Thursday, June 24, 2010

Serahkan cintaku pada Allah


Kicauan burung-burung cukup mendamaikan hatiku pada pagi ini. Pokok mempelam di hadapan bilikku meneduhkan pancaran cahaya mentari di bilikku. Nampak mendung sahaja pagi ini. Mungkin kerana hujan semalam. Lantas embun masih belum mahu bersembunyi.

Ayam-ayam tidak berkokok pagi ini. Mungkin sedang tidur. Maklumlah, pagi masih dingin. Kedinginan inilah yang mengusik jiwaku ketika di Kuala Lumpur. Saat indah di rumah sendiri manakan sama dengan hidup di tempat lain. Walaupun di sinilah seringkali berlaku pertelingkahan antara aku dan keluargaku, tapi bila jauh rindu pula menyapa.

Itulah aku. Anak yang degil tapi cuba untuk jadi baik. Kasihan juga pada mak dan abahku kerana anak sulungnya begini. Banggakah mak dan abahku mempunyai anak degil seperti aku? Gembirakah adik-adikku mempunyai kakak yang garang? Aduhai, itulah aku..

Dalam kedinginan yang masih terasa, aku rupa-rupanya masih teringat dia. Semalam aku bercerita dengan seorang sahabat perempuanku tentang dia. Aku memberitahunya bahawa aku sudah lupakannya. Tapi hari ini ingatan tentang dia masih ada.

Kali ini ingatanku bukan kerana perasaanku, tapi kerana hati aku nekad. Akan kubuang ingatan ini jauh-jauh. Ya Allah.. Semoga akan ada bahagia untukku..

Aku tidak ingin lagi mengingati perkara-perkara yang telah berlalu. Aku cuba menjaga pergaulanku supaya tidak terlalu rapat dengan kaum Adam. Hatiku sudah cukup terluka dengan perkara lalu. Mungkin itu yang aku tak dapat lupakan.

Aku bukan pendendam. Setiap malam sebelum tidur, aku akan memaafkan semua orang dan aku juga ingin semua orang memaafkan aku. Biar tenang rohku untuk dipegang Allah seketika waktu. Atau mungkin, jika Allah ingin mengambil nyawaku saat itu juga biarlah diriku mendapat keampunan Allah dan semua makhluk.

"Aku bersyukur sangat-sangat sebab Allah tarik kita daripada tersungkur ke lembah itu. Tapi gitu la kan.. kenangan-kenangan tentang dia masih juga datang. Itu yang membuatkan aku rasa lemah. Terutamanya kalau aku duduk kat rumah, lagilah aku teringat. Kalau kat tempat belajar, aku tak ingat langsung sebab hati ini selalu ditarbiah, diberi peringatan melalui halaqah-halaqah. Tapi gitu la.. perit tu memang perit sebab kita dah sayang orang tu sepenuh hati. Tak ada gunanya juga sebab kita bukannya tahu jodoh kita dengan dia atau dengan orang lain. Sekarang, kita hanya mampu berdoa moga-moga Allah temukan kita dengan jodoh yang soleh, sefikrah dengan kita, yang dapat bimbing dan didik kita.." kata-kata sahabatku membuatkan aku terfikir tentang dia.

Aku mengakui, apa yang sahabat perempuanku rasa itu sama sepertiku. Tarbiahlah yang membuat kami menjadi kuat untuk teruskan perjuangan ini. Tazkirahlah yang mengingatkan kami bahawa Allah lebih berhak ke atas hati-hati ini. Sedangkan di dalam Al-Qur'an, berkali-kali Allah berfirman, "Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui semua isi hati.." Aku merujuk surah Ali Imran ayat 29, 119 dan 154, surah Al-Ma'idah ayat 7, dan surah Al-Anfal ayat 43.

Masih ada lagi firman Allah tersebut dalam ayat-ayat lain. Betapa Allah masih memberi aku peluang untuk mendekati-Nya sedang hati ini penuh kebimbangan dan kesedihan. Dalam Al-Qur'an juga berulang kali juga Allah menyebut, ".. tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati." (Surah Al-Baqarah: 277)

" Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) kamu bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman."(Surah Ali Imran: 139)

"Ya Tuhan Kami, sesungguhnya kami mendengar orang yang menyeru kepada iman, (iaitu), "Berimanlah kamu kepada Tuhanmu," maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan hapuskanlah kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami beserta orang-orang yang berbakti.
Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan melalui rasul-rasul-Mu. Dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat. Sungguh, Engkau tidak pernah memungkiri janji." (Surah Ali Imran: 193-194)

Allah memang tidak pernah memungkiri janji-Nya. Segala apa yang ditakdirkannya memang Dia tahu itu yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Kadang-kadang kita merasa pedih kerana derita yang ditimpakan, tapi aku percaya selepas itu akan ada bahagia.

Meskipun bahagia yang dicari masih tak kunjung tiba, ianya ada di hati. Hati yang redha dan menerima segala ketentuan Allah. Hati yang qana'ah dan bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah yang Allah kurniakan. Sebagaimana Allah menyebut sebanyak 31 kali di dalam Surah Ar-Rahman, " Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?"

Betapa banyaknya nikmat Allah, termasuklah nikmat kasih sayang. Allah itu Maha Penyayang kerana itulah adanya cinta. Allah Maha Penjaga kerana telah menjaga hati-hati yang lalai daripada terus tertipu dengan cinta dunia. Allah Maha Adil kerana Dia telah menetapkan suatu masa yang sangat tepat untuk kita bertemu dengan orang yang benar-benar sesuai dan baik untuk kita.

Semilir angin dari sungai bertiup perlahan mengucapkan kata-kata indah dari Al-Qur'an untukku. Tenangnya kurasakan kini dalam perhatian dan rahmat-Nya. Ya Allah, janganlah Kau jauh dariku dan tetapkanlah hatiku untuk-Mu. Mutiara jernih sudah kering setelah lama membasahi pipiku. Mata ini juga sudah pedih menahan duka. Biarlah Allah Yang Maha Pengasih membersihkan luka di hati kerana Dialah Pemilik hati-hati.

No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...