Sunday, November 7, 2010

Warkah anakanda untuk ayahanda dan bonda

Assalamualaikum warahmatullah...

Ke hadapan ayahanda dan bonda yang sudah tiga minggu tiada di bumi Malaysia. Anakanda tertanya-tanya bagaimana agaknya khabar ayahanda dan bonda di bumi berkah itu. Semoga berada dalam baik-baik sahaja ya, ayahanda dan bonda berdua.

Ayahanda dan bonda yang dirindui,

Masih tidak lekang dari fikiran anakanda saat kalian berdua hendak berangkat pergi meninggalkan kami adik-beradik untuk menunaikan rukun kelima tersebut. Walaupun pada mulanya anakanda yang berdegil supaya ayahanda dan bonda pergi ke sana, tidak perlu memikirkan tentang kami adik-beradik kerana anakanda pasti kami semua boleh menjaga diri kami di sini. Lagipun, ini panggilan khas dari Allah. Tidak mungkin panggilan ini akan datang berkali-kali. Sesungguhnya anakanda sangat bersyukur dengan pemergian kalian berdua menuju Allah Yang Satu di sana.

Namun begitu, ayahanda dan bondaku, sesungguhnya anakandalah yang terasa sangat sayu dengan perpisahan kita walaupun sementara. Di saat ayahanda dan bonda sedang bersiap hendak pergi, saudara-mara sudah ramai membanjiri rumah kita. Saat Pak Cik Bakar melaungkan azan, hati anakanda sudah pun berasa sangat pilu. Anakanda tak mampu menahan tangis melihat wajah ayahanda dan bonda pada ketika itu.

Ayahanda dan bondaku yang dicintai,

Adik Akmal demam selama beberapa hari semenjak sebelum kalian berangkat lagi. Anakanda masih ingat waktu di lapangan terbang menghantar ayahanda dan bonda berdua, Nurul dan Hakim menangis. Aisyah, Asyraf dan Akmal hanya menahan sebak di dada. Sedangkan anakanda, anakmu yang sulung ini, sejak berhari-hari pemergian kalian pun tidak mampu menahan air mata yang mengalir. Sehingga saat anakanda menaip ini pun, air mata seakan tidak mahu berhenti.

Anakanda tahu ayahanda dan bonda berdua sedang menunaikan kewajipan yang Allah perintahkan. Anakanda berasa gembira dengan hal itu. Tetapi, apabila terkenangkan tahun inilah Hari Raya Haji yang kami sambut adik-beradik tanpa ayahanda dan bonda. Sesungguhnya anakanda semua sangat merindui ayahanda dan bonda. Mungkin kerana kesibukan dan susah untuk membuat talian dari sana, sudah lama kita tidak dapat berhubung.

Ayahanda dan bonda yang sangat disayangi,

Sesungguhnya biarpun sesiapa pun yang menjaga kami dengan sangat baik, takkan menyamai kehadiran ayahanda dan bonda. Anakanda minta ampun dan maaf atas segala kesilapan anakanda yang banyak menghiris hati kalian berdua sejak anakanda lahir hinggalah berakhir hidup anakanda.

Sudah dua minggu anakanda menduduki peperiksaan, tetapi peperiksaan kali ini tidak sama dengan peperiksaan sebelum ini. Sebelum ini, anakanda pasti menghubungi ayahanda dan bonda sebelum masuk dewan dan selepas keluar dewan. Jika anakanda bosan, sedih atau gembira pasti anakanda akan menelefon ayahanda dan bonda. Tetapi, kali ini semuanya jauh berbeza. Anakanda yakin ini semua ujian dari Allah untuk anakanda hadapi dengan tabah, juga apabila memikirkan adinda-adinda yang tersayang jauh di Terengganu sedangkan anakanda berada di Kuala Lumpur.

Ayahanda dan bondaku yang tercinta,

Nurul bakal menghadapi SPM selepas Hari Raya Haji nanti. Aisyah pula akan mendapat keputusan UPSR pada November ini juga. Anakanda ingin menemani adinda Aisyah mengambil keputusannya. Anakanda yakin adinda Aisyah pasti dapat keputusan yang bagus. Nurul pula menghadapi masalah untuk SPMnya. Gurunya tidak membenarkan Nurul tinggal di asrama pada tempoh peperiksaan berjalan selagi tidak membayar semua yuran selama tinggal di sana. Anakanda telah meminta adinda Nurul supaya meminta gurunya memberi kebenaran untuk membayar untuk bulan November dahulu. Untuk bulan Disember, anakanda akan gunakan duit pinjaman anakanda yang akan masuk akhir bulan November. Anakanda tahu ini permintaan bonda supaya Nurul tinggal di asrama sepanjang tempoh tersebut untuk memudahkan Nurul menghadapi peperiksaan. Anakanda pun telah meminta Mak Ti untuk berjumpa dengan gurunya itu. Anakanda harap gurunya lembut hati untuk membenarkan Nurul tinggal di asrama sepanjang tempoh peperiksaan berjalan.

Hakim pula memberitahu anakanda ingin balik kampung di Kelantan untuk beraya dengan nenek. Anakanda sudah menghubungi Pak Su memberitahu hal ini. Jika Pak Su datang barulah Hakim boleh balik sana. Mungkin juga Asyraf akan menemani Hakim ke sana. Kalau tidak, mungkin beraya di Terengganu. Kemungkinan Hari Raya Haji yang ketiga, ada dua orang sahabat anakanda dari Kuala Lumpur hendak bertandang ke rumah kita. Anakanda ingin bawa mereke mengenali Terengganu dan keindahannya yang masih lagi segar.

Ayahanda dan bonda yang sangat dirindui,

Jagalah kesihatan kalian berdua di sana. Semoga kalian dapat balik ke sini dengan selamat dan haji yang mabrur. Anakanda mohon ampun andai banyak tersalah bicara dalam warkah anakanda ini dan juga selama anakanda lahir hinggalah ke hujung nyawa anakanda. Ampunkanlah kesalahan-kesalahan anakanda yang tak terkira itu. Anakanda sangat bersyukur mempunyai ayahanda dan bonda yang sangat penyayang meskipun ada kekurangan dalam keluarga kita, tapi kali ini apa yang nampak di pandangan anakanda hanya semua kebaikan ayahanda dan bonda terhadap kami adik-beradik.

Salam sayang sejernih aliran al-Kautsar di Jannah, semoga titis-titis mutiara jernih akan menambah tautan kasih dalam usrah kita, menganyam rindu saat menghitung hari, diiringi doa kudus pertemuan setelah perpisahan sementara ini. Semoga Allah sentiasa menemani hari-hari kalian.

Anakandamu yang sangat merindui kalian,
Siti Zulaikha Binti Mohd Zain

No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...