Friday, September 28, 2018

Rentetan Cameron : Tidak temui Jalan Pulang

Sambungan daripada post sebelumnya, Cabaran Perjalanan ke Cameron Highlands.

Saat itu, saya sudah tidak peduli lagi dengan kelaparan dan penat yang melanda saya. Saya mencadangkan kepada sahabat-sahabat saya untuk stay di Perak untuk malam itu sahaja, kemudian pagi esok baru kami pulang ke Terengganu.

Saya membuat keputusan ini kerana bimbangkan keselamatan kami semua yang pertama kali menempuh perjalanan yang agak panjang bersama dan agak samar dengan jalan Gua Musang ataupun Grik.

Di hadapan kami hanya ada dua cabang, iaitu ke Kuala Kangsar / Grik atau ke Taiping. Disebabkan keputusan kami untuk stay di Perak, saya terus drive menghala ke Bandar Taiping. Jalan yang kami masuk agak sunyi, gelap dan menakutkan. Kami hanya berserah kepada Allah sahaja.

Masuk waktu Isyak, kami berhenti di masjid berdekatan. Ketika itu masih di kawasan kampung daerah Taiping. Kami solat jamak di situ. Saya juga cuba menghubungi kawan-kawan saya yang memang orang Perak, untuk bertanyakan tempat tinggal. Namun, hampa.

Kami meneruskan perjalanan ke Bandar Taiping. Sesampainya di sana, kami singgah makan dahulu kerana semuanya agak kelaparan. Kasihan pula saya terhadap adik kecil kawan saya. Di dalam kereta tadi asyik menyebut lapar.

Sambil makan, kami cuba mencari hotel on the spot jika ada kosong malam itu. Selesai makan, kami pusing-pusing Bandar Taiping dan bertanya beberapa hotel jika ada kosong, namun hampa. Seluruh Bandar Taiping penuh.

Ketika itu sudah pukul 11 lebih. Akhirnya, seorang sahabatku Nabila menemui sebuah homestay yang terletak di Kuala Kangsar. Homestay itu bernama Inap Desa Kuala Dal. Kami terus book sebelum sampai ke tempat itu. Dalam pukul 12 tengah malam kami sampai dan terus check in ke sana.

Allahu.. Saya berasa sangat bersyukur akhirnya ada tempat tinggal untuk kami berehat malam ini. Perjalanan esoknya memang agak panjang dan mencabar. Cerita tentang gajah yang menyerang kereta abang sahabatku terngiang-ngiang di mindaku. Sahabatku Fatin sudah beberapa kali dimarahi ibunya supaya jangan lalu Grik dan naik Kuala Lumpur sahaja. Tetapi bagiku perjalanan menjadi tersangat panjang jika melalui Kuala Lumpur.


Inap Desa Kuala Dal, Kuala Kangsar






9 September 2018.

Akhirnya ibu Fatin mengizinkan kami melalui Grik atas nasihat abang iparnya yang selalu berulang-alik Perak - Terengganu melalui jalan itu. Kami akan merentas Kelantan sedikit barulah kami memasuki Terengganu.

Kami bertolak awal sedikit dari sebelumnya iaitu pada pukul 8.30 pagi. Perjalanan agak tenang. Kami berhenti makan pagi di kedai makan tepi jalan tidak jauh dari Inap Desa tersebut. Di situ, saya cuba bertanyakan arah dengan mak cik penjual di warung tersebut. Jalan yang diceritakan mak cik itu ternyata sama dengan jalan yang diceritakan oleh abang ipar Fatin.

Saya juga memasang waze untuk menambah hati-hati. Perjalanan dari Kuala Kangsar ke Grik mengambil masa sejam setengah. Apabila telah masuk Grik, kami dapat melihat kesan-kesan laluan gajah-gajah pada jalan-jalan yang retak dan senget, pengahadang jalan yang seperti dilanggar. Gerun juga saya melihatnya.

Dari Grik untuk naik ke atas, kami mengambil masa 45 minit lagi. Kemudian, kami berhenti sekejap di tempat rehat Titiwangsa.

Banjaran Titiwangsa


Perjalanan tanpa dirancang ini sebenarnya Allah memakbulkan doa saya sepanjang saya musafir dulu mungkin, untuk tengok sendiri rupa Banajaran Titiwangsa ini. Walaupun tempatnya amat menakutkan jika bertemu dengan makhluk gajah itu, saya rasa lega apabila kami akhirnya memasuki Jeli, kemudian Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan terus masuk ke Terengganu melalui Besut, Setiu dan Kuala Terengganu untuk sampai ke Marang.

Asalnya kos ke Cameron Highlands pergi balik dan penginapan semuanya RM100 seorang seramai 4 orang. Tetapi disebabkan tersekat satu hari lagi, kos kami bertambah dalam RM40 seorang sahaja. Kiranya tak adalah mahal pun kan. Inap Desa tu best. Tenang je tempatnya.

Sekian cerita perjalanan kami. Mungkin bagi orang lain tiada apa-apa sangat. Tetapi bagi kami ia cukup berharga kerana ini perjalanan pertama kami yang tersangat jauh tanpa lelaki. Semuanya perempuan. Tak tahulah kalau tak sado lagi hati ini. Haha.

Wassalam.



No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...