Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Setelah sekian lama menyepi dalam penulisan blog ini, saya ingin berkongsi sekali lagi tentang cerita sebuah kehidupan. Lazimnya, kehidupan ini Allah ciptakan berliku-liku dan penuh ujian. Nasiblah kan siapa yang kuat dan lemah imannya. Sesungguhnya Allah tak menciptakan semuanya sia-sia. Semuanya tetap kembali kepada sunnatullah atau ketetapan Allah.
Setelah sekian lama menyepi dalam penulisan blog ini, saya ingin berkongsi sekali lagi tentang cerita sebuah kehidupan. Lazimnya, kehidupan ini Allah ciptakan berliku-liku dan penuh ujian. Nasiblah kan siapa yang kuat dan lemah imannya. Sesungguhnya Allah tak menciptakan semuanya sia-sia. Semuanya tetap kembali kepada sunnatullah atau ketetapan Allah.
Apabila diuji dengan perkara susah, kita kena kembali pada Allah. Begitu juga jika kita diuji dengan perkara senang. Jika kita mengingati Allah dalam keadaan kita senang, Allah akan bersama-sama kita apabila kita susah. Ujian itu mematangkan diri, memantapkan akidah dan menguatkan hati. Bersama-sama ujian, Allah beri kita panduan hidup iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.
Setiap orang dalam dunia ini
pernah membuat silap. Setiap orang diuji dengan ujian yang berlainan. Ya,
bersesuaian yang Allah firmankan dalam kitab Al-Quran, diuji manusia itu
mengikut kesanggupan atau kemampuannya. Apabila telah tersedar dari kekhilafan,
sewajarnya kembali semula kepada Yang Maha Pencipta. Hanya Dia, Allah Yang Esa.
Ujian adalah untuk memperteguhkan
keimanan dan kecintaan kita pada-Nya. Dalam mencari hidayah dan cahaya-Nya,
tetapkan hati untuk sentiasa sabar kerana Allah sentiasa bersama-sama
orang-orang yang sabar. Perhatikanlah setiap firman-Nya melalui Al-Quran dan
penciptaan semesta. Semuanya adalah ujian kehidupan di dunia kerana yang di
akhirat lebih kekal dan abadi.
Sedangkan nabi-nabi pun diuji
keimanan mereka, bahkan kita hanya hamba-hamba-Nya yang biasa-biasa sahaja
tentu sahaja diuji. Cuma ujian para nabi lebih besar kerana mereka adalah
orang-orang yang dekat dengan Allah. Nabi-nabi dan rasul-rasul Allah telah dikurniakan
sifat maksom, iaitu bersih daripada dosa-dosa. Namun, mereka tetap teguh
beribadat dan tetap beristighfar untuk mencari keredhaan Allah. Nabi Nuh dan
Nabi Luth diuji dengan ahli-ahli keluarga yang menolak seruan kebenaran. Begitu
juga nabi-nabi yang lain diuji dengan kedegilan kaum masing-masing.
Sedarkah kita sebagai Muslim yang
diwarisi agama kita ini bahawa muallaf iaitu saudara baru kita lebih menghargai
keimanan berbanding kita yang dikurniakan nikmat Islam sejak lahir. Meskipun
baru sahaja mengenal Islam dan baru hendak mengenali Allah Yang Pengasih,
muallaf lebih tinggi kesedaran mereka dengan Islam dan lebih faham mengapa
mereka memilih Islam sebagai cara hidup mereka. Ternyata hidayah Allah
dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Muallaf diuji dengan kekafiran
mereka sebelum menerima cahaya Islam. Namun kerana kesedaran yang ada dalam
hati mereka tentang kebenaran Islam, mereka mencari hidayah Allah itu dengan
mengkaji kebenarannya. Atas sebab itu mungkin, iman mereka lebih teguh
berbanding yang sedia Islam. Oleh sebab itulah, kita digalakkan memerhatikan
ayat-ayat Allah, iaitu bukti-bukti kebesaran Allah supaya teguh hati kita dan
bertambah keimanan kita.
Manakala, Muslim yang pernah
tercicir sedikit daripada landasan keimanan, mereka mencari jalan untuk
kembali. Sebesar mana pun dosa seorang hamba, yakinlah keampunan Allah lebih
besar daripada seluas lautan. Percayalah, Allah Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang. Sesungguhnya orang-orang yang bertaubat itu lebih dicintai Allah.
Jangan pernah ragu untuk kembali pada-Nya kerana Dia sentiasa menantikan
rintihan-rintihan hamba-hamba-Nya.
Allah lebih mengenali hamba-hambaNya. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Sekiranya diuji, jangan lekas melatah dan berputus asa. Peganglah bahawa hanya kerana Allah kita hidup. Jika tidak, tentu kita tak mampu walaupun nak bernafas sesaat pun.
Wallahu A'lamun Bissowab..
No comments:
Post a Comment