Tuesday, July 6, 2010

Cinta Tanpa Hijab

Bismillahirrahmanirrahim..

Pagi yang indah dan dingin. Suasana kota kurang terasa kerana letaknya apartmenku terperosok ke dalam sedikit. Merpati-merpati jinak menarik perhatianku di pagi hening ini.

Teringat pula semalam. Aisyiah dan Syu datang ke rumah. Gembira juga rasa di hati kerana ada juga sahabat-sahabat yang ingin bertandang ke rumah kami. Lagipun, ada barangnya yang aku simpan daripada semester lepas di rumahku.


Aku turut rasa bertuah kerana mempunyai sahabat-sahabat yang sangat menjaga, di samping itu sangat memahami. Perasaanku terjaga, pergaulanku juga turut terjaga. Hidayah itu milik Allah. Tiada siapa yang dapat mengubah ketentuan-Nya. Allah akan memberinya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Bukanlah kita yang menetapkan siapa yang akan mendapat hidayah Allah.

Aku juga pernah terfikir dahulu tentang perkara ini. Kita cuba untuk mengubah orang lain tetapi jika orang itu sendiri tiada usaha untuk berubah, kita tiada kuasa untuk mengubahnya. Allah juga ada berfirman, "Kami tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu sendiri mengubah dirinya.."


Pernah suatu masa dahulu ada ikhwan bersama temannya datang ke kelasku. Temannya memberitahu aku bahawa ikhwan itu ingin berubah jika aku ingin menerimanya. Aku pelik. Dia yang hendak berubah, mengapa harus memberitahu aku? Beritahulah pada Allah. Sedangkan aku ini cuma manusia. Aku juga dalam proses perubahan.


Ikhwan tersebut bersungguh-sungguh menunjukkan perubahannya tetapi aku pula berasa tidak sedap hati. Seperti ada yang tidak kena. Lalu aku biarkan sahaja ikhwan tersebut. Tidak lama kemudian, kami terserempak lagi. Perubahannya yang hari itu tidak kekal lama. Dia kembali menjadi seperti dahulu.
Salah akukah itu atau salah dia? Atau salah Allah? Astaghfirullahal azim, sesungguhnya Allah tak pernah salah. Dalam sabda Nabi S.A.W.:

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Jika dia berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya. Jika hijrahnya kerana dunia dan perempuan yang ingin dikahwininya, maka dia mendapat apa yang dihijrahkannya."

Hadith tersebut sangat berkaitan dengan kehidupan kita. Bukanlah kita ini mempunyai kuasa untuk mengubah sesiapa, kerana hanya Allah yang berkuasa ke atas hati-hati makhluk-Nya.

Sebagai Muslim, memang wajib bagi kita untuk berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. Namun, hanya Allah yang akan menentukan siapa yang akan menerima pesanan kita dan berubah. Sedangkan setiap kita juga mengalami proses perubahan. Mungkin hari ini kita rasa boleh beribadah sebanyak mana yang kita nak. Tapi, kadangkala terdetik rasa malas.
Diriku hanya insan biasa. Bukan maksom seperti Rasulullah S.A.W. Banyak juga kurang dari lebihnya. Terasa diri ini begitu kerdil di hadapan Allah.

"Hidayah itu milik Allah. Kadang-kadang kita suka kat seseorang itu, kita cuba hendak mengubah dia menjadi lebih baik. Supaya jadi lebih Islamik. Namun ada juga terdetik rasa tidak sedap hati. Ada sesuatu pula yang menghalang hubungan kita dengan Allah. Rupa-rupanya ada hijab yang pula antara kita dengan Allah," kata seorang sahabat serumahku.

Aku bersetuju dengannya. Bukan muhrim tetap bukan muhrim. Tetap ada peraturan yang perlu dipatuhi supaya tak terleka dengan fitrah. Macam mana pun kita anggap seorang ajnabi sebagai sahabat biasa, namun perasaan sebagai manusia dan bisikan syaitan tetap mengganggu.


Perasaan inilah yang mulanya kecil akhirnya menjadi sesuatu yang besar yang bisa membunuh hati kita sendiri. Kasihannya hati kita kerana sikap dan perbuatan kita sendiri.
Aku tersedar dari lamunanku yang agak panjang. Alhamdulillah.. Allah masih memberi aku peluang merasai nikmat nyawa ini supaya aku dapat terus istiqamah dalam perubahanku. Sesungguhnya cinta tanpa hijab ialah cinta Allah dan hamba-Nya yang tidak memerlukan perantaraan. Hanya kita dan Dia.

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya akau bertawakkal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki arasy yang agung."(Surah Ali Imran : 129)

No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...