Saturday, June 2, 2018

Tarbiah Ramadhan 1439H

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. Lebih dua minggu berada dalam bulan Ramadhan yang mulia lagi barokah ini, Allah mengajar saya untuk banyakkan bersabar.

Mungkin kerana Allah ingin mengabulkan doa-doa saya sebelum ini supaya jadikan saya sebagai hamba Allah yang bersabar dan bersyukur.

Saya teringat hadis ini,
"Betapa baiknya seorang Mukmin itu, apabila dia diuji dia bersabar dan apabila dia diberi nikmat dia bersyukur."

Post saya sebelum-sebelum ini hanya menceritakan sedikit ujian yang saya terima, tarbiah Allah untuk saya pada bulan Ramadhan ini. Dan harapnya istiqamah sehingga akhir hayat nanti.

Namun, saya juga dipaparkan dalam masa yang sama, kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh orang lain terutama saudara-saudara kita di Syria dan Palestin. Allahu.. Hebat dugaan mereka dan hebat juga keimanan dan kesabaran mereka menghadapinya.

Pada satu masa yang lain, saya teringat mereka pernah berkata, mereka akan terus berjuang untuk agama Allah walaupun keluarga mereka pergi menemui Allah seorang demi seorang. Betapa kuat keimanan mereka dan betapa lemahnya kita di sini yang hanya diuji dengan secebis cubaan, namun sudah terlantar lesu tidak bermaya.

Mungkin ya, kita tidak berada di tempat orang yang diuji itu. Tapi setiap orang pasti merasainya dan pernah merasainya. Bertemu dan berpisah dengan orang yang kita sayang, lalu Allah ambil dia semula daripada kita.

Saya mungkin terlepas pandang tentang cerita tunang meninggal ketika beberapa hari hendak menikah, cerita tentang pedihnya kehilangan suami atau isteri yang dicintai dan seorang sahabat saya kehilangan ibunya sehari sebelum hari pernikahan.

Tahun ini, nenek saya dipanggil Allah dan saya diberi kesempatan terakhir menjaganya. Saat sampai sahaja di rumah nenek, saya sempat beberapa jam memberinya minum air zam zam dan berzikir di sebelahnya. Akhirnya nenek meninggal. Janji saya pada nenek untuk membawa seorang cucu menantu tidak tertunai.

Dalam masa yang sama, saya ta'aruf dengan seorang lelaki yang sangat baik akhlak dan agamanya. Namun, jodoh kami tidak panjang. Atas sebab keluarganya tidak mahu meneruskan, kami cuba menerima kenyataan ini dengan redha.

Bulan Ramadhan yang mulia, Allah buka hati saya untuk mengejar bacaan Al-Quran 30 juzuk, inshaaAllah kalau sempat. Ketika ini juga hati saya diketuk mentadabbur maknanya sesekali.

Hebatnya Allah. Saya tak tahu dan tak dapat kira berapa banyak perkataan sabar Allah sebut dalam Al-Quran ini. Dan beberapa ayat yang selalu jadi tazkirah dalam usrah, tiba-tiba menjelma kembali. Allahu, saya hampir terlupa semuanya kerana terlalu kecewa.

Allah yang menguji manusia, dan Dia juga yang merawat hati. Setiap kali Allah sebut sabar, Allah ceritakan ganjaran sabar untuk orang-orang yang sabar. Subhanallah.

Ketika saya mentadabbur Surah Hud, Allah berfirman kepada Nabi Muhammad S.A.W., berapa banyak kaum sebelum Nabi yang mengingkari rasul-rasul mereka, tetapi rasul-rasul mereka tetap bersabar. Ayat ini menguatkan hati Rasulullah S.A.W. untuk meneruskan dakwah dan perjuangan Islam.

Disebut pula dalam Surah Yusuf, sebaik-baik kisah dalam Al-Quran. Bagaimana Nabi Yusuf Alaihissalam diuji satu demi satu dalam hidupnya, sehingga akhirnya baginda menjadi orang kepercayaan dan berjawatan di Mesir. Hebatnya perancangan Allah, sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang.

Hidup kita ini hanya sementara. Yang kekal itu di akhirat nanti. Jika kita beramal untuk dunia, kita hanya mendapat dunia sahaja. Jika kita beramal untuk akhirat, Allah akan berikan ganjaran untuk dunia dan akhirat kita.

Hakikatnya, dunia ini hanya persinggahan yang ada beberapa tahun sahaja. Indahnya dunia untuk menguji, indah di akhirat itulah yang kekal abadi.

Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Dia mendengar doa hamba-hambanNya dan Dia mengabulkan doa sesiapa yang dikehendakinya.

Hidup sendiri mungkin lebih berpeluang beramal lebih daripada yang sudah ada tanggungjawab. Cuma, dikhuatiri hati sudah tidak mampu menerima sesiapa sehingga lebih senang sendiri. Ramai yang saya lihat begitu termasuk beberapa orang saudara saya dan kakak-kakak kepada kawan-kawan saya.

Doa kita jika tidak dikabulkan di dunia, inshaaAllah ditukar menjadi pahala di akhirat nanti. Jadi, yang manakah lebih terjamin? Tentulah kehidupan di akhirat.

Semoga Allah permudahkan urusan kita dan sentiasa memberi kita semua hidayah dan maghfirah-Nya. Aamiinn..

No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...