Sunday, December 22, 2013

Al Haq Yang Satu

Lirik Lagu Al Haq- Mawi ft AC Mizal

(AC Mizal)
Andainya ku bisa putarkan saat waktu,
Ku perbetulkan segala kesilapan lalu,
Andainya kupernah melukakan hatimu,
Izinkan aku mengubati jiwa ragamu,
Segala-gala suka dan duka,
tak pernah dapat ku lupa,
Daku manusia biasa,
dibawa dosa pahala,
Hidup didunia cuma sementara,
Janganlah leka jangan terpedaya,
Antara kaca dan juga permata.
(Mawi)
Ku bersujud padamu,
berdoa pada yang satu,
Padamu aku mengadu,
Allah yang satu,
Mohon petunjuk darimu,
berderai air mataku,
Ku ingin dekat denganmu.
Ya Allah x2,
ampunilah dosa dosaku yang lalu,
Ya Allah x2,
Maha Pengasih,Penyayang, Maha Mengerti.
(AC Mizal)
Andainya kubisa hidup seribu tahun lama lagi,
Ku kota kata kata yang telah ku janji,
Andainya ditakdirkan esok aku pergi,
Susun sepuluh jari memohon diampuni,
Janganlah bersedih berduka,
Berjumpa disana semula,
Kembali kepada pencipta,
Diruang yang luas terbuka,
Pintu syurga dan neraka,
Bertapa kau bersedih berduka dijiwa gelora didalam dilema menanggung derita
(Mawi)
Ku bersujud padamu,
berdoa pada yang satu,
Padamu aku mengadu,
Allah yang satu,
Mohon petunjuk darimu,
berderai air mataku,
Ku ingin dekat denganmu.
Ya Allah x2,
ampunilah dosa dosaku yang lalu,
Ya Allah x2,
Maha Pengasih,Penyayang, Maha Mengerti.
(AC Mizal)
Allah akhbar, Allah yang Maha Besar,
Mari memuji memuja,
Maha Kaya Berkuasa,
Ampunilah segala dosaku yang lalu


Tentang Hati


10 pintu masuk syaitan ke dalam hati manusia
Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: Syaitan duduk mencangkung atas hati manusia. Bila manusia mengingati Allah, ia kan berundur; dan bila manusia lalai, ia akan membisikkan kejahatan.

1.       Marah

Sifat marah berpunca dari kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang demikian selalunya didorong oleh pengaruh Syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi s.a.w. lagi yang bermaksud :
"Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

2.       Dengki

Sifat di atas lahir daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ” Hasad itu memakan (memusnahkan) kebaikan , sebagaimana api memakan (membakar) kayu.”

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu.
(Hadis Riwayat Abu Dawud)"

3.       Tamak

Allah menceritakan Kisah Qorun dalam Al Quran; Surah al Qashash 28: 78
Dia (Qorun) berkata, 2sesungguhnya aku di beri harta itu, semata-mata kerana ilmu yang ada padaku.” Tidakkah dia tahu, bahawa Allah telah Membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan orang-orang yang berdosa itu tidak perlu ditanya tentang dosa-dosa mereka.

4.       Bakhil

Kedekut/ tidak mahu mengeluarkan harta untuk jalan Allah

Rasulullah S.A.W. bersabda, "Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub (rasa kagum dengan diri sendiri)," (HR Al-Bazzar dan Al-Baihaqi)

Sufian berkata: Syaitan tidak mempunyai senjata seampuh rasa takutkan miskin

5.       Riak

Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal?" Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda:" Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

6.       Ujub

Ujub bererti berasa kagum dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan , kepandaian, kekayaan dan lain-lain.

Ciri-ciri Sifat Ujub

1) memandang remeh dosa
Orang yang terkena penyakit ujub akan memandang remeh dosa-dosa yang dilakukannya dan menganggapnya bagai angin lalu. Nabi s.a.w. telah mengkhabarkan kepada kita dalam sebuah hadis: “Orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan mudah dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangan. Adapun seorang mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan duduk di bawah kaki gunung yang siap menimpanya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

2) suka dimuliakan oleh orang lain
Dalam sebuah hadis riwayat Abu Dawud, Rasulullah SAW  bersabda “Barangsiapa yang suka agar orang-orang berdiri menyambutnya, maka bersiaplah dia untuk menempati tempatnya di neraka.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, beliau katakan: hadis ini hasan)

7.       Berprasangka buruk

Allah berfirman dalam Al-Quran; Surah al Hujurat 49: 12
Wahai orang-orang yang beriman jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu menggunjing sebahagian yang lain. Apakah di antara kamu suka memakan daging saudaaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang.

Penyair Arab menyebut, “mata keredhaan buta terhadap aib, tetapi mata kebenciaan menampakkan segala keburukkan”

8.       Takabbur

“Tiada masuk syurga orang yang ada pada hatinya setimbang semut kecil daripada biji sawi daripada takabbur.”
Dari Abu Dhar r.a. katanya: Maksudnya;“Pada suatu hari aku bercakap-cakap dengan seorang, Aku berkata: “Wahai anak si hitam.” Rasulullah s.a.w. segera menegur, sabdanya: “Wahai Abu Dhar! Tidak ada kelebihannya bagi anak si putih ke atas anak si hitam
Ciri-ciri sifat takbur ialah:
1. Lupakan hakikat diri sendiri selaku mahkluk yang amat lemah.
2. Lupakan kekuasaan Allah.
3. Memandang hina kepada orang lain.
4. Enggan menerima kebenaran.
5. Memandang dirinya sahaja yang pandai, besar, sempurna, benar dan kuat.

9.       Panjang angan-angan

Islam melarang manusia daripada panjang angan-angan kerana ia akan melalaikan dari beramal dan beribadat kepada Allah. Umat Islam hendaklah berhati-hati melakukan sesuatu urusan supaya segala tingkah laku yang dilakukan tidak menjadi sia-sia. Manusia suka berangan angan panjang, oleh itu hendaklah ia berwaspada jangan sampai melekakan dan melalaikan sehingga akhir hayat.

Daripada Anas bin Malik RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Dalam semua perkara pada anak Adam yang akan menjadikan mereka tua adalah dua perkara: Tamak dan Angan-angan". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Anas r.a. katanya: “Nabi s.a.w. telah menggariskan beberapa garisan lalu ia bersabda ‘ini angan-angan manusia dan yang ini ajalnya. Ketika seseorang itu dalam keadaan demikian (panjang angan-angan yang tidak putus-putus) tiba-tiba datanglah garisan yang pendek (sampai ajalnya mati)”.      (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
  
10.   Cintakan Dunia

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan". Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad s.a.w. menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Oleh itu, kita haruslah bersifat zuhud. Namun sifat zuhud tidak boleh disalah ertikan dengan meninggalkan  kehidupan dunia.

Al-Imam Hasan Al-Basri menyatakan bahawa zuhud itu bukanlah mengharamkan yang halal atau menyia-nyiakan harta, akan tetapi zuhud di dunia adalah engkau lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tanganmu. Keadaanmu antara ketika tertimpa musibah dan tidak adalah sama saja, sebagaimana sama saja di matamu antara orang yang memujimu dengan yang mencelamu dalam kebenaran.


Allah tidak menjadikan bagi seseorang dua hati dalam rongganya...
surah al Ahzab 33: 4

maka Dia mengilhamkan kepadanya jalan kejahatan dan ketakwaannya, sungguh beruntung bagi orang yang mensucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi bagi orang yang mengotorinya.
Surah asy Syams 91:8-10

Thursday, December 5, 2013

Nota Cinta Buat Sahabat



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Menemui sahabat-sahabatku yang sangat dicintai, semoga Allah melindungi kamu semua dengan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Meniti arus perjuangan ini, aku seakan-akan terlalu diterpa kerinduan usrah Kajian kita yang lalu. Saat itu aku masih teringat, bahkan masih terasa-rasa kasih sayang yang disemai dan dibaja lillahi ta'ala, betapa membawa kesan yang amat mendalam dalam jiwa ragaku. Terima kasih kepada Kak Nik yang telah berjaya membawa kami ke jalan ini, dengan izin Allah Ta'ala.

Sahabat-sahabatku,

Percayalah.. Bukan ku tidak merindui kalian, bahkan jiwa ini seolah-olah meronta-ronta untuk bertemu kalian dan untuk terus berada dalam halaqah bersama kalian. Setiap kali ku baca kitab suci Al-Quran, ada sahaja ayat-ayatNya yang mengingatkan tentang kita dahulu. Subhanallah.. Aku berasa sungguh terharu dan bahagia kerana ingatanku pada kalian apabila aku membaca Al-Quran. Bermakna jika aku selalu membaca Al-Quran, pasti akan teringat kalian.

Dalam Al-Quran, pernah kita sentuh ayat ini..

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan diantara hati kamu (sehingga kamu bersatu- padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat pertunjuk hidayahNya.

Surah Ali Imran : 103

Sesungguhnya ketika itu perasaan kita sebagai saudara dalam halaqah semakin teguh dan seakan tidak mahu untuk berpisah. Bahkan benarlah dalam hadis disebut, orang Mukmin itu seperti satu jasad. Jika satu anggota disakiti, anggota lain akan turut terasa.

Dalam hidup ini, kita perlu sentiasa bersedia untuk berkorban. Sahabat-sahabatku, masih ingat lagikah kisah sahabat-sahabat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam? Ketika Rasulullah S.A.W menyuruh mereka berhijrah, mereka berhijrah tanpa meninggalkan kecintaan kepada Rasulullah S.A.W meskipun mereka jauh dari Rasulullah S.A.W.

Masih ingat lagikah ketika Rasulullah S.A.W. bersama Abu Bakar As-Siddiq, sahabat baginda yang paling akrab dan setia, di dalam Gua Tsur dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Betapa cintanya As-Siddiq pada Rasulullah S.A.W. sehingga sanggup terluka untuk melindungi Rasulullah S.A.W.


Sahabat-sahabat yang kusayangi,

Allah telah menentukan jalan hidup kita dengan baik sekali. Saat kita berusrah bersama-sama dahulu, kita dapat menghayati keindahan berhalaqah. Maka sekarang aku merasakan kita perlu untuk sebarkan keindahannya pada insan-insan sekeliling kita yang masih mencari-cari jalan cinta Ilahi itu. Aku yakin, Allah sangat meredhai percintaan dan persaudaraan atas nama-Nya.

Janganlah disedihkan dan dikesalkan perpisahan kita yang sementara ini kerana Allah sudah menjanjikan pertemuan yang jelas dan kekal di jannah nanti. Hanya ingat satu titipan-Nya, jangan pernah berpaling dari-Nya. Selagi persahabatan kita terjalin kerana-Nya, selamanya takkan pernah pudar.

Sahabat-sahabat yang sangat kucintai,

Pertemuan dengan orang baru di sekeliling kita memberikan kita peluang untuk belajar lebih memahami orang lain dan banyakkan bersabar jika berlaku salah faham. Setiap orang tentunya tidak sama zahirnya, maka sikap juga berbeza. Kelebihannya jangan kita ambil kesempatan dan kelemahannya perlulah diterima dan jangan dijaja pada orang lain.

Di sini juga sahabat-sahabatku, aku menemui sahabat-sahabat yang mempunyai misi yang sama seperti kita dahulu, namun cuma belum bermula. Aku ingin sekali menambah ahli-ahli dalam taman-taman syurga dunia ini. Kuharap kalian juga begitu. Percayalah, inilah jalan yang dicintai Allah kerana Allah mencintai orang-orang Mukmin yang bersaudara dan saling mencintai kerana-Nya.

Oleh itu sahabat-sahabatku, terimalah nota cinta ikhlas dariku buat kalian. Bersama titisan air mata dari hati, aku sangat mencintai kalian kerana Allah. Jika ada antara kalian yang aku terlebih atau terkurang sebut namanya, maafkan aku kerana itulah antara kelemahanku. Apabila aku terlalu mencintai seorang sahabat, sahabat yang lain turut kucintai namun tak sebanyak dia. Hanya Allah yang tahu mengapa begitu. Hakikatnya, manusia takkan mampu adil walau berkali-kali dia cuba untuk adil kerana adil itu hanya milik Allah.

Sekian nota cinta buat kalian..

Kusudahi dengan assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..





Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...