Assalamualaikum..
Alhamdulillah, dalam masa dua hari saya berjaya juga habiskan sebuah novel Islamik bertajuk Bara Cinta Canberra.
Novel yang berlatar tempat yang bernama Canberra yang terletak di Australia, di mana terletaknya pejabat kedutaan Malaysia di Australia.
Novel yang menceritakan tentang seorang lelaki yang berhijrah dari kampung halamannya, Malaysia ke Australia untuk mencari rezeki di sana setelah tamat belajar di Australia National University. Namun, bidang pekerjaannya tidak seperti yang diharapkan. Sebagai lulusan Bachelor in Engineering, dia hanya mampu menjadi seorang kerani di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
Di sebalik kehidupannya yang pergi balik kerja, rupanya tersembunyi sebuah rahsia kembalinya dia ke Australia.
Ikmal Hakimi, seorang lelaki yang jatuh kerana putus cinta, tersesat di Canberra, hampir buntu menemui jalan pulang. Namun kehadiran dua orang pelarian Palestin, Mak Cik Marwa dan Izzuddin Al-Qassam memberikan pengajaran yang sangat besar dalam hidupnya.
"Hakimi, carilah cinta Allah.. Nescaya Allah akan menyeru hamba-hambaNya untuk mencintaimu.."
Moy Yoke Keong, seorang ateis, seorang sahabat yang sangat rapat dengan Ikmal Hakimi. Pernah menegurnya tentang solat dan cara hidupnya yang berubah seratus peratus setelah tamat belajar.
Setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan.
Mak Cik Marwa menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf, iaitu sebaik-baik kisah dalam Al-Quran. Diceritakan satu persatu ujian yang menimpa Nabi Yusuf sejak kecil dicemburui abang-abangnya, dicampak ke perigi, dijual dengan harga yang murah, difitnah wanita, dipenjara dan banyak lagi. Akhirnya Allah membalas kesabaran Nabi Yusuf. Nabi Yusuf dipertemukan semula dengan keluarganya di mana waktu itu Nabi Yusuf sudah berkedudukan di Mesir.
Betapa indahnya sabar.
Nabi Ibrahim juga sabar diuji ketika ayahnya sendiri tidak mahu beriman, dibakar raja Namrud, diperintahkan Allah meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya yang masih kecil, Ismail, apabila Ismail sudah besar, diperintahkan pula oleh Allah menyembelih Ismail dan pelbagai lagi ujian keimanan untuknya.
Betapa setiap manusia itu diuji mengikut tahap kemampuannya. Setiap kali dia melepasi ujian itu, Allah menaikkan darjatnya. Kemudian, Allah uji lagi dan lagi untuk naikkan darjat hamba-hambaNya.
Sebenarnya Allah itu sangat pemurah, pengasih dan penyayang terhadap hamba-hambaNya. Kita sebagai hamba harus melihat ujian itu dengan mata hati, barulah kita mampu memahami hikmah yang tersembunyi, bi'iznillah..
Moga Allah rahmati kita semua.
Wassalam.
Sumber : Novel Bara Cinta Canberra, Ilham Hamdani
No comments:
Post a Comment