Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puteri sulung kami, Safiyya Az-Zahra.
.............................................................................................
Sepanjang mengandung kali kedua ini, ibu rasa agak lasak.
Sebelum tahu mengandung pun, ibu cergas ke sana ke sini. Buat kerja macam biasa. Tiada pening atau alahan. Satu je ibu pelik. Lepas pantang, ibu makan macam biasa. Tiba-tiba ada satu minggu tu ibu terperasan yang ibu asyik lapar je. Macam something wrong somewhere.
Takkan lah kan.. Safiyya belum setahun lagi..
Tapi, nak dijadikan cerita, memang ya. Adik sudah ada dalam rahim ibu ketika itu. Allah nak bagi awal kawan kakak ni.
Sepanjang mengandungkan adik, alhamdulillah ibu tiada alahan sangat macam mengandungkan kakak. Ibu pun aktif pergi kerja dan boleh makan macam-macam.
Tapi itulah, walaupun boleh makan semua kecuali bawang goreng memang ibu tak boleh bau setiap kali mengandung. 28 minggu ibu pergi scan adik dekat swasta, adik kecil 2 minggu daripada minggu sepatutnya. Jadi, saiz adik masa tu baru 26 minggu walaupun ibu dah mengandungkan adik 28 minggu.
Mungkin antara faktor adik lebih kecil kerana kakak masih menyusu dengan ibu sehingga setahun lebih, dan ibu gigih juga berpuasa walaupun kadang-kadang terpaksa juga berbuka. Sayang juga sebab itu puasa Ramadhan.
Mengandungkan adik, ibu sempat sambut Hari Raya Puasa, makan macam-macam. Seronok duduk kampung sebab boleh makan macam-macam. Cheat time orang kata. Sebabnya, ibu masih kena kencing manis cuma on diet je.
Ibu pendekkan cerita, dalam dua minggu sebelum tarikh due bersalin, ibu sudah rasa sakit-sakit badan. Tapi masih lagi gagahkan diri pergi last appointment sebelum tunggu tarikh bersalin.
21 Jun 2022, appointment ibu di KK Pulau Meranti. Mula-mula nurse check jantung adik laju sangat, hampir 170. Ibu dah berdebar dan risau. Nurse suruh bertenang, banyakkan minum air masak dan makan dulu. Bila jumpa doktor, doktor check beberapa kali jantung adik sampai kembali normal.
Tetapi, doktor kata air ketuban ibu pula kurang. Doktor terus suruh ibu admit ward di hospital yang ibu pilih untuk bersalin iaitu Hospital Putrajaya. Ibu call ayah beritahu apa yang doktor beritahu. Boleh pula ayah kata ibu yang tak sabar nak bersalin. Rasa membara pula hati kita ni.. Dah la tengah risaukan anak dalam kandungan.
Sampai PAC Hospital Putrajaya, doktor check air ketuban ibu semakin kurang. Sepatutnya kena 8. Di klinik tadi, 7.9.. Di hospital pula, masa tu dah pukul 4.00 petang rasanya, air ketuban sudah 6.6. Doktor terus suruh masuk wad malam tu juga. Esok pagi kena induce.
Ibu jumpa ayah di luar. Rupa-rupanya ayah tunggu ibu untuk bawa balik sekali. Tetapi ibu terangkan semula yang doktor beritahu ibu. Air ketuban kurang boleh menyebabkan anak lemas dalam kandungan. Ibu dah risau sangat tapi cuba bertenang di hadapan ayah.
Nampak berkaca mata ayah kerana tak sangka ibu akan dimasukkan ke wad secepat ini. Ibu cuma berpesan jaga kakak baik-baik. Ibu pun sedih tak dapat tidur dengan kakak malam itu.
Malam itu, ibu video call dengan ayah. Bila kakak tengok ibu, terus dia rebut handphone ayah. Kakak tak boleh tidur kalau ibu tak peluk. Kesian kakak.
Ibu cuma berdoa dan bercakap dengan adik dalam perut ibu, adik keluar cepat ya. Nanti kita nak jumpa kakak.
22 Jun 2022
Alhamdulillah, keesokannya hanya dengan sekali induce pukul 7 pagi, ibu terus rasa sakit. Ibu tak perlu induce sampai 3 kali seperti nak bersalinkan kakak dulu. Pukul 10 pagi nurse check dah ada bukaan 3cm.
Pukul 12 tengahari ayah datang melawat ibu. Tetapi masa itu ibu dalam kesakitan yang amat sangat. Ibu hanya minta supaya ibu dapat selesaikan solat Zuhur dan Asar dulu baru bersalinkan adik. Allah makbulkan permintaan ibu. Selepas ibu rehat sekejap, ibu pergi mandi dan solat. Dalam setengah jam nak masuk Asar, ibu tunggu dulu. Selepas solat Asar, sakit ibu semakin kuat.
Dalam pukul 5 petang, ayah berjanji tadi nak datang melawat ibu lagi. Ibu whatsapp ayah tanya di mana. Sebab ibu teringat ayah kata nak teman ibu dalam dewan bersalin. Ibu cakap dah tak lama adik nak keluar. Memang betul, sakit semakin kuat. Pukul 5 suku macam tu, nurse dan doktor datang check, bukaan ibu dah 8cm.
Ibu ditolak ke dewan bersalin dengan katil wad ibu. Ibu dah tak boleh beralih ke kerusi roda kerana terlalu sakit. Ibu hanya mampu sebut Subhanallah, Walhamdulillah, La ila ha illa llah, Allahu akbar, La ila ha illa anata subhanaka inni kuntu mina zzolimiin.. Sebelum sampai ke dewan bersalin, air ketuban pecah.
Ibu terus rasa nak teran tapi belum sampai dewan bersalin. Sampai dewan bersalin sempat lagi nurse suruh tukar katil. Allahu akbar.. Ibu bergolek ke katil sebelah dengan secepat mungkin. Lepas tu, takkan la nak berjalan masa anak dah nak keluar ni.. Aduhai..
Lebih kurang dua tiga kali teran je, adik keluar. Comel sangat dengan mata terkenyit sebelah. Ibu lega alhamdulillah. Tak lama selepas itu ayah sampai ke dewan bersalin dan iqamatkan adik. Lepas tu, ayah bagi adik kepada ibu untuk disusukan. Mujurlah adik pandai menyusu.
Malam selepas bersalin, ibu nak berehat tapi teringatkan kakak. Kakak tercari-cari ibu rupanya. Sayu pula ibu rasa walaupun gembira baru bersalinkan adik. Ibu tidur je malam tu, sambil nurse tolong jaga anak sekali sekala. Tapi adik tak susah jaga pun. Selepas ibu susukan adik, ibu boleh berehat. Cuma ibu kena selalu susukan adik setiap dua jam untuk bagi gula dalam darah adik naik atas 3. Kalau tak, terpaksa warded la adik esok hari. Sebab ibu tak nak adik kena warded, ibu selalu bangun susukan adik walaupun susu tak banyak keluar pun masa tu.
Esoknya sampai pukul 3 petang ibu tunggu nurse check, alhamdulillah adik sihat, tiada apa-apa masalah. Masalahnya last check pukul 12 tengahari, pukul 3 baru nak beritahu. Jadi lambat pula ayah nak pergi daftarkan adik. Selepas ayah selesaikan bayaran di kaunter, ibu dan adik dah boleh balik. Ibu masa tu rasa sangat penat.
Sampai di rumah, ibu tak boleh peluk kakak. Padahal ibu rindu sangat dekat kakak. Tapi tokma tak bagi demi kesihatan ibu. Bila tengok kakak mengamuk-ngamuk nak pergi dekat ibu, ibu tiba-tiba rasa sejuk seluruh badan dan menggigil.. Ibu sampai panggil tokma, tokma terus urut-urut badan ibu. Tapi sampai sejam pun tak hilang lagi menggigil.
Kemudian, pokmir bawakan tungku yang tokma pesan. Tokma tungkukan ibu sampai akhirnya menggigil ibu hilang. Ibu tanya kawan ibu, rupanya itulah rengat. Ibu rasa pernah kena sekali semasa pantang bersalin kakak dulu, dah nak habis pantang masa tu baru kena. Yang masa ni sehari selepas bersalin.
Disebabkan sakit rengat ibu, ibu tak dapat susukan adik sehingga pukul 11 malam. Ibu sedar adik-beradik ayah sudah datang tetapi semasa ibu bangun pun mata ibu masih berpinar-pinar sehingga ibu masuk tandas. Ibu rasa pening dan kena makan baru boleh susukan adik.
Keesokannya ibu sudah mengagak, nurse datang rumah check ibu dan adik. Mata adik sudah nampak kuning. Ya Allah, sedihnya hati ibu bila adik kena juga penyakit demam kuning itu.
**********************************************************************************
Sepanjang pantang di kampung, ibu okey je duduk rumah tokma. Cuma ibu sedih sebab ayah susah nak faham yang demam kuning bukan boleh baik dengan menyusu je. Bukannya ibu tak susukan adik, ibu dah buat macam-macam, tapi Allah kata belum lagi maksudnya belum masanya adik sembuh.
Sama juga dengan kakak, habis je pantang, demam kuning adik hilang sendiri. Pendek kata, bersabarlah dengan setiap dugaan dan fikirkan hikmah di sebalik setiap kesusahan yang ada.
Ibu sayang kakak dan adik..
Wassalam.