Thursday, November 17, 2011

Apabila diri menjadi sunyi...



Bismillahir Rahmanir Rahim..

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Waktu seusai Zuhur ini, saya terkenangkan hasrat saya beberapa hari lalu ketika sedang cuti semester baru-baru ini. Sekarang saya sudah berada di tempat belajar saya bagi menyambung pengajian yang tinggal satu semester lagi.

Suatu malam pada waktu cuti, abah mengajak saya ke masjid. Jadi, saya ikut kerana dalam masa yang sama saya tahu abah hendak mengajar memandu kereta. Ketika di masjid, saya bertemu dengan mak cik-mak cik yang selalu saya jumpa semasa dalam bulan Ramadhan. Mereka adalah jemaah-jemaah yang selalu mengimarahkan masjid. Saya sangat kagum dengan mereka kerana pada usia itu, mereka masih lagi mampu bersama-sama mengimarahkan masjid. Berkemungkinan suami-suami mereka adalah orang yang selalu ke masjid juga, lalu mengajak isteri-isteri mereka yang solehah itu. Itu pada firasat saya sahaja.

Jauh di sudut hati perempuan ini, teringin juga bersama-sama insan tercinta beribadah kepada Allah. Apatah lagi insan kerdil ini tersangat mencintai masjid. Saya harap suami saya juga mencintai masjid sebagaimana dia mencintai saya.

Selepas sahaja solat, saya menegur seorang mak cik.

"Mak cik tinggal kat mana?"tanyaku.

"Mak cik tinggal di Sungai Kerak. Kamu pula tinggal di mana?"tanya mak cik itu pula sambil memandangku.

"Sungai Kerak jugak. Eh, dekat la kita. He he.. Saya kat Taman Laili. Mak cik kat mana?"

"Kat tempat orang buat keropok tu. Kilang keropok kat sungai tu.. Kamu tahu?"

"Eh, saya pun ada kawan kat sana. Dia tinggal kat depan kilang keropok tu la. Dulu saya selalu pergi rumah dia."

"Oh.. Apa nama kawan kamu tu?"tanya mak cik tu.

" Natrah, makcik. Dah lama saya tak jumpa dia. Kali terakhir saya pergi rumah dia pun, dia tak ada kat rumah,"terangku.

"Eh, mak cik kenal budak tu. Dah kahwin pun, dah ada anak sorang.. Kamu tak tahu ke?"

Saya terdiam. Tiba-tiba terasa sebak di hatiku. Adakah sahabatku melupakanku? Langsung tidak menjemputku ketika dia kahwin? Sedangkan kami di kampung yang sama. Sedangkan dia sahabat baikku ketika di sekolah rendah. Aku tak pernah melupakannya. Itulah desir hati saya waktu itu.

"Tak tahu, makcik. Em, tak apalah. Abah saya dah tunggu kat sana."Saya meminta diri sambil tersenyum ke arah mak cik. Mak cik itu membalasnya semula.

Sampai di rumah, saya terdiam sendiri di dalam bilik. Berfikir-fikir hikmah persahabatan saya dengan semua sahabat saya. Rasa terkilan dan sedih bercampur-baur. Terlalu lamakah kita tidak bersua lantas saya dilupakan? Mungkin saya pernah membuatnya terasa sebelum ini sedangkan tidak ada niat pun untuk melakukan demikian.

Saya pun masih terkilan tidak dapat menghadiri majlis Ainul Rahmah, sahabat saya di sekolah menengah. Rasa kesal dan duka masih terasa. Tetapi pedihnya hati bila sahabat baik yang satu kampung tak pernah memberi khabar berita apatah lagi berita tentang perkahwinannya. Saya pernah mencarinya di rumah beberapa tahun lepas tetapi selalunya dia tiada di rumah. Sehingga saya sudah malu pada keluarganya kerana selalu mencarinya, lalu saya berheni sampai di situ. Namun, hati ini tak pernah melupakan Natrah.

Mungkin saya ada silap salah padanya, saya harap dapat jumpanya lagi. Jangan pernah lupakan saya. Untuk sahabat dunia akhirat, Natrah dan sahabat-sahabat lain..







No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...