Wednesday, April 9, 2014

Saya sayangkan awak

Senja pun berlabuh. Kedengaran azan Maghrib berkumandang dari surau berdekatan. Kelihatan pula manusia-manusia yang berkejaran ke surau dan masjid untuk menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah. Segala puji bagi Allah yang menciptakan alam ini.
Ketika hiruk-pikuk kota masih banyak kenderaan bersimpang-siur menyambung urusan dunia pada waktu begini, kehidupan di desa memberi lebih banyak ketenangan dengan ingatan terhadap Pencipta. Namun, masih ada penduduk kota yang mengimarahkan masjid dan surau walaupun bilangannya sedikit, mungkin tidak setanding di desa-desa.
Alam pun sunyi. Suara riang burung-burung berkicauan entah ke mana. Hilang seperti memahami waktu bertemu Tuhan seketika. Ayam-ayam juga diam. Tiada alunan angin yang menderu. Pepohon pun tegak sahaja, tiada bergoyang. Mungkin bertasbih barangkali. Begitulah kiranya apabila mentafsir alam daripada sudut indahnya agama Islam ini.
Tangannya masih membelek-belek surat-surat lama kiriman sahabat karibnya ketika belajar dalam darjah enam di sekolah. Surat-surat itu diamati, tarikh akhirnya ialah sebelum dia melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma. Sepucuk demi sepucuk surat sudah dibaca sejak petang tadi. Hanya satu sahaja yang membuatkan air matanya tidak kering dari tadi. Surat pertama diterimanya daripada Siti Zulaiha, sahabat karibnya itu. Tapi sepucuk surat itu…
Assalamualaikum…
Apa khabar awak sekarang ni Zulaikha? Saya harap awak sihat dan ok sokmo. Saya sihat sokmo. Awak tahu dok sape saya ni Zulaikha? Saya rasa awak kenal, tapi itu saya tak tahu. Kalau awak nak, saya boleh kabor. Saya ialah NH12646 dari planet utarid. Tipu je la, saya Hidayu kawan sekolah rendah awak dulu. Jangan marah ya.. nanti cepat tua. Sebenarnya saya gurau je tu.. Jangan ambil hati.
Dia berhenti membaca seketika. Teringat zaman sekolah rendah dahulu. Ya, Hidayu yang lembut dan baik orangnya. Air matanya menitis laju. Tak sangka. Telah lama zaman itu berlalu. Telah lama dia menyimpan surat ini. Terfikir dia seketika. Lupakah dia pada temannya ini?
Zulaikha, boleh tanya dok? Seronok ke belajar di sekolah agama tu dan seronok ke belajar bahasa Arab? Manalah tahu seronok, lagipun saya tak pernah belajar bahasa Arab.. sikit pun tak. Kalau ada masa, ajarlah ya. Dah lama saya tak nampak awak pulang dari sekolah, kenapa? Dulu selalu tapi sekarang tidak lagi… a..a..a.. dating dengan awek la tu. Gurau je lah.
Maaflah Zulaikha, sebab tak pernah kirim sepucuk surat pun kepada awak ye. Siti selalu kirim surat kepada awak dan awak juga, itu saya tahu. Tapi tak pernah saya berfikir untuk tulis surat pada awak. Tapi Siti suruh saya tulis jadi saya tulislah. Lagipun dah lama saya tak tulis surat kepada seseorang. Lagipun tak dok awek, jadi nak tulis ke sape, awak je la.
Tersenyum seketika membaca perenggan itu. Memang, ketika pulang dari sekolah agama dahulu, selalu terserempak dengan sahabat-sahabat lama sekolah rendah ini. Namun, kesibukan selepas itu membuatkannya pulang lambat. Dan terkadang, sengaja mencari alasan untuk pulang lambat. Bukan tidak mahu ketemu mereka, tetapi tidak mahu terserempak dengan anak-anak murid ibunya.
Saya ada sesuatu nak kabor ke awak. Awak nak tahu dok, mak awak mengajar kelas saya. Baru kelmarin mak awak masuk. Kerana mak awak adalah guru PSV baru saya. Tapi saya dok tahu cara mak saya mengajar sebab mak awak dok mengajar lagi walaupun dah masuk kelas kelmarin. Awak nak tahu dok? Walaupun kelas saya bising, tapi mak awak dok marah pun. Baiknya mak awak Zulaikha, macam awaklah.. anaknya.
Apa lagi saya nak kabor ke awak ya.. a..a..a.. awak duduk kelas apa Zulaikha. Manalah tahu takut naik kelas. Saya tingkatan satu duduk kelas 1 Fitrah dan kini duduk kelas 2 Etika.. seronok juga. Kalau ada masa, khabarlah ke saya ya.. cik Zulaikha. Saya bagi kad nama saya tu kepada awak ya.. simpan baik-baik ya. Kalau awak nak tahu kad tu Siti beri kepada saya sempena hari lahir saya tahun lepas.
Sampai di sini sahajalah saya tuliskan surat ni, lagipun dah tak ada apa nak beritahu ok. Tapi jangan beritahu kepada mak awak yang saya ni murid kelasnya ok. Bye…
Wassalam..
                                                                                                                                       Yang benar,
                                                                                                                                       Hidayu

Dia menangis teresak-esak di birai katil. Terketar-ketar tangannya menyimpan kembali surat itu. Hanya surat itu. Kerana pemilik surat itu sudah tiada lagi. Sejak dua tahun lepas. Sebaik sahaja basnya sampai di Marang, satu mesej diterima daripada Zulaiha.
Salam Zulaikha. Hidayu dah kembali ke rahmatullah pada petang semalam kerana mati lemas mandi pantai. Al-Fatihah.
Dia betul-betul terkejut saat itu. Namun, kerana dia belum mampu memandu kenderaan sendiri pada waktu itu, dia tidak dapat menziarahinya. Sehingga kini, dia akhirnya seperti terlupa. Tetapi apabila melalui rumah Zulaiha dan arwah Hidayu, hatinya seakan-akan menjerit untuk singgah. Dia menyesal melengahkan waktu.
Entah apalah sangat kesibukan yang ada sehingga dia terlupa sahabat-sahabat yang pernah hadir dalam hidupnya. Sahabat-sahabat yang banyak memberi semangat dan dorongan sehingga dia pernah berjaya ketika dahulu. Apa jenis sahabatkah dia ini?
“Zulaiha, aku sudah lama mencarimu. InshaaAllah, aku akan mencarimu di rumahmu. Aku teringin melawat pusara Hidayu..,”katanya sendiri. Kali ini tangisnya tanpa henti.
Kerinduan yang tidak terkira, namun hanya dapat mengirimkan Al-Fatihah sebagai ganti diri bersamanya. Dipujuk hatinya untuk tidak terus bersedih. Meskipun rindu dan sendu sama-sama berlagu, takut jasad arwah di sana menderita tangisannya.
“Ya Allah.. tolonglah ampuni segala kesalahannya ya Allah.. sesungguhnya aku dan dia mencintai kerana-Mu ya Allah.. Jadikan cinta kerana-Mu ini syafaat untuk kami di sana nanti.” Diraup mukanya seketika. Kemudian digenggam surat Hidayu.

“Hidayu, semoga Allah rahmati awak di sana.. Awaklah sahabat karib saya yang paling awal meninggalkan saya. Tapi awak tak pernah menyakiti saya dan orang lain. Saya sayangkan awak..”

Saturday, March 29, 2014

Dekat denganMU

Sebulan yang lalu, memang sangat menyakitkan. Baru sahaja sampai di Kota Bharu, terus ada khabar tentang pinjaman semester ini ditangguhkan ke semester depan. Masalah ini timbul kerana sebilangan besar mahasiswa tidak mengambil surat perjanjian. Sedangkan waktu di UiTM Machang dahulu tiada sesiapa pula yang menyuruh ambil semula surat perjanjian itu, malah semuanya dikumpulkan dan mereka ambil.

Aku masih menanti harapan dalam minggu pertama. Harapnya adalah masuk duit pinjaman pada minggu itu sebab banyak hendak digunakan untuk beli buku-buku dan fotostat nota-nota. Sememangnya tidak dinafikan, apabila disebut ibu bapa guru, orang akan kata aku ini kaya. Senang hendak minta duit. Padahal mereka lupa bahawa aku ini anak sulung, dan banyak kena lepaskan untuk adik-adik yang lain yang masih belajar di kolej yang lebih mahal yurannya dan yang masih bersekolah. Berat juga bahuku dan itulah yang memberatkan hatiku untuk meneruskan pengajian dalam semester ini.

Minggu kedua, tanpa berbincang dengan rakan-rakan serumah, aku terus masuk kerja di kedai fotostat. Banyak perkara yang bermain di mindaku sebenarnya. Sendirian dalam kereta, air mataku tak putus-putus jatuh. Belum pernah aku diuji sejauh dan seberat ini sepanjang aku belajar. Sebelum ini, kalau aku tiada duit sekalipun, aku akan minta pada ibu bapaku dan dengan mudahnya aku akan mendapat duit itu. Alhamdulillah..

Kali ini aku merasakan Allah mahu mengujiku supaya aku lebih kuat. Bayangkan, hari-hari aku terpaksa memandu kereta ke kampus lantaran rumahku jauh sebanyak tiga kali lampu isyarat. Dalam lima belas minit sekali pergi. Kalau sesak, hampir setengah jam juga. Kalau waktu petang memang sampai sejam lebih. Seminggu duit minyak aku lebih kurang RM50. Sedangkan dalam poketku ketika itu hanya ada RM50. Itu pun setelah pinjam dengan kawan serumahku. Bayangkan kalau empat bulan begini.. Kalau sebulan boleh guna RM50, lagi tiga bulan sudah tiada bajetku. Aku mula putus asa.

Sedang membaca Al-Quran, Allah memujukku dengan ayat dari surah Yusuf, " tidak berputus asa melainkan orang-orang yang kafir.." Aku mula sedar, Allah ingin aku berusaha. Aku juga terjumpa kata-kata ini di muka buku, "Apabila seseorang sudah mula berusaha, Allah akan mula mengabulkan doanya.." Maksudnya, aku tidak boleh berdiam diri. Aku mesti mengorak langkah dan jangan berpatah balik selagi belum berjaya.

Hari aku hendak bayar buku dengan senior, jumlahnya RM30. Ketika itu duitku hanya ada RM10. Aku betul-betul tidak cukup duit. Masa itulah aku hanya bertawakkal pada Allah dengan harapan Allah akan memudahkan urusanku untuk membayar hutang. Datang sahabatku menghulurkan RM30 sambil berkata,"Nanti ada duit, baru bayar. Jangan risau tentang saya."

Aku terkedu dengan kebaikannya. Tapi aku yakin, itu kebaikan Allah yang Allah tunjukkan dalam dirinya. Subhanallah.

Meskipun aku bekerja di kedai itu pun, aku masih belum mampu mengumpul duit minyak. Jadi, aku tahan makanku. Aku pujuk hati untuk berasa cukup dengan apa yang ada. Apa yang aku hendak dahulukan skarang ialah duit minyak dan duit makan walaupun sdikit. Aku tidak mahu mnjadi terlalu fakir. Itu pasti mnjadi fitnah bagiku dan Islam.

Hujung minggu itu, Jumaat dan Sabtu aku bekerja bersungguh-sungguh. Alhamdulillah, Allah hendak beri rezeki pada hamba-hambaNya, ustaz tuan punya kedai itu bersungguh-sungguh menyuruh aku makan makanan yang dia beli smasa solat Jumaat dan tengahari Sabtu. Perkara ini mengingatkan aku pada kisah Maryam yang mendapat rezeki dari Allah tanpa prantaraan. Bezanya aku sekarang, Allah menghantar hambaNya yang soleh ini untuk memberi makanan padaku. Bukan setakat itu sahaja, kawanku juga menghulurkan sedikit duit blanja untuk minyak kereta.

Sungguh Allah memang Maha Penyayang.Aku tidak meragukan sedikitpun. Allah memberi rezeki kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.

Tiba-tiba air mataku menitis laju. Jika terlalu banyak aku meminta sekarang, apa lagi yang tinggal untukku di akhirat sana? Masih ada bekalkah untuk aku bawa k akhirat nanti. Seakan-akan tanganku kosong. Amalanku seolah-olah tiada. Aku menangis semakin lebat.

Baru dua minggu kerja, akhirnya pinjaman aku masuk pada hari Jumaat. Khamis itu, bapaku datang bersama dua orang adikku untuk menjenguk nenek di kampung. Seiring dengan itu, turut menjengukku. Sedangkan semalam aku baru sahaja merajuk dengan abah dan adik lelakiku. Mereka solah-olah tidak faham keadaan sulit aku sekarang yang menyebabkan masaku terlalu terhad dan kreditku tiada.

Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia betul-betul Maha Pemurah. Saat duit pinjaman itu masuk, apa yang aku takut ketika itu ialah ianya akan menjauhkan aku dari Tuhanku sedangkan hatiku sudah btul-betul berharap padaNya. Hanya padaNya.

Sunday, December 22, 2013

Al Haq Yang Satu

Lirik Lagu Al Haq- Mawi ft AC Mizal

(AC Mizal)
Andainya ku bisa putarkan saat waktu,
Ku perbetulkan segala kesilapan lalu,
Andainya kupernah melukakan hatimu,
Izinkan aku mengubati jiwa ragamu,
Segala-gala suka dan duka,
tak pernah dapat ku lupa,
Daku manusia biasa,
dibawa dosa pahala,
Hidup didunia cuma sementara,
Janganlah leka jangan terpedaya,
Antara kaca dan juga permata.
(Mawi)
Ku bersujud padamu,
berdoa pada yang satu,
Padamu aku mengadu,
Allah yang satu,
Mohon petunjuk darimu,
berderai air mataku,
Ku ingin dekat denganmu.
Ya Allah x2,
ampunilah dosa dosaku yang lalu,
Ya Allah x2,
Maha Pengasih,Penyayang, Maha Mengerti.
(AC Mizal)
Andainya kubisa hidup seribu tahun lama lagi,
Ku kota kata kata yang telah ku janji,
Andainya ditakdirkan esok aku pergi,
Susun sepuluh jari memohon diampuni,
Janganlah bersedih berduka,
Berjumpa disana semula,
Kembali kepada pencipta,
Diruang yang luas terbuka,
Pintu syurga dan neraka,
Bertapa kau bersedih berduka dijiwa gelora didalam dilema menanggung derita
(Mawi)
Ku bersujud padamu,
berdoa pada yang satu,
Padamu aku mengadu,
Allah yang satu,
Mohon petunjuk darimu,
berderai air mataku,
Ku ingin dekat denganmu.
Ya Allah x2,
ampunilah dosa dosaku yang lalu,
Ya Allah x2,
Maha Pengasih,Penyayang, Maha Mengerti.
(AC Mizal)
Allah akhbar, Allah yang Maha Besar,
Mari memuji memuja,
Maha Kaya Berkuasa,
Ampunilah segala dosaku yang lalu


Tentang Hati


10 pintu masuk syaitan ke dalam hati manusia
Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: Syaitan duduk mencangkung atas hati manusia. Bila manusia mengingati Allah, ia kan berundur; dan bila manusia lalai, ia akan membisikkan kejahatan.

1.       Marah

Sifat marah berpunca dari kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang demikian selalunya didorong oleh pengaruh Syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud :
"Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

2.       Dengki

Sifat di atas lahir daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ” Hasad itu memakan (memusnahkan) kebaikan , sebagaimana api memakan (membakar) kayu.”

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu.
(Hadis Riwayat Abu Dawud)"

3.       Tamak

Allah menceritakan Kisah Qorun dalam Al Quran; Surah al Qashash 28: 78
Dia (Qorun) berkata, 2sesungguhnya aku di beri harta itu, semata-mata kerana ilmu yang ada padaku.” Tidakkah dia tahu, bahawa Allah telah Membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan orang-orang yang berdosa itu tidak perlu ditanya tentang dosa-dosa mereka.

4.       Bakhil

Kedekut/ tidak mahu mengeluarkan harta untuk jalan Allah

Rasulullah S.A.W. bersabda, "Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub (rasa kagum dengan diri sendiri)," (HR Al-Bazzar dan Al-Baihaqi)

Sufian berkata: Syaitan tidak mempunyai senjata seampuh rasa takutkan miskin

5.       Riak

Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal?" Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda:" Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

6.       Ujub

Ujub bererti berasa kagum dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan , kepandaian, kekayaan dan lain-lain.

Ciri-ciri Sifat Ujub

1) memandang remeh dosa
Orang yang terkena penyakit ujub akan memandang remeh dosa-dosa yang dilakukannya dan menganggapnya bagai angin lalu. Nabi s.a.w. telah mengkhabarkan kepada kita dalam sebuah hadis: “Orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan mudah dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangan. Adapun seorang mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan duduk di bawah kaki gunung yang siap menimpanya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

2) suka dimuliakan oleh orang lain
Dalam sebuah hadis riwayat Abu Dawud, Rasulullah SAW  bersabda “Barangsiapa yang suka agar orang-orang berdiri menyambutnya, maka bersiaplah dia untuk menempati tempatnya di neraka.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, beliau katakan: hadis ini hasan)

7.       Berprasangka buruk

Allah berfirman dalam Al-Quran; Surah al Hujurat 49: 12
Wahai orang-orang yang beriman jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu menggunjing sebahagian yang lain. Apakah di antara kamu suka memakan daging saudaaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang.

Penyair Arab menyebut, “mata keredhaan buta terhadap aib, tetapi mata kebenciaan menampakkan segala keburukkan”

8.       Takabbur

“Tiada masuk syurga orang yang ada pada hatinya setimbang semut kecil daripada biji sawi daripada takabbur.”
Dari Abu Dhar r.a. katanya: Maksudnya;“Pada suatu hari aku bercakap-cakap dengan seorang, Aku berkata: “Wahai anak si hitam.” Rasulullah s.a.w. segera menegur, sabdanya: “Wahai Abu Dhar! Tidak ada kelebihannya bagi anak si putih ke atas anak si hitam
Ciri-ciri sifat takbur ialah:
1. Lupakan hakikat diri sendiri selaku mahkluk yang amat lemah.
2. Lupakan kekuasaan Allah.
3. Memandang hina kepada orang lain.
4. Enggan menerima kebenaran.
5. Memandang dirinya sahaja yang pandai, besar, sempurna, benar dan kuat.

9.       Panjang angan-angan

Islam melarang manusia daripada panjang angan-angan kerana ia akan melalaikan dari beramal dan beribadat kepada Allah. Umat Islam hendaklah berhati-hati melakukan sesuatu urusan supaya segala tingkah laku yang dilakukan tidak menjadi sia-sia. Manusia suka berangan angan panjang, oleh itu hendaklah ia berwaspada jangan sampai melekakan dan melalaikan sehingga akhir hayat.

Daripada Anas bin Malik RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Dalam semua perkara pada anak Adam yang akan menjadikan mereka tua adalah dua perkara: Tamak dan Angan-angan". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Anas r.a. katanya: “Nabi s.a.w. telah menggariskan beberapa garisan lalu ia bersabda ‘ini angan-angan manusia dan yang ini ajalnya. Ketika seseorang itu dalam keadaan demikian (panjang angan-angan yang tidak putus-putus) tiba-tiba datanglah garisan yang pendek (sampai ajalnya mati)”.      (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
  
10.   Cintakan Dunia

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan". Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad s.a.w. menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Oleh itu, kita haruslah bersifat zuhud. Namun sifat zuhud tidak boleh disalah ertikan dengan meninggalkan  kehidupan dunia.

Al-Imam Hasan Al-Basri menyatakan bahawa zuhud itu bukanlah mengharamkan yang halal atau menyia-nyiakan harta, akan tetapi zuhud di dunia adalah engkau lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tanganmu. Keadaanmu antara ketika tertimpa musibah dan tidak adalah sama saja, sebagaimana sama saja di matamu antara orang yang memujimu dengan yang mencelamu dalam kebenaran.


Allah tidak menjadikan bagi seseorang dua hati dalam rongganya...
surah al Ahzab 33: 4

maka Dia mengilhamkan kepadanya jalan kejahatan dan ketakwaannya, sungguh beruntung bagi orang yang mensucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi bagi orang yang mengotorinya.
Surah asy Syams 91:8-10

Thursday, December 5, 2013

Nota Cinta Buat Sahabat



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Menemui sahabat-sahabatku yang sangat dicintai, semoga Allah melindungi kamu semua dengan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Meniti arus perjuangan ini, aku seakan-akan terlalu diterpa kerinduan usrah Kajian kita yang lalu. Saat itu aku masih teringat, bahkan masih terasa-rasa kasih sayang yang disemai dan dibaja lillahi ta'ala, betapa membawa kesan yang amat mendalam dalam jiwa ragaku. Terima kasih kepada Kak Nik yang telah berjaya membawa kami ke jalan ini, dengan izin Allah Ta'ala.

Sahabat-sahabatku,

Percayalah.. Bukan ku tidak merindui kalian, bahkan jiwa ini seolah-olah meronta-ronta untuk bertemu kalian dan untuk terus berada dalam halaqah bersama kalian. Setiap kali ku baca kitab suci Al-Quran, ada sahaja ayat-ayatNya yang mengingatkan tentang kita dahulu. Subhanallah.. Aku berasa sungguh terharu dan bahagia kerana ingatanku pada kalian apabila aku membaca Al-Quran. Bermakna jika aku selalu membaca Al-Quran, pasti akan teringat kalian.

Dalam Al-Quran, pernah kita sentuh ayat ini..

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan diantara hati kamu (sehingga kamu bersatu- padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat pertunjuk hidayahNya.

Surah Ali Imran : 103

Sesungguhnya ketika itu perasaan kita sebagai saudara dalam halaqah semakin teguh dan seakan tidak mahu untuk berpisah. Bahkan benarlah dalam hadis disebut, orang Mukmin itu seperti satu jasad. Jika satu anggota disakiti, anggota lain akan turut terasa.

Dalam hidup ini, kita perlu sentiasa bersedia untuk berkorban. Sahabat-sahabatku, masih ingat lagikah kisah sahabat-sahabat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam? Ketika Rasulullah S.A.W menyuruh mereka berhijrah, mereka berhijrah tanpa meninggalkan kecintaan kepada Rasulullah S.A.W meskipun mereka jauh dari Rasulullah S.A.W.

Masih ingat lagikah ketika Rasulullah S.A.W. bersama Abu Bakar As-Siddiq, sahabat baginda yang paling akrab dan setia, di dalam Gua Tsur dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Betapa cintanya As-Siddiq pada Rasulullah S.A.W. sehingga sanggup terluka untuk melindungi Rasulullah S.A.W.


Sahabat-sahabat yang kusayangi,

Allah telah menentukan jalan hidup kita dengan baik sekali. Saat kita berusrah bersama-sama dahulu, kita dapat menghayati keindahan berhalaqah. Maka sekarang aku merasakan kita perlu untuk sebarkan keindahannya pada insan-insan sekeliling kita yang masih mencari-cari jalan cinta Ilahi itu. Aku yakin, Allah sangat meredhai percintaan dan persaudaraan atas nama-Nya.

Janganlah disedihkan dan dikesalkan perpisahan kita yang sementara ini kerana Allah sudah menjanjikan pertemuan yang jelas dan kekal di jannah nanti. Hanya ingat satu titipan-Nya, jangan pernah berpaling dari-Nya. Selagi persahabatan kita terjalin kerana-Nya, selamanya takkan pernah pudar.

Sahabat-sahabat yang sangat kucintai,

Pertemuan dengan orang baru di sekeliling kita memberikan kita peluang untuk belajar lebih memahami orang lain dan banyakkan bersabar jika berlaku salah faham. Setiap orang tentunya tidak sama zahirnya, maka sikap juga berbeza. Kelebihannya jangan kita ambil kesempatan dan kelemahannya perlulah diterima dan jangan dijaja pada orang lain.

Di sini juga sahabat-sahabatku, aku menemui sahabat-sahabat yang mempunyai misi yang sama seperti kita dahulu, namun cuma belum bermula. Aku ingin sekali menambah ahli-ahli dalam taman-taman syurga dunia ini. Kuharap kalian juga begitu. Percayalah, inilah jalan yang dicintai Allah kerana Allah mencintai orang-orang Mukmin yang bersaudara dan saling mencintai kerana-Nya.

Oleh itu sahabat-sahabatku, terimalah nota cinta ikhlas dariku buat kalian. Bersama titisan air mata dari hati, aku sangat mencintai kalian kerana Allah. Jika ada antara kalian yang aku terlebih atau terkurang sebut namanya, maafkan aku kerana itulah antara kelemahanku. Apabila aku terlalu mencintai seorang sahabat, sahabat yang lain turut kucintai namun tak sebanyak dia. Hanya Allah yang tahu mengapa begitu. Hakikatnya, manusia takkan mampu adil walau berkali-kali dia cuba untuk adil kerana adil itu hanya milik Allah.

Sekian nota cinta buat kalian..

Kusudahi dengan assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..





Monday, September 23, 2013

Cerita Sebuah Kehidupan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

 Setelah sekian lama menyepi dalam penulisan blog ini, saya ingin berkongsi sekali lagi tentang cerita sebuah kehidupan. Lazimnya, kehidupan ini Allah ciptakan berliku-liku dan penuh ujian. Nasiblah kan siapa yang kuat dan lemah imannya. Sesungguhnya Allah tak menciptakan semuanya sia-sia. Semuanya tetap kembali kepada sunnatullah atau ketetapan Allah.

                         Apabila diuji dengan perkara susah, kita kena kembali pada Allah. Begitu juga jika kita diuji dengan perkara senang. Jika kita mengingati Allah dalam keadaan kita senang, Allah akan bersama-sama kita apabila kita susah. Ujian itu mematangkan diri, memantapkan akidah dan menguatkan hati. Bersama-sama ujian, Allah beri kita panduan hidup iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

                Setiap orang dalam dunia ini pernah membuat silap. Setiap orang diuji dengan ujian yang berlainan. Ya, bersesuaian yang Allah firmankan dalam kitab Al-Quran, diuji manusia itu mengikut kesanggupan atau kemampuannya. Apabila telah tersedar dari kekhilafan, sewajarnya kembali semula kepada Yang Maha Pencipta. Hanya Dia, Allah Yang Esa.

               Ujian adalah untuk memperteguhkan keimanan dan kecintaan kita pada-Nya. Dalam mencari hidayah dan cahaya-Nya, tetapkan hati untuk sentiasa sabar kerana Allah sentiasa bersama-sama orang-orang yang sabar. Perhatikanlah setiap firman-Nya melalui Al-Quran dan penciptaan semesta. Semuanya adalah ujian kehidupan di dunia kerana yang di akhirat lebih kekal dan abadi.

               Sedangkan nabi-nabi pun diuji keimanan mereka, bahkan kita hanya hamba-hamba-Nya yang biasa-biasa sahaja tentu sahaja diuji. Cuma ujian para nabi lebih besar kerana mereka adalah orang-orang yang dekat dengan Allah. Nabi-nabi dan rasul-rasul Allah telah dikurniakan sifat maksom, iaitu bersih daripada dosa-dosa. Namun, mereka tetap teguh beribadat dan tetap beristighfar untuk mencari keredhaan Allah. Nabi Nuh dan Nabi Luth diuji dengan ahli-ahli keluarga yang menolak seruan kebenaran. Begitu juga nabi-nabi yang lain diuji dengan kedegilan kaum masing-masing.

               Sedarkah kita sebagai Muslim yang diwarisi agama kita ini bahawa muallaf iaitu saudara baru kita lebih menghargai keimanan berbanding kita yang dikurniakan nikmat Islam sejak lahir. Meskipun baru sahaja mengenal Islam dan baru hendak mengenali Allah Yang Pengasih, muallaf lebih tinggi kesedaran mereka dengan Islam dan lebih faham mengapa mereka memilih Islam sebagai cara hidup mereka. Ternyata hidayah Allah dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

               Muallaf diuji dengan kekafiran mereka sebelum menerima cahaya Islam. Namun kerana kesedaran yang ada dalam hati mereka tentang kebenaran Islam, mereka mencari hidayah Allah itu dengan mengkaji kebenarannya. Atas sebab itu mungkin, iman mereka lebih teguh berbanding yang sedia Islam. Oleh sebab itulah, kita digalakkan memerhatikan ayat-ayat Allah, iaitu bukti-bukti kebesaran Allah supaya teguh hati kita dan bertambah keimanan kita.


               Manakala, Muslim yang pernah tercicir sedikit daripada landasan keimanan, mereka mencari jalan untuk kembali. Sebesar mana pun dosa seorang hamba, yakinlah keampunan Allah lebih besar daripada seluas lautan. Percayalah, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya orang-orang yang bertaubat itu lebih dicintai Allah. Jangan pernah ragu untuk kembali pada-Nya kerana Dia sentiasa menantikan rintihan-rintihan hamba-hamba-Nya.

                Allah lebih mengenali hamba-hambaNya. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Sekiranya diuji, jangan lekas melatah dan berputus asa. Peganglah bahawa hanya kerana Allah kita hidup. Jika tidak, tentu kita tak mampu walaupun nak bernafas sesaat pun.

Wallahu A'lamun Bissowab..

Saturday, September 14, 2013

Pantun

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Kereta baru lembu pun baru,
Baru sekali masuk Melaka,
Tuan baru saya pun baru,
Baru sekali berkenal biasa.

Sayang selasih sama selasih,
Kalau tinggi ambil galah,
Sungguhpun jadi bertemu kasih,
Jodoh pertemuan di tangan Allah.

Anak ikan dipandang sahaja,
Hendak dipindang tiada berkunyit,
Anak orang dipandang shaja,
Hendak dipinang tiada berduit.

Buah rambai dalam padi,
Lazat pula cita rasanya,
Pandai sungguh mengambil hati,
Sarat dengan budi bahasanya.

Kalau padi katakan padi,
Tidak saya tertampi-tampi,
Kalau sudi katakan sudi,
Tidak saya ternanti-nati.

Buah mengkudu kusangka kandis,
Kandis berada di dalam puan,
Gula madu kusangka manis,
Manis lagi senyuman tuan.

Padi pulut di dalam pinggan,
Padi Jambi tepi perigi,
Janji mulut boleh lupakan,
Janji hati bawa ke mati.

Apalah tanda pohon pandan,
Daunnya lebat berduri-duri,
Apakah tanda orang pilihan,
Kasih melekat ke mana pergi.

Orang Aceh pulang ke Aceh,
Sampan berlabuh di waktu pagi,
Hati yang kasih bertambah kasih,
Kasih yang tidak berbelah bahagi.

Marilah tuan menanam serai,
Mari ditanam di Kuala Batu,
Hajat di hati tak mahu bercerai,
Kuasa Allah siapa yang tahu.

Kalau roboh kota Melaka,
Sayang selasih di dalam puan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Rasa nak mati dipangku tuan.

Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja,
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.

Lama sudah tidak ke ladang,
Padi sudah dililit kangkung,
Selama tuan tidak kupandang,
Putus hati pengarang jantung.

Sekian, terima kasih.. ^_^

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...