Setiap langkah hidup kita, takkan ada satu detik pun tidak diuji. Kita akan sentiasa diuji dengan apa yang kita ada.
Saat kita kehilangan sesuatu, Allah ingin menunjukkan bahawa Dia sentiasa ada untuk kita. Meskipun, kita ini insan yang terlalu banyak dosa kepada-Nya, tetap Dia mengasihi kita.
Sememangnya sifat Ar-Rahman Allah ini yang menghiasi setiap ujian yang kita lalui.
Jika dunia ini berubah, Allah tetap sama tak berubah. Jika kita ada perancangan, hanya perancangan Allah sahaja yang terbaik. Kita harus redha dan tawakal dengan segala ketentuan-Nya.
Seusai usrah malam tadi, ada sesuatu yang melekap dalam fikiran.
Allah menciptakan kita dengan tabiat kecuali dusta. Tabiat itu seperti marah, cemburu dan dendam, mempunyai sisi-sisi baiknya juga.
Marah kerana agama mendorong seseorang mempertahankan agamanya, cemburu melihat orang yang lebih baik mendorong seseorang berusaha menjadi lebih baik, dan dendam akan menjadi perisai orang jahat daripada menzalimi kita. Itulah kata Ustaz Khairul Anuar tadi.
Alhamdulillah, tazkirah inilah yang mendidik hati yang celaru, resah dan gelisah dengan ujian.
Ketika mahu mendirikan perkara besar yang diredhai Allah, syaitan akan mula menyucuk jarumnya supaya perkara besar itu gagal.
Terjadi prasangka, cemburu, marah dan dendam yang tidak dapat dikawal. Lalu membunuh cinta yang ada. Dan bertepuk tanganlah syaitan atas kegagalan kita dan kejayaan dia.
Ingatlah wahai hati, jiwa-jiwa itu akan sentiasa diintai oleh syaitan supaya kita menjadi temannya di neraka. Namun, jika kita mampu menjadi hamba yang ikhlas dan bertaqwa kepada Allah, Allah telah berjanji akan melindungi kita daripada tipu daya syaitan yang direjam.
Yakinlah dengan ketentuan Allah. Sesuatu yang baik itu pasti akan ada rintangan kerana Allah mahu kita berharap lebih kepada-Nya berbanding berharap dengan manusia.
Wallahu a'lam.