pernah hilang namanya, Allah tahu. Allah pasti akan menggantikan cinta yang lebih baik lagi.

Yang lebih pasti, Allah ingin kita mencintai-Nya sepenuh hati.

Sunday, May 21, 2017

Hikmah Sakit

Alhamdulillah.. Setelah lima bulan Allah beri sihat, hari ini aku kembali sakit.

Mula-mula sakit tekak selama dua hari. Pagi tadi mula selsema dan sekarang berkurang sedikit. Cuma panas baru nak naik.

Allahu.. Hebat dugaan Allah..

Esok pula nak mengajar anak-anak aktif kesayanganku. Kalau pening begini, boleh pengsan jawabnya.

Selesai makan ubat lepas solat Isyak tadi, aku bermuhasabah diri. Sememangnya sakit itu penghapus dosa.

Tapi seperti aku ini, hanya sakit biasa. Sebentar sahaja, nanti inshaaAllah dah sihat.

Teringat pada seorang sahabatku, penghidap SLE.. Tahun ini tahun kelapan dia sakit begitu.. Sedangkan seorang lagi sahabatku telah pergi menghadap Ilahi tahun lepas selepas dua tahun menghidap penyakit yang sama.

Terkilan? Ya, sangat terkilan. Tiba-tiba hadis tentang menyambung silaturahim menyapa akalku.

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya, berbuat baik kepada jirannya dan menyambung silaturahim."

Ada satu lagi hadis yang berbunyi begini,

"Sambunglah silaturahim supaya panjang umurmu dan terpelihara daripada penyakit."

Untuk kesohehannya, aku pasti keduanya soheh. Cuma sanad dan matannya tak kuhafal secara betul2, hanya ingatan drpd zaman sekolah.

Apabila teringat hadis itu, betapa menyesalnya aku tidak bertanya khabar tentangnya. Sedangkan aku punya banyak masa sebelum bekerja. Dan kini, dia telah pergi menemui Allah.

Seorang lagi sahabatku yang masih ada, ceritanya hari ini dia nak makan pun kena merangkak untuk mendapatkan makanannya. Aku yang membaca coretannya pun terasa seksa, dia? Mungkin lebih lagi. Tapi Allah telah menganugerahkan kekuatan untuknya.

Hebatnya cara Allah menguatkan hamba-hamba-Nya. Diuji dengan pelbagai ujian yang berat, sehingga kekuatan itu lahir. Allah Maha Tahu semua takdir-Nya.

Aku sendiri pernah demam, tidak dapat bangun. Hanya bangun untuk solat dan baring semula. Bila demam lagi kali ini, rasa agak trauma peristiwa pengsan tahun lepas.

Namun, semuanya aku harus terima dengan redha. Allah menguji untuk beri kekuatan padaku. Moga begitulah hendaknya.

Teringat sahabat-sahabat yang menderita penyakit lebih menakutkan daripada aku yang hanya sekadar demam, aku bersyukur. Allah tahu aku tak mampu seperti mereka. Ujian begini pun aku sudah menangis di hadapan Allah.

Dikalih semula silapku. Mungkin doaku tidak ikhlas meminta kesihatan yang baik daripada Allah. Selalu nak cepat. Allah mahu aku sedar semula kesilapanku.

Ramadhan hampir tiba. Tetap kurindui meskipun kali ini aku menggamitnya dengan pelbagai kelemahan yang ada padaku.

Semoga Allah beri kesembuhan kepada ibu bapa kita, saudara mara kita, adik beradik kita dan sahabat-sahabat kita serta kepada diri kita sendiri.. Aamiinn ya robbal 'alamiinn..

Saturday, May 20, 2017

Wanita Dan Bunga

Assalamualaikum..

Sudah lama kiranya saya tidak menulis di teratak bisu ini. Hanya jiwa yang membacanya akan tahu rasa yang ada di sini.

Minggu lepas, saya baru sahaja selesai menjaga peperiksaan anak-anak kecil. InshaaAllah, minggu depan akan ada ujian hafazan pula.

Teringat anak-anak murid yang umurnya sekitar 4 hingga 6 tahun, hatiku terdetik. Bagaimanakah agaknya mereka bakal menghadapi usia-usia seterusnya? Adakah seperti kita? Seperti saya atau seperti orang lain?

Yang pastinya doa saya selalu ada untuk mereka.

Wanita persis bunga yang kembang. Setiap bunga ada wangiannya tersendiri. Begitulah wanita. Ada kelebihan dalam personaliti masing-masing.

Ada bunga hidup kembang di dalam taman, namun tidak lama. Seperti mawar berduri. Ada bunga indah di permukaan tasik, seperti teratai. Teguh di celahan daun. Namun siapa yang tahu, daunnya itu menjadi tempat persinggahan sang katak.

Hakikatnya wanita itu terlalu setia dan inginkan kasih sayang. Malu untuk memperlihatkan manjanya di hadapan orang.

Saat saya beriadah bersama sahabat di taman rekreasi berdekatan rumah saya, bunga-bunga yang terlalu mekar menggamit perasaan saya sebagai wanita.

Mungkin itu makna bunga yang Allah ciptakan. Semestinya apa sahaja yang Allah ciptakan bukanlah perkara mainan dan sia-sia. Allah menciptakan semua ini ada maksudnya, dan manusia yang berakal harus mentafsirnya mengikut alquran dan assunnah.

Wanita, dirimu lebih berharga daripada segalanya. Lebih indah daripada bidadari jika dirimu benar-benar mentaati Allah. Dirimu yang menjadi peneguh hati suami dan anak-anak.

Andai hati rapuh, siapa akan meneguhkannya? Maka kembalilah pada Allah Yang Maha Mendengar isi hati hamba-hamba-Nya. Dia tahu jiwa insan, kerana Dialah Pencipta kita.

Sekian, coretan untuk hari ini. Moga ada isi untuk dikutip, ada cebis hikmah untuk disimpan.

Wassalam.

Monday, May 15, 2017

Mimpi yang hilang

Aku kira waktu itu takkan sampai. Bukan putus asa. Tapi sudah jauh aku berlari. Baru sahaja hendak mencapai mimpi, terus jatuh tersungkur.

Saat itu, pada siapa lagi harus kuserahkan hati? Hanya pada Dia. Yang Sentiasa Ada, dan sentiasa Mendengar rintihan hamba.

Bila ada luka, di situ ada kecewa. Dan yang tahu hanya Tuhan.

Mahu diberitakan kepada siapa perasaan ini kalau bukan kepada Allah? Hidup matiku juga kerana Allah..

Mungkin aku hanya perlu menunggu. Seseorang yang sebenarnya telah lama ku tunggu. Meskipun dia tidak tahu. Meskipun dia telah menyepi.

Aku bukan mengalah, cuma aku lelah. Sering bertemu orang yang salah.

Di mana yang benar? Di mana insan yang benar-benar diceritakan oleh ustaz ustazah. Boleh bersama selamanya kerana Allah. Susah senang bersama kerana Allah.

Cerita hatiku sukar ditelah. Kerana sudah banyak waktu yang telah disiakan oleh pedihnya kepalsuan cinta dunia.

Mungkin ada benarnya cerita Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Vijk. Atau Merantau Ke Deli. Atau Di Bawah Lindungan Kaabah.

Hanya ada penyatuan jiwa, akhirnya mati membawa cinta yang luka.

Sunday, February 12, 2017

Hujan cinta

Pecahan ombak
Menghempas pantai yang indah
Serpihan rindu
Berterbangan mencari si dia

Aku hilang
Tiada ruang tuk ucapkan salam
Kerana diri seolah tiada makna lagi

Tak layakkah ku bersamamu
Tak layakkah ku di sampingmu
Di mana arah harus ku tuju

Kau yang dulu selalu ada
Selalu bersamaku
Membuat hatiku tenang

Katamu persis air hujan
Yang membasahi hati yang gersang
Menghidupkan kembali
Cinta yang terkubur

Namun harapan masih tetap kabur
Takdir Tuhan mengatasi perasaan ini
Ku berserah atas segalanya

Saturday, January 21, 2017

💐NURRAYSA CHINESE NEW YEAR SALE💐

Assalamualaikum..

Mesti seronok kan..bila ada perayaan je, Nurraysa buat sale..😁

Nurraysa ada banyak rangkaian produk. Boleh tengok di bawah ni untuk tatapan anda.

Berminat?

Whatsapp je 0193441498
Facebook : Zulaikha Zain
Instagram : elzuleikha

Jangan lepaskan peluang ini!😉

Promosi dari 21/1/2017 sehingga 7/2/2017

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...