Alhamdulillah.. Setelah lima bulan Allah beri sihat, hari ini aku kembali sakit.
Mula-mula sakit tekak selama dua hari. Pagi tadi mula selsema dan sekarang berkurang sedikit. Cuma panas baru nak naik.
Allahu.. Hebat dugaan Allah..
Esok pula nak mengajar anak-anak aktif kesayanganku. Kalau pening begini, boleh pengsan jawabnya.
Selesai makan ubat lepas solat Isyak tadi, aku bermuhasabah diri. Sememangnya sakit itu penghapus dosa.
Tapi seperti aku ini, hanya sakit biasa. Sebentar sahaja, nanti inshaaAllah dah sihat.
Teringat pada seorang sahabatku, penghidap SLE.. Tahun ini tahun kelapan dia sakit begitu.. Sedangkan seorang lagi sahabatku telah pergi menghadap Ilahi tahun lepas selepas dua tahun menghidap penyakit yang sama.
Terkilan? Ya, sangat terkilan. Tiba-tiba hadis tentang menyambung silaturahim menyapa akalku.
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya, berbuat baik kepada jirannya dan menyambung silaturahim."
Ada satu lagi hadis yang berbunyi begini,
"Sambunglah silaturahim supaya panjang umurmu dan terpelihara daripada penyakit."
Untuk kesohehannya, aku pasti keduanya soheh. Cuma sanad dan matannya tak kuhafal secara betul2, hanya ingatan drpd zaman sekolah.
Apabila teringat hadis itu, betapa menyesalnya aku tidak bertanya khabar tentangnya. Sedangkan aku punya banyak masa sebelum bekerja. Dan kini, dia telah pergi menemui Allah.
Seorang lagi sahabatku yang masih ada, ceritanya hari ini dia nak makan pun kena merangkak untuk mendapatkan makanannya. Aku yang membaca coretannya pun terasa seksa, dia? Mungkin lebih lagi. Tapi Allah telah menganugerahkan kekuatan untuknya.
Hebatnya cara Allah menguatkan hamba-hamba-Nya. Diuji dengan pelbagai ujian yang berat, sehingga kekuatan itu lahir. Allah Maha Tahu semua takdir-Nya.
Aku sendiri pernah demam, tidak dapat bangun. Hanya bangun untuk solat dan baring semula. Bila demam lagi kali ini, rasa agak trauma peristiwa pengsan tahun lepas.
Namun, semuanya aku harus terima dengan redha. Allah menguji untuk beri kekuatan padaku. Moga begitulah hendaknya.
Teringat sahabat-sahabat yang menderita penyakit lebih menakutkan daripada aku yang hanya sekadar demam, aku bersyukur. Allah tahu aku tak mampu seperti mereka. Ujian begini pun aku sudah menangis di hadapan Allah.
Dikalih semula silapku. Mungkin doaku tidak ikhlas meminta kesihatan yang baik daripada Allah. Selalu nak cepat. Allah mahu aku sedar semula kesilapanku.
Ramadhan hampir tiba. Tetap kurindui meskipun kali ini aku menggamitnya dengan pelbagai kelemahan yang ada padaku.
Semoga Allah beri kesembuhan kepada ibu bapa kita, saudara mara kita, adik beradik kita dan sahabat-sahabat kita serta kepada diri kita sendiri.. Aamiinn ya robbal 'alamiinn..