Saturday, June 26, 2010

Perjalananku

Hatiku bergetar saat ini menahan sendu. Laut nan biru masih jua kutatap. Selamat tinggal, laut.. Aku akan merinduimu. Di sana mungkin aku tidak akan menemuimu lagi.

Perjalanan dari Marang ke Kuala Lumpur mengambil masa enam jam. Dalam bas Transnasional yang aku naiki cuma ada empat orang penumpang termasuk aku. Perjalanan yang agak panjang bagiku tapi mungkin cukup untuk aku mengenang kisah-kisah lama. Kisah waktu aku masih kecil, kisah persahabatan aku dengan sahabat-sahabatku.

Pagi tadi sebelum bertolak, aku membaca post seorang sahabatku, Nabila. Katanya post itu khas untukku. Terharunya aku membacanya. Memang susah sangat untuk aku dan sahabatku itu berpisah.

Aku masih ingat ketika aku bertukar ke sekolah baru sewaktu di tingkatan empat. Memang perpisahan itu lumrah tetapi rapatnya antara aku dengannya sehingga sangat sukar untuk aku melangkah pergi.

"Kau bagaikan sebahagian daripada diriku. Hilangnya kau tiada gantinya. Jika ada, tak mungkin sama. Aku kehilangan sebahagian daripada diriku. Aku bagaikan burung yang patah sayapnya. Tak mampu untuk terbang lagi...," kataku padanya suatu ketika dahulu.

Aku memang kehilangan sebahagian daripada diriku ketika itu. Meski sukar untuk aku menjalaninya, tetapi tetap harus aku tempuhi. Setelah lama mencari diri yang hilang, akhirnya kutemui juga. Berbekalkan semangat darimu, aku terus melangkah dan melangkah lagi.

Aku juga rapat dengan Amirah, Nik Syamim dan Rohainah. Kami memang geng semasa aku masih berada di SMA Marang. Bila aku jauh, terkenang juga kepada sahabat-sahabatku itu. Bila di Kospint pula, aku rapat dengan Ainul Rahmah, Hazirah, Hajar dan Hanan. Yang lain juga aku rapat. Maklumlah tinggal di asrama. Memang rapat sangatlah.

Bas membelok ke Pantai Teluk Bidara. Aku berasa sungguh pelik. Tak pernah rasanya bas melalui jalan pantai ini sebelum ini. Sebenarnya aku merindui tempat ini. Inilah tempat yang aku paling sukai selepas Marang.

Kepelikan aku berganda apabila bas terus melalui Pantai Teluk Cempedak. Sekolah Menengah Imtiaz Dungun masih tetap dengan keadaannya seperti masa aku pernah pergi dahulu. Mataku melilau-lilau seketika. Pandanganku tertancap pada sebuah resort di sebelah kananku. Itulah tempat kem elit semasa di tingkatan 3 dulu. Aku termasuk 10 orang yang pergi.

Aku tiba-tiba diterpa kenangan-kenangan waktu sekolah dahulu. Laju pula air mataku turun ke pipi. Ya Allah.. Hatiku merintih pedih. Sukarnya untuk aku melupakan kenangan-kenangan lama.

Aku tertidur di dalam bas selepas melepasi Tempat Rehat Chenor. Masih kulihat sungai-sungai yang mengalir. Semudah itukah aliran hidupku? Tak mungkin semudah itu. Masih tertangkap oleh mataku akan keindahan pepohon hijau di sebelah kiriku. Akan kurindui semua ini.

Selamat tinggal, Terengganu.. Semoga Allah sentiasa merahmatimu dan seluruh penduduknya. Aku akan kembali lagi. Yang pastinya, aku akan merindui lautmu, aku akan mengingati segarnya udaramu yang berhembus dari sungai, akan kurindui semua itu. Kerana aku sayang kamu kerana Allah..

No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...