Thursday, June 8, 2017

Lembaran Ramadhan

Assalamualaikum..

Saat ini memang terasa benar-benar ingin menulis.

Bulan Ramadhan seakan-akan mahu ada 30 lembaran kisah dan dengan harapan semuanya terisi.

Namun, masa mencemburui niat itu. Lantas, yang ada hanya ini. Secebis helaian daripada lembaran Ramadhan 1438H.

Seiringan hari yang berlalu, aku semakin gembira di sini. Dalam kegaranganku mendidik, masih ada kasih untuk anak-anak muridku seperti waktu mula-mula aku masuk ke sini dulu.

Demikianlah anak. Bila dimarahi, dia rasa terpinggir. Bila disayangi, dia rasa seakan dunia ini miliknya. Senyuman mereka saat aku menghargai usaha-usaha mereka, begitu lebar dan ikhlas. Dan bening mata mereka memandangku seakan aku akan pergi daripada hidup mereka.

Hakikatnya, mereka yang akan meninggalkanku. Mereka akan melangkah ke sekolah rendah. Kerana itu jua aku selalu berpesan supaya mereka boleh menjaga diri mereka, mampu berdikari sebagaimana mereka berada di Pasti.

Terkadang kurasakan agak keras. Dan terkadang kurasakan agak memanjakan mereka. Lalu ku ambil jalan tengah. Buat baik disayangi, buat yang dilarang pasti ditinggalkan seketika. Hingga mereka sedar kesilapan mereka.

Ramadhan kali ini begitu indah. Sering aku berpesan pada mereka untuk belajar berpuasa betul-betul. Separuh hari pun tidak mengapa. Nanti dah biasa boleh puasa sampai maghrib.

Seringkali juga diingatkan kepada mereka sewaktu mengambil ibrah surah-surah kecil. Orang yang buat baik mendapat pahala dari Allah dan segala kebaikan dunia akhirat, manakala yang berbuat jahat Allah tidak akan sayang dan di akhirat nanti pasti Allah campakkan ke neraka.

Buah amalnya? Skop buat baik dapat kebaikan terus kita tunjukkan. Jadi, jelas maksud ayat yang Allah turunkan dalam Surah Az-Zalzalah.

Anak-anak kecil benar-benar mendidik jiwa kita. Mereka baru belajar dan kita pun masih belajar. Semakin meningkat dewasa mereka mendapat pelbagai jenis ilmu. Sedangkan kita, semakin banyak lupa dan alpa. Itulah hakikat manusia, pelupa.

Maka wajiblah untuk kita mohon petunjuk daripada Allah. Hanya Allah sahaja yang dapat memberikan petunjuk-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Ramadhan indah, bulan yang penuh barokah dan mudah mendapat pahala. Kerjakan kebaikan sebanyak-banyaknya seperti Ramadhan ini yang terakhir buat kita.

No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...