Monday, January 11, 2016

Muqoddimah 2016

Alhamdulillah..

Setelah berakhirnya tahun masihi 2015, sudah hampir dua minggu masuknya tahun baru masihi 2016. Ramai yang memperkatakan tentang azam-azam baru. Ada pula yang azam mereka belum tercapai pada tahun lepas, ingin merealisasikan pada tahun ini. Inshaa Allah, semoga Allah permudahkan urusan kita semua.

Dan sebenarnya, syukur tak terhingga kepada Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui hati hamba-Nya ini. Setelah sebulan ketiadaan kerja, akhirnya saya kini bertugas sebagai guru PASTI Kajang.

Pada mulanya, saya telah memohon Tadika Little Caliph di Chendering, Terengganu kerana dekat sedikit dengan rumah. Namun, setelah berminggu seakan tiada jawapan dari tadika tersebut. Ada juga tadika bawah Pertubuhan IKRAM menjemput untuk temuduga di Dato' Keramat. Tempat itu pula saya tak biasa pergi. Takutnya, hendak pergi temuduga sahaja dah berhabis berpuluh ringgit. Tambah pula memang tiada pendapatan pada bulan Disember ini.

Kebetulan yang berlaku sememangnya takdir Allah yang tak diduga. Tapi, konsep pekerjaan yang saya inginkan tetap sama, iaitu mendidik anak-anak menjadi generasi yang ulul albab serta tinggi peradaban. Memang besar tanggungjawab untuk merealisasikan cita-cita tersebut.

Minggu akhir Disember berlangsungnya dua majlis perkahwinan kawan-kawan yang tinggal sekitar Shah Alam. Saya pergi sebagai memenuhi jemputan. Sahabat yang sudi menumpangkan saya di rumahnya pula terlalu baik. Hanya Allah mampu membalas kebaikan beliau. Dan inshaa Allah, saya tetap akan menghargai usahanya untuk memastikan kemudahan saya sepanjang di Shah Alam.

Dua hari sebelum balik, Amirah mesej bahawa ada kerja kosong di PASTI Kajang sebagai cikgu PASTI. Pada mulanya, saya ingin menolak. Kali ini bukan alasan tidak berminat bekerja sebagai cikgu, dan bukan juga kerana gaji. Tetapi kerana saya tidak membawa fail sijil-sijil yang sepatutnya ada untuk temuduga.

Malam sebelum temuduga saya baca lagi mesej dari Amirah. Berulang kali. Akhirnya terdetik untuk  mencuba walaupun hanya boleh cetak resume dan keputusan Diploma. Apabila dihubungi kakak yang sudah bekerja sebagai guru di PASTI tersebut, dia sanggup menjadi kabel untuk saya dan Amirah. Itu sudah cukup baik.

Pagi hari terakhir di Shah Alam, sahabat yang saya tumpang rumahnya meminta saya memandu sendiri ke Kajang untuk temuduga, tetapi dia dan adiknya menemani saya. Alhamdulillah, memang rezeki saya di Kajang agaknya. Selepas Zohor, saya terus mendapat jawapan bahawa temuduga saya telah lulus.

Perasaan menjadi Guru Kanak-Kanak?

Ya Allah, serius memang sayang sangat dekat anak-anak PASTI ni. Semuanya baik-baik dan nakal pun masih boleh dikawal. Kadang-kadang muntah, buang air besar dan kecil di tempat lain. Tetapi itu jarang berlaku. Mungkin disebabkan musim panas, anak-anak jadi kurang sihat. Jadi, ramai yang muntah-muntah.

Tak apa. Cikgu tetap sayang mereka. Mereka permata hati cikgu. Saya pun belum tahu akan hidup lebih lama atau mungkin ajal sudah mengintai di hujung detik. Biarlah ilmu yang ada mampu dicurahkan untuk mereka. Semoga cikgu ada di dalam doa-doa mereka.

Tak percaya jadi cikgu sebab dulu dapat temuduga maktab pun sanggup tak pergi. Sebab tak nak jadi cikgu. Tapi mungkin ini takdir Allah untuk saya sekarang.

Sebuah muqoddimah yang penuh hikmah dari Allah, Hajat di hati ingin membina Baitul Muslim. Namun, jika tak tercapai hajat, cukuplah dapat membina anak-anak muslim yang berjiwa para sahabat inshaa Allah.. Semuanya dengan izin Allah juga..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...