Monday, June 21, 2010

Siapa Allah?

AKU termenung sendiri. Masih segar di ingatanku peristiwa di perpustakaan hari itu. Aku, Anis dan Atiah baru selesai mencari bahan untuk rujukan bagi subjek Pemikiran Dan Tamadun Islam. Beberapa hari lagi, kami akan menduduki peperiksaan akhir semester dua dan subjek yang pertama adalah subjek tersebut.

Sedang kami bertiga leka memilih buku-buku yang terbaik untuk dijadikan rujukan, tiba-tiba datang seorang pelajar lelaki yang kebetulan berada di situ mengusulkan cadangan sambil menerangkan kebaikan buku yang dicadangkannya.

Aku fikir baik aku terima sahaja cadangannya itu. Sementelah lagi, buku yang aku lihat itu juga menarik perhatianku.
Selesai membuat pinjaman, kami bergegas ke tempat simpanan beg. Lagipun, jam sudah menunjukkan ke angka lima, perpustakaan pula sudah hendak ditutup.

Lelaki yang tadi juga turut keluar. Aku nampak dia seakan-akan memanggil teman-teman aku yang dua orang itu tapi tak didengari. Lantas dia menghampiri aku.
Gugup juga aku seketika. Anis dan Atiah sudah melangkah beberapa meter di hadapan sedangkan aku masih di belakang dengan lelaki yang tadi.

"Boleh saya tanya awak sesuatu?"tanyanya.
Aku cuma tersenyum, sebagai tanda hormat.

"Boleh, silakan. Kalau saya boleh jawab, insya Allah saya jawab,"jawabku.


"Sebelum kita kenal sesuatu, kita kena kenal apa dulu?"

Alamak! Apa aku nak jawab ni?

"Err.. kenal diri kita dulu kot..,"aku teragak-agak menjawab.

"Tak..,"katanya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Allah,"jawabku lagi.

"Ya, betul"

'Dia ni nak uji aku ke apa ni? ya Allah, macam mana ni?'getusku sendiri.

"Siapa Allah?"

"Allah adalah Tuhan yang wajib kita sembah, yang menciptakan kita dan seluruh alam ini."

Aku pun tak tahu jawapan itu betul atau tak. Insya Allah, betul. Semoga Allah memberi keyakinan kepadaku. Aku nampak dia menganggukkan kepalanya.

"Dan soalan terakhir.. Adakah Allah hanya kepercayaan tauhid yang untuk dipercayai sahaja kewujudan-Nya?"

Kali ini aku terdiam. Aku memandang teman-temanku di hadapan. Mereka tetap meneruskan perjalanan. Aku memikirkan ayat yang sesuai untuk menjawabnya.

"Tak apalah, awak. Maaf sebab tanya awak semua tu. Saya sekadar ingin berkongsi sesuatu. Kadang-kadang kita tak terfikir semua ni. Baiklah, saya minta diri dulu. Assalamualaikum.."katanya sambil melangkah pergi.

Aku belum sempat menjawabnya, dia sudah pergi. Sedihnya di hati aku kerana terpaku terlalu lama untuk menjawab soalan tersebut. Ya Allah, ampunkanlah aku... Anis dan Atiah menghampiri aku. Kami sudah keluar dari pintu kolej.

"Kenapa Zu tak jawab soalan terakhir tadi?"tanya Anis sambil memandangku.

"Entahlah. Zu tengah fikir nak jawab apa. Zu rasa sedih sangat sebab tak sempat nak jawab dulu,"kataku sambil menunudukkan mukaku.

"Zu jangan macam ni. Allah nak uji Zu ni.. Jom kita balik,"pujuk Atiah pula.

Aku hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan. Aku masih terfikir hal tadi. Keesokannya, di surau kolej, aku menghubungi abahku.

"Apa tujuan dia tanya macam tu?"tanya abah dalam talian telefon.

"Entahlah, abah. Kita jadi terfikir apa yang dia cakap tu."

"Sebenarnya dia saja nak uji kalau macam tu. Lain kali kakak buat tak tahu je apa yang dia tanya."

"Tapi, apa jawapannya, abah?"

"Kalau nak tahu siapa Allah, tengoklah kejadian alam ni. Kita boleh tengok kehebatan dan keagungan Allah melalui penciptaan langit dan bumi, gunung-ganang, lautan dan sebagainya. Allah bukanlah suatu kepercayaan tauhid sahaja bahkan Allah adalah yang mencipta dan menguasai seluruh alam ini. Ingat dan hayati ke semua sifat-sifat Allah dan nama-nama Allah yang indah. Dari situ kita akan mengenali Allah dengan lebih dekat lagi."

Kata-kata abah terlekat di dalam akal fikiran aku. Ya tak ya juga. Mengapalah aku ni terlalu lambat berfikir? Aku menemui pula kakak senior aku, Kak Nik. Mulanya, Kak Nik hanya diam mendengar ceritaku. Ketika bercerita pula, aku seperti hendak menangis.

"Sebenarnya tanda-tanda kekuasaan Allah ada dalam diri kita. Lihatlah diri kita, siapa yang dapat mencipta kita dengan sehebat penciptaan begini? Dengan urat-urat kecil yang berselirat. Subhanallah! Allah itu bukan sekadar kepercayaan tetapi harus diyakini dan diakui kekuasaan-Nya."

Kata-kata Kak Nik pula membuatkan aku terpaku. Subhanallah! Allah hendak menguji aku. Betapa kurangnya lagi ilmu yang aku ada sekarang. Sesesungguhnya seseorang pernah berkata, semakin banyak kita belajar, semakin banyak yang kita tak tahu. Bila difikirkan balik ada juga benarnya. Yalah, semakin banyak belajar, semakinlah kita rasa nak tahu. Rasulullah S.A.W. sendiri bersabda yang bermaksud, "Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China." Subhanallah! Peristiwa itu yang membuatkan aku terus mencari dan mencari. Semoga kita semua mendapat hidayah untuk terus mengenali Allah.

"Allah, tidak ada tuhan selain Dia. Yang Maha Hidup, Yang terus menerus mengurus (makhluk-nya), tidak mengantuk dan tidak tidur. Milik-Nya apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Tidak ada yang dapat memberi syafaat di sisi-Nya tanpa izin-Nya. Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui sesuatu apa pun tentang ilmu-Nya melainkan apa yang Dia kehendaki. Kursi-Nya meliputi langit dan bumi. Dan Dia tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Dia Maha Tinggi, Maha Besar."
(Surah Al-Baqarah:255)


Untuk mengenali Allah, perhatikanlah tanda-tanda kekuasaan-Nya.
Perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan hujan yang turun dari celah-celah awan yang berkumpul.
Perhatikanlah bagaimana alam semesta yang sepadu dulu dipisahkan Allah lalu terjadilah langit dan bumi serta bintang-bintang di angkasa.
Perhatikanlah juga bagaimana Allah menjadikan pohoh-pohon yang hijau (mempunyai oksigen) untuk menyalakan api daripadanya.
Perhatikanlah laut yang terbentang luas, bagaimana Allah mengizinkan kapal-kapal belayar merentasinya.
Perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan ternakan untuk memenuhi keperluan manusia.
Ingatlah bagaimana Allah menciptakan kita daripada air mani yang hina lalu terjadilah kita. Allah tinggikan darjat kita sesuai dengan ketaqwaan kita kepada-Nya.

Terlalu banyak tanda-tanda kekuasaan Allah.
Perhatikanlah dan berfikirlah.
Bacalah Al-Qur'an kerana semua rahsia itu ada di situ.
Bersyukurlah kita kerana Allah masih memberi kita peluang untuk mengenali-Nya.

No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...