Wednesday, October 8, 2014

Praktikal dan Tarbiah

Assalamualaikum..


Kali ini saya ingin bercerita tentang tempat praktikal saya di UiTM Machang. Mengapa saya memilih tempat ini? Apa yang istimewanya berada di sini?

Pertamanya saya ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan saya untuk terus bernyawa sehingga ke hari ini. Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Prof Madya Mohd Zaki Zakaria kerana membenarkan saya bercerita sedikit keadaan dan pengalaman berada di sini. Dari sudut saya sendiri, saya memilih untuk berada di sini kerana hati saya tenang di sini, inshaaAllah lebih dekat dengan Allah. Hal itu memang saya rasakan sendiri. Satu demi satu ketakutan dan kesedihan Allah buang daripada hati saya.

Hati memang perlukan tarbiah yang benar-benar mantap untuk menjadikan ia kuat. Maka Allah telah menguji saya dengan sesuatu yang saya sendiri tidak suka. Malah, perkara tersebut telah menguatkan hati saya. Paling penting, ujian itu datang daripada Allah. Itu yang menenangkan hati saya dan menjadikan saya sabar. Saya meminta pada Allah untuk menjadi sabar dan membuang segala sifat marah. Allah uji saya dengan lebih hebat melalui perasaan marah yang lebih memberatkan dada. Tetapi ujian itu mehnah, tarbiah daripada Allah. Allah sendiri yang sudi untuk mengajar kita untuk menjadi hamba yang terbaik untuk-Nya.

Dalam Al-Qur'an Allah telah menyebut dengan jelas tentang perkara yang kita sukai dan perkara yang kita tidak sukai. Rujuk Surah Al-Baqarah ayat 216 :


"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan), sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Allah ternyata sangat baik kepada hamba-Nya. Apa kaitan tempat praktikal saya dengan tarbiah Allah? Itulah yang saya ingin sampaikan. Allah menguji setiap hamba dengan ujian yang berbeza, bukan sebab Allah tidak suka kita, tetapi kerana Allah sayang. Semakin kuat dan banyak cubaan Allah pada seseorang, semakin kuat dan jrnih hatinya. Pastinya semakin dekat dia dengan Allah. Itulah hasil yang Allah ingin jadikan.

Bayangkan jika kita hendak mencari emas yang bernilai, perlu dicari di lombong-lombong yang kotor dan gelap. Selepas itu kawasannya pula banyak batu dan sukar untuk digali. Emas yang bernilai akan didapati setelah kita panaskan ia untuk membuang segala kotoran yang ada padanya. Itulah perumpamaannya Allah membersihkan hati manusia supaya bersih dan dengan itu mnjadi lebih dekat dengan-Nya.

Prof Madya Mohd Zaki Zakaria seorang yang sangat pandai dan rajin. Saban hari, dia akan mencari peluang untuk berbuat sesuatu yang bermanfaat bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada orang lain juga, Ketika brbincang dengan prof tadi, ternyata banyak lagi tentang realiti kehidupan belum terfikir dalam kotak minda kita ini. Almaklumlah orang muda. Namun begitu kata prof, sepatutnya orang muda lebih gigih berusaha untuk mencapai banyak kejayaan.

Kata beliau, apabila kerja dilakukan dengan seronok, tekanan kerja itu akan berkurang. Apabila menghadapi tekanan pula, beliau tidak akan cepat marah.  Seringkali perkara-perkara yang berlaku spanjang hidup beliau memberikan banyak impak dan pengajaran membuatkan beliau bangkit dan berdiri seperti hari ini. 

Mulakan sesuatu kerja dengan 'boleh'. Jangan kata tidak boleh kerana itulah yang membantutkan usaha kita. Prof berpesan supaya tetap menjaga hubungan dengan manusia selain kita memang wajib menjaga hubungan dengan Allah. Hubungan sesama manusia juga penting kerana di situ kita boleh membina jaringan. Walau bagaimana marah pun kita pada salah seorang kawan kita, jangan putuskan persahabatan itu kerana suatu hari nanti dia akan menjadi seseorang yang mampu membantu kita. Ambillah yang positif daripadanya dan lupakan sahaja apa yang negatif padanya.

Pesanan prof mengingatkan saya tentang firman Allah supaya memaafkan orang meskipun orang itu selalu menyakiti kita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran ayat 132).
Orang yang mulia adalah orang yang suka memafkan. Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahwasannya Rasulullah SAW bersabda: Musa bin Imran a.s, berkata: "Wahai Tuhanku diantara hamba-hamba-Mu, siapakah orang yang paling mulia dalam pandangan-Mu ? "Allah Azza Wajalla menjawab, “ Orang yang memaafkan walaupun ia mampu membalas. “ ( Hadis Riwayat Baihaqi )

Praktikal di sini banyak memberi tarbiah baik dari segi hati malah juga dari sudut akal. Alam semulajadi sangat indah jika dilihat dengan pandangan iman. Pandangan iman iaitu apabila kita meletakkan segala sesuatu kembali pada Yang Menciptakan semua ini, iaitu Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah Maha Hebat. Bukan sahaja alam diciptakan dengan bgitu indah dan teratur, malah diri manusia itu sendiri mempunyai keindahan yang luar biasa.

Prof juga memberi nasihat, jika hendak membayar gaji pekerja untuk pekerja yang kurang produktif dalam pekerjaannya, tetaplah memberi gajinya dengan niat bersedekah. Secara lahiriah memang kita sudah gagal kerana membayar pekerja yang kurang memberi komitmen dalam pekerjaannya, pastinya akan merugikan kita juga. Tetapi prof melihat dari sudut lain yang lebih positif. Mungkin dengan duit tersebut dapat membantu persekolahan anak-anak pekerja tersebut sehingga mengelakkan mereka terjebak dengan dadah dan gejala sosial yang lain. Impaknya yang lebih besar ialah, Allah datangkan rezeki dalam bentuk yang tidak disangka-sangka.

Firman Allah SWT.yang bermaksud :

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya."
(Surah At-Talaq ayat 2-3)

Betapa hebatnya Allah Tidaklah ada sesuatu yang tersembunyi di langit dan di bumi melainkan semuanya dalam pengetahuan Allah semuanya. Rahsia Allah hanya akan difahami oleh orang-orang yang dekat dengan Allah dan sentiasa yakin dengan-Nya. Percaya dengan Allah, kerana hanya Dia yang tahu segala-galanya tentang apa-apa yang diciptakannya.

”Apakah kamu lebih sulit penciptaanya ataukah langit? Allah telah membinanya {27} Dia meninggikan bangunannya lalu menyempurnakannya {28} dan Dia menjadikan malamnya gelap gulita, dan menjadikan siangnya terang benderang {29} Dan bumi sesudah itu dihamparkan-Nya {30} Ia memancarkan daripadanya mata airnya, dan (menumbuhkan) tumbuh-tumbuhannya {31} Dan gunung-gunung dipancangkan-Nya dengan teguh {32} (semua itu) untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu {33}”(Q.S. An-Nazi’at: 27-33)

2 comments:

  1. salam sis. masa praktikal dulu sis ambik course apa ?

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam.. Dulu saya ambik Ekonomi Perniagaan.. :)

    ReplyDelete

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...