Thursday, July 22, 2010

Sabarkah aku..

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah.. Syukur ke hadrat Allah kerana dengan rahmat-Nya aku mampu lagi melihat alam ini, mendengar kicauan burung-burung di sekeliling, melangkahkan kaki ke kolej, walaupun tetap ada halangan dan cabaran yang mendatang.


Beberapa hari ini, telah datang ujian dari Allah padaku bertimpa-timpa. Mungkin ini tanda kasih sayang Allah padaku. Tetapi aku merasakan sungguh kerdil untuk mendapat kasih sayang dari Tuhan Yang Maha Penyayang.


Pada hari Ahad baru-baru ini, aku bangun awal macam biasa. Selepas subuh, aku pergi membuang sampah dan selepas itu pula aku study Cost Accounting. Selepas itu, aku main game kat laptop aku. Kemudian, ada orang datang, saudara kepada sahabat aku. Katanya mahu meminjam laptop aku. Sedang aku dengan beberapa lagi sahabat yang lain menyiapkan hidangan dan air teh untuk tetamu kami itu, sahabat yang sedang berada di ruang tamu menjerit-jerit mengatakan saudaranya telah pergi begitu sahaja.


Sahabatku juga mengatakan bahawa laptop dan broadband aku turut dibawa pergi. Aku hanya mendiamkan diriku. Subhanallah, aku tak tahu harus berbuat apa. Kata sahabatku lagi, saudaranya memang tidak pandai mengambil barang orang. Aku hanya menenangkan diriku, tidak mahu sahabatku itu rasa bersalah denganku.


Beberapa hari sahabatku mencari, tak juga berjumpa. Aku tetap macam biasa. Cuma mungkin agak nampak aku banyak mendiamkan diri. Bukan kerana aku marah kerana berlakunya hal tersebut tapi kerana aku mahu menenangkan diriku. Aku juga tidak mahu sahabatku itu berasa sedih. Lalu hal itu aku serahkan pada Allah sahaja untuk mengaturnya.


Hari Isnin, kami terlambat ke kolej. Dari jauh kami sudah nampak lif hampir tertutup. Aku pula terlupa bahawa kasutku ini licin. Aku berlari ke lif tersebut namun belum sampai ke destinasi, aku terjatuh. Cerita ini agak kelakar bagiku tetapi sakitnya masih terasa sehinggalah aku masuk ke kelas.


Hari Selasa pula, aku dengan bangganya memberitahu seorang sahabat melalui mesej bahawa aku akan membantu sahabat di rumahku memasak. Sebelum itu, aku terbaca kisah Zulaikha dan Yusuf yang ketika Zulaikha menjemput wanita-wanita Mesir untuk melihat ketampanan Yusuf. Ketika itulah, mereka terhiris jari sendiri kerana terpukau dengan ketampanan Yusuf yang disangka malaikat. Kisah aku pula, agaknya aku asyik termenung. Jadinya, ketika aku memotong bawang putih, jari manisku terhiris. Agak dalam juga lukanya. Aku terpaksa pakai plaster sampai hari Khamis. Tapi aku terhiris jari bukan kerana terpukau dengan keindahan sesiapa, mungkin kerana hatiku tidak di situ.


Hari Rabu pula, aku terlanggar almari bajuku sendiri. Entah macam mana boleh jadi macam tu. Pagi itu juga aku dan Fara memasak udang masak lemak cili padi. Sahabat-sahabat serumah yang lain kata sedap tapi terlampau pedas.


Hari ini, Khamis. Aku terasa sangat jauh dari Allah. Bercelarunya hati dan perasaanku. Mengapa sangat celaru hatiku? Aku juga berasa tersangat sedih jika memang benar aku telah jauh dari Allah. Aku tidak sedih dengan dugaan yang bertimpa-timpa mendatangiku, itu tandanya Allah ingat aku. Tapi apakah aku ini selalu mengingati-Nya?



Ya Allah, janganlah Engkau jauh dariku. Sesungguhnya aku tidak mampu bernafas tanpa rahmat-Mu...

Friday, July 16, 2010

Untuk Sahabat


Aku terbaca ceritamu sahabatku
aku juga merasai kerinduanmu
yang jauh di sana

Maafkan aku sahabatku
kerana tidak memberitahumu khabarku
sudah terlalu lama kita menyepi
tapi aku tahu kau memahamiku
dan aku juga memahamimu

Dari Allah hati kita bersatu
mawaddah kita mekar kerana-Nya
sayang kita harapnya sampai ke syurga

Sahabatku,
ketahuilah bahawa kita memang saling melengkapi
aku ingin menjadi seperti As-Siddiq
setia berkorban untuk sahabatnya
tetap percaya walau dicerca

Namun,
Jika aku banyak melukaimu sahabatku sayang
maafkanlah aku
aku hanya insan yang terlalu banyak kurangnya

Sahabatku sayang
harapnya nanti perjuangan kita tetap mekar kerana Allah
berterusan ukhwah ini sehingga hembusan nafas terakhir
bersama-sama meniti As-Sirat
dan juga melangkah kaki ke Jannah Abadi

Semuanya kerana Allah
Insya Allah...

Saturday, July 10, 2010

Bicara malam hari

Alhamdulillah..

Inilah masakan sahabat-sahabat saya petang tadi. Nasi ayam. Berselera sungguh saya makan. hehe.. Sambil membantu tadi, saya dapat juga belajar. Minggu depan dah start semua ahli rumah bertugas. Setiap seorang memang tak terlepas daripada tugas memasak. Agaknya dah boleh belajar jadi suri rumah ni. (hehehe..)

Kali ini, saya tak ada cerita yang menarik sangat. Hari cuti betul-betul membosankan. Masa yang berlalu terasa begitu lambat. Mahu sahaja saya menarik hari Isnin supaya duduk dekat sikit dengan saya. Bukan apa, best sikit ada kerja nak buat kalau duk kat kolej.

Pagi tadi saya dah post tentang Israk Mikraj. InsyaAllah, jika berkesempatan lagi saya nak kongsi lagi cerita-cerita yang menarik.

Kepada sahabat-sahabat yang sudi mengunjungi 'halaman rindu' saya ni, terima kasih daun keladi. Lain kali datang lagi.. (",)

Bertemu kita kerana Allah, berpisah juga kerana Allah. Semoga penghujungnya ada keredhaan dari Allah. Insya Allah dan amin..

Friday, July 9, 2010

Peristiwa bersejarah Israk Mikraj


Alhamdulillah..

Bersyukur ke hadrat Allah kerana memberi peluang pada hari ini, 27 Rejab 1431 H untuk kita sama-sama menghayati kisah bersejarah Israk Mikraj. Alhamdulillah juga kerana Allah membukakan hati seorang sahabat untuk mengingatkan tentang peristiwa ini tepat pukul 3.30 pagi tadi.

Terdetik di hati saya untuk berkongsi kisah yang saya petik daripada iluvislam.com. Terima kasih juga diucapkan kepada iluvislam.com. Marilah sama-sama kita hayati kisah ini.

Sejarah Isra' dan Mikraj


Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Isra" itu.

Semasa Isra'
(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa)


Sepanjang perjalanan (isra') itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);


Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

Masjidil Aqsa Hari Ini

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj
(Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)


Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah.

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ila ha illallah allahuakbar dan Wa La Haulawala Quwata Illabillahil Azim.

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.

10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T: Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Subhanallah! Betapa banyak keistimewaan yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan umat baginda. Sama-samalah kita muhasabah diri apakah tindakan kita setelah mengetahui semua ini.

Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1)

Tuesday, July 6, 2010

Cinta Tanpa Hijab

Bismillahirrahmanirrahim..

Pagi yang indah dan dingin. Suasana kota kurang terasa kerana letaknya apartmenku terperosok ke dalam sedikit. Merpati-merpati jinak menarik perhatianku di pagi hening ini.

Teringat pula semalam. Aisyiah dan Syu datang ke rumah. Gembira juga rasa di hati kerana ada juga sahabat-sahabat yang ingin bertandang ke rumah kami. Lagipun, ada barangnya yang aku simpan daripada semester lepas di rumahku.


Aku turut rasa bertuah kerana mempunyai sahabat-sahabat yang sangat menjaga, di samping itu sangat memahami. Perasaanku terjaga, pergaulanku juga turut terjaga. Hidayah itu milik Allah. Tiada siapa yang dapat mengubah ketentuan-Nya. Allah akan memberinya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Bukanlah kita yang menetapkan siapa yang akan mendapat hidayah Allah.

Aku juga pernah terfikir dahulu tentang perkara ini. Kita cuba untuk mengubah orang lain tetapi jika orang itu sendiri tiada usaha untuk berubah, kita tiada kuasa untuk mengubahnya. Allah juga ada berfirman, "Kami tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah kaum itu sendiri mengubah dirinya.."


Pernah suatu masa dahulu ada ikhwan bersama temannya datang ke kelasku. Temannya memberitahu aku bahawa ikhwan itu ingin berubah jika aku ingin menerimanya. Aku pelik. Dia yang hendak berubah, mengapa harus memberitahu aku? Beritahulah pada Allah. Sedangkan aku ini cuma manusia. Aku juga dalam proses perubahan.


Ikhwan tersebut bersungguh-sungguh menunjukkan perubahannya tetapi aku pula berasa tidak sedap hati. Seperti ada yang tidak kena. Lalu aku biarkan sahaja ikhwan tersebut. Tidak lama kemudian, kami terserempak lagi. Perubahannya yang hari itu tidak kekal lama. Dia kembali menjadi seperti dahulu.
Salah akukah itu atau salah dia? Atau salah Allah? Astaghfirullahal azim, sesungguhnya Allah tak pernah salah. Dalam sabda Nabi S.A.W.:

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Jika dia berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya. Jika hijrahnya kerana dunia dan perempuan yang ingin dikahwininya, maka dia mendapat apa yang dihijrahkannya."

Hadith tersebut sangat berkaitan dengan kehidupan kita. Bukanlah kita ini mempunyai kuasa untuk mengubah sesiapa, kerana hanya Allah yang berkuasa ke atas hati-hati makhluk-Nya.

Sebagai Muslim, memang wajib bagi kita untuk berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran. Namun, hanya Allah yang akan menentukan siapa yang akan menerima pesanan kita dan berubah. Sedangkan setiap kita juga mengalami proses perubahan. Mungkin hari ini kita rasa boleh beribadah sebanyak mana yang kita nak. Tapi, kadangkala terdetik rasa malas.
Diriku hanya insan biasa. Bukan maksom seperti Rasulullah S.A.W. Banyak juga kurang dari lebihnya. Terasa diri ini begitu kerdil di hadapan Allah.

"Hidayah itu milik Allah. Kadang-kadang kita suka kat seseorang itu, kita cuba hendak mengubah dia menjadi lebih baik. Supaya jadi lebih Islamik. Namun ada juga terdetik rasa tidak sedap hati. Ada sesuatu pula yang menghalang hubungan kita dengan Allah. Rupa-rupanya ada hijab yang pula antara kita dengan Allah," kata seorang sahabat serumahku.

Aku bersetuju dengannya. Bukan muhrim tetap bukan muhrim. Tetap ada peraturan yang perlu dipatuhi supaya tak terleka dengan fitrah. Macam mana pun kita anggap seorang ajnabi sebagai sahabat biasa, namun perasaan sebagai manusia dan bisikan syaitan tetap mengganggu.


Perasaan inilah yang mulanya kecil akhirnya menjadi sesuatu yang besar yang bisa membunuh hati kita sendiri. Kasihannya hati kita kerana sikap dan perbuatan kita sendiri.
Aku tersedar dari lamunanku yang agak panjang. Alhamdulillah.. Allah masih memberi aku peluang merasai nikmat nyawa ini supaya aku dapat terus istiqamah dalam perubahanku. Sesungguhnya cinta tanpa hijab ialah cinta Allah dan hamba-Nya yang tidak memerlukan perantaraan. Hanya kita dan Dia.

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya akau bertawakkal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki arasy yang agung."(Surah Ali Imran : 129)

Atas Nama Cinta



Tika mata diuji manisnya senyuman
terpamit rasa menjunjung harapan
dan seketika terlontar ke dunia khayalan
hingga terlupa singkat perjalanan

Tersedar aku dari terlena
dibuai lembut belaian cinta

Rela aku pendamkan impian yang tersimpan
engganku keasyikan
usah keindahannya merampas rasa cinta
pada Dia Yang Lebih Sempurna

Bukan mudah bernafas dalam jiwa hampa
dan ku cuba menyirnakan pesona maya
kerana tak upaya kuhadapinya
andai dukanya menghukum leka

Di atas nama cinta pada Yang Selayaknya
kunafikan yang fana
moga dalam hitungan setiap pengorbanan
agar disuluh cahaya redha-Nya

Biar sendiri hingga hujung nyawa
asal tak sepi dari kasih-Nya
kerana sesungguhnya hakikat cinta
hanya Dia Yang Esa

Di atas nama cinta pada Yang Selayaknya
kunafikan yang fana
moga dalam hitungan setiap pengorbanan
agar disuluh redha

Salahkah hati ini dengan cinta hakiki
sehingga kurasai
nikmat-Nya
syurga-Nya
cinta-Nya...

Lirik lagu oleh UNIC ini terkadang membawa semula diriku kepada-Nya tika diri hanyut dalam arus permainan dunia. Semoga Allah menetapkan hati kita pada-Nya...

Sunday, July 4, 2010

Saya sayang mak dan abah!


Hidangan makan malam


Bismillahirrahmanirrahim.. Alhamdulillah.. Sekali lagi saya berpeluang untuk berkongsi cerita di halaman saya yang sudah sepi beberapa hari ini.

Terlebih dahulu nak juga saya kongsi cerita pertama kali tinggal di rumah sewa. Terfikir juga bagaimana hendak mencari makanan tengahari kerana kedai-kedai makan Melayu dibuka pada pukul 5.00 petang. Hanya kedai-kedai mamak yang dibuka dari pagi sampai malam.

Allah memang memberi rezeki kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Rupa-rupanya sahabat-sahabat serumah memang pandai memasak. Semalam dah makan ayam masak kurma. Pagi tadi kami makan makaroni. Dan baru sahaja sebentar tadi kami menjamu dengan penuh selera mihun sup yang sangat lazat. Insya Allah hasil tangan kami dari enam buah negeri yang berlainan. Sambil memasak pun pelbagai loghat bahasa yang keluar. Kadang-kadang tercuit rasa lucu apabila melihat sahabat-sahabat ter'hairan' dengan loghat sendiri. (hehehe..) Alhamdulillah..

Sementara menunggu 'turn' nak solat, saya mencapai buku tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang bertajuk 'Bercinta Sampai Ke Syurga' jilid dua, sambungan daripada 'Aku Terima Nikahnya'. Kebetulan sesampainya saya di sini, sudah habis saya baca buku 'Aku Terima Nikahnya'. Agak best jugak cerita dalam buku tu. Banyak mesej yang dapat dijadikan panduan khususnya bagi pelajar yang sudah berfikir soal nikah kahwin ni. Satu yang saya dapat kongsi ialah:

'Perkahwinan bukanlah hanya menghalalkan yang haram tetapi ia mesti bertunjangkan atas dasar tanggungjawab di samping adanya dalam memahami perasaan pasangan'.


Saya baca buku ini bukanlah kerana ingin berkahwin cepat atau apa. Cukuplah untuk saya memahami bagaimana keadaan abah dan mak masa nak kahwin dahulu. Lagipun, buku tersebut pun sangat bagus dibaca oleh yang belum berkahwin. Sangat penting untuk kita memahami semua ini.
Dalam jilid kedua yang saya baru baca sedikit, dapat juga saya ambil sedikit input tentang IBU BAPA.

Perkongsian kali ini bagi saya mungkin agak menyedihkan kerana kenangan lama waktu kecil kembali membayangi ruangan mata.
Saya bukanlah anak yang sangat taat ketika dahulu. Ibu bapa saya sangat baik terhadap saya. Seharusnya saya membalas dengan berlaku baik pula kepada kedua ibu bapa saya.

Sewaktu saya di darjah enam, saya sudah pandai melawan cakap. Saya tidak suka berada di rumah.
Saya akan lakukan apa sahaja asalkan saya rasa gembira. Saya lupa bahawa semasa saya di darjah tiga, saya pernah dilempar dengan batu oleh seorang budak lelaki. Mak saya terkejut sebaik sahaja melihat dahi saya bengkak semasa baru pulang dari sekolah dan saya pula teresak-esak menangis. Mak saya yang pada ketika itu dalam pantang cepat-cepat ke dapur mengambil batu untuk menuam dahi saya. Astaghfirullahal Azim..

Banyak lagi yang mak sanggup lakukan untuk saya. Saya sentiasa lupa. Ternyata saya bukanlah anak yang baik. Allah memang Maha Pengasih kerana dalam masa sekejap sahaja Dia menyedarkan saya. Saya memang sangat angkuh kerana membelakangkan mak saya.

Allah memang Maha Adil. Peperiksaan UPSR saya tidak seperti yang saya jangkakan. Saya tidak mendapat keputusan yang cemerlang. Pada hari keputusan keluar juga, mak yang menemani saya. Tapi, wajah mak saya tidak menunjukkan sebarang reaksi. Saya pula terus menangis tidak henti-henti setelah masuk ke bilik. Saya memang anak yang ego dan sangat suka mempertahankan ego yang hanya akan memusnahkan diri sendiri.
Tangisan itu bukan hanya bersedih dengan keputusan peperiksaan tersebut, tetapi PENYESALAN DI ATAS DOSA-DOSA.

Subhanallah! Allah masih sayangkan kita kerana memberi peluang untuk menebus balik kesalahan-kesalahan tersebut.
Tekad saya selepas itu untuk mentaati sepenuhnya mak dan abah saya selagi tidak melanggar syariat Islam. Saya sebenarnya sangat bertuah kerana memiliki ibu bapa saya. Tetapi kadang-kadang saya rasa sedih kerana sering sahaja melukakan hati mak dan abah saya.

Teringat pula sebuah cerita dari dalam buku 'Bercinta Sampai Ke Syurga':


Suatu ketika Umar bin Al-Khattab dan para sahabat terlihat seorang perempuan yang mendukung seorang lelaki tua. Umar r.a. bertanya kepada perempuan tersebut: "Kenapa dengan kamu ini?"

Perempuan itu menjawab, "Ini ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku."
Umar r.a. sangat teruja dengan peristiwa tersebut lalu berkata, "Wahai sahabat, tengoklah perempuan ini. Dia sudah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya."
Perempuan itu membalas, "Tidak ya Amir al-Mukminin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku ketika kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaganya ketika tua, aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati!"


Subhanallah! Sangat terkejut saya membaca cerita tersebut. Na'udzubillahi min dzalik. Janganlah perkara tersebut berlaku kepada kita.

Allah berfirman dalam Al-Qur'an, " Dan berbuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapamu..." Kebetulan tengahari tadi yang menambahkan lagi kesedihan saya yang menjadi perantau ini, saya bermimpi mak dan abah saya. Mak saya sangat sakit dan hanya menunggu masa sedangkan abah saya menjaganya dengan sangat prihatin. Dalam mimpi itu juga saya rasa sangat berdosa kepada mak saya. Tersedar sahaja dari mimpi, saya terasa ingin menangis.

Selepas baca buku 'Bercinta Sampai Ke Syurga', saya terus menelefon mak dan abah saya. Seronoknya dapat bercakap dengan mereka.
Kata Ustaz Hasrizal, kita ada ramai kawan, tapi kita cuma ada seorang ibu dan seorang bapa. Tepat sekali pernyataan tersebut. Saya sangat bersetuju.

Keseronokan bersama sahabat-sahabat di sini diharapkan tidak akan melupakan saya terhadap mak dan abah saya. Sememangnya saya bukan seorang yang mesra bila dekat dengan mereka tetapi bila jauh rindu pula bertamu. Itulah yang menambahkan kasih sayang antara saya dengan mak dan abah. Insya Allah..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...