Saturday, September 14, 2019

Buat Bakal Imamku

Assalamualaikum..

Buat bakal imamku,
Allah mentakdirkan sesuatu sesuai dengan kehendak-Nya. Dan dikau juga pernah menyatakan padaku bahawa jodoh itu rahsia Allah. Hanya Allah yang tahu susur perjalanan hidup kita, bagaimana kita bertemu dan ke mana hala tuju kita selepas ini.

Buat bakal imamku,
Engkau bakal menjadi cinta dan taatku selepas Allah dan Rasul. Sedangkan sebelum ini, cinta dan taat setelah Allah dan Rasul tentulah ibu bapaku. Setelah akad, semua itu berpindah kepadamu.

Buat bakal imamku,
Kehidupan yang bakal kita layari selepas ini sudah tentu tidak akan sama seperti sekarang waktu kita masih bujang. Selepas ini, kita harus saling menerima, bertolak ansur, dan sabar dengan perangai masing-masing.

Wahai bakal imamku,
Aku anak perempuan yang selalu manja dengan abahku, apabila engkau hadir, adakah layananmu akan sama seperti itu atau mengabaikanku. Dengan abahku, aku boleh menjadi cengeng walaupun sudah dewasa, selepas ini mungkin hatiku harus seteguh karang di lautan.

Bakal imamku,
Tanggungjawab satu kemestian untuk ditunaikan. Di akhirat nanti, itu yang akan Allah persoalkan. Semoga kita berdua saling bekerjasama memikul tanggungjawab baru nanti.

Wahai bakal imam,
Kehidupan baru akan kita tempuh nanti pasti lebih banyak dugaan untuk menguji kejujuran, kesetiaan dan kasih sayang kita. Sentiasalah berserah kepada Allah untuk membuat keputusan, kerana Dialah yang Lebih Mengetahui segala sesuatu.

Bakal imamku,
Suatu hari nanti, mungkin aku atau engkau akan ditimpa sakit. Semoga kita saling setia saling menjaga dan tetap menyayangi walau bagaimana pun keadaan kita ketika itu.

Bakal imamku,
Dalam melayari kehidupan berumahtangga, satu persatu kekurangan kita akan tersingkap. Oleh itu, janganlah mengharap segalanya sempurna, kerana tiada yang sempurna di dunia ini melainkan Allah Yang Maha Sempurna.

Bakal imamku,
Semoga kebahagiaan rumahtangga kita akan dihiasi anak-anak yang soleh solehah, penyejuk mata hati kita, dan menjadi punca kebahagiaan hidup bermasyarakat. Kerana punca masyarakat bahagia adalah daripada keluarga bahagia dan tersusun akhlaknya.

Wahai bakal imamku,
Bersama-samalah kita kuatkan hati dan istiqamah berdoa kepada Allah, semoga segala impian kita tercapai dan dilindungi daripada bala bencana. Semoga cinta kita sampai syurga.

Sunday, September 8, 2019

Zahirnya kuat tetapi Rapuh

Assalamualaikum sahabat maya..

Alhamdulillah saya masih diberikan kekuatan untuk mencoret hari ini..

Pernahkan kalian melihat, saat wanita dikhitbah, dia menangis sahaja sepanjang waktu khitbahnya. Biasanya, tersenyum gembira.

Namun, ada juga wanita yang dirundung pilu. Bukannya ingin berfikir yang bukan-bukan, tetapi pengalaman lalu membuatkannya berhati-hati dalam membuat keputusan.

Saat hati sudah diikat, menunggu masa terlafaz akad, tempoh waktu itu menjadi waktu berjaga-jaga untuknya. Andainya dia dikecewakan lagi.

Bukannya dia membandingkan pasangannya dengan yang lain, bahkan dia belum mengenal jelas lagi sifat pasangan yang bakal bernikah dengannya.

Ketika awal perkenalan, pelbagai janji manis ditabur. Sanggup susah senang bersama, mendengar luahan masalah bersama. Namun lama kelamaan, semuanya terbang ditiup angin.

Sedangkan wanita, tetap sedia berkorban untuk suami dan keluarganya sehingga akhir hayatnya. Saya tidak pesimis terhadap lelaki dengan tulisan saya hari ini, tetapi ia terbit daripada pelbagai kisah benar.

Hati wanita tidak sama seperti hati lelaki. Jiwanya mudah tersentuh, sedangkan lelaki masih boleh teguh jika ditegur. Jika ada wanita yang keras pun, hakikatnya Allah sahaja yang tahu betapa banyak air matanya telah jatuh untuk menahan sakitnya diuji.

Setelah membaca coretan Dr. Mat Rofa melalui bukunya Travelog Dakwah dari Bangi ke Seoul, betapa dia bersedih ketika akhir hayat isterinya, hanya sebentar masa yang mampu diluangkan bersama.

Dan semasa hayat isterinya pula, dia tidak banyak memuji akhlak isterinya secara zahir walaupun hatinya selalu berbuat demikian. Tiada yang buruk pun di matanya mengenai isterinya melainkan semuanya yang baik-baik belaka.

Hampir menangis saya membaca coretannya. Sedangkan manusia lain diuji lebih berat daripada kita sendiri. Kita harus bersyukur dengan ujian dari-Nya.

Renungi ciptaan Allah, dan bertasbihlah memuji-Nya. Allah yang menentukan jalan hidup kita. Dia yang menentukan di mana hayat terakhir kita.

Wassalam.

Wednesday, July 17, 2019

Ujian Allah Tanda Sayang

Setiap langkah hidup kita, takkan ada satu detik pun tidak diuji. Kita akan sentiasa diuji dengan apa yang kita ada.

Saat kita kehilangan sesuatu, Allah ingin menunjukkan bahawa Dia sentiasa ada untuk kita. Meskipun, kita ini insan yang terlalu banyak dosa kepada-Nya, tetap Dia mengasihi kita.

Sememangnya sifat Ar-Rahman Allah ini yang menghiasi setiap ujian yang kita lalui.

Jika dunia ini berubah, Allah tetap sama tak berubah. Jika kita ada perancangan, hanya perancangan Allah sahaja yang terbaik. Kita harus redha dan tawakal dengan segala ketentuan-Nya.

Seusai usrah malam tadi, ada sesuatu yang melekap dalam fikiran.

Allah menciptakan kita dengan tabiat kecuali dusta. Tabiat itu seperti marah, cemburu dan dendam, mempunyai sisi-sisi baiknya juga.

Marah kerana agama mendorong seseorang mempertahankan agamanya, cemburu melihat orang yang lebih baik mendorong seseorang berusaha menjadi lebih baik, dan dendam akan menjadi perisai orang jahat daripada menzalimi kita. Itulah kata Ustaz Khairul Anuar tadi.

Alhamdulillah, tazkirah inilah yang mendidik hati yang celaru, resah dan gelisah dengan ujian.

Ketika mahu mendirikan perkara besar yang diredhai Allah, syaitan akan mula menyucuk jarumnya supaya perkara besar itu gagal.

Terjadi prasangka, cemburu, marah dan dendam yang tidak dapat dikawal. Lalu membunuh cinta yang ada. Dan bertepuk tanganlah syaitan atas kegagalan kita dan kejayaan dia.

Ingatlah wahai hati, jiwa-jiwa itu akan sentiasa diintai oleh syaitan supaya kita menjadi temannya di neraka. Namun, jika kita mampu menjadi hamba yang ikhlas dan bertaqwa kepada Allah, Allah telah berjanji akan melindungi kita daripada tipu daya syaitan yang direjam.

Yakinlah dengan ketentuan Allah. Sesuatu yang baik itu pasti akan ada rintangan kerana Allah mahu kita berharap lebih kepada-Nya berbanding berharap dengan manusia.

Wallahu a'lam.

Saturday, January 26, 2019

Jalan Pulang


Ketika matahari terbenam
Bintang-bintang hadir sebagai peneman
Namun jiwa masih kehausan
Mengharap belas kasihMu ya Tuhan

Saat ini jiwa merintih
Menangis menyebut nama-Mu
Mengingat segala janji dan takdir-Mu
Walau tak seiring kehendakku
Tetapi itulah kehendak-Mu

Di tengah samudera yang kelam
Tiada cahaya dan arah saat hujan
Laut pun bergelombang
Tergapai-gapai tangan mencari haluan


Di mana Ya Tuhanku?
Di mana takdir-Mu untukku?

Waktu tetap berjalan
Nikmat diberi tetap tak terkira
Lalu mengertilah daku
Kerana keji dosa-dosa yang ada
Aku tercampak sepi di pulau ini

Ya Tuhanku
Engkau Maha Mendengar
Yang Mengerti setiap keluhanku
Yang Mengetahui setiap cerita hidupku
Yang ada denganku sejak aku belum dilahirkan
Sehingga sekarang

Engkau tenangkanlah hatiku
Engkau hadirkanlah kebahagiaan untukku
Buangkanlah iri dari hatiku
Pisahkanlah mazmumah dari jiwaku

Ya Allah
Engkau Maha Pemurah
Dengarkanlah rintihan hamba
Tuntunilah jalan hamba pada-Mu
Sembuhkanlah setiap sakit dan derita pada diri hamba-Mu ini
Lindungilah hamba

Laut yang bergelombang kembali tenang
Pulaunya sepi tetapi indah
Tenang tiada gusar
Teruskan mencari jalan pulang

Tuesday, October 30, 2018

28 Oktober Detik Terindah

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, hari bersejarah yang sentiasa berulang-ulang setiap tahun. Dan kali ini, pada tahun ini, aku diuji dengan ikatan kekeluargaan dan ikatan yang terputus.

Sepatutnya memang telah aku lupakan kisah yang berlaku sebelum ini.

Alhamdulillah, nikmat yang Allah beri padaku yang tidak ternilai ialah mak dan abahku. Walau ada yang tidak suka, tetapi itulah kasih sejati.

Kali ini, ucapan ulangtahun kelahiranku aku tulis dengan penuh air mata. Untuk mereka berdua.

Tanpa mak dan abah, tentu aku tiada di sini. Cuma, aku ingin sangat jika mak dan abahku memahami kerjayaku di sini dan impianku untuk sambung belajar lagi.

Mak dan abah, umpama laut dan pantai, bukit dan sungai, saling melengkapi walaupun banyak benar dugaan yang harus dilalui.

Aku redha jika kerana keluargaku, aku ditolak. Kerana keluargaku tiada ganti yang lainnya. Meskipun masing-masing ego untuk menyatakan sayang, namun apabila masalah berlaku, mereka tetap ambil peduli.

Biarlah diriku dibuang ke mana pun, akan aku jalani kehidupanku seiring kehendak Allah Yang Maha Mengetahui.

Ku serahkan urusanku di dunia dan akhirat kepada Allah Yang Maha Mengasihani.

Friday, September 28, 2018

Rentetan Cameron : Tidak temui Jalan Pulang

Sambungan daripada post sebelumnya, Cabaran Perjalanan ke Cameron Highlands.

Saat itu, saya sudah tidak peduli lagi dengan kelaparan dan penat yang melanda saya. Saya mencadangkan kepada sahabat-sahabat saya untuk stay di Perak untuk malam itu sahaja, kemudian pagi esok baru kami pulang ke Terengganu.

Saya membuat keputusan ini kerana bimbangkan keselamatan kami semua yang pertama kali menempuh perjalanan yang agak panjang bersama dan agak samar dengan jalan Gua Musang ataupun Grik.

Di hadapan kami hanya ada dua cabang, iaitu ke Kuala Kangsar / Grik atau ke Taiping. Disebabkan keputusan kami untuk stay di Perak, saya terus drive menghala ke Bandar Taiping. Jalan yang kami masuk agak sunyi, gelap dan menakutkan. Kami hanya berserah kepada Allah sahaja.

Masuk waktu Isyak, kami berhenti di masjid berdekatan. Ketika itu masih di kawasan kampung daerah Taiping. Kami solat jamak di situ. Saya juga cuba menghubungi kawan-kawan saya yang memang orang Perak, untuk bertanyakan tempat tinggal. Namun, hampa.

Kami meneruskan perjalanan ke Bandar Taiping. Sesampainya di sana, kami singgah makan dahulu kerana semuanya agak kelaparan. Kasihan pula saya terhadap adik kecil kawan saya. Di dalam kereta tadi asyik menyebut lapar.

Sambil makan, kami cuba mencari hotel on the spot jika ada kosong malam itu. Selesai makan, kami pusing-pusing Bandar Taiping dan bertanya beberapa hotel jika ada kosong, namun hampa. Seluruh Bandar Taiping penuh.

Ketika itu sudah pukul 11 lebih. Akhirnya, seorang sahabatku Nabila menemui sebuah homestay yang terletak di Kuala Kangsar. Homestay itu bernama Inap Desa Kuala Dal. Kami terus book sebelum sampai ke tempat itu. Dalam pukul 12 tengah malam kami sampai dan terus check in ke sana.

Allahu.. Saya berasa sangat bersyukur akhirnya ada tempat tinggal untuk kami berehat malam ini. Perjalanan esoknya memang agak panjang dan mencabar. Cerita tentang gajah yang menyerang kereta abang sahabatku terngiang-ngiang di mindaku. Sahabatku Fatin sudah beberapa kali dimarahi ibunya supaya jangan lalu Grik dan naik Kuala Lumpur sahaja. Tetapi bagiku perjalanan menjadi tersangat panjang jika melalui Kuala Lumpur.


Inap Desa Kuala Dal, Kuala Kangsar






9 September 2018.

Akhirnya ibu Fatin mengizinkan kami melalui Grik atas nasihat abang iparnya yang selalu berulang-alik Perak - Terengganu melalui jalan itu. Kami akan merentas Kelantan sedikit barulah kami memasuki Terengganu.

Kami bertolak awal sedikit dari sebelumnya iaitu pada pukul 8.30 pagi. Perjalanan agak tenang. Kami berhenti makan pagi di kedai makan tepi jalan tidak jauh dari Inap Desa tersebut. Di situ, saya cuba bertanyakan arah dengan mak cik penjual di warung tersebut. Jalan yang diceritakan mak cik itu ternyata sama dengan jalan yang diceritakan oleh abang ipar Fatin.

Saya juga memasang waze untuk menambah hati-hati. Perjalanan dari Kuala Kangsar ke Grik mengambil masa sejam setengah. Apabila telah masuk Grik, kami dapat melihat kesan-kesan laluan gajah-gajah pada jalan-jalan yang retak dan senget, pengahadang jalan yang seperti dilanggar. Gerun juga saya melihatnya.

Dari Grik untuk naik ke atas, kami mengambil masa 45 minit lagi. Kemudian, kami berhenti sekejap di tempat rehat Titiwangsa.

Banjaran Titiwangsa


Perjalanan tanpa dirancang ini sebenarnya Allah memakbulkan doa saya sepanjang saya musafir dulu mungkin, untuk tengok sendiri rupa Banajaran Titiwangsa ini. Walaupun tempatnya amat menakutkan jika bertemu dengan makhluk gajah itu, saya rasa lega apabila kami akhirnya memasuki Jeli, kemudian Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan terus masuk ke Terengganu melalui Besut, Setiu dan Kuala Terengganu untuk sampai ke Marang.

Asalnya kos ke Cameron Highlands pergi balik dan penginapan semuanya RM100 seorang seramai 4 orang. Tetapi disebabkan tersekat satu hari lagi, kos kami bertambah dalam RM40 seorang sahaja. Kiranya tak adalah mahal pun kan. Inap Desa tu best. Tenang je tempatnya.

Sekian cerita perjalanan kami. Mungkin bagi orang lain tiada apa-apa sangat. Tetapi bagi kami ia cukup berharga kerana ini perjalanan pertama kami yang tersangat jauh tanpa lelaki. Semuanya perempuan. Tak tahulah kalau tak sado lagi hati ini. Haha.

Wassalam.



Cabaran Perjalanan ke Cameron Highlands

Assalamualaikum warohmatullahi wabarokatuh..

Alhamdulillah, setelah sekian lamanya kami merancang untuk ke Cameron Highlands, akhirnya tertunai juga dengan pengembaraan kami yang sepatutnya 2 hari 1 malam, jadi 3 hari 2 malam di tempat yang berbeza.

Sebenarnya, tarikh yang kami pilih, saya sendiri yang memilih tarikh itu. Tarikh kahwin saya dengan dia. 7 dan 8 September. Untuk menggantikan peristiwa yang tak jadi tu, saya memilih untuk bercuti. Memang sejak kami terputus, saya terus pergi hiking, bercuti ke Melaka dan sebagainya. Sepanjang percutian itu, memang ada bermacam-macam perasaan yang akhirnya menjadikan saya lebih kuat daripada sebelumnya.

7 September 2018.

Selepas Subuh.

Kami bertolak dari Putrajaya ke Simpang Pulai dalam pukul 7.30 pagi. Kami bersarapan di R&R Jejantas Sungai Buluh. Best juga sarapan di sini. Macam-macam ada. Makanan Pantai Timur pun ada. Yang tu lagi awesome!

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Simpang Pulai. Disebabkan saya yang drive, saya memilih untuk tidak naik di Tapah, tetapi melalui Simpang Pulai kerana pada kali pertama saya ke Cameron Highlands, saya memang pening dengan jalan Tapah yang sangat dahsyat. Mujurlah masa tu naik bas je.

Dalam pukul 11 lebih, kami sudah sampai di Tol Simpang Pulai. Untuk naik ke atas memerlukan lagi sejam setengah. Jalan Simpang Pulai memang tidak memeningkan dan mudah. Tarikh yang kami pilih juga tidak jam.

Lebih kurang pukul 12.30 tengahari, kami singgah di Cameron Valley dahulu.



Cameron Valley ini ialah ladang teh di bawah Bharat Group.
 

Hazelnut Tea & Strawberry Cheese Cake
Tea (tak ingat namanya) & Green Tea Cake




Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke atas. Kami tempah Apartment Prima yang terletak jauh lagi di atas. Sejak dalam perjalanan naik tadi, kami sudah dapat merasakan hawa sejuknya. Seronok betul.

Tempat yang paling saya nak pergi ialah Cactus Point. Saya memang suka tanam pokok tetapi saya lebih suka kalau pokok itu tidak cerewet penjagaannya. Macam saya sendiri, bukanlah seorang yang cerewet. Haha.







Selepas ke Cactus Point, kami meneruskan lagi perjalanan kami ke atas. Perjalanan kami melalui Rose Garden, Lavender Garden. Orchid and Rose Garden, Honey Bee Farm, Kea Farm (yang famous tu) .. Dan perjalanan melalui Kea Farm sangatlah jam, dan bertambah masa sejam lagi untuk naik ke atas.

Setelah melepasi Kea Farm, perjalanan semakin lancar. Pada waktu ini, Cameron Highlands hujan petang tetapi panas pada waktu pagi.

Untuk ke apartment yang kami tempah, waze menunjukkan jalan yang sangat sunyi dan curam serta sempit. Berkabus pula tu. Waktu kami hampir sampai itu pun sudah melebihi pukul 3 kerana jam tadi. Check in di apartment itu memang pukul 3 petang.

Apartment kami di tingkat 3 dan jangan risau, ada lif. Sebelum itu kami tidak tahu ada lif. Jadi, panjatlah tangga beberapa tingkat dengan beg-beg berat untuk sampai ke atas.

Kami berehat seketika di apartment. Selepas Maghrib, kami keluar ke Pasar Malam. Best juga kat sini. Macam-macam ada. Jagung madu, ubi keledek,baju tidur murah-murah, makanan sedap-sedap pun ada. Marvellous sangat kan.

Disebabkan kami datang pada hari bukan cuti am, kami parking kereta pun agak dekat dengan tempat pasar malam ini. Ada kawan saya datang sehari selepas saya datang ke sini, terpaksa parking sangat jauh kerana jam teruk. Sebab tarikh ini bersambung cuti hujung minggu, Cuti Agong dan Cuti Awal Muharam. Minggu depannya Cuti Hari Malaysia. Seronok la semua orang datang sini.



8 September 2018

Hampir pukul 9 pagi, kami check out terus untuk mengelakkan jam pada waktu petangnya. Sebab hari ini sudah bermula cuti hujung minggu.

Tempat pertama kami hari ini ialah Restoran Nasi Lemak Strawberi yang terletak di Taman Sedia. Rupa-rupanya ada penempatan Melayu di sini. Saya ada terbaca sebelum datang tetapi lupa.





Nasi Lemak Sambal Strawberi dan Hot Chocolate Strawberry

Selepas itu, kami singgah di Honey Bee Farm. Saya memang amalkan madu, Jadi, nak juga madu asli dari Cameron Highlands ni. Pahang dan Perak kan kaya dengan madu asli dan madu tualang.






Sepatutnya kami ke Ladang Teh Boh, tetapi disebabkan kami sudah terlajak jauh, kami singgah semula di Cameron Valley ini. Tambahan pula, cuaca yang agak tidak menentu.

Kemudian, kami meneruskan jalan untuk pulang terus ke Terengganu melalui Gua Musang. Ketika itu sudah pukul 4.15 petang. Kami sampai di Hentian Rehat Simpang Pulai pada pukul 5.45 petang. Setelah menunaikan solat jamak Asar dan Zuhur, kami meneruskan perjalanan ke Gua Musang.

Pada waktu itu, saya sudah dapat mengagak bahawa kami akan melalui Gua Musang pada waktu malam. Saya tawakkal sahaj dan tidak menceritakan kegusaran saya kepada sahabat-sahabat seperjalanan. Ditakdirkan Allah, kami terlepas simpang yang sepatutnya membawa kami ke Gua Musang.

Saya meneruskan perjalanan kerana tiada lagi susur keluar highway yang ada. Sampai pada satu susur, ada tertulis jalan ke Grik, memang agak berdebar-debar juga saya. Lalu saya memberhentikan kereta. Kami berbincang dahulu hendak ke mana.

Bersambung . . .

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...