Wednesday, October 26, 2022

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puteri sulung kami, Safiyya Az-Zahra.

.............................................................................................

Sepanjang mengandung kali kedua ini, ibu rasa agak lasak.


Sebelum tahu mengandung pun, ibu cergas ke sana ke sini. Buat kerja macam biasa. Tiada pening atau alahan. Satu je ibu pelik. Lepas pantang, ibu makan macam biasa. Tiba-tiba ada satu minggu tu ibu terperasan yang ibu asyik lapar je. Macam something wrong somewhere.


Takkan lah kan.. Safiyya belum setahun lagi..


Tapi, nak dijadikan cerita, memang ya. Adik sudah ada dalam rahim ibu ketika itu. Allah nak bagi awal kawan kakak ni.


Sepanjang mengandungkan adik, alhamdulillah ibu tiada alahan sangat macam mengandungkan kakak. Ibu pun aktif pergi kerja dan boleh makan macam-macam.


Tapi itulah, walaupun boleh makan semua kecuali bawang goreng memang ibu tak boleh bau setiap kali mengandung. 28 minggu ibu pergi scan adik dekat swasta, adik kecil 2 minggu daripada minggu sepatutnya. Jadi, saiz adik masa tu baru 26 minggu walaupun ibu dah mengandungkan adik 28 minggu.


Mungkin antara faktor adik lebih kecil kerana kakak masih menyusu dengan ibu sehingga setahun lebih, dan ibu gigih juga berpuasa walaupun kadang-kadang terpaksa juga berbuka. Sayang juga sebab itu puasa Ramadhan.


Mengandungkan adik, ibu sempat sambut Hari Raya Puasa, makan macam-macam. Seronok duduk kampung sebab boleh makan macam-macam. Cheat time orang kata. Sebabnya, ibu masih kena kencing manis cuma on diet je.


Ibu pendekkan cerita, dalam dua minggu sebelum tarikh due bersalin, ibu sudah rasa sakit-sakit badan. Tapi masih lagi gagahkan diri pergi last appointment sebelum tunggu tarikh bersalin.


21 Jun 2022, appointment ibu di KK Pulau Meranti. Mula-mula nurse check jantung adik laju sangat, hampir 170. Ibu dah berdebar dan risau. Nurse suruh bertenang, banyakkan minum air masak dan makan dulu. Bila jumpa doktor, doktor check beberapa kali jantung adik sampai kembali normal.


Tetapi, doktor kata air ketuban ibu pula kurang. Doktor terus suruh ibu admit ward di hospital yang ibu pilih untuk bersalin iaitu Hospital Putrajaya. Ibu call ayah beritahu apa yang doktor beritahu. Boleh pula ayah kata ibu yang tak sabar nak bersalin. Rasa membara pula hati kita ni.. Dah la tengah risaukan anak dalam kandungan.


Sampai PAC Hospital Putrajaya, doktor check air ketuban ibu semakin kurang. Sepatutnya kena 8. Di klinik tadi, 7.9.. Di hospital pula, masa tu dah pukul 4.00 petang rasanya, air ketuban sudah 6.6. Doktor terus suruh masuk wad malam tu juga. Esok pagi kena induce.


Ibu jumpa ayah di luar. Rupa-rupanya ayah tunggu ibu untuk bawa balik sekali. Tetapi ibu terangkan semula yang doktor beritahu ibu. Air ketuban kurang boleh menyebabkan anak lemas dalam kandungan. Ibu dah risau sangat tapi cuba bertenang di hadapan ayah.


Nampak berkaca mata ayah kerana tak sangka ibu akan dimasukkan ke wad secepat ini. Ibu cuma berpesan jaga kakak baik-baik. Ibu pun sedih tak dapat tidur dengan kakak malam itu.


Malam itu, ibu video call dengan ayah. Bila kakak tengok ibu, terus dia rebut handphone ayah. Kakak tak boleh tidur kalau ibu tak peluk. Kesian kakak.


Ibu cuma berdoa dan bercakap dengan adik dalam perut ibu, adik keluar cepat ya. Nanti kita nak jumpa kakak.


22 Jun 2022

Alhamdulillah, keesokannya hanya dengan sekali induce pukul 7 pagi, ibu terus rasa sakit. Ibu tak perlu induce sampai 3 kali seperti nak bersalinkan kakak dulu. Pukul 10 pagi nurse check dah ada bukaan 3cm.


Pukul 12 tengahari ayah datang melawat ibu. Tetapi masa itu ibu dalam kesakitan yang amat sangat. Ibu hanya minta supaya ibu dapat selesaikan solat Zuhur dan Asar dulu baru bersalinkan adik. Allah makbulkan permintaan ibu. Selepas ibu rehat sekejap, ibu pergi mandi dan solat. Dalam setengah jam nak masuk Asar, ibu tunggu dulu. Selepas solat Asar, sakit ibu semakin kuat.


Dalam pukul 5 petang, ayah berjanji tadi nak datang melawat ibu lagi. Ibu whatsapp ayah tanya di mana. Sebab ibu teringat ayah kata nak teman ibu dalam dewan bersalin. Ibu cakap dah tak lama adik nak keluar. Memang betul, sakit semakin kuat. Pukul 5 suku macam tu, nurse dan doktor datang check, bukaan ibu dah 8cm.


Ibu ditolak ke dewan bersalin dengan katil wad ibu. Ibu dah tak boleh beralih ke kerusi roda kerana terlalu sakit. Ibu hanya mampu sebut Subhanallah, Walhamdulillah, La ila ha illa llah, Allahu akbar, La ila ha illa anata subhanaka inni kuntu mina zzolimiin.. Sebelum sampai ke dewan bersalin, air ketuban pecah.


Ibu terus rasa nak teran tapi belum sampai dewan bersalin. Sampai dewan bersalin sempat lagi nurse suruh tukar katil. Allahu akbar.. Ibu bergolek ke katil sebelah dengan secepat mungkin. Lepas tu, takkan la nak berjalan masa anak dah nak keluar ni.. Aduhai..


Lebih kurang dua tiga kali teran je, adik keluar. Comel sangat dengan mata terkenyit sebelah. Ibu lega alhamdulillah. Tak lama selepas itu ayah sampai ke dewan bersalin dan iqamatkan adik. Lepas tu, ayah bagi adik kepada ibu untuk disusukan. Mujurlah adik pandai menyusu.


Malam selepas bersalin, ibu nak berehat tapi teringatkan kakak. Kakak tercari-cari ibu rupanya. Sayu pula ibu rasa walaupun gembira baru bersalinkan adik. Ibu tidur je malam tu, sambil nurse tolong jaga anak sekali sekala. Tapi adik tak susah jaga pun. Selepas ibu susukan adik, ibu boleh berehat. Cuma ibu kena selalu susukan adik setiap dua jam untuk bagi gula dalam darah adik naik atas 3. Kalau tak, terpaksa warded la adik esok hari. Sebab ibu tak nak adik kena warded, ibu selalu bangun susukan adik walaupun susu tak banyak keluar pun masa tu.


Esoknya sampai pukul 3 petang ibu tunggu nurse check, alhamdulillah adik sihat, tiada apa-apa masalah. Masalahnya last check pukul 12 tengahari, pukul 3 baru nak beritahu. Jadi lambat pula ayah nak pergi daftarkan adik. Selepas ayah selesaikan bayaran di kaunter, ibu dan adik dah boleh balik. Ibu masa tu rasa sangat penat.


Sampai di rumah, ibu tak boleh peluk kakak. Padahal ibu rindu sangat dekat kakak. Tapi tokma tak bagi demi kesihatan ibu. Bila tengok kakak mengamuk-ngamuk nak pergi dekat ibu, ibu tiba-tiba rasa sejuk seluruh badan dan menggigil.. Ibu sampai panggil tokma, tokma terus urut-urut badan ibu. Tapi sampai sejam pun tak hilang lagi menggigil.


Kemudian, pokmir bawakan tungku yang tokma pesan. Tokma tungkukan ibu sampai akhirnya menggigil ibu hilang. Ibu tanya kawan ibu, rupanya itulah rengat. Ibu rasa pernah kena sekali semasa pantang bersalin kakak dulu, dah nak habis pantang masa tu baru kena. Yang masa ni sehari selepas bersalin.


Disebabkan sakit rengat ibu, ibu tak dapat susukan adik sehingga pukul 11 malam. Ibu sedar adik-beradik ayah sudah datang tetapi semasa ibu bangun pun mata ibu masih berpinar-pinar sehingga ibu masuk tandas. Ibu rasa pening dan kena makan baru boleh susukan adik.


Keesokannya ibu sudah mengagak, nurse datang rumah check ibu dan adik. Mata adik sudah nampak kuning. Ya Allah, sedihnya hati ibu bila adik kena juga penyakit demam kuning itu.

**********************************************************************************

Sepanjang pantang di kampung, ibu okey je duduk rumah tokma. Cuma ibu sedih sebab ayah susah nak faham yang demam kuning bukan boleh baik dengan menyusu je. Bukannya ibu tak susukan adik, ibu dah buat macam-macam, tapi Allah kata belum lagi maksudnya belum masanya adik sembuh.


Sama juga dengan kakak, habis je pantang, demam kuning adik hilang sendiri. Pendek kata, bersabarlah dengan setiap dugaan dan fikirkan hikmah di sebalik setiap kesusahan yang ada.


Ibu sayang kakak dan adik..


Wassalam.

Tuesday, September 7, 2021

Makanan Bayi (Diari Pemakanan Safiyya)

 Assalamualaikum semua..


Alhamdulillah, happy sangat Safiyya dah boleh makan. Sepatutnya 22/8 Safiyya dah 6 bulan. Tetapi, sebab saya bekerja, better saya start semasa saya cuti. Jadi, saya sempat search beberapa resepi Makanan Bayi untuk Safiyya.


Selepas check-up pada 23/8, Nurse pesan untuk mulakan dengan bubur nasi. Bubur tu letak minyak sikit untuk bagi energy kepada bayi.


Resepi yang saya dapat untuk proses Bubur Nasi Bayi, yang ni saya lebih yakin kebaikannya untuk Safiyya.


Bahan-bahan:

Beras (1/4 pot)

Air

Minyak Zaitun (sesudu kecil)


Cara-caranya:

1) Beras dicuci bersih seperti biasa, kemudian direndam lebih kurang 6 jam dalam air bersih.

2) Setelah 6 jam, tapis beras dan sangai di atas kuali leper.

3) Blend beras tersebut sehingga hancur.

4) Masukkan beras yang dikisar di dalam periuk dengan 2 gelas air.

5) Buka api sederhana dan tutup separuh. Perhatikan, jika menggelegak, perlahankan api. Tetap tutup separuh.

6) Bila nampak kering, masukkan lagi air lebih kurang 2 gelas dan minyak zaitun. Kacau sehingga sebati. Masak dengan api perlahan dan tutup separuh.

7) Biasanya akan masak dalam setengah jam sehingga 45 minit. Masak sehingga pekat.

8) Tutup api. Sejukkan.


Sekiranya rasa masak bubur terlalu banyak, bolehlah asingkan bekas dan tunggu sehingga sejuk. Selepas itu, masukkan ke dalam peti sejuk beku. Esok boleh makan lagi.


Ok itu sahaja sharing dari saya. Semua tu saya banyak search dekat Asian Parent, Majalah PaMa dan Hello Doktor. Terima kasih sudi baca.

ummu az-zahra

Monday, September 6, 2021

Cahaya Hati Pengikat Cinta (Bhgn 2)

Assalamualaikum..

Ok saya terus sambung cerita saya mahu pergi tengok keadaan baby.

Sebelum keluar wad, suami boleh naik ke wad untuk jemput ibu dan angkat barang-barang.

Suami saya datang bersama kerusi roda. Saya jalan perlahan-lahan kerana masih lemah. Satu lagi perasaan, rindu ingin bertemu anak yang saya lahirkan.

Rasa macam tak percaya saya dah lahirkan anak, Alhamdulillah Allah mudahkan dengan berkat doa semua orang terutamanya suami, mak abah dan ma ayah.

Saya difahamkan anak berada di Special Care Nursery (SCN) untuk pemerhatian apabila tiba-tiba anak didapati ada penyakit kuning dalam tempoh kurang 24 jam selepas dilahirkan.

Sesampainya saya di atas, saya bertanya Nurse di mana anak saya. Selepas tahu, saya terus menuju ke tempat yang ditunjukksn. Sayunya melihat anak tidur masa itu. Kemudian, terkejut dan menangis.

Saya melihat sekeliling. Alangkah sedihnya bayi-bayi ini selepas lahir terus berjauhan dengan ibu-ibu mereka. Saya lagi sayu melihat anak sendiri.

Tapi saya kuatkan hati, niat saya nak menyusukan anak saya. Saya mesti boleh susukan anak saya. Alhamdulillah anak saya mahu menyusu dengan saya. Tapi dengan bantuan Nurse juga.

Selepas itu saya bertanya bila anak saya boleh keluar wad SCN ni. Nurse minta saya jumpa doktor esok pagi. Maksudnya, anak saya tidak boleh balik hari ini. Alangkah sedihnya hati saya.

Saya pulang dengan hati terbuku. Tambahan pula, suami dan alongnya sekeluarga duk bertanya kenapa anak tak boleh keluar wad. Mujurlah kak long faham. Ingat saya sengaja nak tinggalkan anak saya kat dalam tu? Saya kalau boleh nak berkepit je dengan baby. Tapi banyak benda saya tak tahu dan saya tak nak ambil risiko jika apa-apa terjadi kepada baby.

Balik rumah, Ma pun pesan supaya sabar. Jaga emosi selepas bersalin. Alhamdulillah Ma sangat memahami. Mak dan Abah pun dah tahu.

Tiga hari kami ulang alik Hospital Putrajaya. Pagi dan petang saya datang menyusu baby dengan harapan kuningnya cepat turun. Tetapi, makin naik la pulak. Saya jadi risau kalau baby kena tahan lama sangat. Cuti suami dah nak habis. Kami kena pulang ke kampung.

Akhirnya setelah dua hari saya minta baby keluar, doktor keluarkan dengan buat surat refer ke HUSM Kelantan. Alhamdulillah.

Saya fikir risiko baby tetapi saya kuatkan keyakinan untuk bersama baby walau di mana baby berada.

Hari keempat baby keluar hospital, hari kelima kami terus pulang ke kampung. Disebabkan kes Covid sekarang ini, saya dan baby perlu tunggu 5 hari baru boleh check-up.

Dalam masa 40 hari, kuning baby ada naik turun. Adalah 3 kali juga ambil darah di tangan dan check air kencing. Alhamdulillah semua normal. Ada sekali je air kencing macam ada protein, maksudnya dijangkiti kuman. Bila buat ujian lagi sekali rupanya tiada apa-apa. Alhamdulillah.

Bersyukur sangat TokMa Safiyya sangat baik jaga ibu, luka bersalin lambat sembuh pun, TokMa jaga dan pantau ibu. Dah jenis ibu suka jalan laju-laju. Geleng kepala TokMa dan bidan.

Monday, March 22, 2021

Cahaya Hati Pengikat Cinta (Bhgn 1)

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh...

Alhamdulillah, dapat lagi saya mencoretkan sekarangan cerita, sebuah pengalaman pertama menjadi seorang ibu.

9 bulan bukanlah waktu yang singkat untuk mengandung, mengalami alahan sepanjang mengandung dan bermacam lagi sakit-sakit badan.

Namun, mempunyai seorang suami yang prihatin dan memahami sangat membantu sakit-sakit semasa mengandung. Terkadang ada kata yang mengguris hati, terus sahaja mengalir air mata sementelah saya bukanlah orang yang keras hati, mudah sangat terguris. Tetapi itulah yang membuatkan kami suami isteri semakin mengenali perangai dan sikap masing-masing serta tahu cara mengendalikannya.

5 bulan lebih mengandungkan puteri sulung kami, kami mendapat kerja baru di tempat baru. Saya sebagai akauntan di sebuah syarikat pereka hiasan dalaman dan pembuatan perabot, manakala suami pula bekerja sebagai juruteknik syarikat kejuruteraan. Majikan kami pula sangat baik hati dan bertimbang rasa. Subhanallah, memang rezeki puteri kami. Dan kami akan berusaha untuk menambahbaik keluarga kami.

Setelah berulang alik ke hospital setiap bulan dan klinik 2 minggu sekali untuk checkup baby dan ibunya sekali, akhirnya doktor menetapkan saya mesti bersalin pada minggu ke 38. Hujung minggu ke 37 bertarikh 19/2, saya sudah perlu masuk ke wad.

19/2/2021
Pagi itu suami saya menemani saya mendaftarkan diri di wad Hospital Putrajaya. Kami sedia maklum memang caj agak mahal kerana hanya terdapat Wad Kelas Pertama sahaja di sini. Suami saya redha sahaja dengan pilihan saya.

Orang di kaunter kata tiada wad kosong dan minta kami datang pada waktu petang.

Dalam perjalanan balik, saya ajak suami ke Alamanda. Saya tak terfikir pula yang saya dah swab test sepatutnya terus balik rumah. Saya hanya fikir nak berjalan-jalan dengan suami kerana nanti dia tak dapat teman saya di wad dan bilik bersalin. Sedih giler fikir tentang tu.

Kebetulan waktu kami pergi memang orang tak ramai, hari kerja. Selepas makan KFC, kami terus balik.

Petangnya kami datang semula selepas berehat di rumah. Suami saya bertungkus lumus menyediakan beg dan barang yang perlu saya bawa. Serius, sedih nak tinggalkan suami sekejap. Kami mana pernah berpisah jauh sejak kahwin. Memang tak pernah.

Saya masuk wad, rupanya bilik saya kongsi 4 katil dan bilik air ada dalam bilik tu. Selesa. Tak perlu jalan jauh-jauh nak pergi bilik air, lagi-lagi tengah malam. Terus hilang rasa takut duduk hospital.

Malam itu, ada satu je lagi katil kosong. Dia masuk hampir tengah malam.

Saya suruh suami saya balik dulu, datang semula esok pagi. Encik suami dah risau keadaan saya, padahal saya selesa sangat dalam ni.

Nurse datang dan menerangkan pagi esok saya kena induce yang pertama untuk buka jalan. Nak bagi bersalin juga minggu 38 sebab gdm on insulin.

20/2/2021
Pagi-pagi selepas Subuh, saya sudah mandi dan solat Subuh. Nurse datang suruh pergi bilik doktor.

Saya pergi ke sana. Rupanya doktor nak check jalan dulu. Baru 1cm. Doktor pun masukkan ubat induce macam gel tu. Sejuk. Tapi tak lama tu rasa sakit sedikit.

Induce pertama kurang sakit bagi saya. Masih boleh tahan. Contraction memang ada. Tapi tak kuat sangat.

Encik suami dah datang pagi lagi. Katanya, ma dia (mak mertuaku) suruh tunggu di hospital takut bersalin.

Petang macam tu, doktor masukkan ubat induce kedua. Subhanallah. Yang ini betul-betul sakit. Doktor n nurse banyak kali offer ambil ubat tahan sakit, saya tak nak. Dah memang induce untuk bagi sakit contraction kan? Saya cuba tahan.

Malam itu sampai berpeluh tidur. Tapi tetap lena. Dah nama Zulaikha, letak kepala tetap juga tidur. Haha

21/2/2021
Nurse kejut pukul 5 pagi buat ctg untuk check jantung baby. Semua normal. Tekanan darah saya pun normal. Cuma sakit semalam belum hilang.

Lepas Subuh, doktor suruh ke bilik untuk check jalan. Penatnya rasa masa ni campur sakit contraction. Doktor check masih lagi 2cm.. Tapi saya minta doktor jangan masukkan ubat induce ketiga. Postpone masa lain boleh ke?

Doktor kasihan tengok saya, dia cakap dia tolong buka jalan. Saya okey je, mana tahu buka jalan tu macam mana. Rupanya sakit juga.

Tengahari check lagi masih 2cm. Doktor tolong buka jalan lagi. Lepas Maghrib sekali lagi. Malam itu terus rasa nak demam. Pasal buka jalan la kot..

22/2/2021
Pagi ni saya redha. Saya nak je doktor masukkan induce ketiga.

Bayangkan, dua katil dah berganti orang lain. Tapi saya masih kat sini. Mujur ada Atiqah katil depan ni ada lagi. Masuk hari sama kan. Tapi dia dah bersalin semalam. Kena tahan wad lagi sebab berjahit panjang walaupun normal. Anaknya kena on antibiotic sebab tertelan najis semasa dalam perut.

Lepas Subuh, doktor masukkan ubat induce ketiga. Masa ni teringat kata-kata Fara, Fara pun kena induce 3 kali, tahan contraction, macam-macam Fara share yang saya hadapi sekarang. Nanin pula duk share macam2 doa dan kata2 semangat. Keluarga dan sahabat2 lain pun turut mendoakan dari jauh. Hanya suami yang dekat tapi tak boleh jumpa.

Lepas induce ketiga, berguling saya kat katil tahan sakit. Sama je sakit dengan yang kedua. Tapi contraction jadi semakin kuat.

Dah okey sedikit, saya bangun breakfast. Kena makan, takut bersalin hari ini. Mesti kena ada tenaga. Itu pesanan suami.

Tengah makan, rasa macam darah haid keluar. Tapi berkali-kali. Macam poop gitu pun ada.

Nurse datang untuk check tekanan darah dan ctg. Saya terus beritahu macam keluar darah tanpa henti. Nurse check, rupanya air ketuban dah pecah sendiri. Subhanallah. Terkejut saya.

Nurse panggil doktor. Doktor check jalan baru buka 3cm. Kalau 4cm baru boleh masuk labour room.

Nurse sambung buat ctg dulu. Jantung baby ok.

Lepas tu contraction macam tak berhenti. Sangat sakit. Masa tu saya duduk kat kerusi. Nurse suruh call suami suruh pergi dewan bersalin, cakap dah nak bersalin. Masa tu pukul 10 pagi lebih-lebih gitu. Kena tunggu lagi, labour room penuh. Suami pula dah pergi tunggu sana.

Saya sakit sangat sampai tak boleh nak ambil barang2 yg nak kena bawa pergi labour room. Atiqah la yg tolong ambilkan dan masukkan dalam plastik.

Dalam pukul 11 pagi, nurse datang tolak ke labour room. Saya ingat nurse pesan, awak dah nak jadi ibu, awak kena kuat. Tak boleh lembik-lembik.

Ok. Saya pegang kata tu sampai masuk labour room. Saya nak berjuang untuk anak saya. Bakal kesayangan kami suami isteri. Moga Allah permudahkan masa ni.

Saya tak henti baca doa Nabi Yunus dalam labour room. Terbayang bagaimana Allah takdirkan ikan nun mengeluarkan Nabi Yunus hidup-hidup setelah Nabi Yunus tak henti berdoa.

Nurse datang check suhu. 38.1. Terkejut nurse-nurse n doktor kat situ. Terus soal siasat ada kontak rapat ke, tmpt kje ada org kena covid ke, tmpt kje suami ada ke, lepas swab test pergi mana. Masa ni la kantoi saya pergi Alamanda. Tapi saya yakin kami memang ikut SOP, pakai mask dan tak jalan dekat dengan orang lain.

Masa itulah saya kena marah dengan doktor India perempuan sebab tak kuarantin. Ok saya mengaku saya salah.

Masa itu juga saya kena swab test lagi sekali. Tengah contraction kuat. Kemudian, nurse n doktor tadi tinggalkan saya seorang diri dalam labour room. Nurse tunggu kat luar je.

Saya dah tak tahan, saya jerit sakit nak berak. Maksudnya dah rasa baby nak keluar. Datang 3 orang nurse. Seorang nurse sebiji macam muka ustazah kelas tajwid kat Pasti Sutera dulu.

Kemudian, jalan makin buka, ada seorang doktor cina datang bantu. Doktor india tu dah tak nampak dah pergi mana.

Tepat pukul 3.45 petang, keluarlah seorang bayi perempuan. Tak sempat tengok muka sebab penat sangat teran. Dengan sakit jahitnya lagi. Alhamdulillah lahir normal.

Saya berselawat di ubunnya ketika baby atas dada saya. Kemudian saya tertidur sekejap. Tak lama tu, ada nurse datang bawa biskut dan milo, suruh makan bagi ada tenaga.

Seorang lagi nurse India datang pegang baby, "Mak, cepatlah susukan baby. Saya dah geram dengan baby ni." Sambil tersenyum-senyum dia tengok baby.

Saya cuba habiskan makanan cepat sebab memang tak ada tenaga. Kemudian, nurse dah bawa pergi baby tanpa dapat susu pertama dari saya. Masa tu tak tahu nak rasa sedih ke tak sebab tak boleh nak fikir.

Seorang lagi nurse datang tolong siapkan saya dan papah saya naik kerusi roda untuk balik ke wad. Nurse dari wad atas datang tolak saya sampai ke katil.

Saya naik sudah pukul 5 petang. Makanan tengahari tiada. Hanya minum petang sahaja. Saya baring je terlalu penat. Kedua belah bahu berat sangat dan sangat sakit sebab saya tarik kuat sangat besi katil semasa bersalin. Saya tak boleh nak pegang pergelangan kaki masa tu, sebab tangan memang tak sampai. So boleh tarik besi tu je la.

Nurse tanya ada ke pampers baby. Saya cakap nanti saya suruh suami hantar. Saya sengaja nak bagi suami boleh jumpa baby dan iqamatkan baby. Padahal dengan saya sudah ada barang-barang baby satu beg.

Suka betul suami boleh jumpa baby. Tapi masa tu baby dah masuk NICU. Jumpa di situ sahajalah. Ada orang suami mereka tak boleh jumpa langsung. Kat rumah baru boleh azan atau iqamat. Ada juga yang buat video call lepas bersalin untuk azan iqamat.

Malam pertama tanpa baby, rasa agak sayu. Baby kena tahan NICU dulu untuk check gula dalam darah baby. Kebiasaannya ibu mengandung ada diabetes yang perlu cucuk insulin setiap hari, gula dalam darah baby mungkin kurang.

Tapi, tadi nurse bahagian NICU kata gulanya ok. Tiba-tiba kena masuk Special Care Nursery (SCN) sebab baby detected kuning dalam masa 24 jam.

Nurse yang jaga saya di wad suruh banyakkan berehat. Nanti baby dah boleh keluar kena ada tenaga nak susukan baby.

Malam itu sebelum tidur saya bercakap dengan suami. Orang lain semua dah tidur. Tiba-tiba pandangan saya berpinar. Masa tu saya duduk di kerusi. Saya nak bangun, tak boleh.

Saya tahu suami saya rindukan saya dan saya pun sangat rindukan dia. Sebab hari ini hari keempat kami tak dapat jumpa. Berapa kali saya kata dah nak rehat, suamu masih bercakap. Saya pula dah hampir pitam.

Kemudian, saya duduk je sambil pejam mata. Sandar pada kerusi sampai kurang sikit berpinar. Terus saya naik perlahan atas katil dan baring. Mungkin belum cukup rehat lagi.

Keesokannya, dalam pukul 5 pagi begitu doktor datang check jahitan episiotomy. Sakit betul masa dia tekan. Lepas tu sambung tidur lagi.

Bila sudah pagi sedikit ada nurse round nak ambil tekanan darah. Saya baru je nak bersarapan pagi itu. Nurse check tekanan darah rendah sangat, terkejut nurse. Saya pun cerita tentang nak pitam semalam. Terkejut lagi nurse tu. Nurse suruh makan berat sedikit.

Suami telefon katanya dah buat bubur dan ikan bakar untuk saya. Dia bangun awal pagi tadi sediakan semuanya untuk saya. Saya rasa istimewa sangat. Sebenarnya itu pun Kak Long suruh. Cuba kak long tak suruh, tak adanya nak buat semua itu.

Security datang bawakan makanan saya. Saya makan dengan berselera sekali. Kemudian, nurse datang lagi nak ambil tekanan darah. Takut betul saya kena tahan wad lagi kalau rendah tekanan darah tu. Bubur dan ikan baru makan separuh.

Nurse check, tekanan darah dah naik ke normal. Alhamdulillah. Tak sia-sia suami masak semua ni. Saya simpan lagi separuh untuk makan tengahari. Sepatutnya memang dah kena start pantang.

Doktor datang dan beritahu saya dah boleh keluar petang ini dan memberi 2 jenis ubat. Ubat tahan sakit dan ubat cairkan najis.

Petangnya, saya sudah bersiap untuk keluar dan pergi tengok baby. Rupa-rupanya kalau belum discharge kena pergi dengan baju wad. Saya dah tukar baju elok dah. Last last nurse siapkan semua dokumen discharge dan explain semua untuk continue checkup baby dan saya serta cara buat dokumen pengenalan anak. Surat Akuan Bersalin turut disertakan untuk beri kepada majikan.

Bersambung....

Monday, January 4, 2021

Pengalaman Vs Pengajaran

Prolog

Alhamdulillah, setelah 2 hari tersekat di Raub, Allah buka jalan yang dipenuhi air, Allah surutkan air dan beri kami laluan..

Chapter 1

Minggu yang kami plan nak ke Melaka, ditukarkan untuk balik ke kampung suami di Kelantan.

Memang best balik kampung, dengan keadaan mengandung yang tak selera makan, memang suka je ada orang nak masakkan macam-macam. Barulah berselera.

Kami balik 3 hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Bertolak malam selepas kerja hari Khamis, hajatnya nak balik sekali dengan anak-anak saudara. Pun tukar plan, jadi balik berdua je.

Ketika itu memang dah dapat berita, Pantai Timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu akan dilanda hujan lebat berturut-turut selama 3 hari, 1/1 hingga 3/1, hari kami balik kampung.

Urusan kali ini sangat penting untuk kandungan, doa selamat untuk anak yang bakal lahir nanti.

Kami sampai tepat waktu Subuh. Terus solat Subuh dan rehat.

Chapter 2

Jumaat. 1/1/2021

Alhamdulillah, pagi yang indah dengan cuaca yang agak sejuk ditemani hujan renyai-renyai.

Kami bersarapan Nasi Dagang Kak Yah di Tok Bali, kemudian pergi mencari keropok-keropok lekor untuk dibawa balik ke Puchong.

Jujur dikatakan, memang seronok balik kampung dan berjalan makan-makan bersama keluarga. Di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan, boleh mengenal hati budi serta kesukaan masing-masing.

Selepas Solat Jumaat, ayah ajak menziarahi saudara di Pasir Puteh. Kami semua pergi beramai-ramai ke Pasir Puteh. Dapat juga aku mengenali lebih dekat saudara mara sebelah suamiku. Sangat happy go lucky sepupu-sepupu suamiku. Semuanya sudah berkahwin dan sangat rapat, 6 perempuan dan 1 lelaki.

Malam itu, kami singgah makan di Kubang Kawah. Aku makan lamb chop sebab tak berapa selera nak makan nasi kedai. Malu pula bila semua makan nasi. Ikan bakarnya sangat sedap. Rasa sikit tapi masih tak mahu nasi.

Balik rumah dan rehat.

Chapter 3

Hari ini, suami dan ayah pergi beli barang untuk jamuan doa selamat malam ini. Tak ramai pun datang, kecil-kecilan sahaja. Yang penting, dapat jamu orang dan ajak bersolat hajat untuk anak tersayang ibu ayah ini.

Chapter 4

Hari ini kami rehat je untuk perjalanan jauh balik ke Puchong. Kalau ikut plan, kami gerak dengan keluarga abang suamiku, tapi mereka masih ada hal untuk diselesaikan.

Selepas Zuhur, kami ke rumah mak saudaraku di kampung itu juga, bersalam dan berjumpa dengan sepupu-sepupuku.

Kemudian, kami meneruskan perjalanan balik melalui Pasir Puteh, Ketereh dan menghala ke Gua Musang.

Ketika kami sampai di Machang, adik iparku whatsapp tanya kami di mana, dan mengkhabarkan bahawa ada tanah runtuh di Lojing, Gua Musang serta jalan di Raub-Bentong dinaiki air.

Aku sudah memberitahu suamiku, namun suamiku kata, "Kita dah sampai sini. Kalau teruk, kita patah balik semula."

Aku menurut sahaja.

Sepanjang perjalanan agak sesak dengan kereta dan lori. Setelah memotong beberapa kereta dan lori, di depan sana pula sesak. Ada juga kereta-kereta yang berlawanan arah memberi lampu dua kali kepada kami. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena.

Suamiku masih meneruskan pemanduannya. Sampai di bulatan Raub, suamiku meneruskan perjalanan ke lorong yang kedua. Keadaan tersangat sesak dengan banyak kenderaan meletakkan kereta di bahu-bahu jalan.

Kemudian, kelihatan kereta bomba bersama bot bomba. Rupanya kampung-kampung di sekitar sudah dinaiki air. Aku buka waze, menunjukkan ada dua tempat di hadapan yang sudah dinaiki air, tidak boleh redah. Memang tak lepas.

Ada kereta yang berpatah balik dan memberitahu orang di kereta depan kami, jalan kat depan memang tak boleh lalu.

Suamiku turut bertanya jika ada jalan lain. Orang tadi cakap ada laluan Sg Koyan, lepas kalau lalu situ. Suamiku pun ikut patah balik ke belakang untuk ke Sg Koyan.

Malangnya hanya beberapa kilometer selepas bulatan, air sudah naik. Lori pun sudah mengalah dan berada di bahu jalan.

Kereta tadi pun berpusing semula ke Raub, suamiku mengikut. Namun, belum sampai Hentian Rehat Benta, sudah naik air di jalan yang kami lalu tadi.

Air naik sangat cepat. Lalu terperangkaplah kami di Jalan Raub-Lipis.

Malam yang gelap itu mengingatkan aku pernah mengalami situasi sama pada tahun akhir pengajian di UiTM Kota Bharu. Masa itu, air pun naik agak cepat dari Sungai Kelantan. Selepas pembentangan tesis, air sudah naik di tangga. Kami cepat-cepat ke kereta dan ke rumah sewa kami. Dalam masa sehari, separuh Kota Bharu tenggelam dengan air. Itulah banjir besar 2014.

Nampaknya sejarah bakal berulang pada 2021, namun tempatnya bertukar di Pahang.

Friday, November 6, 2020

Rezeki selepas Kahwin

 Assalamualaikum..


Alhamdulillah.. Syukur setinggi-tingginya kepada Allah yang memberikan segala nikmat-Nya kepada diriku dan suamiku.


Bernikah pada 23/11/2019, kini hampir setahun perkahwinan kami. Alhamdulillah.


Jika diselak kisah-kisah sebelum bertemu jodoh dengan suamiku, begitu banyak cerita yang tak mampu diungkapkan. Hakikatnya, semua itu pengajaran dalam hidup untuk menghadapi liku-liku kehidupan pada masa depan.


Jodoh kami kuat, itu yang aku dapat rasakan. Walau apa pun rintangan yang datang pada hari-hari hampir akad nikah, Allah tetap mengizinkan kami disatukan sebagai suami isteri.


Aku yakin, semua orang menghadapi dugaan masing-masing untuk berumahtangga. Selepas berkahwin, terumbang-ambing kami mencari kerja baru.


Bermula Januari, aku bermula sebagai cikgu TASKI di Saujana Puchong. Suamiku masih Juruteknik ketika itu. Gaji lebih rendah daripada di Kajang dulu, tapi syukur masih boleh bekerja. Hujung Mac, aku membuat keputusan berhenti kerja kerana selalu rushing dari rumahku ke tempat kerja. Maklumlah, kerja tadika, cikgu kena masuk awal untuk sambut murid. Kebetulan pula, suamiku juga berhenti kerja dan membuat bisnes bersama abangnya.


Ditakdirkan Allah, COVID-19 mula merebak ke seluruh Malaysia dan dunia. Sangat menakutkan. Kerajaaan Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang melarang semua rakyat Malaysia keluar rumah bagi memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19. Hanya seorang ketua keluarga sahaja dibenarkan keluar untuk membeli barang-barang keperluan rumah.


Sewaktu PKP, aku melaksanakan tugas sebagai guru di tadika baru berdekatan rumahku melalui pembelajaran maya. Alhamdulillah semua berjalan dengan baik.


Memikirkan kewangan kami yang tidak stabil, aku mula mengajak suamiku bisnes online. Aku juga semakin aktif dalam Nurraysa dan mengumpul sehingga 20 dropship daripada seluruh Malaysia, walaupun yang aktif hanya lebih kurang 5 orang.


Aku dan suamiku memulakan bisnes keropok lekor, yang mana aku hanya menjadi agen. Untuk permulaan sahaja sudah ada permainan harga dari pihak atas. Namun, kami mendapat ramai pelanggan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Dua kali kami ambil stok dan jual, kami mendapat keuntungan yang sangat banyak. Jumlah jualan kami hampir RM1k dengan 90 bungkus keropok sahaja. Kemudian, kami menjual ketam, udang dan kerang fresh dari Banting. Suamiku yang berulang alik mengambil stok di Banting dan menghantar kepada pelanggan. Jualan ini juga kami mampu membayar sewa rumah saat tidak bekerja.


Bermula Julai, aku mulakan tugas sebagai guru seperti biasa setelah PKP bertukar kepada PKP Pemulihan. Ini adalah jangka masa untuk memulihkan sektor ekonomi Malaysia kerana ekonomi Malaysia dan ekonomi dunia jatuh teruk akibat COVID-19.


Namun begitu, pada September, ibu bapa mentuaku datang ke Selangor dan tinggal di rumah adik-adik iparku. Semasa ke Negeri Sembilan kerana ada majlis anak saudara ibu mentuaku, ibu dan ayah mentua naik bersama kami. Boleh juga kami bersembang dengan ibu bapa mentua.


Satu ayat Ma aku ingat dan terngiang-ngiang sehingga selepas itu,

"Ti kalau nak cuba kerja lain boleh je. Ti ada sijil, boleh cuba. InshaaAllah pasti ada rezeki.@


Ketika itu aku sudah mengandung anak pertama kami, dalam 18 mimggu. Aku mengangguk dan teringin mencuba mencari kerja Akaun semula.


Tetapi perancanganku ketika itu, sama ada berhenti kerja, tunggu bersalin dan cari kerja. Ataupun cari je kerja sekarang.


Tak sangka aku dipanggil interview di Subang. Sebuah syarikat Interior Design dan Kontraktor Renovate Rumah. Macam construction pun ada. Syarikat Melayu. Suamiku menyokong aku mencuba dahulu. Dan paling tak sangka, aku diterima sebagai Penolong Akaun dan Admin di syarikat itu. Alhamdulillah.


Suamiku terkejut aku terima tawaran itu kena risau aku yang berbadan dua dan terpaksa berulang alik agak jauh dari rumah ke tempat kerja. Tapi, tempat kerja ni tak rushing. Masuk puk 9 pagi dan balik pukul 6 petang.


Kemudian, aku pujuk suamiku cari kerja lain kerana bisnes sekarang agak tidak stabil dan kurang menguntungkan. Aku berdoa semoga Allah jadikan suamiku Technician semula. Pengalamannya sebelum ini sudah 10 tahun. Agak sayang jika dibiarkan begitu sahaja, sedangkan aku kenal suamiku seorang yang rajin dan cepat belajar.


Hari pertama aku mula kerja, suamiku dipanggil interview oleh sebuah syarikat Engineering, Tempat suamiku lagi dekat dengan rumah. Suamiku hanya apply kerja operator kilang kerana takut tidak mampu melaksanakan tugas maintenance. Tapi perancangan Allah lebih hebat, Allah ilhamkan Cina yang interview suamiku untuk tukar dia ke bahagian Maintenace, bermaksud suamiku kini Technician semula. Alhamdulillah.


Nak dijadikan ceritanya, rupanya syarikat suamiku itu syarikat yang sangat kukuh, pergi bank pun orang kenal. Orang lama pun kata biasanya nak masuk kena ada kabel. Tapi Allah sahaja kabel yang kami ada. Suamiku dapat kerja itu dengan izin Allah. Semasa suamiku bercerita, aku berbisik dalam hati, maknanya suamiku seorang yang ikhlas cari kerja dan berusaha untuk bertanggungjawab kepada keluarga walaupun tiada kelayakan, kerana Allah sahaja yang nampak semua itu.


Semua ini untuk anak kami yang bakal lahir pada tahun 2021. Betapa satu persatu Allah bagi kepada kami, saat kami tawakkal kepada Allah.


Aku pula memang tak sangka, selepas 5 tahun tak kerja bahagian akaun, dan pengalaman hanya tak sampai setahun, Allah ilhamkan bos untuk ambil aku kerja, walaupun sedang mengandung. Betapa hebat perancangan Allah untuk kami.


Saat susah bersama itu untuk dikenang waktu kami sudah senang nanti, supaya tak lupa dan alpa dengan nikmat-nikmat yang Allah bagi. Alhamdulillah.


Perkongsian ini sekadar meluahkan rasa hati yang tak terluah, rasa terlalu hebat pertolongan Allah walaupun kecil sahaja amalan kita buat, Tetapi kerana ikhlas dan tawakal, Allah bantu hamba-hambaNya. Seperti yang Allah sudah firmankan dalam Ayat Seribu Dinar.


Sekian sahaja untuk kali ini. Semoga coretan ini menjadi memori terindah untuk dikenang kembali suatu hari nanti.


Wassalam.

Friday, September 27, 2019

Ujian Kurnia Allah 🌷

Alhamdulillah.. Syukur setinggi-tingginya kepada Allah yang masih mengurniakan nyawa sehingga saat ini.

Siapa tidak gembira jika hidupnya bakal mengakhiri zaman bujang? Tetapi ada juga yang masih teringat peristiwa-peristiwa pedih sebelum bertemu jodoh yang sebenar.

Hakikatnya, Allah tidak mahu kita terlalu meletakkan harapan pada manusia. Biarlah harapan yang paling tinggi itu hanya kepada Allah.

Hati ini satu tempat simpannya rasa gembira, sedih, marah dan kecewa. Ia adalah tempat yang tiada siapa tahu melainkan Allah.

"Sesungguhnya hanya dengan mengingati Allah, hati-hati akan tenang." -Surah Al-Isra', ayat boleh cari sendiri ya.

Allah sebut lagi lebih kurang begini bunyinya, hanpya Allah sahaja yang mampu memegang hati hamba-hambaNya. Hanya Allah juga yang tahu perasaan apakah yang ada di dalam hati hamba-Nya.

Seorang yang pemarah, Allah uji sesuai dengan keadaan dia dan kemampuan dia menahan amarahnya. Jika nekad seseorang itu untuk menjadi lebih baik, dia akan cuba paksa dirinya menjadi pemaaf dan melupakan kesilapan orang padanya. Allah ujinya dengan kesakitan dan kesedihan, sehingga jiwanya pada tahap yang tak boleh lagi untuk bertahan. Andai waktu itu dia terus bersujud pada Allah, memohon pertolongan dan dibuka jalan penyelesaian, pasti Allah akan kabulkan. Kerana saat itu dia meminta dengan deraian air mata kesakitan dan teresak-esak merayu pada Pemilik hati-hati.

Andainya jiwanya memberontak, Allah akan uji lagi sehingga dia sendiri memilih jalan untuk kembali kepada Allah ataupun dia menyombongkan diri dengan berpaling daripada-Nya. Jika nyawa sudah sampai kerongkong, pasti penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Manusia akan selalu diuji. Saat diuji, ingatlah kepada Pemberi ujian, kerana hanya Dia mampu selesaikan masalah kita.

Jangan dikaburi dengan prasangka kepada Tuhan, kerana Allah berfirman, "Aku adalah menurut sangkaan hamba-hamba-Ku."

Bersangka baiklah dengan ujian yang Allah berikan. Semoga kesabaran kita menghadapinya dapat mengangkat darjat yang lebih tinggi di akhirat nanti.

Wassalam.

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...