Sunday, August 17, 2014

Ramadhan Terakhir


            Kesibukan mengejar kejayaan di dunia membuatkan Ramadhan kali ini kurang dirasai. Bahkan sangat pelik situasi sebegini. Biasanya pada seminggu sebelum awal Ramadhan, badan-badan kerajaan atau bukan kerajaan akan berebut-rebut hendak menaikkan poster atau banner di tepi-tepi jalan. Tetapi, kali ini agak berbeza. Kedatangan Ramadhan tahun ini seakan dipandang sepi.

            Dia menyusuri laluan pejalan kaki yang sudah tampak berlubang-lubang. Kelihatannya ada air yang bertakung di lubang. Tersalah langkah, pasti basah hujung seluarnya terpijak lubang-lubang air itu.

            Perjalanan dari kampus untuk ke rumah sewanya memakan masa hanya lima belas minit memandangkan rumah sewanya terletak agak jauh sedikit di atas bukit. Pada awalnya mungkin agak penat. Tetapi, apabila sudah lama begitu, dia sudah terbiasa. Apa kata pepatah, ‘alah bias, tegal biasa’.

            Dia terpaksa tinggal di luar setelah setahun menginap di kolej kediaman. Manakan tidak, kolej kediaman mengutamakan pelajar-pelajar baru dan pelajar-pelajar lama yang aktif sahaja. Sementelah dia tidak seaktif teman-teman yang lain, dia harus tinggal di luar.

            Namun, tidak mengapa baginya. Sewa rumah di luar kampus kelihatannya agak murah berbanding yuran asrama. Hidup sebagai pelajar haruslah berjimat cermat. Tambahan lagi, harga barang naik mendadak. Mujur juga dia tidak membawa kenderaan sendiri. Mana pula hendak cekau duit untuk minyak kenderaan pula. Cukuplah hanya menaiki kenderaan awam kalau hendak ke tempat yang jauh sedikit dari kampus.

            Sesampainya di hadapan pintu rumah sewa yang hanya teres setingkat itu, hanya ada sepasang kasut. ‘Ini mesti Nadia. Awal pula dia balik hari ini,’getus hatinya.

            “Assalamualaikum..” Dia memberi salam sambil tangannya mengetuk-ngetuk pintu. Hari ini dia terlupa bawa kunci.

            Selepas tiga kali memberi salam, barulah tampak Nadia membuka pintu. Nadia tersengih. Tahu dia lambat membuka pintu, pasti akan makan bebelan teman serumahnya itu.

            “Wa’alaikumussalam, Aisya. Eh, maaflah. Aku kat dapur tadi. Tak dengar kau bagi salam.”

            “Yalah tu. Ke kau tengah bergayut? Penat tau aku tunggu kat depan ni,” balas Aisya. Sengaja mengerutkan mukanya, tanda geram. Padahal dalam hatinya hanya hendak mengenakan Nadia.

            “Ish, bergayut apanya. Bukan ada pokok dalam rumah ni, aku nak bergayut-gayut. Kalau aku gayut kat palang rumah ni, sah-sah dengan rumah-rumah ni sekali yang runtuh. Kau tu, kenapa tak bawa kunci? Sengaja nak marah-marah aku kan?”

            Aisya tertawa lalu cepat-cepat masuk ke dalam rumah. Niatnya hendak mengenakan temannya itu akhirnya terkena atas hidungnya sendiri.

            “Alah Nadia.. Kau ni, macam tak kenal aku. Hari ini aku saja nak cari gaduh dengan kau. Manalah tahu, nanti dah tak ada saat-saat macam ni,”kata Aisya sambil tersenyum pada Nadia.

            “Kau ni.. Aku tahulah. Dah, tak payah cakap benda yang belum berlaku. Saat-saat masih ada inilah yang kita kena hargai. InshaaAllah, persahabatan kita akan kekal ke syurga..,”kata Nadia menyoroti langkah Aisya ke dapur.

            Aisya hanya mengangguk. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Sudah melihat lauk-lauk yang telah disiapkan oleh Nadia, Aisya menceduk nasi ke dalam pinggan untuk tiga orang. Sepinggan lagi untuk seorang lagi sahabat mereka. Selalunya begitulah. Kalau dia balik awal, dia akan masak dan Nadia atau yang seorang lagi akan menyiapkan hidangan. Begitu juga hari ini. Mereka selalu makan bersama-sama. Hari-hari ada sahaja cerita yang hendak dibualkan di meja makan itu. Tak lekang juga diselang-selikan dengan senda gurau yang mengeratkan lagi persahabatan mereka.




            Hari ini, hari pertama Ramadhan. Aisya dan Nadia bangun sahur bersama-sama. Lauk semalam masih elok dimakan. Setelah bersahur, mereka solat subuh berjemaah. Selalunya mereka bertiga. Seorang lagi teman mereka balik kampung sebaik sahaja habis kelas untuk menyambut Ramadhan bersama-sama keluarga. Untunglah orang duduk dekat dengan keluarga. Itulah ayat yang selalu diulang-ulang pada Mahira.

            Sampai naik sebu telinga Mahira mendengarnya. Itu pula kata Mahira. Lantas mereka tertawa serentak. Sebenarnya Aisya dan Nadia faham. Kalau mereka pun, pasti juga akan balik tiap-tiap minggu kalau tiada kerja. Yalah, sudah dekat dengan keluarga. Mestilah hendak ambil berkat juga dalam belajar.

            Mungkin petang esok barulah Mahira pulang ke rumah sewa. Masa itu, tengoklah nanti betapa banyak makanan untuk mereka bertiga. Semuanya dikirim oleh Mak Cik Katijah, ibu Mahira. Kadang-kadang mereka juga ada mengunjungi rumah Mahira. Maka tidak hairanlah kalau mereka seakan sudah rapat dengan keluarga Mahira.

            “Kau ada nak pergi mana-mana ke petang ni?”Tanya Aisya pada Nadia. Dia tahu, Nadia jenis yang tidak boleh berkurung dalam rumah. Pasti akan mengeluh bosan sahaja.

            “Tak tahulah. Puasa-puasa begini rehat di rumah saja la. Nanti petang kita pergi bazar.”

            Terangkat anak kening Aisya yang sebelah kanan. Pelik barangkali mendengar jawapan Nadia itu. Tetapi segera difahami. Hari pertama puasa mungkin agak penat kalau hendak berjalan-jalan. Walaupun mereka ada juga berpuasa sunat Isnin dan Khamis, tetapi itu latihan diri sahaja. Masuknya bulan Ramadhan, panas puasa pun agak terasa. Seiring dengan maksud Ramadhan sendiri, panas membakar.

            Aisya mengangguk. Dia masuk ke dalam bilik setelah memberitahu Nadia bahawa dia hendak mengulang kaji pelajaran sedikit. Tambah Aisya lagi, masa itu lebih berharga daripada emas. Pepatah Arab pula mengatakan masa itu seperti pedang. Jika kita tidak memotongnya, masa itu akan memotong kita.

            Minggu depan berturut-turut ujian dan quiz. Biasalah, hanya tinggal satu semester lagi untuk belajar. Jadi, semester kedua terakhir ini subjek-subjeknya agak mencabar walaupun semuanya hanya subjek-subjek teori. Aisya bercadang untuk skor semua subjek semester ini. Menyesal juga tidak bersungguh-sungguh dari semester pertama. Kalau tidak, tentulah dia mampu mendapat keputusan cemerlang seperti Mahira.


            Sudah setengah jam Aisya belajar, terasa sunyi pula di dalam bilik. Dia keluar ke ruang tamu. Disangkanya Nadia sedang menonton televisyen.

            “Kenapa dengan kau ni? Kenapa kau menangis?” Aisya menerpa ke arah Nadia. Terkejut melihat kedua belah pipi Nadia dibasahi air mata. Seakan sudah lama temannya itu menangis tetapi tiada suara. Aisya memeluk Nadia.

            “Kau tahu mak aku sakit kan hari itu?”Tanya Nadia padanya. Aisya mengangguk. Matanya tidak lepas memandang anak mata Nadia yang kemerahan. Wajah Nadia juga kemerah-merahan tanda baru lepas menangis.

            “Lepas kau masuk bilik tadi, abang aku telefon aku. Mak aku dah tak ada…”

            Selepas Nadia menghabiskan kata-katanya, dia menangis tersedu-sedu di bahu Aisya. Aisya terpana. Diam tidak terkata. Air matanya turut menitis setelah sebak mendengar cerita Nadia.

            “Nadia, sabar Nadia. Inna lillahi wa ‘inna ‘ilaihi raji’uun,”ucap Aisya sambil memujuk Nadia.

            Aisya turut sebak. Manakan tidak, hampir dua tahun setengah mereka berkawan, sudah tentulah keluarga masing-masing sudah dikenali dan dianggap keluarga sendiri. Sudah banyak kali juga mereka pernah bersembang sama-sama. Semasa ibu Nadia sakit pun, mereka sama-sama pergi melawat. Kadang-kadang ibu bapa Aisya pun ada sama melawat.

            Rumah mereka dekat sangat. Taman perumahan sebelah sahaja. Mahira juga pernah datang melawat walaupun tinggal jauh sedikit dari kawasan rumah mereka berdua. Keakraban mereka tidak dapat disangkal lagi walaupun berlainan kursus pengajian.

            Nadia mengemas barangnya. Nanti petang abangnya akan datang menjemput. Aisya juga akan mengikut Nadia. Takut juga Nadia tidak mampu untuk kuat. Memandangkan Nadia anak bongsu dan semua abang dan kakaknya telah lama berkahwin, Nadia sangat rapat dengan ibunya. Cuma minggu ini dia tidak dapat pulang menjaga ibunya kerana terlalu banyak ujian pada minggu hadapan. Ibunya juga telah berpesan supaya jangan balik kalau ada urusan.

            Sungguh tidak disangka, keadaan ibunya yang bertambah baik pada minggu lepas rupanya tanda-tanda pemergian ibunya pada hari ini. Ibu sangat tenang ketika Nadia bersalam untuk kembali ke tempat belajar. Ibu berpesan supaya belajar elok-elok dan jangan lupakan Tuhan. Satu lagi pesanan yang lain daripada biasa, doakan semoga ibunya menjadi wanita diredhai Allah. Sungguh dia tidak menyangka inilah pengakhiran sebuah kehidupan ibunya.

            Satu Ramadhan adalah Ramadhan terakhir buat ibunya. Nadia menangis tersedu-sedu. Aisya terus menenangkan Nadia. Aisya menelefon Mahira.

            “Subhanallah.. Inna lillahi wa ‘inna ‘ilaihi raji’uun.. Bila kau berdua nak ke sana?”

            “Nanti petang abang long Nadia datang ambil. Aku ikut sekali. Kau nak ikut tak? Kau balik esok kan?”

            “Ha’ah, aku memang nak balik esok. Tapi dah jadi macam ni, nanti aku datang dengan keluarga aku petang ini. Petang ini pukul berapa?”

            “Lepas Zuhur katanya. Sejalan ke ni?”

            “Boleh juga. Tunggu kat rumah sewa ya nanti.”

            Aisya menamatkan panggilan setelah menjawab salam Mahira. Nadia memegang bahu Aisya. Ada sesuatu yang ingin dibicarakannya.

            “Aisya, aku redha mak aku pergi dahulu tinggalkan aku. Tapi aku takut, banyak lagi dosa aku pada mak aku. Hari itu memang mak aku dah maafkan semua kesalahan aku. Tapi aku takut. Aku takut aku bukanlah anak yang solehah untuk mak aku,”kata Nadia dalam sebak.

            “Nadia, aku yakin mak kau dah maafkan semua kesalahan kau padanya. Aku pun pernah dengar mak kau cakap kat aku masa jumpa bulan lepas. Mak kau cakap, kau memang anak yang baik. Tak pernah membantah. Kalau ada pun, sikit-sikit sahaja. Semua dia dah maafkan. Dia faham jiwa orang muda. Tapi dia cakap kau memang anak yang baik. Dia berasa beruntung mendapat anak yang baik macam kau. Kau doakanlah mak kau ditempatkan di tempat orang yang beriman. Hanya doa anak yang soleh solehah sahaja yang akan tetap menjadi amalan yang tidak terputus untuk mak kau selain sedekah jariah dan ilmu yang mak kau pernah beri,”balas Aisya, dalam nada memujuk. Nadia hanya mengangguk.


            Tiga minggu menjalani ibadah puasa, Nadia kelihatannya semakin baik keadaannya. Kesedihan masih dirasai, cuma keyakinan tentang kebaikan yang Allah cucuri pada ibunya membuatkan hatinya kuat untuk menerima ketentuan itu.

            Keadaan Aisya pula yang lain. Sejak akhir-akhir ini, kepalanya asyik sakit. Tidak tahulah mengapa. Kadang-kadang sakit tersebut membuatkan dia sukar untuk tidur. Sebenarnya telah lama dia merasakan begitu. Sebelum Nadia dirundung kesedihan pemergian ibunya lagi.

            Selalu juga Nadia dan Mahira menyuruh berjumpa doktor. Namun, semua itu ditepis oleh Aisya dengan menyatakan dia baik-baik sahaja. Sejak peristiwa yang menimpa Nadia, mereka seakan-akan lupa pada kesakitan yang dialami Aisya. Biarlah, Aisya tidak mahu mereka risau tentang Aisya.

            “Sya, tunggu sekejap!”

            Aisya menghentikan langkahnya sebaik terdengar suara memanggil namanya. Berkira-kira juga dia hendak berpaling.

            “Sya.. Awak baru sampai ke?”Irfan sudah terpacak di depan Aisya. Terkejut juga Aisya. ‘Sejak bilalah mamat ni ada depan aku? Macam magic je..,’bisik Aisya sendirian.

            “Apa dia Aisya?”Tanya Irfan dengan niat mengusik Aisya. Aisya sudah tersipu-sipu malu. Pastilah Irfan terdengar tadi.

            “Eh, tak ada apa la. Ada apa Irfan? Saya baru je nak masuk kelas ni,”kata Aisya sambil tersengih menampakkan sebaris giginya yang cantik. Ini semua malu punya pasal. Kalau tidak, tiada maknanya Aisya hendak tersengih begitu pada seorang lelaki.

            “Saya nak pinjam nota awak boleh? Kelas semalam punya. Ada?”

            “Oh, ada. Rasanya saya bawa. Kejap ya.”

            Aisya menyeluk beg galasnya. Dia menghela nafas lega melihat buku nota memang ada di dalam begnya. Terus dihulurnya pada Irfan.

            Tiba-tiba kepalanya sakit lagi. Dia mencari tempat untuk duduk seketika. Tidak mampu untuknya berjalan dalam keadaan begitu.

            Irfan terkejut melihat Aisya yang sudah berada di birai tangga untuk naik ke pejabat. Dia baru sahaja hendak mengucapkan terima kasih tetapi Aisya sudah hilang di depannya.

            Kelihatan Aisya menekan-nekan kepalanya sambil memejemkan mata. Ngilu sakitnya tidak terkira. Dia cuba menyembunyikan sakitnya daripada sesiapa tetapi kali ini tidak mungkin. Irfan di hadapannya sekarang. Lelaki yang diminati dalam diam. Dia tidak mahu Irfan tahu.

            Kalau Irfan tahu, tentu Nadia dan Mahira juga tahu. Dan nanti, tentu keluarganya akan turut tahu. Pastinya dia terpaksa menangguhkan pengajian untuk berubat dahulu. Dia tidak mahu begitu. Dia tahu sakitnya ini sukar mendapat ubat. Dia sendiri terkejut apabila mendapat tahu sakit sebenarnya selepas dia sendiri pergi berjumpa doktor senyap-senyap.

            “Aisya okey?”Tanya Irfan.

            “Saya okey. Awak masuk kelas dulu. Kejap lagi saya masuk,”jawab Aisya, tegas.

            “Saya tak kan masuk kelas kalau awak tak masuk sekali. Tak kan saya nak biarkan awak sakit sendirian kat sini. Awak sakit kan? Awak sakit apa ni?”

            Aisya terdiam. Kenapa pulalah Irfan nak ambil berat sangat sekarang? Terasa sedih pula hendak meninggalkan semua ini. Aduhai Aisya, gaya bercakap walaupun dalam hati sahaja, seperti gaya orang yang sudah tiada harapan untuk hidup lebih lama. Tetapi itulah hakikatnya. Hidup Aisya sudah tidak lama seperti orang lain.

            “Kejap lagi saya bangun. Awak jalanlah dulu. Saya jalan belakang awak,”kata Aisya. Dia tidak mahu Irfan mengesyaki apa-apa yang tidak kena pada dirinya.

            “Okey kalau macam tu,”kata Irfan sambil tersenyum melihat Aisya bangun. “Awak senggugut eh?”

            Pantas Aisya pandang Irfan. Terkejut. Kemudian tertunduk malu. Entah apalah soalan Irfan ini. Memalukan betul.

            “Ish awak ni. Mana adalah,”jawab Aisya. Irfan ketawa lepas. Suka agaknya dapat mengusik Aisya. Aisya cuma tersenyum. Mungkin hanya itulah yang dapat dia tunjukkan dari hatinya.

            Sakit kepalanya masih tidak surut. Tetapi digagahi dirinya untuk mendengar kuliah hari ini. Dia tahu hanya inilah masa yang dia ada. Dia berharap Allah menerima cintanya. Dia harap Allah terima segala amalannya yang tidak seberapa dalam beberapa tempoh terakhir ini.

            Habis sahaja kelas, dia terus pulang ke rumah. Mahira memasak hari ini, Nadia sedang menyediakan hidangan ketika dia baru sampai ke rumah. Hari ini mereka akan makan dalam dulang. Itulah latihan daripada usrah yang dihadiri ketiga sahabat ini. Latihan untuk merapatkan lagi ukhwah antara mereka sesama Islam.

            Bulan Ramadhan sudah menghampiri sebulan. Tidak sabar ketiganya hendak pulang ke kampung dua hari lagi. Banyak persiapan raya yang hendak disiapkan walaupun sudah saat-saat akhir.

            Selepas solat terawih malam itu, Aisya mengajak kedua sahabatnya duduk sebentar di ruang tamu. Ada sesuatu yang hendak diberitahu. Nadia dan Mahira tergelak mendengar permintaan Aisya. Seperti mahu memberi wasiat terakhir, kata Mahira sambil tergelak lagi. Nadia terdiam mendengar kata-kata Mahira. Rasanya Mahira mungkin tidak perasan sakit Aisya nampaknya semakin teruk sejak akhir-akhir ini.

            “Kau kenapa ni? Aku tengok kau macam makin teruk je. Kau ada pergi berjumpa doktor tak ni?”Nadia mengambil tempat di sebelah Aisya. Mahira terdiam. Matanya tepat memandang Aisya. Rasa bersalah pula ketawa lebih-lebih. Itulah, masa ketawa macam tak ingat dunia.

            Aisya tersenyum. Dia menggeleng-geleng. Ada dua pucuk surat dalam tangannya.

            “Aku sebenarnya tak tahu sampai bila aku akan terus hidup. Rasanya macam tak sempat nak jumpa keluarga aku. Kau tolong bagi surat ini untuk keluarga aku dan ini untuk Irfan. Aku segan sangat dengannya. Tapi..,”kata-kata Aisya terhenti. Air mata menitis setitik demi setitik. Tidak mampu dia hendak meneruskan katanya.

            “Kau sakit ke Aisya? Kenapa kami tak tahu? Keluarga kau tahu? Irfan tahu?”Bertubi-tubi pertanyaan daripada Mahira. Kelihatannya amat risau.

            “Kau berdua jangan risau. Anggap semua ini ketentuan Allah. Kalaulah aku ditakdirkan pergi, aku nak pergi dalam bulan ini.”


            Kata-kata Aisya yang terakhir masih terngiang-ngiang di cuping telinga Nadia. Seorang lagi orang tersayang meninggalkannya di akhir Ramadhan. Tidak sangka hidupnya akan ditimpa dua kehilangan dalam satu bulan yang berkat.

            Ke hadapan kedua sahabatku yang tersayang..Nadia dan Mahira. Aku sungguh tidak tahu bagaimana hendak diberitahu tentang keadaanku ini. Aku takut perkara ini akan lebih menyedihkan Nadia, dan membuatkan Mahira menjadi tersangat risau. Tetapi Allah telah mentakdirkan semua ini. Kalau aku mampu tabah menerima dugaan dari Allah, aku harap kamu berdua juga tabah menerima pemergianku. Aku juga tidak menyangka penyakitku sudah sampai tahap kritikal.

            Aku hampir berputus asa menerima takdirku. Namun aku yakin. Ada hadiah yang lebih manis di sebalik kesabaran ini. Keluargaku dan Irfan akan tahu melalui surat-surat yang telah ku tulis untuk mereka. Disebabkan kamu berdua sahabat aku paling karib, aku beritahu apa yang aku khabarkan pada keduanya.

            Pada keluargaku, aku berpesan supaya jangan bersedih dengan pemergianku. Tetapi, sebenarnya akulah yang hampa. Kecewa kerana tidak mampu menghadiahi mereka dengan kecemerlangan dalam pelajaranku. Sudah terlambat untuk aku kejar semua itu. Kerana itulah kalau kau berdua perasan, aku akan selalu belajar selagi boleh. Untuk menghabiskan sisa-sisa hidupku.

            Pada Irfan, aku sangat berterima kasih kerana kehadirannya dalam hidupku. Meskipun hanya seketika cuma, aku gembira. Selain kau berdua, dia juga telah banyak menghiasi hidupku dengan warna-warna cerianya. Sepertinya aku tidak sanggup untuk meninggalkan kamu semua. Tetapi Allah mentakdirkan hidupku lebih pendek berbanding kalian. Teruskan mengejar kejayaan. Teruskan perjuangan, sahabat-sahabatku. Semoga Allah akan sentiasa bersama kalian selagi kalian masih di jalan-Nya.

                                                                                                Yang menyayangi kalian,
                                                                                                Irdatul Aisya Abdul Rahman


            Tersedu-sedu Nadia dan Mahira membaca warkah daripada Aisya. Tidak sangka malam selepas Aisya berpesan pada mereka berdua adalah malam yang terakhir untuk mereka berkumpul begitu lagi. Dan, pastinya sudah hilang satu bintang yang menghiasi rumah sewa mreka. Apatah lagi buat keluarga Aisya.

            Kakak Aisya menangis-nangis membaca surat tersebut. Irfan pula terduduk tidak percaya. Waktu itu Aisya sudah terbaring di wad hospital. Hanya jasad pulang tanpa roh.

            Sewaktu sahur, Nadia di dapur. Pelik juga dia kerana biasanya Aisya yang akan bangun dahulu kejutkan dia dan Mahira. Kali ini, dia yang menyediakan makanan sementara Mahira pergi kejutkan Aisya.

            Baru sekejap Mahira masuk ke bilik Aisya, kedengaran suara Mahira terjerit cemas. Apabila didekati Aisya, Nadia merasakan nadinya sudah tiada denyutan. Agak berdebar dirinya. Aisya yang masih bertelekung, mungkin mengerjakan solat malam pada sepertiga malam tadi, diangkat ke ruang tamu.

            Mereka cuba juga memanggil-anggil nama Aisya, tetapi tiada jawapan. Nadia sudah tidak mampu menahan sebak. Dia tahu Aisya telah tiada. Mahira pun begitu. Keduanya menangis di samping buntu hendak berbuat apa.

            Tiba-tiba Nadia mencapai telefon dan menelefon Irfan. Hanya sepuluh minit kemudian Irfan datang bersama kancilnya. Nadia dan Mahira memapah Aisya masuk ke dalam kereta.

            Irfan kalut membawa kereta namun ditenangkan oleh Nadia dan Mahira. Kelihatan air mata Irfan turut mengalir. Dia tahu dia sudah kehilangan seseorang yang sudah berada lama dalam hatinya. Sejak setahun yang lalu ketika mula-mula mengenali Aisya. Baru sahaja hendak dinanti pagi raya nanti untuk menerangkan isi hati, dia sudah terlambat hari ini.

            Di hospital, doktor mengesahkan Aisya memang sudah tiada. Ahli keluarga Aisya dihubungi. Semuanya kelu, diam tanpa bahasa. Hanya titis-titis hujan yang renyai-renyai membasahi tanah perkuburan Islam sewaktu bacaan talkin di kubur Aisya. Dedaun yang berguguran seakan memberitahu cinta dunia sudah layu, dan hanya cinta Ilahi yang kekal abadi.

            “Ya Allah.. sesungguhnya cinta-Mu lebih besar daripada seluruh alam yang terbentang. Lebih indah daripada hiasan-hiasan yang ada di dunia ini. Sesungguhnya aku redha dengan ujian yang kau timpakan padaku. Kiranya ini adalah Ramadhan terakhir buatku, jadikanlah ia adalah yang paling indah dan paling diingati oleh orang-orang yang aku sayangi. Semoga mereka tidak terlalu bersedih dengan pemergianku. Gembirakanlah mereka dengan janji-Mu wahai Tuhanku..”


            Itulah kata-kata terakhir Aisya dalam diarinya. Meskipun ada cinta manusia dalam hatinya, cinta Allah lebih didambanya. Bukanlah ujian itu yang menjauhkan dia dari Allah, tetapi itulah jalan yang Allah tunjukkan untuk terus mencintai-Nya.

Saturday, August 16, 2014

Apa Erti Taqwa

Bismillahirrahmanirrahiim..

Taqwa ialah suatu tahap di mana setelah Islam dan menguatkan keimanan. Aku masih mencari erti taqwa yang sebenar dan bagaimana untuk merasa sendiri taqwa itu. Lantas hari ini, seorang rakan sepraktikal denganku bertanyakan soalan ini, "Awak seorang Islam kan? Adakah awak rasa taqwa?"

Memang betul-betul terkena atas kepalaku. Ya Allah, semakin aku cuba hampiri-Mu, semakin sakit rasanya onak yang mengganggu perjalananku. Seolah-olah mahu kuhentikan sahaja pencarianku ini. Ya Allah, hamba-Mu ini sangat lemah, Engkau berikanlah aku kekuatan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuat, sedangkan hamba, tetap hina begini.

Sakit yang kurasakan lantaran terlalu banyak persoalan tanpa jawapan di mindaku. Bagaimana untuk aku luahkan semuanya? Bagaimana untuk aku rungkaikan segala persoalan itu? Ku perlukan bimbingan-Mu wahai Tuhanku.. Di sini kubawakan takrif taqwa daripada rujukan halaqah.net.

TAKRIF TAQWA

Kebanyakan orang tidak faham apa sebenarnya taqwa.
Walaupun istilah taqwa selalu disebut tetapi ilmu tentang
taqwa tidak pernah diajar.Syarat-syarat dan rukun-rukun taqwa
juga tidak pernah dinyatakan. Orang sudah lali dengan perkataan
taqwa. Sesetengah orang menganggap perkataan taqwa
itu sudah tidak ada erti apa-apa lagi kerana kebanyakan orang
tidak faham.

Sebab itu, setiap kali disuruh bertaqwa, orang tidak bertaqwa.
Disebut Ittaqullah, ‘bertaqwalah kamu kepada Allah’,
namun orang tidak bertaqwa juga. Walhal suruhan supaya
bertaqwa itu disebut dalam setiap khutbah sembahyang Jumaat
kerana ia adalah rukun khutbah. Kalau tidak disebut taqwa, tidak
sah sembahyang Jumaat walaupun sembahyang khusyuk. Tetapi
walaupun selalu disebut, orang tidak faham. Ia tidak jadi ilmu,
ia tidak jadi amalan dan pegangan, jauh sekali untuk dihayati.
Oleh itu macam mana hendak jadi orang yang bertaqwa.

Taqwa bukan setakat melaksanakan perintah dan meninggalkan
larangan. Bukan setakat menunai ketaatan dan menjauhkan
kemaksiatan. Bukan setakat membuat apa yang disuruh dan
meninggalkan apa yang dilarang. Bukan juga setakat meninggalkan
apa yang haram dan menunaikan apa yang fardhu.
Bukan setakat menjauhkan yang syirik dengan beramal dan taat
kepada Allah. Bukan setakat menjauhkan diri dari segala apa
yang akan menjauhkan diri kita daripada Allah. Bukan setakat
menghadkan diri kepada yang halal sahaja dan bukan setakat
Kebanyakan orang tidak faham apa sebenarnya taqwa.
Walaupun istilah taqwa selalu disebut tetapi ilmu tentang
taqwa tidak pernah diajar. Jalan untuk mendapatkan taqwa
beramal untuk menjuruskan ketaatan kepada Allah sematamata.
Inilah kupasan dan kefahaman tentang taqwa yang dibawa
oleh para ustaz, para muallim, orang yang hafaz Quran dan
Hadis bahkan juga para mufti dan kadhi. Taqwa itu tersangat
dipermudahkan sehingga orang tidak merasakan bahawa taqwa
itu penting dan perlu diperjuangkan demi untuk mendapat keselamatan
di dunia dan Akhirat. Maksud taqwa sebenarnya lebih
dalam dan lebih luas dari itu. Taqwa adalah antara perkara yang
terpokok dalam agama.

Orang membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa
yang dilarang atau orang menunaikan ketaatan dan menjauhkan
kemaksiatan, tidak semestinya berasaskan taqwa. Mereka
taat mungkin kerana ada sebab-sebab lain. Mungkin mahu
upah, mahu dipuji, mahu pengaruh atau untuk mengambil hati
orang. Mereka meninggalkan apa yang dilarang pun mungkin
ada sebab-sebab lain. Mungkin kerana mahu dihormati, mahu
menjaga nama dan kedudukan, takut dihukum, takut orang
mengata dan menghina atau takut dipulaukan orang.

TAKRIF
Bila disebut taqwa, orang terjemah sebagai takutkan Tuhan. Itu
tidak betul. Taqwa bukan bererti takut. Taqwa pada Tuhan bukan
bererti takutkan Tuhan. Takut kepada Tuhan hanyalah satu
daripada sifat mahmudah yang terangkum dalam sifat taqwa
tetapi ia bukan taqwa. Takut dalam bahasa Arab ialah khauf atau
khasya.

Taqwa berasal dari perkataan waqa–yaqi–wiqoyah yang
ertinya memelihara. Hujahnya ialah ayat Al Quran seperti
berikut:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah
kamu memelihara diri kamu dan keluarga kamu
dari api Neraka.” (At Tahrim: 6)

Di dalam Al Quran, kerap Tuhan menyeru dengan kalimah
ittaqu atau yattaqi. Di mana ada tambahan huruf pada asal
kalimah waqa, ia membawa perubahan kepada makna. Di sini
ittaqullah membawa maksud hendaklah kamu mengambil
Allah sebagai pemelihara/pembenteng/pelindung. Iaitu hendaklah
jadikan Tuhan itu pelindung. Jadikan Tuhan itu kubu atau
benteng. Bila sudah berada dalam perlindungan, kubu atau
benteng Tuhan, perkara yang negatif dan berbahaya tidak akan
masuk atau tembus. Atau jadikan Tuhan itu dinding dari kejahatan.
Usaha untuk menjadikan Allah sebagai pemelihara atau
pelindung atau pembenteng ialah dengan melaksanakan perkara-
perkara yang disuruh oleh Allah lahir dan batin. Dengan
kata-kata yang lain, perkara yang disuruh itu ialah membina
sifat-sifat mahmudah. Mengumpul dan menyuburkan sifat-sifat
mahmudah itulah usaha bagi menjadikan Allah itu sebagai
pemelihara atau pelindung. Membina sifat-sifat mahmudah
itulah usaha ke arah taqwa.

Taqwa atau wiqoyah telah disalahertikan. Maksudnya telah
disempitkan. Ia sebenarnya adalah lebih global dan luas. Ia
adalah gudang mahmudah dan merupakan himpunan segala
sifat-sifat mahmudah. Di situ ada sabar, redha, pemurah, berkasih
sayang, pemaaf, memberi maaf, meminta maaf dan sebagainya.
Seluruh sifat mahmudah itulah taqwa. Jadi, besarlah
erti taqwa. Ia membawa keselamatan dunia dan Akhirat.
Oleh itu, kalau dikatakan ittaqullah, maknanya yang sebenar
ialah ‘hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara’.
Oleh sebab istilah-istilah Islam telah banyak disalah guna dan
disalahertikan, maka hilang berkatnya. Bila disebut istilahistilah
Islam, tidak terasa apa-apa. Contohnya ialah perkataan
‘khalwat’. Maksudnya mulia iaitu menyendiri dengan Tuhan. Ia
satu bentuk amalan sufi. Tetapi maksudnya itu telah
diselewengkan dengan membawa erti ‘berdua-duaan lelaki dan
perempuan yang bukan ajnabi’. Begitulah juga istilah ittaqullah
ini. Setiap minggu pada hari Jumaat, dilaung-laungkan di
mimbar masjid tetapi para jemaah tidak terasa apa-apa. Berkatnya
telah hilang kerana maksudnya telah disalahertikan.

Untuk menjadi orang yang bertaqwa ertinya menjadi orang
yang berada dalam perlindungan Tuhan atau dalam pemeliharaan
Tuhan. Orang yang berada dalam benteng dan kubu
Tuhan. Dia selamat dari serangan luar. Serangan luar tidak lut
dan tidak mengenai dirinya. Orang bertaqwa itu seolah-olah
telah dipakaikan baju besi atau jaket kalis peluru.
Taqwa adalah pakaian jasad batin atau roh. Ia adalah amalan
jiwa atau roh. Taqwa adalah perkara dalaman dan banyak melibatkan
amalan hati. Kalau sungguh-sungguh diamalkan dan
dihayati, akan lahir sifat-sifat mahmudah seperti jujur, adil,
benar, berkasih sayang, lemah lembut, pemurah, tawadhuk,
pemalu, bertimbang rasa, berperikemanusiaan, sabar, redha,
tawakal, bertolak ansur, mengutamakan orang lain, pemaaf,
amanah, tekun, rajin, lapang dada, bekerjasama, simpati, belas
kasihan dan sebagainya.

Orang yang bertaqwa adalah orang yang luar biasa. Sebab
dia manusia yang sudah bersifat malaikat. Sifat malaikat sudah
ada dalam dirinya. Dia sudah jadi orang Tuhan. Sebab itulah
dia dibantu dan dibela oleh Tuhan. Orang bertaqwa sahaja yang
akan selamat di dunia dan di Akhirat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...