Assalamualaikum..
Buat bakal imamku,
Allah mentakdirkan sesuatu sesuai dengan kehendak-Nya. Dan dikau juga pernah menyatakan padaku bahawa jodoh itu rahsia Allah. Hanya Allah yang tahu susur perjalanan hidup kita, bagaimana kita bertemu dan ke mana hala tuju kita selepas ini.
Buat bakal imamku,
Engkau bakal menjadi cinta dan taatku selepas Allah dan Rasul. Sedangkan sebelum ini, cinta dan taat setelah Allah dan Rasul tentulah ibu bapaku. Setelah akad, semua itu berpindah kepadamu.
Buat bakal imamku,
Kehidupan yang bakal kita layari selepas ini sudah tentu tidak akan sama seperti sekarang waktu kita masih bujang. Selepas ini, kita harus saling menerima, bertolak ansur, dan sabar dengan perangai masing-masing.
Wahai bakal imamku,
Aku anak perempuan yang selalu manja dengan abahku, apabila engkau hadir, adakah layananmu akan sama seperti itu atau mengabaikanku. Dengan abahku, aku boleh menjadi cengeng walaupun sudah dewasa, selepas ini mungkin hatiku harus seteguh karang di lautan.
Bakal imamku,
Tanggungjawab satu kemestian untuk ditunaikan. Di akhirat nanti, itu yang akan Allah persoalkan. Semoga kita berdua saling bekerjasama memikul tanggungjawab baru nanti.
Wahai bakal imam,
Kehidupan baru akan kita tempuh nanti pasti lebih banyak dugaan untuk menguji kejujuran, kesetiaan dan kasih sayang kita. Sentiasalah berserah kepada Allah untuk membuat keputusan, kerana Dialah yang Lebih Mengetahui segala sesuatu.
Bakal imamku,
Suatu hari nanti, mungkin aku atau engkau akan ditimpa sakit. Semoga kita saling setia saling menjaga dan tetap menyayangi walau bagaimana pun keadaan kita ketika itu.
Bakal imamku,
Dalam melayari kehidupan berumahtangga, satu persatu kekurangan kita akan tersingkap. Oleh itu, janganlah mengharap segalanya sempurna, kerana tiada yang sempurna di dunia ini melainkan Allah Yang Maha Sempurna.
Bakal imamku,
Semoga kebahagiaan rumahtangga kita akan dihiasi anak-anak yang soleh solehah, penyejuk mata hati kita, dan menjadi punca kebahagiaan hidup bermasyarakat. Kerana punca masyarakat bahagia adalah daripada keluarga bahagia dan tersusun akhlaknya.
Wahai bakal imamku,
Bersama-samalah kita kuatkan hati dan istiqamah berdoa kepada Allah, semoga segala impian kita tercapai dan dilindungi daripada bala bencana. Semoga cinta kita sampai syurga.
No comments:
Post a Comment