Sunday, August 27, 2017

Ibrah Bara Cinta Canberra

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, dalam masa dua hari saya berjaya juga habiskan sebuah novel Islamik bertajuk Bara Cinta Canberra.

Novel yang berlatar tempat yang bernama Canberra yang terletak di Australia, di mana terletaknya pejabat kedutaan Malaysia di Australia.

Novel yang menceritakan tentang seorang lelaki yang berhijrah dari kampung halamannya, Malaysia ke Australia untuk mencari rezeki di sana setelah tamat belajar di Australia National University. Namun, bidang pekerjaannya tidak seperti yang diharapkan. Sebagai lulusan Bachelor in Engineering, dia hanya mampu menjadi seorang kerani di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Di sebalik kehidupannya yang pergi balik kerja, rupanya tersembunyi sebuah rahsia kembalinya dia ke Australia.

Ikmal Hakimi, seorang lelaki yang jatuh kerana putus cinta, tersesat di Canberra, hampir buntu menemui jalan pulang. Namun kehadiran dua orang pelarian Palestin, Mak Cik Marwa dan Izzuddin Al-Qassam memberikan pengajaran yang sangat besar dalam hidupnya.

"Hakimi, carilah cinta Allah.. Nescaya Allah akan menyeru hamba-hambaNya untuk mencintaimu.."

Moy Yoke Keong, seorang ateis, seorang sahabat yang sangat rapat dengan Ikmal Hakimi. Pernah menegurnya tentang solat dan cara hidupnya yang berubah seratus peratus setelah tamat belajar.

Setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan.

Mak Cik Marwa menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf, iaitu sebaik-baik kisah dalam Al-Quran. Diceritakan satu persatu ujian yang menimpa Nabi Yusuf sejak kecil dicemburui abang-abangnya, dicampak ke perigi, dijual dengan harga yang murah, difitnah wanita, dipenjara dan banyak lagi. Akhirnya Allah membalas kesabaran Nabi Yusuf. Nabi Yusuf dipertemukan semula dengan keluarganya di mana waktu itu Nabi Yusuf sudah berkedudukan di Mesir.

Betapa indahnya sabar.

Nabi Ibrahim juga sabar diuji ketika ayahnya sendiri tidak mahu beriman, dibakar raja Namrud, diperintahkan Allah meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya yang masih kecil, Ismail, apabila Ismail sudah besar, diperintahkan pula oleh Allah menyembelih Ismail dan pelbagai lagi ujian keimanan untuknya.

Betapa setiap manusia itu diuji mengikut tahap kemampuannya. Setiap kali dia melepasi ujian itu, Allah menaikkan darjatnya. Kemudian, Allah uji lagi dan lagi untuk naikkan darjat hamba-hambaNya.

Sebenarnya Allah itu sangat pemurah, pengasih dan penyayang terhadap hamba-hambaNya. Kita sebagai hamba harus melihat ujian itu dengan mata hati, barulah kita mampu memahami hikmah yang tersembunyi, bi'iznillah..

Moga Allah rahmati kita semua.

Wassalam.

Sumber : Novel Bara Cinta Canberra, Ilham Hamdani

Friday, August 25, 2017

10 Zulhijjah 1438H

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, kita sudah menghampiri gerbang terakhir tahun ini..

Jika dihitung setiap amalan yang kita lakukan, tak diketahui mana yang lebih banyak antara baik dan buruk.

Apakah tahun ini kita banyak menyakiti hati orang lain?

Apakah tahun ini kita mampu banyak bersabar?

Apakah tahun ini kita sudah dapat menghindari dosa-dosa kecil dan besar?

Apakah tahun ini, kita sudah mampu menjadi hamba yang istiqamah?

Baru-baru ini saya telah pergi ke Usrah Tarbawi yang penceramahnya dipanggil dengan nama Ustaz Mad Cina.

Kata ustaz, hidup seorang pejuang tiada rehat. Rehatnya nanti di dalam kubur. Itu pun kalau boleh rehat.

Betapa perjuangan ini tak pernah habis. Apa yang kita perjuangkan? Duniawi atau ukhrawi?

Ustaz menceritakan, pernah suatu masa dahulu dia meninggalkan bumi Malaysia dan menetap di China selama 6 tahun semata-mata untuk belajar bahasa Cina. Akhirnya ustaz balik ke sini berdakwah kepada kaum cina.

Ya, dakwah itu bukan untuk orang Melayu Islam sahaja. Dakwah itu lebih lagi kepada kaum yang tidak mengetahui, yang bukan Islam.

Begitu ramai orang Melayu Islam yang beriman dengan Allah tetapi menyia-nyiakan agama Islam ini. Mereka mengabaikan kepentingan ibadat, adab, akhlak dan hubungan sesama manusia yang telah diajarkan oleh agama Islam sendiri.

Oleh itu, dakwah ini bukan dijalankan oleh  ustaz ustazah sahaja. Ia adalah suatu kewajipan amar makruf nahi munkar yang sepatutnya dijalankan oleh semua orang.

Salam AidilAdha yang bakal tiba. Moga tahun ini semua amalan kita lebih baik daripada tahun lepas. Sempurnakan tahun ini dengan berpuasa sunat 9 Zulhijjah dan membuat ibadah korban jika mampu.

Wassalam.

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...