Monday, March 19, 2018

Di Ambang 1 Rejab

Hari yang cerah. Murid-murid telah selesai perhimpunan pagi dan solat berjemaah mereka.

Aku sedang khusyuk menulis di dalam buku. Tiba-tiba wajah-wajah di kampung melintasi fikiranku. Keadaan kampung yang permai, jalan balik kampung. Semuanya membuat aku berasa sungguh rindu untuk pulang ke kampung.

Malam itu, aku dibayangi lagi dengan wajah nenek dan kampung. Sedang aku berfikir untuk membawa pulang cucu menantu untuk nenek, satu panggilan mengejutkan lamunanku.

"Assalamualaikum, siti. Mok su ma ni. Siti tolong beritahu abah yang nenek tenat sekarang. Mok su ma telefon abah tapi abah tak angkat."

"Ok, mok su ma. Sekarang juga Siti telefon."

Aku menelefon Hakim, adik lelakiku dan kemudian bercakap dengan abah. Aku meminta abah balik malam itu juga. Aku risau takut tak sempat jumpa nenek.

Malam itu, aku menangis sambil berdoa supaya Allah beri kesempatan untuk aku bertemu nenek. Aku memang sangat sayangkan nenek. Aku cucunya yang sangat manja.

Keesokan harinya, adikku yang mengikut abah pulang ke kampung memberitahu, nenek semakin sihat. Tapi gerak hatiku mengatakan itu hanya sementara. Mungkin Allah mengabulkan doaku untuk bertemu nenek.

Khamis malam aku bersiap untuk pulang ke kampungku di Terengganu. Aku mendapat tahu ibuku juga demam. Aku perlu menjaga ibuku baru pergi menjenguk nenek. Sempat ke?

Kami tak jadi bertolak malam. Kami bertolak pada waktu pagi hari Jumaat sebelum Subuh.

Sampai sahaja di rumah, aku tengok ibuku memang sedang demam. Aku makan apa yang ibuku masak kerana itulah yang akan membuatnya gembira. Alhamdulillah, esoknya ibuku dah sihat.

Pada hari Ahad, aku, abah dan Hakim pulang ke kampung nenek. Tengahari kami sampai di rumah nenek.

Aku terus mencari nenek. Aku nampak dirinya terbaring lesu, semakin kurus, di ruang tamu yang agak luas.

Aku menyalami tangannya, aku cium kedua pipi dan dahinya. Kemudian aku memberinya minum air zam zam yang sudah disediakan di sebelah nenek.

Aku tertidur sekejap di sebelah nenek. Bangun sahaja, aku terus memberi nenek air lagi. Kemudian, mak cikku ajak makan. Aku pergi makan tapi sekejap sahaja.

Seusai makan, aku kembali mendampingi nenek. Aku menyuapnya air lagi, sambil berselawat dan berzikir. Nenek telan sahaja.

Tak lama selepas itu, aku rasa mengantuk lagi. Aku buka Surah Al-Baqarah dan letakkan telefonku atas sedikit daripada kepala nenek. Aku rasa lali seketika.

Baru sahaja hendak terlelap di sebelah nenek, sambil tangan kananku memeluk nenek, pok yie ku datang. Dia bertanya keadaan nenek. Lepas tu, pok yie minta aku tutup bacaan surah itu. Aku memberitahu pok yie yang mata nenek bergerak-gerak.

Kemudian, pok yie panggil semua berkumpul. Masa tu, kami bergilir mengajar nenek mengucap. Tak lama selepas itu, nenek diam. Semua yang berada di situ hanya mampu mengalirkan air mata sambil mulut membaca Surah Yasin.

Rupanya, nenek telah pergi. Waktu Asar di ambang 1 Rejab.

Ya Allah, aku bersyukur sangat Engkau memberiku kesempatan untuk menemui nenekku dan menjaganya untuk kali yang terakhir. Moga Engkau mudahkan urusannya di sana, lapangkan kuburnya seperti taman-taman syurga, dan janganlah jadikan kuburnya seperti lubang daripada neraka.

Ya Allah, Engkau Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Semoga Engkau ampunkan semua dosanya ya Allah, kasihanilah dia sebagaimana dia mengasihaniku semasa kecil.

Aamiinn..

18 Mac 2018.
4.25 petang.
Kg Kubang Golok.

Thursday, January 11, 2018

Jumaat Barokah

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kepada Allah atas kurniaan-Nya dapat lagi saya menulis di teratak yang hampir dilupakan ini.

Sudah masuk ke tahun baru masihi 2018, bermakna umur kita pun semakin bertambah. Dan masa pun semakin sedikit untuk kita.

Meskipun ajal tak mengenal usia. Sesiapa sahaja yang Allah kehendaki, pasti akan dipanggil oleh Allah.

Beramallah selagi ada masa. Mungkin satu detik itu akan menjadi penyelamat kita di akhirat nanti.

Allahu akbar!

Teringat sebuah cerita daripada kakak usrah saya apabila dia ditanya dengan soalan ini,

"Kak, adakah seorang pelaku maksiat itu masih mendapat keampunan Allah walaupun dia sudah bertaubat kemudian mengulanginya lagi dan bertaubat lagi?"

"Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Yang Sangat Pemaaf. Selagi dia bertaubat, inshaaAllah ada keampunan Allah untuknya. Sebaiknya taubatnya mestilah bersungguh-sungguh dan bukan main-main. Allah tak menerima taubat hamba yang main-main."

Menurut sebuah hadis,
“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Selalulah memohon keampunan Allah dan dalam masa yang sama turut meminta hidayah dan petunjuk daripada Allah. Kita tidak tahu bila masa kita akan dipanggil oleh Allah S.W.T.

Semoga setiap hari kita lebih bersemangat untuk menemui Pencipta kita. Ketahuilah, sekiranya kita telah berbuat dosa lalu terus bertaubat, itu bermakna Allah sayangkan kita. Allah masih mahu memberi peluang untuk mendapat rahmat dan maghfirah-Nya.

Wabillahi taufiq wal hidayah wassalam..

Friday, December 22, 2017

Nilai Cintamu - Allahyarham Sudirman

Pernah dulu kufikirkan
Tanpa cinta tak mengapa
Bila kau pergi kurasakan
Sunyinya dihati
Baru kini kutahu
Nilai cintamu

Kurenungi gambarmu
Kubaca surat surat mu
Namun pedihnya kuterasa
Tanpa kau bersama
Kuharap dikau pun
Begitu jua

Kini aku mengerti
Hanya engkau pelita hati
Semua yang kau korbankan
Hanyalah untukku
Akan tetapku kenang
Kasihmu terhadap diriku
Janji untuk bersama
Sehidup dan semati

Andainya kau kembali
Kan ku curahkan rasa hati
Akan aku buktikan
Cintaku yang suci
Berikan ku harapan
Untuk bersamamu semula
Akan aku buktikan
Nilai cintaku...

Saturday, September 30, 2017

Sejarah Nasi Dagang Terengganu

Sehingga hari ini, ramai yang tidak tahu siapakah yang mula membuat nasi dagang. Sebut sahaja nasi dagang, hanya ramai yang tahu ianya berasal dari Negeri Terengganu, sebuah negeri yang berada di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.

Mengikut seorang tua yang saya temui, nasi dagang pada mulanya tidak dibuat oleh orang tempatan negeri Terengganu tetapi ianya dibuat oleh orang Bugis yang datang berdagang. Nasi dagang mulanya dibuat secara tidak sengaja oleh orang Bugis yang berada di Terengganu.

Ianya dikatakan terjadi semasa persediaan untuk menyambut hari raya aidil fitri. Telah menjadi kebiasaan rakyat akan memberi persembahan kepada istana dan sebahagiannya adalah untuk rakyat jelata menjamu hidangan itu di perkarangan masjid sebaik selesai bersembahyang hari raya. Masing-masing akan membawa makanan dan pada pagi raya itu pelbagai makanan akan dikumpul untuk saling dijamu.

Menurut cerita, orang-orang Bugis bercadang untuk turut menyediakan juadah istimewa bagi dipersembahkan kepada baginda Sultan yang memerintah Terengganu pada masa itu dan memeriahkan jamuan rakyat selepas sembahyang raya.

Bagi tujuan ini, orang-orang Bugis telah sepakat di kalangan mereka untuk membuat makanan Bugis secara bergotong-royong.

Untuk memberikan persembahan makanan yang baru kepada Sultan dan tentulah makanan perlu disediakan di saat-saat paling akhir untuk mengelakkan makanan yang dibuat itu daripada cepat rosak.

Manakala, juadah yang akan dibuat itu pula dikatakan perlu mengambil masa sehari untuk disiapkan. Orang-orang Bugis telah membuat keputusan untuk turut menyiapkan juadah istimewa itu sehari sebelum hari raya.

Dua hari sebelum hari raya sebagaimana dijangka, orang-orang Bugis telah menyediakan bahan-bahan untuk membuat juadah istimewa itu. Beras,  kelapa dan sebagainya termasuk daun pisang yang agak banyak.

Orang-orang Bugis dikatakan telah bercadang untuk membuat sejenis ketupat dalam daun pisang iaitu burasak dan dimakan bersama gulai ikan aya. Serta mereka juga akan membuat sejenis lepat dengan cara yang sama.

Tetapi kuasa Allah siapa yang tahu, petang itu anak bulan telah kelihatan dan hari raya jatuh pada hari esok. Suatu perbincangan tergempar telah berlaku di kalangan mereka dan mengikut ceritanya mereka tetap akan meneruskan usaha untuk menyiapkan burasak pada malam itu juga.

Kalau tidak banyak sedikit pun mesti disiapkan untuk dipersembahkan kepada Sultan paling lewat sebelum solat Aidil Fitri. Dalam keadaan kelam kabut itu, semasa kerja mencuci beras untuk membuat burasak telah tercampur dengan beras pulut untuk dibuat lepat tanpa disedari sehinggalah kerja mengukus dibuat.

Bagi memastikan burasak yang disediakan dapat dimasak dengan cepat apabila direbus, maka ada yang mencadangkan agar nasi itu dikukus terlebih dahulu sebelum dicampurkan santan yang dimasak. 

Selepas maghrib, maka orang-orang Bugis telah tergesa-gesa untuk mengukus nasi untuk dijadikan burasak itu.

Cerita orang-orang Bugis sedang menyiapkan juadah istimewa telah sampai ke pengetahuan Sultan di istana. Sultan amat teringin untuk melihat kerja orang Bugis itu dan mengajak beberapa orang pembesar pergi melawat orang-orang Bugis yang sedang memasak makanan tersebut. 

Burasak yang disediakan itu akan dihidang bersama dengan gulai ikan aya (ikan tongkol) memandangkan pada masa itu bukan musim ikan parang. Ikan itu perlu dimasak agak lama sehingga tulang-tulangnya menjadi lembut.

Manakala orang-orang Bugis pula, tidak menyedari bahawa Sultan akan datang untuk melihat mereka menyediakan juadah istimewa itu. Tambahan pula penempatan orang-orang Bugis tidak jauh dari istana.

Malam itu, ketika orang-orang Bugis sedang sibuk mengukus nasi dan dalam keadaan yang agak kelam kabut, sukatan santan yang dicampur ke dalam beras telah terlebih daripada biasa.

Tiba-tiba Sultan muncul bersama beberapa orang pembesar negeri. Ketika itu nasi telah diletakkan ke dalam bekas dan dicampur santan dan digaul dalam keadaan berwap(berasap) hanya menunggu untuk sejuk sedikit sebelum dibungkus.

Seorang pembesar istana bertanya kepada orang Bugis itu, makanan apa yang sedang dibuat itu.  Maka; dijawab " Buat burasak". Pertanyaan itu terhenti di situ kerana pembesar itu menyangka orang Bugis itu berkata nasi itu masih "berasap".  Tambahan pula loghat dan percakapan orang-orang Bugis dan tempatan agak banyak bezanya.

Bau harum santan dan daun pisang serta dari wap nasi yang dikukus itu telah membuatkan selera Sultan terbuka.

Tiba-tiba Sultan bertitah, beta ingin merasa sedikit. Maka, nasi bercampur santan itu telah dipersembahkan kepada Sultan, lalu disantap sedikit oleh Sultan. Keadaan menjadi sunyi seketika, semua mata yang ada memerhati ke arah Sultan.

Sultan tersenyum dan bertitah; “Beta mahu, NASI ORANG DAGANG ini dipersembahkan kepada Beta untuk santapan pagi esok”. Di sinilah bermulanya perkataan Nasi Dagang.

Orang-orang Bugis sampai tidak terkata dan terus mengangguk serta tidak pula mencelah. Rancangan orang-orang Bugis untuk menyediakan burasak untuk dipersembahkan kepada Sultan tidak kesampaian tetapi tinggal menjadi rahsia.

Sultan dikatakan amat mengemari makan nasi yang dibuat oleh orang-orang Bugis itu.

Rahsia burasak dan lepat belum siap serta beras bercampur itu tersimpan kukuh sepakat di kalangan orang-orang Bugis bagi mengelakkan kemurkaan Sultan, dibimbangi sekiranya Sultan tahu yang baginda telah santap hidangan yang belum lagi disiapkan sepenuhnya.

Bagi memastikan perkara itu tidak terbongkar serta yang paling penting menjaga nama baik Sultan, orang-orang Bugis telah membuat keputusan untuk tidak membuat burasak lagi.

Akibat kejadian yang tidak disangka itu, orang-orang Bugis yang berhasrat untuk makan burasak agak kempunan tetapi bagi mereka yang teringin untuk makan burasak, telah membuat pilihan dengan makan ketupat atau nasi himpit bersama gulai ikan aya yang telah dimasak itu.

Kesedapan nasi buatan orang dagang itu telah tersebar begitu cepat, ramai yang ingin merasainya dan akhirnya nasi dagang telah menjadi makanan tradisional orang-orang Terengganu terutama ketika menjelang sambutan hari raya dengan penambahbaikan rasa mengikut peredaran masa.

Bagi mengelakkan percakapan yang mengandungi perkataan burasak heboh, ianya telah dialihkan kepada perkataan ‘berasap’, dengan digabungkan ‘pengayuh’(disebut; ‘pe-nga-nyuh’ iaitu pendayung bagi merujuk pekerjaan orang Bugis iaitu nelayan;  `pe-nga-nyuh basah dapur berasap’.  Yang membawa maksud ‘Bila bekerja barulah mendapat hasilnya’.

Sehingga hari ini, rahsia resepi burasak itu tersembunyi dalam nasi dagang dan tidak banyak diketahui orang. Bagi orang-orang Terengganu yang berketurunan Bugis, mereka masih lagi boleh dikenal apabila makan nasi himpit bersama gulai ikan aya.

Tuesday, September 19, 2017

Tempias Hujan Rindu

Alhamdulillah.. Hari ini teramat sejuk kerana hujan tak henti-henti turun sejak petang tadi.

Saat inilah yang membuka ruang antara hamba dan Tuhannya. Seorang hamba yang meniti banyak liku dalam hidupnya. Ya, seperti manusia lain juga. Hanya dia, saat ini mendatangkan keinsafan sewaktu melalaikan waktu lapangnya.

Betapa Allah itu Maha Hebat. Dia menjadikan dunia ini begitu indah tapi sebenarnya fana. Tidak kekal dan penuh kelalaian.

Ketika hati mula khusyuk, mulalah pelbagai persoalan mengetuk hati. Adakah selama beberapa tahun ini dia terlalu taksub menjadi hamba dunia?

Astaghfirullahal azhim..

Terpaku sebentar demi mencari jawapan kepada persoalan itu.

Adakah dunia yang dicari ini untuk akhirat ataupun dunia ini dicari untuk mengisi ketamakan hati? Mana kesederhanaan yang sepatutnya ada dalam jiwa insan Muslim yang Mukmin?

Jika tangis air mata itu mampu memadamkan api neraka, bertaubatlah segera.

Pintu hidayah takkan tertutup selagi ajal belum menjemput.

Tuesday, September 5, 2017

Pulau Kapas dan Kecantikannya

Assalamualaikum..

Kali ini post saya tak berapa panjang sebab masa amat mencemburui saya sementelah cuti AidilAdha pun dah berakhir.

3 Zulhijjah 1438 Hijrah mencatatkan peristiwa kali pertama saya menjejakkan kaki ke pulau dan pulau yang bertuah itu ialah Pulau Kapas, Marang, Terengganu.

Pulau yang terletak hanya sejauh pandangan mata sahaja, memerlukan masa kurang dari 10 minit untuk sampai ke sana dari Jeti Kuala Marang. Tambahan lagi, laut agak tenang memudahkan perjalanan bot untuk sampai ke sana.

Tambang bot pergi balik hanya RM40 sahaja. Jika hendak menginap di sana, ada chalet berkipas berharga RM100 dan aircond RM160. Maklumat lanjut tentang chalet kena search lagi sebab kami bertiga hanya pergi balik hari sahaja.

Sesampainya di sana, kami membuat keputusan untuk hiking sahaja. Hiking ke Batu Singa mengambil masa 1 jam pergi dan 1 jam balik. Dalam perjalanan hiking tu, pemandangan yang terlalu cantik pasti tidak akan mengecewakan sesiapa sahaja yang datang ke sini.

Di sini saya sertakan beberapa gambar untuk tatapan anda semua.

Selamat bercuti!

Wassalam.

Sunday, August 27, 2017

Ibrah Bara Cinta Canberra

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, dalam masa dua hari saya berjaya juga habiskan sebuah novel Islamik bertajuk Bara Cinta Canberra.

Novel yang berlatar tempat yang bernama Canberra yang terletak di Australia, di mana terletaknya pejabat kedutaan Malaysia di Australia.

Novel yang menceritakan tentang seorang lelaki yang berhijrah dari kampung halamannya, Malaysia ke Australia untuk mencari rezeki di sana setelah tamat belajar di Australia National University. Namun, bidang pekerjaannya tidak seperti yang diharapkan. Sebagai lulusan Bachelor in Engineering, dia hanya mampu menjadi seorang kerani di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Di sebalik kehidupannya yang pergi balik kerja, rupanya tersembunyi sebuah rahsia kembalinya dia ke Australia.

Ikmal Hakimi, seorang lelaki yang jatuh kerana putus cinta, tersesat di Canberra, hampir buntu menemui jalan pulang. Namun kehadiran dua orang pelarian Palestin, Mak Cik Marwa dan Izzuddin Al-Qassam memberikan pengajaran yang sangat besar dalam hidupnya.

"Hakimi, carilah cinta Allah.. Nescaya Allah akan menyeru hamba-hambaNya untuk mencintaimu.."

Moy Yoke Keong, seorang ateis, seorang sahabat yang sangat rapat dengan Ikmal Hakimi. Pernah menegurnya tentang solat dan cara hidupnya yang berubah seratus peratus setelah tamat belajar.

Setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan.

Mak Cik Marwa menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf, iaitu sebaik-baik kisah dalam Al-Quran. Diceritakan satu persatu ujian yang menimpa Nabi Yusuf sejak kecil dicemburui abang-abangnya, dicampak ke perigi, dijual dengan harga yang murah, difitnah wanita, dipenjara dan banyak lagi. Akhirnya Allah membalas kesabaran Nabi Yusuf. Nabi Yusuf dipertemukan semula dengan keluarganya di mana waktu itu Nabi Yusuf sudah berkedudukan di Mesir.

Betapa indahnya sabar.

Nabi Ibrahim juga sabar diuji ketika ayahnya sendiri tidak mahu beriman, dibakar raja Namrud, diperintahkan Allah meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya yang masih kecil, Ismail, apabila Ismail sudah besar, diperintahkan pula oleh Allah menyembelih Ismail dan pelbagai lagi ujian keimanan untuknya.

Betapa setiap manusia itu diuji mengikut tahap kemampuannya. Setiap kali dia melepasi ujian itu, Allah menaikkan darjatnya. Kemudian, Allah uji lagi dan lagi untuk naikkan darjat hamba-hambaNya.

Sebenarnya Allah itu sangat pemurah, pengasih dan penyayang terhadap hamba-hambaNya. Kita sebagai hamba harus melihat ujian itu dengan mata hati, barulah kita mampu memahami hikmah yang tersembunyi, bi'iznillah..

Moga Allah rahmati kita semua.

Wassalam.

Sumber : Novel Bara Cinta Canberra, Ilham Hamdani

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...