Friday, September 27, 2019

Ujian Kurnia Allah 🌷

Alhamdulillah.. Syukur setinggi-tingginya kepada Allah yang masih mengurniakan nyawa sehingga saat ini.

Siapa tidak gembira jika hidupnya bakal mengakhiri zaman bujang? Tetapi ada juga yang masih teringat peristiwa-peristiwa pedih sebelum bertemu jodoh yang sebenar.

Hakikatnya, Allah tidak mahu kita terlalu meletakkan harapan pada manusia. Biarlah harapan yang paling tinggi itu hanya kepada Allah.

Hati ini satu tempat simpannya rasa gembira, sedih, marah dan kecewa. Ia adalah tempat yang tiada siapa tahu melainkan Allah.

"Sesungguhnya hanya dengan mengingati Allah, hati-hati akan tenang." -Surah Al-Isra', ayat boleh cari sendiri ya.

Allah sebut lagi lebih kurang begini bunyinya, hanpya Allah sahaja yang mampu memegang hati hamba-hambaNya. Hanya Allah juga yang tahu perasaan apakah yang ada di dalam hati hamba-Nya.

Seorang yang pemarah, Allah uji sesuai dengan keadaan dia dan kemampuan dia menahan amarahnya. Jika nekad seseorang itu untuk menjadi lebih baik, dia akan cuba paksa dirinya menjadi pemaaf dan melupakan kesilapan orang padanya. Allah ujinya dengan kesakitan dan kesedihan, sehingga jiwanya pada tahap yang tak boleh lagi untuk bertahan. Andai waktu itu dia terus bersujud pada Allah, memohon pertolongan dan dibuka jalan penyelesaian, pasti Allah akan kabulkan. Kerana saat itu dia meminta dengan deraian air mata kesakitan dan teresak-esak merayu pada Pemilik hati-hati.

Andainya jiwanya memberontak, Allah akan uji lagi sehingga dia sendiri memilih jalan untuk kembali kepada Allah ataupun dia menyombongkan diri dengan berpaling daripada-Nya. Jika nyawa sudah sampai kerongkong, pasti penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Manusia akan selalu diuji. Saat diuji, ingatlah kepada Pemberi ujian, kerana hanya Dia mampu selesaikan masalah kita.

Jangan dikaburi dengan prasangka kepada Tuhan, kerana Allah berfirman, "Aku adalah menurut sangkaan hamba-hamba-Ku."

Bersangka baiklah dengan ujian yang Allah berikan. Semoga kesabaran kita menghadapinya dapat mengangkat darjat yang lebih tinggi di akhirat nanti.

Wassalam.

Saturday, September 14, 2019

Buat Bakal Imamku

Assalamualaikum..

Buat bakal imamku,
Allah mentakdirkan sesuatu sesuai dengan kehendak-Nya. Dan dikau juga pernah menyatakan padaku bahawa jodoh itu rahsia Allah. Hanya Allah yang tahu susur perjalanan hidup kita, bagaimana kita bertemu dan ke mana hala tuju kita selepas ini.

Buat bakal imamku,
Engkau bakal menjadi cinta dan taatku selepas Allah dan Rasul. Sedangkan sebelum ini, cinta dan taat setelah Allah dan Rasul tentulah ibu bapaku. Setelah akad, semua itu berpindah kepadamu.

Buat bakal imamku,
Kehidupan yang bakal kita layari selepas ini sudah tentu tidak akan sama seperti sekarang waktu kita masih bujang. Selepas ini, kita harus saling menerima, bertolak ansur, dan sabar dengan perangai masing-masing.

Wahai bakal imamku,
Aku anak perempuan yang selalu manja dengan abahku, apabila engkau hadir, adakah layananmu akan sama seperti itu atau mengabaikanku. Dengan abahku, aku boleh menjadi cengeng walaupun sudah dewasa, selepas ini mungkin hatiku harus seteguh karang di lautan.

Bakal imamku,
Tanggungjawab satu kemestian untuk ditunaikan. Di akhirat nanti, itu yang akan Allah persoalkan. Semoga kita berdua saling bekerjasama memikul tanggungjawab baru nanti.

Wahai bakal imam,
Kehidupan baru akan kita tempuh nanti pasti lebih banyak dugaan untuk menguji kejujuran, kesetiaan dan kasih sayang kita. Sentiasalah berserah kepada Allah untuk membuat keputusan, kerana Dialah yang Lebih Mengetahui segala sesuatu.

Bakal imamku,
Suatu hari nanti, mungkin aku atau engkau akan ditimpa sakit. Semoga kita saling setia saling menjaga dan tetap menyayangi walau bagaimana pun keadaan kita ketika itu.

Bakal imamku,
Dalam melayari kehidupan berumahtangga, satu persatu kekurangan kita akan tersingkap. Oleh itu, janganlah mengharap segalanya sempurna, kerana tiada yang sempurna di dunia ini melainkan Allah Yang Maha Sempurna.

Bakal imamku,
Semoga kebahagiaan rumahtangga kita akan dihiasi anak-anak yang soleh solehah, penyejuk mata hati kita, dan menjadi punca kebahagiaan hidup bermasyarakat. Kerana punca masyarakat bahagia adalah daripada keluarga bahagia dan tersusun akhlaknya.

Wahai bakal imamku,
Bersama-samalah kita kuatkan hati dan istiqamah berdoa kepada Allah, semoga segala impian kita tercapai dan dilindungi daripada bala bencana. Semoga cinta kita sampai syurga.

Sunday, September 8, 2019

Zahirnya kuat tetapi Rapuh

Assalamualaikum sahabat maya..

Alhamdulillah saya masih diberikan kekuatan untuk mencoret hari ini..

Pernahkan kalian melihat, saat wanita dikhitbah, dia menangis sahaja sepanjang waktu khitbahnya. Biasanya, tersenyum gembira.

Namun, ada juga wanita yang dirundung pilu. Bukannya ingin berfikir yang bukan-bukan, tetapi pengalaman lalu membuatkannya berhati-hati dalam membuat keputusan.

Saat hati sudah diikat, menunggu masa terlafaz akad, tempoh waktu itu menjadi waktu berjaga-jaga untuknya. Andainya dia dikecewakan lagi.

Bukannya dia membandingkan pasangannya dengan yang lain, bahkan dia belum mengenal jelas lagi sifat pasangan yang bakal bernikah dengannya.

Ketika awal perkenalan, pelbagai janji manis ditabur. Sanggup susah senang bersama, mendengar luahan masalah bersama. Namun lama kelamaan, semuanya terbang ditiup angin.

Sedangkan wanita, tetap sedia berkorban untuk suami dan keluarganya sehingga akhir hayatnya. Saya tidak pesimis terhadap lelaki dengan tulisan saya hari ini, tetapi ia terbit daripada pelbagai kisah benar.

Hati wanita tidak sama seperti hati lelaki. Jiwanya mudah tersentuh, sedangkan lelaki masih boleh teguh jika ditegur. Jika ada wanita yang keras pun, hakikatnya Allah sahaja yang tahu betapa banyak air matanya telah jatuh untuk menahan sakitnya diuji.

Setelah membaca coretan Dr. Mat Rofa melalui bukunya Travelog Dakwah dari Bangi ke Seoul, betapa dia bersedih ketika akhir hayat isterinya, hanya sebentar masa yang mampu diluangkan bersama.

Dan semasa hayat isterinya pula, dia tidak banyak memuji akhlak isterinya secara zahir walaupun hatinya selalu berbuat demikian. Tiada yang buruk pun di matanya mengenai isterinya melainkan semuanya yang baik-baik belaka.

Hampir menangis saya membaca coretannya. Sedangkan manusia lain diuji lebih berat daripada kita sendiri. Kita harus bersyukur dengan ujian dari-Nya.

Renungi ciptaan Allah, dan bertasbihlah memuji-Nya. Allah yang menentukan jalan hidup kita. Dia yang menentukan di mana hayat terakhir kita.

Wassalam.

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...