Wednesday, August 1, 2018

Tarbiah Surah As-Syarh

Assalamualaikum..

Alhamdulillah kerana Allah masih memberi kesempatan untuk saya menulis di sini.

Masa itu emas. Masa itu umpama air yang mengalir. Dan sehingga kini di sinilah tempat saya, bersama anak-anak asuhan Islam.

Saya diberikan tanggungjawab tahun ini sebagai guru kelas 6 Qassim iaitu kelas pertama di PASTI D'Sutera ini. Alhamdulillah, banyak perkembangan anak-anak yang saya dapat tengok.

Selepas Open Day yang berlangsung awal bulan baru-baru ini, banyak perubahan anak-anak dari segi akhlak. Sebenarnya, tak ada teruk pun akhlak mereka, cuma nak lebih disiplin dan penerapan didikan Islam itu tercapai. Taatkan Allah, rasul, ibu bapa dan guru serta menjadi pelajar-pelajar yang cemerlang dan berdaya saing apabila keluar nanti.

Bagaimana boleh terbit tarbiah Surah As-Syarh ini?

Sebenarnya, saya sendiri menyedari, sejak saya diuji beberapa bulan lalu (ujian hati), saya ditarbiah oleh Allah secara tidak langsung melalui pendidikan anak-anak ini.

Bayangkan, saat saya mempunyai sedikit salah faham dengan keluarga, saya perlu menerangkan kepada anak-anak ini tentang persaudaraan. Siap kena mengajar hadis persaudaraan dan mengamalkan pula bersama mereka. Tersentuh hati saya saat itu.

Benar, Allah kabulkan doa saya saat saya mula bekerja di sini, Allah tambahkan kesabaran kepada saya sedikit demi sedikit dan Allah tambah ilmu lain pula kepada saya seperti ilmu psikologi.

Tadi, alhamdulillah Allah beri peluang kepada saya untuk menerangkan Surah As-Syarh.

Surah As-Syarh bermaksud kelapangan. Surah ini menceritakan tentang bagaimana Allah melapangkan hati Nabi Muhammad S.A.W. saat diuji ketika menyampaikan risalah Islam. Allah mengulang pada ayat kelima dan enam, "Sesungguhnya setiap kesusahan itu ada kemudahan." sebanyak dua kali.

Maksudnya, setiap kesusahan yang berlaku pada kita memang telah ada kemudahan yang Allah dah sediakan untuk kita.

Pada ayat tujuh Allah berfirman, "Selepas selesai satu amal soleh, maka usahakanlah amal soleh yang lain pula."

Pada ayat ini, Allah mahu hamba-Nya berterusan melakukan amal soleh walaupun telah selesai satu amal soleh. Dalam surah lain Allah berfirman, "..berlumbalah kamu dalam mengerjakan kebajikan.."

Dalam ayat ke lapan Allah berfirman, "dan kepada Tuhanmu tempat kamu bermohon apa sahaja yang kamu inginkan."

Allah menyuruh kita berdoa setelah kita melakukan kebaikan demi kebaikan.

Maknanya di sini, untuk mendapatkan sesuatu, kita bukan hanya berdoa sahaja. Kita kena yakin yang semua yang berlaku adalah dari Allah sejak awal lagi. Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu.

Secara mudahnya, Surah As-Syarh menerangkan bahawa Allah sahaja yang boleh melapangkan hati kita daripada kesusahan dan melapangkan masalah kita. Selepas itu, Allah yakinkan kita bahawa selepas kesusahan itu ada kemudahan sebanyak dua kali. Kemudian, Allah suruh kita terus beramal soleh dengan pelbagai kebaikan. Akhir sekali, Allah suruh berdoa apa sahaja yang kita mahu.

Hebatnya Allah. Kita tak beritahu pun Allah dulu yang mengetuk hati kita dengan hidayah-Nya.

Usahlah ego untuk menunduk sujud pada Sang Pencipta, saat diri diuji, sebenarnya Allah ingin menarik kita kembali kepada cinta-Nya.

No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...