Assalamualaikum..
Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kepada Allah atas kurniaan-Nya dapat lagi saya menulis di teratak yang hampir dilupakan ini.
Sudah masuk ke tahun baru masihi 2018, bermakna umur kita pun semakin bertambah. Dan masa pun semakin sedikit untuk kita.
Meskipun ajal tak mengenal usia. Sesiapa sahaja yang Allah kehendaki, pasti akan dipanggil oleh Allah.
Beramallah selagi ada masa. Mungkin satu detik itu akan menjadi penyelamat kita di akhirat nanti.
Allahu akbar!
Teringat sebuah cerita daripada kakak usrah saya apabila dia ditanya dengan soalan ini,
"Kak, adakah seorang pelaku maksiat itu masih mendapat keampunan Allah walaupun dia sudah bertaubat kemudian mengulanginya lagi dan bertaubat lagi?"
"Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Yang Sangat Pemaaf. Selagi dia bertaubat, inshaaAllah ada keampunan Allah untuknya. Sebaiknya taubatnya mestilah bersungguh-sungguh dan bukan main-main. Allah tak menerima taubat hamba yang main-main."
Menurut sebuah hadis,
“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Selalulah memohon keampunan Allah dan dalam masa yang sama turut meminta hidayah dan petunjuk daripada Allah. Kita tidak tahu bila masa kita akan dipanggil oleh Allah S.W.T.
Semoga setiap hari kita lebih bersemangat untuk menemui Pencipta kita. Ketahuilah, sekiranya kita telah berbuat dosa lalu terus bertaubat, itu bermakna Allah sayangkan kita. Allah masih mahu memberi peluang untuk mendapat rahmat dan maghfirah-Nya.
Wabillahi taufiq wal hidayah wassalam..
No comments:
Post a Comment