Kembali

Perjalanan sepi
mencari-Mu
iringan lagu syahdu
menemani tangisku...

Jangan ditinggalkan aku
Jangan disisihkan aku
Pimpinlah aku
Bimbinglah aku
menuju jalan-Mu...


Desiran angin meniup lembut langsir di tingkap. Angin malam yang sungguh lembut menyapa ruang hati. Tetapi sampaikah ke sudut hati.. Allah sahaja yang tahu. Teringat pula kata-kata teman suatu ketika.

“Kita sudah lama bersahabat. Alhamdulillah, sampai sekarang pun kita mampu untuk pertahankannya. Aku sayang sangat persahabatan kita ni. Aku harap persahabatan kita ni buat selamanya, insya Allah...”

Kami berdua tersenyum sedang teman-teman lain juga ceria. Aku masih ingat waktu itu kita masih bersama. Kita kenal waktu mula-mula masuk sekolah menengah. Kemudian setelah aku pindah, di hatiku tetap ada kamu.

Cerita tentang masa lalu
cerita tentang kau dan aku
kini tinggal hanya kenangan
kau tetap abadi dalam hatiku...

Seakan sebelah sayapku telah hilang bila kau tiada. Hatiku haru sepanjang masa. Kenangan kita sentiasa menemani hari-hariku. Aku mula berfikir bagaimana untuk mengukuhkan lagi persahabatan kerana Allah ini. Sebuah restoran untuk kita..

“Awak, tolong angkat kain kat luar ni kejap. Saya nak buang sampah kat belakang!”jeritan salah seorang teman rumahku mematikan lamunanku.

“Oh, okey..,”balasku.

********************************************

Peperiksaan akhir telah tiba. Aku sibuk mengulangkaji pelajaran dengan kawan-kawan kelasku. Takut juga tidak lulus, aku kena ulang kertas yang sama lagi. Tidak mahulah aku mengulang kertas.

Setelah tiga kertas berlalu, ternyata semuanya agak susah. Ramai agak tertekan dengan kertas-kertas soalan yang lepas. Aku cuba bertenang walaupun jauh di sudut hatiku ada tercalit rasa sangsi untuk lulus. Tetapi aku tidak sangsi dengan Allah. Pastinya setelah berusaha, kita kena berdoa. Keputusannya, tunggulah nanti. Jika baik, teruskan dengan subjek-subjek baru. Jika tidak, bersedialah untuk mengulang kertas lama.

Perjalanan yang agak jauh dari kolej ke rumah sewa menyebabkan kami mengambil keputusan untuk pindah ke kawasan yang berdekatan dengan kolej. Tambahan lagi, rumah kami yang ini telah dimasuki dua orang Negro yang dilihat oleh jiran-jiran telah membuka pintu rumah kami dalam tengahari. Namun, tiada apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa. Makan hati sahajalah kami semua nampaknya.

Cakap pasal makan hati, aku sekarang lebih banyak memikirkan tentang hatiku. Aku terlalu mengikut hati dan perasaan sendiri. Kadang-kadang aku membawa diri sendiri. Aku ingin kembali kepada-Nya. Cuma aku minta supaya aku bersendirian tanpa campur tangan daripada sesiapa tentang urusanku dengan Tuhanku.

Tiada sehari yang berlalu
tanpaku mengingatiMu
rindu padaMu
sentiasa mendambakan
kasih dan sayangMu


Semalam aku bermimpi
di dalam hujan ku berlari
Berlari mencari
memanggil-manggil nama-Mu
namaMu yang sempurna


Ku harap dan ku berdoa
semoga dapat
bersua denganMu


Tiada kata yang dapat kugambarkan
perasaan yang kualami
cintaku ini tiada berbelah bahagi
cinta yang suci dan abadi


Apakah aku diterima
atau kau kan membiarkan saja
kerana ku berdosa
jangan biarku terhina
ku merayu padaMu

Lagu ini berkumandang di radio IKIM.fm ketika perasaanku sangat berduka. Andainya aku hendak menceritakan kepada-Mu ya Allah, ia ada dalam lagu ini. Air mataku mengalir tanpa henti ketika mendengar lagu ini. Aku menangis ya Allah.. Aku menangis kerana dosa-dosaku. Jahatnya diriku ini ya Allah.. Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri. Ampunilah aku..

Orang-orang di sekelilingku hanya dapat melihat dan mencerca sesuka hati mereka tentang dosa-dosaku, tetapi sedarkah mereka akan dosa-dosa mereka. Sebenarnya aku telah menyedarinya dan mahu bertaubat. Aku lakukan kerana Allah dan bukan kerana manusia. Maafkan aku jika kata-kataku salah.

Seorang sahabatku berkata saat aku dirundung pilu begitu, “Tak semua orang sempurna. Setiap orang ada kelemahannya sendiri. Cuma antara dia nampak ataupun tak. Ada juga yang tahu nak tuding jari pada orang je sebab fikir diri dia tu terlalu perfect. Saya faham perasaan awak. Sabar la. Saya tahu awak macam mana. Orang yang sedar kesilapan diri lebih baik dari orang yang rasa dirinya tak buat salah apa-apa. Ingat awak, Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar. Saya sayang awak kerana Allah..”

Aku menangis sambil menekup bantal ke mukaku setelah menerima mesej daripada sahabat yang juga saudara seusrahku. Aku sangat bersyukur sebab dalam kalangan mereka, Allah masih lagi mengurniakan seorang sahabat yang mahu memahami hati manusia hina sepertiku. Dosaku adalah dosa yang orang lain boleh nampak dan cepat menilai. Aku tahu Allah buat semua ini supaya aku tidak terus hanyut. Aku harus kembali pada-Nya.

Selepas solat, aku menadah doa dengan iringan air mata kerana sebak yang melanda. Aku merayu-rayu pada Tuhanku. Aku meminta-minta agar diterima kembali.

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya diri ini sangat berdosa. Hamba datang kepada-Mu untuk membersihkan diri dan hati ini. Ampunilah aku, ibu bapaku, sahabat-sahabatku dan seluruh umat Islam. Ampunilah diriku ya Allah.. Dahulu aku merasakan dekatnya Engkau denganku. Namun, mudah benar aku tewas dengan syaitan yang direjam. Aku jauh dariMu kini ya Allah.. Terimalah aku kembali ya Allah dan ampunilah aku ya Allah...”

Kertas terakhir pagi tadi iaitu Makroekonomi, alhamdulillah boleh juga aku menjawabnya. Aku kira teman-teman yang lain juga dapat menjawab juga. Tiba sahaja di rumah, aku merehatkan diri. Sebelum masuk waktu Maghrib, aku masih lagi berkemas. Tiba-tiba terasa sedih untuk meninggalkan semua ini.

Niat di hatiku ingin menjaga hati dan berubah semasa di kampung. Tetapi, jika masaku berubah nanti Allah menarik nyawaku, aku sangat berharap Allah menerimaku sebagai hamba-Nya dan aku diampunkan daripada dosa-dosa. Pernah suatu ketika aku bertanyakan ustaz,

“Ustaz, bagaimana kalau seseorang itu telah melakukan terlalu banyak dosa, adakah dia diampunkan jika dia pergi berjihad dan mati di jalan Allah setelah bertaubat?”

“Soalan ni saya dapat samakan dengan cerita seorang pembunuh yang telah membunuh hampir seratus orang. Setelah membunuh yang ke 99, pembunuh ini telah berjumpa dengan seorang alim ulamak dan menceritakan bahawa dia telah membunuh ramai orang dan sekarang dia ingin bertaubat. Dia bertanya alim ulamak itu adakah dia akan diampunkan? Maka alim itu berkata, tidak, dia tidak akan diampunkan. Pembunuh itu tersangat marah dan membunuh alim ulamak tersebut lalu cukuplah seratus orang.

“Setelah itu, pembunuh itu tidak puas hati lagi dan berjumpa seorang lagi alim ulamak dan bertanyakan soalan yang sama. Tetapi jawapan yang berbeza diterima daripada alim ulamak ini. Alim ulamak itu berkata, kamu akan diampunkan kalau kamu bertaubat dengan syarat, kamu mesti meninggalkan tempat ini.

“Lalu pembunuh itu pun meninggalkan tempat itu. Dalam perjalanan ke tempat baru, Allah telah memerintahkan malaikat maut mengambil nyawa pembunuh tersebut. Setelah kematiannya, berebutlah malaikat Ridhwan dan Malik untuk menghantar ke syurga atau neraka. Lalu Allah perintahkan agar mengukur tempat pembunuh tersebut tinggalkan dan tempat yang dia sedang tuju untuk bertaubat. Ternyata dengan takdir Allah, tempat yang dituju lebih dekat ketika itu lalu dia dimasukkan ke syurga.”

Aku terdiam mendengar penjelasan ustaz. Namun, bolehkah aku menjadi seperti itu? Aku sangat berharap kematian akan tiba sebelum lebih banyak dosa ku lakukan. Sambil mengemas, aku menyanyi-nyanyi lagu nasyid.

Selamat tinggal kepada semua
berpisah kita selamanya
kita tak sama nasib di sana
baikkah atau sebaliknya...

Buat teman-teman, percayalah kasih kita tetap bersama. Buat yang dicintai, percayalah kasih kita tetap bersemadi dengan redha dari Allah. Aku tahu dirimu sangat sedih jika aku berbicara tentang kematian tetapi kematian itu pasti.

“Tiap-tiap yang bernyawa pasti merasakan mati...”

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...