Senja pun berlabuh. Kedengaran azan
Maghrib berkumandang dari surau berdekatan. Kelihatan pula manusia-manusia yang
berkejaran ke surau dan masjid untuk menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah.
Segala puji bagi Allah yang menciptakan alam ini.
Ketika hiruk-pikuk kota masih banyak
kenderaan bersimpang-siur menyambung urusan dunia pada waktu begini, kehidupan
di desa memberi lebih banyak ketenangan dengan ingatan terhadap Pencipta.
Namun, masih ada penduduk kota yang mengimarahkan masjid dan surau walaupun
bilangannya sedikit, mungkin tidak setanding di desa-desa.
Alam pun sunyi. Suara riang
burung-burung berkicauan entah ke mana. Hilang seperti memahami waktu bertemu
Tuhan seketika. Ayam-ayam juga diam. Tiada alunan angin yang menderu. Pepohon
pun tegak sahaja, tiada bergoyang. Mungkin bertasbih barangkali. Begitulah
kiranya apabila mentafsir alam daripada sudut indahnya agama Islam ini.
Tangannya masih membelek-belek
surat-surat lama kiriman sahabat karibnya ketika belajar dalam darjah enam di
sekolah. Surat-surat itu diamati, tarikh akhirnya ialah sebelum dia melanjutkan
pelajaran ke peringkat diploma. Sepucuk demi sepucuk surat sudah dibaca sejak
petang tadi. Hanya satu sahaja yang membuatkan air matanya tidak kering dari
tadi. Surat pertama diterimanya daripada Siti Zulaiha, sahabat karibnya itu.
Tapi sepucuk surat itu…
Assalamualaikum…
Apa khabar awak sekarang ni
Zulaikha? Saya harap awak sihat dan ok sokmo. Saya sihat sokmo. Awak tahu dok
sape saya ni Zulaikha? Saya rasa awak kenal, tapi itu saya tak tahu. Kalau awak
nak, saya boleh kabor. Saya ialah NH12646 dari planet utarid. Tipu je la, saya
Hidayu kawan sekolah rendah awak dulu. Jangan marah ya.. nanti cepat tua.
Sebenarnya saya gurau je tu.. Jangan ambil hati.
Dia berhenti membaca seketika.
Teringat zaman sekolah rendah dahulu. Ya, Hidayu yang lembut dan baik orangnya.
Air matanya menitis laju. Tak sangka. Telah lama zaman itu berlalu. Telah lama
dia menyimpan surat ini. Terfikir dia seketika. Lupakah dia pada temannya ini?
Zulaikha, boleh tanya dok? Seronok
ke belajar di sekolah agama tu dan seronok ke belajar bahasa Arab? Manalah tahu
seronok, lagipun saya tak pernah belajar bahasa Arab.. sikit pun tak. Kalau ada
masa, ajarlah ya. Dah lama saya tak nampak awak pulang dari sekolah, kenapa?
Dulu selalu tapi sekarang tidak lagi… a..a..a.. dating dengan awek la tu. Gurau
je lah.
Maaflah Zulaikha, sebab tak pernah
kirim sepucuk surat pun kepada awak ye. Siti selalu kirim surat kepada awak dan
awak juga, itu saya tahu. Tapi tak pernah saya berfikir untuk tulis surat pada
awak. Tapi Siti suruh saya tulis jadi saya tulislah. Lagipun dah lama saya tak
tulis surat kepada seseorang. Lagipun tak dok awek, jadi nak tulis ke sape,
awak je la.
Tersenyum seketika membaca perenggan
itu. Memang, ketika pulang dari sekolah agama dahulu, selalu terserempak dengan
sahabat-sahabat lama sekolah rendah ini. Namun, kesibukan selepas itu
membuatkannya pulang lambat. Dan terkadang, sengaja mencari alasan untuk pulang
lambat. Bukan tidak mahu ketemu mereka, tetapi tidak mahu terserempak dengan
anak-anak murid ibunya.
Saya ada sesuatu nak kabor ke awak.
Awak nak tahu dok, mak awak mengajar kelas saya. Baru kelmarin mak awak masuk.
Kerana mak awak adalah guru PSV baru saya. Tapi saya dok tahu cara mak saya
mengajar sebab mak awak dok mengajar lagi walaupun dah masuk kelas kelmarin.
Awak nak tahu dok? Walaupun kelas saya bising, tapi mak awak dok marah pun. Baiknya
mak awak Zulaikha, macam awaklah.. anaknya.
Apa lagi saya nak kabor ke awak ya..
a..a..a.. awak duduk kelas apa Zulaikha. Manalah tahu takut naik kelas. Saya
tingkatan satu duduk kelas 1 Fitrah dan kini duduk kelas 2 Etika.. seronok
juga. Kalau ada masa, khabarlah ke saya ya.. cik Zulaikha. Saya bagi kad nama
saya tu kepada awak ya.. simpan baik-baik ya. Kalau awak nak tahu kad tu Siti
beri kepada saya sempena hari lahir saya tahun lepas.
Sampai di sini sahajalah saya
tuliskan surat ni, lagipun dah tak ada apa nak beritahu ok. Tapi jangan
beritahu kepada mak awak yang saya ni murid kelasnya ok. Bye…
Wassalam..
Yang
benar,
Hidayu
Dia menangis teresak-esak di birai katil.
Terketar-ketar tangannya menyimpan kembali surat itu. Hanya surat itu. Kerana
pemilik surat itu sudah tiada lagi. Sejak dua tahun lepas. Sebaik sahaja basnya
sampai di Marang, satu mesej diterima daripada Zulaiha.
Salam Zulaikha. Hidayu dah kembali ke rahmatullah pada
petang semalam kerana mati lemas mandi pantai. Al-Fatihah.
Dia betul-betul terkejut saat itu. Namun, kerana dia
belum mampu memandu kenderaan sendiri pada waktu itu, dia tidak dapat
menziarahinya. Sehingga kini, dia akhirnya seperti terlupa. Tetapi apabila
melalui rumah Zulaiha dan arwah Hidayu, hatinya seakan-akan menjerit untuk
singgah. Dia menyesal melengahkan waktu.
Entah apalah sangat kesibukan yang ada sehingga dia
terlupa sahabat-sahabat yang pernah hadir dalam hidupnya. Sahabat-sahabat yang
banyak memberi semangat dan dorongan sehingga dia pernah berjaya ketika dahulu.
Apa jenis sahabatkah dia ini?
“Zulaiha, aku sudah lama mencarimu. InshaaAllah, aku
akan mencarimu di rumahmu. Aku teringin melawat pusara Hidayu..,”katanya
sendiri. Kali ini tangisnya tanpa henti.
Kerinduan yang tidak terkira, namun hanya dapat
mengirimkan Al-Fatihah sebagai ganti diri bersamanya. Dipujuk hatinya untuk
tidak terus bersedih. Meskipun rindu dan sendu sama-sama berlagu, takut jasad
arwah di sana menderita tangisannya.
“Ya Allah.. tolonglah ampuni segala kesalahannya ya
Allah.. sesungguhnya aku dan dia mencintai kerana-Mu ya Allah.. Jadikan cinta
kerana-Mu ini syafaat untuk kami di sana nanti.” Diraup mukanya seketika.
Kemudian digenggam surat Hidayu.
“Hidayu, semoga Allah rahmati awak di sana.. Awaklah
sahabat karib saya yang paling awal meninggalkan saya. Tapi awak tak pernah
menyakiti saya dan orang lain. Saya sayangkan awak..”
No comments:
Post a Comment