Saturday, June 19, 2010

Kesihatan Bermula daripada Kebersihan


Kebersihan adalah perkara yang amat dituntut dalam agama sebagaimana hadis Nabi yang bermaksud, "Kebersihan itu sebahagian daripada iman" (Direkodkan oleh Muslim). Al-Quran juga turut menekankan soal kebersihan dalam Surah al-Muddatsir: Ayat 4-5 yang bermaksud, "Dan pakaianmu, bersihkanlah. Dan segala kejahatan, tinggalkanlah". Oleh itu, terdapat beberapa jadual sunah Rasulullah yang dilakukan secara berkala bagi menjaga kebersihan diri. Antaranya;

1) Membersihkan tangan selepas bangun tidur.

Sabda Nabi S.A.W., "Apabila terjaga salah seorang daripada kamu daripada tidurnya maka janganlah memasukkan tangannya ke dalam bekas makanan sehingga dia membasuhnya tiga kali kerana dia tidak tahu di mana tangannya terletak (ketika tidur)" (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

2) Membersihkan rongga hidung selepas bangun tidur.

Sabda Nabi S.A.W., "Apabila terjaga salah seorang daripada kamu daripada tidurnya maka perlu dia memasukkan air ke dalam hidung dan menghembuskannya tiga kali kerana sesungguhnya syaitan bermalam di dalam rongga hidungnya." (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)

3) Mandi dan membersihkan rambut.

Sabda Nabi S.A.W., "Hak Allah atas seorang Muslim bahawa dia mesti mandi pada setiap tujuh hari sekali dia mesti membersihkan kepala dan rambutnya." (Direkodkan oleh Muslim)

4) Menjaga bekas air.

Daripada Jabir r.a. Nabi S.A.W. bersabda, "Tutuplah bekas makanan dan tutuplah bekas minuman." (Direkodkan oleh Muslim)

5) Cungkil gigi selepas makan.

"Bersihkanlah sisa-sisa makanan di antara celah-celah gigi kerana amalan itu termasuk kebersihan dan kebersihan itu membawa kepada iman, sedang iman itu bersama pemiliknya masuk syurga." (Direkodkan oleh Tabrani)

6) Potong kuku, kemaskan misai dan mencukur bulu.

Hadis daripada Anas bin Malik r.a. berkata, "Ditentukan tempoh bagi mencukur misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan ari-ari iaitu tidak kami biarkan lebih daripada 40 malam." (Direkodkan oleh Ahmad, Tirmizi, An-Nasa'i dan Abu Daud)

Oleh itu, bagi mendapat keredhaan Allah, marilah kita sama-sama menghayati dan mengamalkan sunah Rasulullah S.A.W. . Mulakan lah daripada perkara sekecil-kecil dalam kebersihan diri barulah diikuti sunnah Rasulullah S.A.W. yang lebih besar lagi. Insya Allah..

Dipetik daripada Buku Jejak Bisnes Rasul, Peribadi Bisnes Muhammad Bin Abdullah
Ditulis oleh :Mohamed Sulaiman PhD. dan Aizuddinur Zakaria

No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...