Allahu Akbar!
Hatiku terpempan. Bagaikan tidak percaya apa yang telah kubaca tadi. Ku soroti tulisan itu sekali lagi. Ternyata, ia benar. Mataku tidak salah melihat. Akalku tidak salah mentafsir.
"Lora atau Wan Nur Adila telah pergi menemui Ilahi.."hatiku berbisik.
Sayu menyerbu. Namun air mataku tak mampu untuk luruh. Yang ada, hanya kenangan beberapa tahun yang lalu ketika aku masih diploma.
Telatahnya membuatkan hariku yang suram pun jadi ceria. Celotehnya tak pernah habis bersama sahabatnya, Masita. Gurau senda, gaduh mereka, membuatkanku terkekek-kekek ketawa, meskipun di dalam perpustakaan.
Banyak hari juga kami belajar bersama-sama. Bersama kekasihku dulu yang kini sudah berkahwin dengan orang lain. Ah, ketepikan cerita itu. Tetapi, satu yang aku hargai amat. Lora tak tinggalkan aku walaupun aku ada kekasih. Sedangkan orang lain telah memandangku lain macam.
Benar, yang salah tetap salah. Tetapi aku buta waktu itu. Dikaburi cinta yang sekarang dah menghilang. Dan Lora bersama Masita, seringkali mengusik kami. Kisah lama. Itulah yang semakin mengguris perasaan ini.
Aku berjeda sebentar. Memerhati luar tempat kerjaku. Ada dua batang pokok kelapa, daunnya melambai-lambai ditiup angin. Lantas waktu itu terus berjuraian air mataku.
Wan Nur Adila telah pergi.
Dan aku, serasa ingin sahaja menyusul pemergiannya. Namun aku tidak sekuat dia. Aku yakin Allah dah sediakan tempat yang baik untuknya. Dia orang baik, inshaaAllah ada kebaikan untuknya.
Perasaan aku yang teringat kepada Lora beberapa bulan dahulu amat kuat. Mujurlah Amami ada ceritakan sedikit di Facebooknya. Terjawab segala persoalan aku tentang Lora.
Ya Allah..aku sayangkan Wan Nur Adila kerana-Mu ya Allah..moga Engkau tempatkan dia di syurga-Mu..
No comments:
Post a Comment