Hari yang cerah. Murid-murid telah selesai perhimpunan pagi dan solat berjemaah mereka.
Aku sedang khusyuk menulis di dalam buku. Tiba-tiba wajah-wajah di kampung melintasi fikiranku. Keadaan kampung yang permai, jalan balik kampung. Semuanya membuat aku berasa sungguh rindu untuk pulang ke kampung.
Malam itu, aku dibayangi lagi dengan wajah nenek dan kampung. Sedang aku berfikir untuk membawa pulang cucu menantu untuk nenek, satu panggilan mengejutkan lamunanku.
"Assalamualaikum, siti. Mok su ma ni. Siti tolong beritahu abah yang nenek tenat sekarang. Mok su ma telefon abah tapi abah tak angkat."
"Ok, mok su ma. Sekarang juga Siti telefon."
Aku menelefon Hakim, adik lelakiku dan kemudian bercakap dengan abah. Aku meminta abah balik malam itu juga. Aku risau takut tak sempat jumpa nenek.
Malam itu, aku menangis sambil berdoa supaya Allah beri kesempatan untuk aku bertemu nenek. Aku memang sangat sayangkan nenek. Aku cucunya yang sangat manja.
Keesokan harinya, adikku yang mengikut abah pulang ke kampung memberitahu, nenek semakin sihat. Tapi gerak hatiku mengatakan itu hanya sementara. Mungkin Allah mengabulkan doaku untuk bertemu nenek.
Khamis malam aku bersiap untuk pulang ke kampungku di Terengganu. Aku mendapat tahu ibuku juga demam. Aku perlu menjaga ibuku baru pergi menjenguk nenek. Sempat ke?
Kami tak jadi bertolak malam. Kami bertolak pada waktu pagi hari Jumaat sebelum Subuh.
Sampai sahaja di rumah, aku tengok ibuku memang sedang demam. Aku makan apa yang ibuku masak kerana itulah yang akan membuatnya gembira. Alhamdulillah, esoknya ibuku dah sihat.
Pada hari Ahad, aku, abah dan Hakim pulang ke kampung nenek. Tengahari kami sampai di rumah nenek.
Aku terus mencari nenek. Aku nampak dirinya terbaring lesu, semakin kurus, di ruang tamu yang agak luas.
Aku menyalami tangannya, aku cium kedua pipi dan dahinya. Kemudian aku memberinya minum air zam zam yang sudah disediakan di sebelah nenek.
Aku tertidur sekejap di sebelah nenek. Bangun sahaja, aku terus memberi nenek air lagi. Kemudian, mak cikku ajak makan. Aku pergi makan tapi sekejap sahaja.
Seusai makan, aku kembali mendampingi nenek. Aku menyuapnya air lagi, sambil berselawat dan berzikir. Nenek telan sahaja.
Tak lama selepas itu, aku rasa mengantuk lagi. Aku buka Surah Al-Baqarah dan letakkan telefonku atas sedikit daripada kepala nenek. Aku rasa lali seketika.
Baru sahaja hendak terlelap di sebelah nenek, sambil tangan kananku memeluk nenek, pok yie ku datang. Dia bertanya keadaan nenek. Lepas tu, pok yie minta aku tutup bacaan surah itu. Aku memberitahu pok yie yang mata nenek bergerak-gerak.
Kemudian, pok yie panggil semua berkumpul. Masa tu, kami bergilir mengajar nenek mengucap. Tak lama selepas itu, nenek diam. Semua yang berada di situ hanya mampu mengalirkan air mata sambil mulut membaca Surah Yasin.
Rupanya, nenek telah pergi. Waktu Asar di ambang 1 Rejab.
Ya Allah, aku bersyukur sangat Engkau memberiku kesempatan untuk menemui nenekku dan menjaganya untuk kali yang terakhir. Moga Engkau mudahkan urusannya di sana, lapangkan kuburnya seperti taman-taman syurga, dan janganlah jadikan kuburnya seperti lubang daripada neraka.
Ya Allah, Engkau Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Semoga Engkau ampunkan semua dosanya ya Allah, kasihanilah dia sebagaimana dia mengasihaniku semasa kecil.
Aamiinn..
18 Mac 2018.
4.25 petang.
Kg Kubang Golok.