Thursday, October 30, 2014

Selamat Hari Lahir!!

Alhamdulillah.. Alhamdulillahi rabbil 'alamin..

Bersyukur sangat sepanjang hampir suku abad ini, Allah telah kurniakan terlalu banyak nikmat yang tak mungkin dapat dihitung dengan jari-jemari yang ada ni. Sedangkan jari itu pun anugerah tidak ternilai, tidak boleh ditiru atau diciplak oleh mana-mana organisasi atau individu. Semuanya milik Allah dan kebesaran Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Hebat kan Allah? Hari-hari dalam hidup kita, mesti ada ruang untuk memikirkan tentang Allah dan kebesaran-Nya. Hebat, dan sungguh hebat. Allah ciptakan langit tidak bertiang, bumi dihamparkan dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan, air hujan yang melimpah-limpah dari langit... Pernahkah kita berfikir di mana asalnya air hujan itu? Kalau kita belajar sains, itulah kitaran wap air daripada darat, laut dan berkumpul menjadi awan, kemudian turun sebagai hujan. Bagaimana pula wap air boleh tercipta? Sumbernya?

Allah berfirman dalam Surah Al-Mulk ayat 30, maksudnya:

Katakanlah lagi: "Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?"

Itulah Allah. Yang menciptakan segala-galanya di langit dan di bumi. Walau banyak mana pun dikaji oleh manusia, itu hanyalah diibaratkan setitis air di lautan sahaja jika dibandingkan dengan ilmu Allah.


Hari lahir bertarikh 28 Oktober 2014 Masihi bersamaan 4 Muharam 1437 Hijrah, cukup manis untuk dikenang. Jika dahulu disambut dengan kek-kek, tetapi kali ini mungkin tidak begitu. Ya, aku tidak mahu berharap begitu. Allah akan tentukan apa yang akan berlaku.

Pada hari lahirku ini, aku ditugaskan untuk menjadi urusetia di Sweet Beach Resort Tok Bali bagi program Tunas Mekar Zon Timur. Bila disebut Zon Timur, sah-sah Terengganu, Kelantan dan Pahang yang akan menyertai program ini. Jadi, nak ceritanya kat sini, aku bercuti la ni..

Seronok betul bila dapat tahu boleh ikuti program ini. Dari aku bangun tidur sampailah hari ini, masih ada orang ucapkan selamat hari lahir dan mendoakan aku. Alhamdulillah.. Hebatnya Allah.. Allah yang sentiasa menyayangi dan memberikan kasih-sayang-Nya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Paling penting, aku tetap kena bersyukur kepada ibu bapaku, maksudnya berterima kasihlah kepada mereka. Jadi, apa-apa pun keputusan aku selepas ini hendaklah mendahulukan Allah, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan kedua ibu bapaku. Selepas itu nak fikir tentang diri sendiri ke, sesiapa ke, ikutlah. Yang penting tiga ke atas mestilah didahulukan. 

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. [al-Nisa’ 4:36]

Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibubapa.” [al-An’aam 6:151]

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. [al-Isra’ 17:23]

Sumber : 
1) http://hafizfirdaus.com/ebook/Ayah_Ibu/ibubapa%20quran.htm
2) http://www3.pmo.gov.my/webNotesApp/RqrMainM.nsf/9ca3c988a579811f48256722002425dc/e4f693b419f51133482566cd00325673?OpenDocument

Tuesday, October 21, 2014

Cintai Nabi Muhammad Sallahu 'Alaihi Wasallam

Bismillahirrahmanirrahim..

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku (Rasulullah), nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.”” (Surah Ali Imran, 3: 31)

Bagaimana untuk mencintai Allah? Mulakan dengan mencintai Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam. Baginda sangat dicintai Allah subhanahu wa ta'ala. Akhlak baginda tiada bandingan dengan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini kerana baginda adalah kekasih Allah yang telah disucikan hatinya dan dijaga dengan penuh perhatian oleh Allah subhanahu wa ta'ala.
Bacalah Al-Qur'an dan pelajarilah hadith-hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Kenali Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melalui sahabat-sahabat baginda. Pastinya sahabat-sahabat baginda bukanlah calang-calang orang. Mereka semua orang-orang yang dipilih oleh Allah subhanahu wa ta'ala sebagaimana Allah telah memilih untuk Nabi Musa alaihissalam dan Nabi Isa alahissalam sebilangan kecil pengikut untuk menyembah Allah subhanahu wa ta'ala.
Cara-cara mencintai Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:
  • Menghidupkan sunnah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasalam dengan berpegang teguh kepada ajaran al-Qur'an dan sunnah Baginda. Jangan tinggalkan satu hari dalam hidup kita tanpa mengamalkan sunnah-sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wasallam.
Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan tersesat selama mana kamu berpegang teguh pada keduanya iaitu kitab Allah (al-Qur'an) dan sunnah Nabi-Nya." (Hadits riwayat Malik)


  • Mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.
Rasa cinta kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam juga dapat direalisasikan dengan sentiasa memperbanyakkan shalawat ke atas Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang dituntut oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam firman-Nya:
Tafsir-Nya: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya bershalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi; wahai orang-orang yang beriman! Bershalawat kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Surah al-Ahzab: 56)


Fadhilat Mencintai Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam

Selain daripada memenuhi tuntutan ugama, mencintai Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dengan keikhlasan hati juga mengandungi fadhilat yang menguntungkan. Antaranya:

1. Memperolehi kasih dan cinta Allah Subhanahu wa Ta'ala, di samping mendapat keampunan dosa-dosa kecil.
Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala sendiri:
Tafsir-Nya: "Katakanlah (wahai Nabi Muhammad!): "Jika kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih." (Surah ali 'Imran: 31)

2. Merupakan sebahagian daripada kesempurnaan iman.
Daripada Anas Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Tidak (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehingga diriku menjadi orang yang paling dicintai melebihi ibu bapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya." (Hadits riwayat al-Bukhari)

3. Memperolehi kemanisan iman sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu 'anhu:
Maksudnya: "Tiga perkara apabila seseorang itu miliki dalam dirinya, nescaya dia akan merasakan manisnya iman, iaitu: Allah dan rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya, mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia benci dicampakkan ke dalam api Neraka." (Hadits riwayat al-Bukhari)

4. Mendapat kedudukan di sisi Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam
Maksudnya: "Selawat umatku dipersembahkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak berselawat kepadaku, dialah yang mempunyai kedudukan yang paling dekat denganku." (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Selawat dari segi bahasa bererti doa serta permohonan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Pada kebiasaannya perkataan selawat digunakan untuk memuji Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.
Fadhilat bershalawat kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam amat banyak dan antaranya ialah mendapat kedudukan yang dekat dengan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Fadhilat ini disebut kerana orang yang sering bershalawat ke atas Baginda adalah orang-orang yang mencintai Baginda.

Mencintai dan mengasihi Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bukan semata-mata hanya di mulut sahaja, malahan juga diiringi dengan mencontohi akhlak Baginda yang mulia kerana dengan kecintaan kita yang mendalam terhadap Baginda akan membawa kita dekat di sisi Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Dalam sebuah hadits riwayat Anas Radhiallahu 'anhu, beliau menceritakan:
Maksudnya : "Seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam tentang hari kiamat, katanya: "Bilakah berlaku hari Kiamat?"
Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam bertanya semula kepada lelaki tersebut: "Apa yang engkau sediakan untuk menghadapinya?"
Lelaki itu menjawab: "Tiada apa-apa kecuali kecintaanku kepada Allah dan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam."
Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Engkau akan bersama orang yang engkau cintai." (Hadits riwayat al-Bukhari)
Wallahu A'lam.. Marilah sama-sama beramal untuk menggapai redha Allah Subhanu wa Ta'ala..
rujukan : http://www.pelitabrunei.gov.bn/template/item/694-mencintai-rasulullah-shallallahu-alaihi-wasallam--satu-tuntutan-wajib

Wednesday, October 8, 2014

Praktikal dan Tarbiah

Assalamualaikum..


Kali ini saya ingin bercerita tentang tempat praktikal saya di UiTM Machang. Mengapa saya memilih tempat ini? Apa yang istimewanya berada di sini?

Pertamanya saya ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan saya untuk terus bernyawa sehingga ke hari ini. Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Prof Madya Mohd Zaki Zakaria kerana membenarkan saya bercerita sedikit keadaan dan pengalaman berada di sini. Dari sudut saya sendiri, saya memilih untuk berada di sini kerana hati saya tenang di sini, inshaaAllah lebih dekat dengan Allah. Hal itu memang saya rasakan sendiri. Satu demi satu ketakutan dan kesedihan Allah buang daripada hati saya.

Hati memang perlukan tarbiah yang benar-benar mantap untuk menjadikan ia kuat. Maka Allah telah menguji saya dengan sesuatu yang saya sendiri tidak suka. Malah, perkara tersebut telah menguatkan hati saya. Paling penting, ujian itu datang daripada Allah. Itu yang menenangkan hati saya dan menjadikan saya sabar. Saya meminta pada Allah untuk menjadi sabar dan membuang segala sifat marah. Allah uji saya dengan lebih hebat melalui perasaan marah yang lebih memberatkan dada. Tetapi ujian itu mehnah, tarbiah daripada Allah. Allah sendiri yang sudi untuk mengajar kita untuk menjadi hamba yang terbaik untuk-Nya.

Dalam Al-Qur'an Allah telah menyebut dengan jelas tentang perkara yang kita sukai dan perkara yang kita tidak sukai. Rujuk Surah Al-Baqarah ayat 216 :


"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Allah ternyata sangat baik kepada hamba-Nya. Apa kaitan tempat praktikal saya dengan tarbiah Allah? Itulah yang saya ingin sampaikan. Allah menguji setiap hamba dengan ujian yang berbeza, bukan sebab Allah tidak suka kita, tetapi kerana Allah sayang. Semakin kuat dan banyak cubaan Allah pada seseorang, semakin kuat dan jrnih hatinya. Pastinya semakin dekat dia dengan Allah. Itulah hasil yang Allah ingin jadikan.

Bayangkan jika kita hendak mencari emas yang bernilai, perlu dicari di lombong-lombong yang kotor dan gelap. Selepas itu kawasannya pula banyak batu dan sukar untuk digali. Emas yang bernilai akan didapati setelah kita panaskan ia untuk membuang segala kotoran yang ada padanya. Itulah perumpamaannya Allah membersihkan hati manusia supaya bersih dan dengan itu mnjadi lebih dekat dengan-Nya.

Prof Madya Mohd Zaki Zakaria seorang yang sangat pandai dan rajin. Saban hari, dia akan mencari peluang untuk berbuat sesuatu yang bermanfaat bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada orang lain juga, Ketika brbincang dengan prof tadi, ternyata banyak lagi tentang realiti kehidupan belum terfikir dalam kotak minda kita ini. Almaklumlah orang muda. Namun begitu kata prof, sepatutnya orang muda lebih gigih berusaha untuk mencapai banyak kejayaan.

Kata beliau, apabila kerja dilakukan dengan seronok, tekanan kerja itu akan berkurang. Apabila menghadapi tekanan pula, beliau tidak akan cepat marah.  Seringkali perkara-perkara yang berlaku spanjang hidup beliau memberikan banyak impak dan pengajaran membuatkan beliau bangkit dan berdiri seperti hari ini. 

Mulakan sesuatu kerja dengan 'boleh'. Jangan kata tidak boleh kerana itulah yang membantutkan usaha kita. Prof berpesan supaya tetap menjaga hubungan dengan manusia selain kita memang wajib menjaga hubungan dengan Allah. Hubungan sesama manusia juga penting kerana di situ kita boleh membina jaringan. Walau bagaimana marah pun kita pada salah seorang kawan kita, jangan putuskan persahabatan itu kerana suatu hari nanti dia akan menjadi seseorang yang mampu membantu kita. Ambillah yang positif daripadanya dan lupakan sahaja apa yang negatif padanya.

Pesanan prof mengingatkan saya tentang firman Allah supaya memaafkan orang meskipun orang itu selalu menyakiti kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran ayat 132).
Orang yang mulia adalah orang yang suka memafkan. Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahwasannya Rasulullah SAW bersabda: Musa bin Imran a.s, berkata: "Wahai Tuhanku diantara hamba-hamba-Mu, siapakah orang yang paling mulia dalam pandangan-Mu ? "Allah Azza Wajalla menjawab, “ Orang yang memaafkan walaupun ia mampu membalas. “ ( Hadis Riwayat Baihaqi )

Praktikal di sini banyak memberi tarbiah baik dari segi hati malah juga dari sudut akal. Alam semulajadi sangat indah jika dilihat dengan pandangan iman. Pandangan iman iaitu apabila kita meletakkan segala sesuatu kembali pada Yang Menciptakan semua ini, iaitu Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah Maha Hebat. Bukan sahaja alam diciptakan dengan bgitu indah dan teratur, malah diri manusia itu sendiri mempunyai keindahan yang luar biasa.

Prof juga memberi nasihat, jika hendak membayar gaji pekerja untuk pekerja yang kurang produktif dalam pekerjaannya, tetaplah memberi gajinya dengan niat bersedekah. Secara lahiriah memang kita sudah gagal kerana membayar pekerja yang kurang memberi komitmen dalam pekerjaannya, pastinya akan merugikan kita juga. Tetapi prof melihat dari sudut lain yang lebih positif. Mungkin dengan duit tersebut dapat membantu persekolahan anak-anak pekerja tersebut sehingga mengelakkan mereka terjebak dengan dadah dan gejala sosial yang lain. Impaknya yang lebih besar ialah, Allah datangkan rezeki dalam bentuk yang tidak disangka-sangka.

Firman Allah SWT.yang bermaksud :

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya."
(Surah At-Talaq ayat 2-3)

Betapa hebatnya Allah Tidaklah ada sesuatu yang tersembunyi di langit dan di bumi melainkan semuanya dalam pengetahuan Allah semuanya. Rahsia Allah hanya akan difahami oleh orang-orang yang dekat dengan Allah dan sentiasa yakin dengan-Nya. Percaya dengan Allah, kerana hanya Dia yang tahu segala-galanya tentang apa-apa yang diciptakannya.

”Apakah kamu lebih sulit penciptaanya ataukah langit? Allah telah membinanya {27} Dia meninggikan bangunannya lalu menyempurnakannya {28} dan Dia menjadikan malamnya gelap gulita, dan menjadikan siangnya terang benderang {29} Dan bumi sesudah itu dihamparkan-Nya {30} Ia memancarkan daripadanya mata airnya, dan (menumbuhkan) tumbuh-tumbuhannya {31} Dan gunung-gunung dipancangkan-Nya dengan teguh {32} (semua itu) untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu {33}”(Q.S. An-Nazi’at: 27-33)

Wednesday, October 1, 2014

Takdir

Hidup ini terlalu indah untuk dipersiakan. Kebahagiaan yang tampak pada pandangan mata nyata bukanlah suatu yang fantasi bagi orang yang hanya menilainya pada logik akal sahaja. Tetapi, pada sesiapa yang memandang dunia dari sudut jiwanya dan keimanan yang ada dalam hatinya, dunia ini hanyalah secebis kertas yang tidak bermakna apa-apa.

Kertas itu akan bermakna jika mampu memberi manfaat kepada orang ramai. Di situlah nilai sebuah dunia yang kita cari. Air mata yang menitis kerana dunia tidak akan memberi nilai apa-apa pada hitungan Allah, tetapi jika ianya dititiskan kerana tujuan hidup kita yang sebenar iaitu akhirat, pastinya Allah memandangnya dengan nilai yang tinggi. Bahkan sesiapa yang mampu menumpahkan air matanya kerana takutkan Allah, di akhirat kelak air mata itu akan menjadi penghalang baginya untuk masuk ke neraka. Itulah air yang akan memadamkan api neraka, air yang penuh ikhlas dan tawadhuk.

Takdir Allah atas hidup kita melebihi ketentuan kita sendiri di atas muka bumi ini. Apa sahaja yang Allah takdirkan kepada kita, itulah yang terbaik buat kita. Seakan-akan apabila kita berkata demikian, maka kita beranggapan bahawa tidak perlulah brdoa dan berusaha. Tawakal sahajalah kerana Allah kan sudah mentakdirkan segala-galanya.

Salah sekali tanggapan itu. Allah telah berfirman banyak kali dalam Al-Quran Al-Karim, bahawa Dia tidak menjadikan dunia ini sia-sia, sebagai main-main, tetapi di sinilah tempat kita menyemai benih ketaatan kita kpada-Nya. Memang Allah itu Maha Penyayang. Diciptakan kita, malah diciptakan pula tempat untuk kita membuat amalan kita. Bahkan, jika kita tersesat dan terlupa pada-Nya, Dia tak biarkan kita begitu sahaja. Dipanggil kita pulang ke pangkal jalan. Jika kita menolak, kitalah yang menanti bala azab dari-Nya. Jika kita menerima, sememangnya kasih sayang dan rahmat-Nya tak pernah berhenti untuk memandu jalan kita untuk bertemu-Nya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...