Thursday, July 22, 2010

Sabarkah aku..

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah.. Syukur ke hadrat Allah kerana dengan rahmat-Nya aku mampu lagi melihat alam ini, mendengar kicauan burung-burung di sekeliling, melangkahkan kaki ke kolej, walaupun tetap ada halangan dan cabaran yang mendatang.


Beberapa hari ini, telah datang ujian dari Allah padaku bertimpa-timpa. Mungkin ini tanda kasih sayang Allah padaku. Tetapi aku merasakan sungguh kerdil untuk mendapat kasih sayang dari Tuhan Yang Maha Penyayang.


Pada hari Ahad baru-baru ini, aku bangun awal macam biasa. Selepas subuh, aku pergi membuang sampah dan selepas itu pula aku study Cost Accounting. Selepas itu, aku main game kat laptop aku. Kemudian, ada orang datang, saudara kepada sahabat aku. Katanya mahu meminjam laptop aku. Sedang aku dengan beberapa lagi sahabat yang lain menyiapkan hidangan dan air teh untuk tetamu kami itu, sahabat yang sedang berada di ruang tamu menjerit-jerit mengatakan saudaranya telah pergi begitu sahaja.


Sahabatku juga mengatakan bahawa laptop dan broadband aku turut dibawa pergi. Aku hanya mendiamkan diriku. Subhanallah, aku tak tahu harus berbuat apa. Kata sahabatku lagi, saudaranya memang tidak pandai mengambil barang orang. Aku hanya menenangkan diriku, tidak mahu sahabatku itu rasa bersalah denganku.


Beberapa hari sahabatku mencari, tak juga berjumpa. Aku tetap macam biasa. Cuma mungkin agak nampak aku banyak mendiamkan diri. Bukan kerana aku marah kerana berlakunya hal tersebut tapi kerana aku mahu menenangkan diriku. Aku juga tidak mahu sahabatku itu berasa sedih. Lalu hal itu aku serahkan pada Allah sahaja untuk mengaturnya.


Hari Isnin, kami terlambat ke kolej. Dari jauh kami sudah nampak lif hampir tertutup. Aku pula terlupa bahawa kasutku ini licin. Aku berlari ke lif tersebut namun belum sampai ke destinasi, aku terjatuh. Cerita ini agak kelakar bagiku tetapi sakitnya masih terasa sehinggalah aku masuk ke kelas.


Hari Selasa pula, aku dengan bangganya memberitahu seorang sahabat melalui mesej bahawa aku akan membantu sahabat di rumahku memasak. Sebelum itu, aku terbaca kisah Zulaikha dan Yusuf yang ketika Zulaikha menjemput wanita-wanita Mesir untuk melihat ketampanan Yusuf. Ketika itulah, mereka terhiris jari sendiri kerana terpukau dengan ketampanan Yusuf yang disangka malaikat. Kisah aku pula, agaknya aku asyik termenung. Jadinya, ketika aku memotong bawang putih, jari manisku terhiris. Agak dalam juga lukanya. Aku terpaksa pakai plaster sampai hari Khamis. Tapi aku terhiris jari bukan kerana terpukau dengan keindahan sesiapa, mungkin kerana hatiku tidak di situ.


Hari Rabu pula, aku terlanggar almari bajuku sendiri. Entah macam mana boleh jadi macam tu. Pagi itu juga aku dan Fara memasak udang masak lemak cili padi. Sahabat-sahabat serumah yang lain kata sedap tapi terlampau pedas.


Hari ini, Khamis. Aku terasa sangat jauh dari Allah. Bercelarunya hati dan perasaanku. Mengapa sangat celaru hatiku? Aku juga berasa tersangat sedih jika memang benar aku telah jauh dari Allah. Aku tidak sedih dengan dugaan yang bertimpa-timpa mendatangiku, itu tandanya Allah ingat aku. Tapi apakah aku ini selalu mengingati-Nya?



Ya Allah, janganlah Engkau jauh dariku. Sesungguhnya aku tidak mampu bernafas tanpa rahmat-Mu...

No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...