Saturday, December 31, 2016

Rimba hatiku

Persis rimba tiada penghuni
Daunnya gemersik
Menjauh dan terus menghilang
Lalu ke manakah suara rimba yang beralun indah?

Lalu aku melangkah
Mencari damai di pinggir sungai
Tidak jauh dari rimba itu

Seakan rimba itu tak pernah jauh dariku
Dan semakin aku berpaling darinya
Suaranya memanggilku

Namun bila kutiba
Ia diam
Suaranya entah ke mana
Lalu aku sepi dalam pelukan rimba itu

Bernyanyilah wahai rimba
Hiburkan hatiku yang resah
Takut kehilanganmu
Sedangkan kau tak pernah luput dari ingatanku

Monday, December 26, 2016

Road to Aimie's Walimah - Part II

Sabtu - 24/12/2016

Alhamdulillah, kami betul-betul bertolak pukul 4 pagi. Ya Allah..dah la lama tak jumpa. Tapi aku jenis cool je. Layan je sembang. Usik mengusik tak pernah hilang.

Kami bergerak melalui Lebuhraya Guthrie untuk ke Perak. Pukul 6.30 pagi, kami solat Subuh di RnR dan terus bersarapan. Suasana masih tak tahu nak cakap apa. Lama tak jumpa.

Bila jumpa Ili la, aku sangat rasa bersalah. Sewaktu pemergian ibunya, aku tak dapat hadir menemani kesedihannya. Waktu itu tiba-tiba banyak program datang serentak. Aku tak boleh nak elak sebab tu program bawah Pasti.

Hanya sekali aku berpeluang untuk melawatnya tetapi dia pergi kenduri. Sungguh, aku sangat rindu Ili. Sayang dia sebagai sahabat yang sangat melindungi aku dari kami berada dalam zaman belajar lagi.

Kami meneruskan perjalanan sehingga sampai di Alor Setar. Setelah membeli sedikit keperluan membungkus hadiah, kami ke homestay yang telah ditempah.

Alhamdulillah, tempatnya sangat cantik. Kami rehat-rehat sebentar sebelum bersiap ke Majlis Aimie yang diadakan di Pusat Aktiviti Pejabat Daerah Kota Setar. Homestay kami di Taman Layar Fasa 3 di Kuala Kedah. Hanya 15 minit perjalanan ke tempat Aimie.

Bahagia rasanya dapat tengok kegembiraan kawan-kawan yang lain. Semuanya bagaikan tak percaya Aimie dah kahwin. Aku pun sama. Haha.

Setelah makan di majlis kenduri Aimie, kami bergerak ke Jitra. Menghayati pemandangan sawah padi yang menghijay. Subhanallah, memang sangat cantik. Makin indah apabila sawah yang menghijau berlatarkan langit yang membiru.

Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis. Hanya setengah jam, kamu sudah sampai ke Jeti Kuala Perlis. Pemandangan di tepi pantai itu pun sangat cantik. Dengan berlatarkan matahari petang, cahayanya membias pada permukaan laut.

Berkeping-keping gambar disimpan sebagai memori perjalanan kami. Puas menikmati pemandangab indah itu, kami terus pulang ke homestay.

Malam itu kami telah berjanji untuk berjumpa Aimie di kedai. Selepas menghantar kek special dari Nanad, kami terus ke Stadium Negeri Kedah.

Aku mencuba Mi Udang di situ. Sedap jugalah. Sayangnya kedai ini kurang peka terhadap pelanggan. Ada menu yang tidak dapat dibuat tidak diberitahu terlebih dahulu. Itu yang membuatkan pelanggan menunggu lama sedangkan makanan itu tiada. Apabila ditanya baru nak cakap barang habis. Kelakar ada, nak marah pun ada. Cakaplah awal-awal tak ada barang. Nama kedai tu dirahsiakan. Mungkin pergi siang hari kedai tu tak buat macam tu.

Selepas bersembang dengan Aimie, kami faham pasangan pengantin baru tu dah nak balik. Kami teruslah ajak balik. Lagipun dah penat seharian berjalan.

<bersambung...>

Road to Aimie's Walimah

Alhamdulillah, dah selesai majlis Aimie Najwa Marzuki, salah seorang housemates masa degree dulu kat Kelantan. Paling mengujakan apabila semua dapat join sekali.

Jumaat - 23/12/2016

Hari ini, aku masih kerja. Tetapi waktu standby petangku telah diganti dengan cikgu lain. Kak Shida dah janji nak hantar ke KTM Serdang selepas waktu kerja. Pukul 5.30 petang kami bergerak ke KTM.

Kesesakan lalulintas ketika melalui ke Mines memang sudah dijangka. Sampai di depan tempat menunggu bas dekat KTM juga sesak dengan orang ramai. Kak Shida hanya turunkan aku di tepi jalan dan terus berlalu.

Aku pula sudah lama tak naik tren. Tapi buat macam dah biasa. Beli tiket ke KL Sentral sebab akan tukar tren ke Padang Jawa dekat situ.

Sampai ke KL Sentral, barulah aku sedar sepatutnya terus beli ke Stesen Padang Jawa. Mujurlah teringat baki Touch n Go masih banyak. Daripada beratur panjang-panjang, baik guna je Touch n Go yang ada. Kl Sentral ke Padang Jawa RM3.80.

Di Padang Jawa, Syira datang mengambilku. Kami balik ke rumahnya dulu di Seksyen 16 Shah Alam, barulah kami keluar semula mengambil hadiah untuk dibawa ke Majlis Aimie nanti.

Kebetulan di depan PKNS juga, Fifi sampai. Syawal terus ajak makan di Festival Makanan depan PKNS. Perut memang dah lapar, maka mencarilah kami makanan yang ringan-ringan.

Ringan tak ringan pun, aku makan mihun sup utara daging kambing, Syira makan pau cendawan dan Fifi makan..ermm apa ek, lupa la..haha..dah banyak sangat jumpa makanan.

Pukul 10.30 malam barulah kami pulang ke rumah Syira. Sempat jumpa ibu Syira dan adiknya. Pukul 11 malam lebih-lebih aku dan Fifi terus tidur memandangkan esok kami berjanji untuk bertolak ke Kedah pada pukul 4 pagi.

<bersambung...>

Wednesday, December 21, 2016

Pemergian Seorang Teman

Allahu Akbar!

Hatiku terpempan. Bagaikan tidak percaya apa yang telah kubaca tadi. Ku soroti tulisan itu sekali lagi. Ternyata, ia benar. Mataku tidak salah melihat. Akalku tidak salah mentafsir.

"Lora atau Wan Nur Adila telah pergi menemui Ilahi.."hatiku berbisik.

Sayu menyerbu. Namun air mataku tak mampu untuk luruh. Yang ada, hanya kenangan beberapa tahun yang lalu ketika aku masih diploma.

Telatahnya membuatkan hariku yang suram pun jadi ceria. Celotehnya tak pernah habis bersama sahabatnya, Masita. Gurau senda, gaduh mereka, membuatkanku terkekek-kekek ketawa, meskipun di dalam perpustakaan.

Banyak hari juga kami belajar bersama-sama. Bersama kekasihku dulu yang kini sudah berkahwin dengan orang lain. Ah, ketepikan cerita itu. Tetapi, satu yang aku hargai amat. Lora tak tinggalkan aku walaupun aku ada kekasih. Sedangkan orang lain telah memandangku lain macam.

Benar, yang salah tetap salah. Tetapi aku buta waktu itu. Dikaburi cinta yang sekarang dah menghilang. Dan Lora bersama Masita, seringkali mengusik kami. Kisah lama. Itulah yang semakin mengguris perasaan ini.

Aku berjeda sebentar. Memerhati luar tempat kerjaku. Ada dua batang pokok kelapa, daunnya melambai-lambai ditiup angin. Lantas waktu itu terus berjuraian air mataku.

Wan Nur Adila telah pergi.

Dan aku, serasa ingin sahaja menyusul pemergiannya. Namun aku tidak sekuat dia. Aku yakin Allah dah sediakan tempat yang baik untuknya. Dia orang baik, inshaaAllah ada kebaikan untuknya.

Perasaan aku yang teringat kepada Lora beberapa bulan dahulu amat kuat. Mujurlah Amami ada ceritakan sedikit di Facebooknya. Terjawab segala persoalan aku tentang Lora.

Ya Allah..aku sayangkan Wan Nur Adila kerana-Mu ya Allah..moga Engkau tempatkan dia di syurga-Mu..

Rentetan

Selesai mukhoyyam di Nur Lembah Pangsun, aku disuntik semangat baru. Indahnya ukhwah mengingatkan aku saat bergiat aktif dalam usrah dahulu.

Tidak pernah berhenti. Dan alhamdulillah sehingga kini masih berusrah. Bezanya kini ditambah dengan siyasah.

Aku mulai faham. Pembangunan akhlak sesuatu masyarakat itu ditentukan oleh bagaimana pembentukan akhlak dalam keluarga. Dimulai dengan diri sendiri, mencari ilmu dan menghadapi mehnah ujian dengan kesabaran.

Bercakap itu memang mudah. Mempraktikkannya itulah yang sukar.

Friday, December 16, 2016

Sandarkan Cintaku Pada Tuhan

Bas bergerak menuju ke Nur Lembah Pangsun. Ahlinya tidak penuh tapi cukup bahagia.

Dan dia, berharap pemergiannya ini dapat mengislahkan diri dan mencari sesuatu dalam alam ciptaan Allah. Mengusung cinta yang memberat di dada, tak terdaya untuk diluahkan, dan beban jika terus disimpan.

Namun, semenjak mengalami kehilangan dirinya lima tahun lalu, dia temui sinar baru pada pertemuan semula dengan sahabatnya.

Beza, sungguh berbeza. Sifat syabab itu berbeza daripada lelaki lain yang pernah ditemuinya. Hanya mungkin dia dikabur perasaan yang luar biasa.

Pelik tapi benar. Inilah saatnya paling sukar. Paling payah menyatakan hasrat hati. Lalu disandarkan pada Allah, Pemilik hati-hati.

Biarlah jika tiada yang tahu perasaan sebenarnya. Bukan mudah melupakan setelah hadir rasa sayang. Bukan mudah melepaskan setelah jiwa telah terikat kemas.

Lalu biar tinta ini menulis. Menyatakan dalam kalam bisu. Biarkan sehingga perasaan ini dibawa hingga nafas terakhir..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...