Wednesday, April 9, 2014

Saya sayangkan awak

Senja pun berlabuh. Kedengaran azan Maghrib berkumandang dari surau berdekatan. Kelihatan pula manusia-manusia yang berkejaran ke surau dan masjid untuk menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah. Segala puji bagi Allah yang menciptakan alam ini.
Ketika hiruk-pikuk kota masih banyak kenderaan bersimpang-siur menyambung urusan dunia pada waktu begini, kehidupan di desa memberi lebih banyak ketenangan dengan ingatan terhadap Pencipta. Namun, masih ada penduduk kota yang mengimarahkan masjid dan surau walaupun bilangannya sedikit, mungkin tidak setanding di desa-desa.
Alam pun sunyi. Suara riang burung-burung berkicauan entah ke mana. Hilang seperti memahami waktu bertemu Tuhan seketika. Ayam-ayam juga diam. Tiada alunan angin yang menderu. Pepohon pun tegak sahaja, tiada bergoyang. Mungkin bertasbih barangkali. Begitulah kiranya apabila mentafsir alam daripada sudut indahnya agama Islam ini.
Tangannya masih membelek-belek surat-surat lama kiriman sahabat karibnya ketika belajar dalam darjah enam di sekolah. Surat-surat itu diamati, tarikh akhirnya ialah sebelum dia melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma. Sepucuk demi sepucuk surat sudah dibaca sejak petang tadi. Hanya satu sahaja yang membuatkan air matanya tidak kering dari tadi. Surat pertama diterimanya daripada Siti Zulaiha, sahabat karibnya itu. Tapi sepucuk surat itu…
Assalamualaikum…
Apa khabar awak sekarang ni Zulaikha? Saya harap awak sihat dan ok sokmo. Saya sihat sokmo. Awak tahu dok sape saya ni Zulaikha? Saya rasa awak kenal, tapi itu saya tak tahu. Kalau awak nak, saya boleh kabor. Saya ialah NH12646 dari planet utarid. Tipu je la, saya Hidayu kawan sekolah rendah awak dulu. Jangan marah ya.. nanti cepat tua. Sebenarnya saya gurau je tu.. Jangan ambil hati.
Dia berhenti membaca seketika. Teringat zaman sekolah rendah dahulu. Ya, Hidayu yang lembut dan baik orangnya. Air matanya menitis laju. Tak sangka. Telah lama zaman itu berlalu. Telah lama dia menyimpan surat ini. Terfikir dia seketika. Lupakah dia pada temannya ini?
Zulaikha, boleh tanya dok? Seronok ke belajar di sekolah agama tu dan seronok ke belajar bahasa Arab? Manalah tahu seronok, lagipun saya tak pernah belajar bahasa Arab.. sikit pun tak. Kalau ada masa, ajarlah ya. Dah lama saya tak nampak awak pulang dari sekolah, kenapa? Dulu selalu tapi sekarang tidak lagi… a..a..a.. dating dengan awek la tu. Gurau je lah.
Maaflah Zulaikha, sebab tak pernah kirim sepucuk surat pun kepada awak ye. Siti selalu kirim surat kepada awak dan awak juga, itu saya tahu. Tapi tak pernah saya berfikir untuk tulis surat pada awak. Tapi Siti suruh saya tulis jadi saya tulislah. Lagipun dah lama saya tak tulis surat kepada seseorang. Lagipun tak dok awek, jadi nak tulis ke sape, awak je la.
Tersenyum seketika membaca perenggan itu. Memang, ketika pulang dari sekolah agama dahulu, selalu terserempak dengan sahabat-sahabat lama sekolah rendah ini. Namun, kesibukan selepas itu membuatkannya pulang lambat. Dan terkadang, sengaja mencari alasan untuk pulang lambat. Bukan tidak mahu ketemu mereka, tetapi tidak mahu terserempak dengan anak-anak murid ibunya.
Saya ada sesuatu nak kabor ke awak. Awak nak tahu dok, mak awak mengajar kelas saya. Baru kelmarin mak awak masuk. Kerana mak awak adalah guru PSV baru saya. Tapi saya dok tahu cara mak saya mengajar sebab mak awak dok mengajar lagi walaupun dah masuk kelas kelmarin. Awak nak tahu dok? Walaupun kelas saya bising, tapi mak awak dok marah pun. Baiknya mak awak Zulaikha, macam awaklah.. anaknya.
Apa lagi saya nak kabor ke awak ya.. a..a..a.. awak duduk kelas apa Zulaikha. Manalah tahu takut naik kelas. Saya tingkatan satu duduk kelas 1 Fitrah dan kini duduk kelas 2 Etika.. seronok juga. Kalau ada masa, khabarlah ke saya ya.. cik Zulaikha. Saya bagi kad nama saya tu kepada awak ya.. simpan baik-baik ya. Kalau awak nak tahu kad tu Siti beri kepada saya sempena hari lahir saya tahun lepas.
Sampai di sini sahajalah saya tuliskan surat ni, lagipun dah tak ada apa nak beritahu ok. Tapi jangan beritahu kepada mak awak yang saya ni murid kelasnya ok. Bye…
Wassalam..
                                                                                                                                       Yang benar,
                                                                                                                                       Hidayu

Dia menangis teresak-esak di birai katil. Terketar-ketar tangannya menyimpan kembali surat itu. Hanya surat itu. Kerana pemilik surat itu sudah tiada lagi. Sejak dua tahun lepas. Sebaik sahaja basnya sampai di Marang, satu mesej diterima daripada Zulaiha.
Salam Zulaikha. Hidayu dah kembali ke rahmatullah pada petang semalam kerana mati lemas mandi pantai. Al-Fatihah.
Dia betul-betul terkejut saat itu. Namun, kerana dia belum mampu memandu kenderaan sendiri pada waktu itu, dia tidak dapat menziarahinya. Sehingga kini, dia akhirnya seperti terlupa. Tetapi apabila melalui rumah Zulaiha dan arwah Hidayu, hatinya seakan-akan menjerit untuk singgah. Dia menyesal melengahkan waktu.
Entah apalah sangat kesibukan yang ada sehingga dia terlupa sahabat-sahabat yang pernah hadir dalam hidupnya. Sahabat-sahabat yang banyak memberi semangat dan dorongan sehingga dia pernah berjaya ketika dahulu. Apa jenis sahabatkah dia ini?
“Zulaiha, aku sudah lama mencarimu. InshaaAllah, aku akan mencarimu di rumahmu. Aku teringin melawat pusara Hidayu..,”katanya sendiri. Kali ini tangisnya tanpa henti.
Kerinduan yang tidak terkira, namun hanya dapat mengirimkan Al-Fatihah sebagai ganti diri bersamanya. Dipujuk hatinya untuk tidak terus bersedih. Meskipun rindu dan sendu sama-sama berlagu, takut jasad arwah di sana menderita tangisannya.
“Ya Allah.. tolonglah ampuni segala kesalahannya ya Allah.. sesungguhnya aku dan dia mencintai kerana-Mu ya Allah.. Jadikan cinta kerana-Mu ini syafaat untuk kami di sana nanti.” Diraup mukanya seketika. Kemudian digenggam surat Hidayu.

“Hidayu, semoga Allah rahmati awak di sana.. Awaklah sahabat karib saya yang paling awal meninggalkan saya. Tapi awak tak pernah menyakiti saya dan orang lain. Saya sayangkan awak..”

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...