Prolog
Alhamdulillah, setelah 2 hari tersekat di Raub, Allah buka jalan yang dipenuhi air, Allah surutkan air dan beri kami laluan..
Chapter 1
Minggu yang kami plan nak ke Melaka, ditukarkan untuk balik ke kampung suami di Kelantan.
Memang best balik kampung, dengan keadaan mengandung yang tak selera makan, memang suka je ada orang nak masakkan macam-macam. Barulah berselera.
Kami balik 3 hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Bertolak malam selepas kerja hari Khamis, hajatnya nak balik sekali dengan anak-anak saudara. Pun tukar plan, jadi balik berdua je.
Ketika itu memang dah dapat berita, Pantai Timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu akan dilanda hujan lebat berturut-turut selama 3 hari, 1/1 hingga 3/1, hari kami balik kampung.
Urusan kali ini sangat penting untuk kandungan, doa selamat untuk anak yang bakal lahir nanti.
Kami sampai tepat waktu Subuh. Terus solat Subuh dan rehat.
Chapter 2
Jumaat. 1/1/2021
Alhamdulillah, pagi yang indah dengan cuaca yang agak sejuk ditemani hujan renyai-renyai.
Kami bersarapan Nasi Dagang Kak Yah di Tok Bali, kemudian pergi mencari keropok-keropok lekor untuk dibawa balik ke Puchong.
Jujur dikatakan, memang seronok balik kampung dan berjalan makan-makan bersama keluarga. Di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan, boleh mengenal hati budi serta kesukaan masing-masing.
Selepas Solat Jumaat, ayah ajak menziarahi saudara di Pasir Puteh. Kami semua pergi beramai-ramai ke Pasir Puteh. Dapat juga aku mengenali lebih dekat saudara mara sebelah suamiku. Sangat happy go lucky sepupu-sepupu suamiku. Semuanya sudah berkahwin dan sangat rapat, 6 perempuan dan 1 lelaki.
Malam itu, kami singgah makan di Kubang Kawah. Aku makan lamb chop sebab tak berapa selera nak makan nasi kedai. Malu pula bila semua makan nasi. Ikan bakarnya sangat sedap. Rasa sikit tapi masih tak mahu nasi.
Balik rumah dan rehat.
Chapter 3
Hari ini, suami dan ayah pergi beli barang untuk jamuan doa selamat malam ini. Tak ramai pun datang, kecil-kecilan sahaja. Yang penting, dapat jamu orang dan ajak bersolat hajat untuk anak tersayang ibu ayah ini.
Chapter 4
Hari ini kami rehat je untuk perjalanan jauh balik ke Puchong. Kalau ikut plan, kami gerak dengan keluarga abang suamiku, tapi mereka masih ada hal untuk diselesaikan.
Selepas Zuhur, kami ke rumah mak saudaraku di kampung itu juga, bersalam dan berjumpa dengan sepupu-sepupuku.
Kemudian, kami meneruskan perjalanan balik melalui Pasir Puteh, Ketereh dan menghala ke Gua Musang.
Ketika kami sampai di Machang, adik iparku whatsapp tanya kami di mana, dan mengkhabarkan bahawa ada tanah runtuh di Lojing, Gua Musang serta jalan di Raub-Bentong dinaiki air.
Aku sudah memberitahu suamiku, namun suamiku kata, "Kita dah sampai sini. Kalau teruk, kita patah balik semula."
Aku menurut sahaja.
Sepanjang perjalanan agak sesak dengan kereta dan lori. Setelah memotong beberapa kereta dan lori, di depan sana pula sesak. Ada juga kereta-kereta yang berlawanan arah memberi lampu dua kali kepada kami. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena.
Suamiku masih meneruskan pemanduannya. Sampai di bulatan Raub, suamiku meneruskan perjalanan ke lorong yang kedua. Keadaan tersangat sesak dengan banyak kenderaan meletakkan kereta di bahu-bahu jalan.
Kemudian, kelihatan kereta bomba bersama bot bomba. Rupanya kampung-kampung di sekitar sudah dinaiki air. Aku buka waze, menunjukkan ada dua tempat di hadapan yang sudah dinaiki air, tidak boleh redah. Memang tak lepas.
Ada kereta yang berpatah balik dan memberitahu orang di kereta depan kami, jalan kat depan memang tak boleh lalu.
Suamiku turut bertanya jika ada jalan lain. Orang tadi cakap ada laluan Sg Koyan, lepas kalau lalu situ. Suamiku pun ikut patah balik ke belakang untuk ke Sg Koyan.
Malangnya hanya beberapa kilometer selepas bulatan, air sudah naik. Lori pun sudah mengalah dan berada di bahu jalan.
Kereta tadi pun berpusing semula ke Raub, suamiku mengikut. Namun, belum sampai Hentian Rehat Benta, sudah naik air di jalan yang kami lalu tadi.
Air naik sangat cepat. Lalu terperangkaplah kami di Jalan Raub-Lipis.
Malam yang gelap itu mengingatkan aku pernah mengalami situasi sama pada tahun akhir pengajian di UiTM Kota Bharu. Masa itu, air pun naik agak cepat dari Sungai Kelantan. Selepas pembentangan tesis, air sudah naik di tangga. Kami cepat-cepat ke kereta dan ke rumah sewa kami. Dalam masa sehari, separuh Kota Bharu tenggelam dengan air. Itulah banjir besar 2014.
Nampaknya sejarah bakal berulang pada 2021, namun tempatnya bertukar di Pahang.