Friday, November 6, 2020

Rezeki selepas Kahwin

 Assalamualaikum..


Alhamdulillah.. Syukur setinggi-tingginya kepada Allah yang memberikan segala nikmat-Nya kepada diriku dan suamiku.


Bernikah pada 23/11/2019, kini hampir setahun perkahwinan kami. Alhamdulillah.


Jika diselak kisah-kisah sebelum bertemu jodoh dengan suamiku, begitu banyak cerita yang tak mampu diungkapkan. Hakikatnya, semua itu pengajaran dalam hidup untuk menghadapi liku-liku kehidupan pada masa depan.


Jodoh kami kuat, itu yang aku dapat rasakan. Walau apa pun rintangan yang datang pada hari-hari hampir akad nikah, Allah tetap mengizinkan kami disatukan sebagai suami isteri.


Aku yakin, semua orang menghadapi dugaan masing-masing untuk berumahtangga. Selepas berkahwin, terumbang-ambing kami mencari kerja baru.


Bermula Januari, aku bermula sebagai cikgu TASKI di Saujana Puchong. Suamiku masih Juruteknik ketika itu. Gaji lebih rendah daripada di Kajang dulu, tapi syukur masih boleh bekerja. Hujung Mac, aku membuat keputusan berhenti kerja kerana selalu rushing dari rumahku ke tempat kerja. Maklumlah, kerja tadika, cikgu kena masuk awal untuk sambut murid. Kebetulan pula, suamiku juga berhenti kerja dan membuat bisnes bersama abangnya.


Ditakdirkan Allah, COVID-19 mula merebak ke seluruh Malaysia dan dunia. Sangat menakutkan. Kerajaaan Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang melarang semua rakyat Malaysia keluar rumah bagi memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19. Hanya seorang ketua keluarga sahaja dibenarkan keluar untuk membeli barang-barang keperluan rumah.


Sewaktu PKP, aku melaksanakan tugas sebagai guru di tadika baru berdekatan rumahku melalui pembelajaran maya. Alhamdulillah semua berjalan dengan baik.


Memikirkan kewangan kami yang tidak stabil, aku mula mengajak suamiku bisnes online. Aku juga semakin aktif dalam Nurraysa dan mengumpul sehingga 20 dropship daripada seluruh Malaysia, walaupun yang aktif hanya lebih kurang 5 orang.


Aku dan suamiku memulakan bisnes keropok lekor, yang mana aku hanya menjadi agen. Untuk permulaan sahaja sudah ada permainan harga dari pihak atas. Namun, kami mendapat ramai pelanggan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Dua kali kami ambil stok dan jual, kami mendapat keuntungan yang sangat banyak. Jumlah jualan kami hampir RM1k dengan 90 bungkus keropok sahaja. Kemudian, kami menjual ketam, udang dan kerang fresh dari Banting. Suamiku yang berulang alik mengambil stok di Banting dan menghantar kepada pelanggan. Jualan ini juga kami mampu membayar sewa rumah saat tidak bekerja.


Bermula Julai, aku mulakan tugas sebagai guru seperti biasa setelah PKP bertukar kepada PKP Pemulihan. Ini adalah jangka masa untuk memulihkan sektor ekonomi Malaysia kerana ekonomi Malaysia dan ekonomi dunia jatuh teruk akibat COVID-19.


Namun begitu, pada September, ibu bapa mentuaku datang ke Selangor dan tinggal di rumah adik-adik iparku. Semasa ke Negeri Sembilan kerana ada majlis anak saudara ibu mentuaku, ibu dan ayah mentua naik bersama kami. Boleh juga kami bersembang dengan ibu bapa mentua.


Satu ayat Ma aku ingat dan terngiang-ngiang sehingga selepas itu,

"Ti kalau nak cuba kerja lain boleh je. Ti ada sijil, boleh cuba. InshaaAllah pasti ada rezeki.@


Ketika itu aku sudah mengandung anak pertama kami, dalam 18 mimggu. Aku mengangguk dan teringin mencuba mencari kerja Akaun semula.


Tetapi perancanganku ketika itu, sama ada berhenti kerja, tunggu bersalin dan cari kerja. Ataupun cari je kerja sekarang.


Tak sangka aku dipanggil interview di Subang. Sebuah syarikat Interior Design dan Kontraktor Renovate Rumah. Macam construction pun ada. Syarikat Melayu. Suamiku menyokong aku mencuba dahulu. Dan paling tak sangka, aku diterima sebagai Penolong Akaun dan Admin di syarikat itu. Alhamdulillah.


Suamiku terkejut aku terima tawaran itu kena risau aku yang berbadan dua dan terpaksa berulang alik agak jauh dari rumah ke tempat kerja. Tapi, tempat kerja ni tak rushing. Masuk puk 9 pagi dan balik pukul 6 petang.


Kemudian, aku pujuk suamiku cari kerja lain kerana bisnes sekarang agak tidak stabil dan kurang menguntungkan. Aku berdoa semoga Allah jadikan suamiku Technician semula. Pengalamannya sebelum ini sudah 10 tahun. Agak sayang jika dibiarkan begitu sahaja, sedangkan aku kenal suamiku seorang yang rajin dan cepat belajar.


Hari pertama aku mula kerja, suamiku dipanggil interview oleh sebuah syarikat Engineering, Tempat suamiku lagi dekat dengan rumah. Suamiku hanya apply kerja operator kilang kerana takut tidak mampu melaksanakan tugas maintenance. Tapi perancangan Allah lebih hebat, Allah ilhamkan Cina yang interview suamiku untuk tukar dia ke bahagian Maintenace, bermaksud suamiku kini Technician semula. Alhamdulillah.


Nak dijadikan ceritanya, rupanya syarikat suamiku itu syarikat yang sangat kukuh, pergi bank pun orang kenal. Orang lama pun kata biasanya nak masuk kena ada kabel. Tapi Allah sahaja kabel yang kami ada. Suamiku dapat kerja itu dengan izin Allah. Semasa suamiku bercerita, aku berbisik dalam hati, maknanya suamiku seorang yang ikhlas cari kerja dan berusaha untuk bertanggungjawab kepada keluarga walaupun tiada kelayakan, kerana Allah sahaja yang nampak semua itu.


Semua ini untuk anak kami yang bakal lahir pada tahun 2021. Betapa satu persatu Allah bagi kepada kami, saat kami tawakkal kepada Allah.


Aku pula memang tak sangka, selepas 5 tahun tak kerja bahagian akaun, dan pengalaman hanya tak sampai setahun, Allah ilhamkan bos untuk ambil aku kerja, walaupun sedang mengandung. Betapa hebat perancangan Allah untuk kami.


Saat susah bersama itu untuk dikenang waktu kami sudah senang nanti, supaya tak lupa dan alpa dengan nikmat-nikmat yang Allah bagi. Alhamdulillah.


Perkongsian ini sekadar meluahkan rasa hati yang tak terluah, rasa terlalu hebat pertolongan Allah walaupun kecil sahaja amalan kita buat, Tetapi kerana ikhlas dan tawakal, Allah bantu hamba-hambaNya. Seperti yang Allah sudah firmankan dalam Ayat Seribu Dinar.


Sekian sahaja untuk kali ini. Semoga coretan ini menjadi memori terindah untuk dikenang kembali suatu hari nanti.


Wassalam.

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...