Monday, September 23, 2013

Cerita Sebuah Kehidupan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

 Setelah sekian lama menyepi dalam penulisan blog ini, saya ingin berkongsi sekali lagi tentang cerita sebuah kehidupan. Lazimnya, kehidupan ini Allah ciptakan berliku-liku dan penuh ujian. Nasiblah kan siapa yang kuat dan lemah imannya. Sesungguhnya Allah tak menciptakan semuanya sia-sia. Semuanya tetap kembali kepada sunnatullah atau ketetapan Allah.

                         Apabila diuji dengan perkara susah, kita kena kembali pada Allah. Begitu juga jika kita diuji dengan perkara senang. Jika kita mengingati Allah dalam keadaan kita senang, Allah akan bersama-sama kita apabila kita susah. Ujian itu mematangkan diri, memantapkan akidah dan menguatkan hati. Bersama-sama ujian, Allah beri kita panduan hidup iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

                Setiap orang dalam dunia ini pernah membuat silap. Setiap orang diuji dengan ujian yang berlainan. Ya, bersesuaian yang Allah firmankan dalam kitab Al-Quran, diuji manusia itu mengikut kesanggupan atau kemampuannya. Apabila telah tersedar dari kekhilafan, sewajarnya kembali semula kepada Yang Maha Pencipta. Hanya Dia, Allah Yang Esa.

               Ujian adalah untuk memperteguhkan keimanan dan kecintaan kita pada-Nya. Dalam mencari hidayah dan cahaya-Nya, tetapkan hati untuk sentiasa sabar kerana Allah sentiasa bersama-sama orang-orang yang sabar. Perhatikanlah setiap firman-Nya melalui Al-Quran dan penciptaan semesta. Semuanya adalah ujian kehidupan di dunia kerana yang di akhirat lebih kekal dan abadi.

               Sedangkan nabi-nabi pun diuji keimanan mereka, bahkan kita hanya hamba-hamba-Nya yang biasa-biasa sahaja tentu sahaja diuji. Cuma ujian para nabi lebih besar kerana mereka adalah orang-orang yang dekat dengan Allah. Nabi-nabi dan rasul-rasul Allah telah dikurniakan sifat maksom, iaitu bersih daripada dosa-dosa. Namun, mereka tetap teguh beribadat dan tetap beristighfar untuk mencari keredhaan Allah. Nabi Nuh dan Nabi Luth diuji dengan ahli-ahli keluarga yang menolak seruan kebenaran. Begitu juga nabi-nabi yang lain diuji dengan kedegilan kaum masing-masing.

               Sedarkah kita sebagai Muslim yang diwarisi agama kita ini bahawa muallaf iaitu saudara baru kita lebih menghargai keimanan berbanding kita yang dikurniakan nikmat Islam sejak lahir. Meskipun baru sahaja mengenal Islam dan baru hendak mengenali Allah Yang Pengasih, muallaf lebih tinggi kesedaran mereka dengan Islam dan lebih faham mengapa mereka memilih Islam sebagai cara hidup mereka. Ternyata hidayah Allah dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

               Muallaf diuji dengan kekafiran mereka sebelum menerima cahaya Islam. Namun kerana kesedaran yang ada dalam hati mereka tentang kebenaran Islam, mereka mencari hidayah Allah itu dengan mengkaji kebenarannya. Atas sebab itu mungkin, iman mereka lebih teguh berbanding yang sedia Islam. Oleh sebab itulah, kita digalakkan memerhatikan ayat-ayat Allah, iaitu bukti-bukti kebesaran Allah supaya teguh hati kita dan bertambah keimanan kita.


               Manakala, Muslim yang pernah tercicir sedikit daripada landasan keimanan, mereka mencari jalan untuk kembali. Sebesar mana pun dosa seorang hamba, yakinlah keampunan Allah lebih besar daripada seluas lautan. Percayalah, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya orang-orang yang bertaubat itu lebih dicintai Allah. Jangan pernah ragu untuk kembali pada-Nya kerana Dia sentiasa menantikan rintihan-rintihan hamba-hamba-Nya.

                Allah lebih mengenali hamba-hambaNya. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Sekiranya diuji, jangan lekas melatah dan berputus asa. Peganglah bahawa hanya kerana Allah kita hidup. Jika tidak, tentu kita tak mampu walaupun nak bernafas sesaat pun.

Wallahu A'lamun Bissowab..

Saturday, September 14, 2013

Pantun

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Kereta baru lembu pun baru,
Baru sekali masuk Melaka,
Tuan baru saya pun baru,
Baru sekali berkenal biasa.

Sayang selasih sama selasih,
Kalau tinggi ambil galah,
Sungguhpun jadi bertemu kasih,
Jodoh pertemuan di tangan Allah.

Anak ikan dipandang sahaja,
Hendak dipindang tiada berkunyit,
Anak orang dipandang shaja,
Hendak dipinang tiada berduit.

Buah rambai dalam padi,
Lazat pula cita rasanya,
Pandai sungguh mengambil hati,
Sarat dengan budi bahasanya.

Kalau padi katakan padi,
Tidak saya tertampi-tampi,
Kalau sudi katakan sudi,
Tidak saya ternanti-nati.

Buah mengkudu kusangka kandis,
Kandis berada di dalam puan,
Gula madu kusangka manis,
Manis lagi senyuman tuan.

Padi pulut di dalam pinggan,
Padi Jambi tepi perigi,
Janji mulut boleh lupakan,
Janji hati bawa ke mati.

Apalah tanda pohon pandan,
Daunnya lebat berduri-duri,
Apakah tanda orang pilihan,
Kasih melekat ke mana pergi.

Orang Aceh pulang ke Aceh,
Sampan berlabuh di waktu pagi,
Hati yang kasih bertambah kasih,
Kasih yang tidak berbelah bahagi.

Marilah tuan menanam serai,
Mari ditanam di Kuala Batu,
Hajat di hati tak mahu bercerai,
Kuasa Allah siapa yang tahu.

Kalau roboh kota Melaka,
Sayang selasih di dalam puan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Rasa nak mati dipangku tuan.

Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja,
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.

Lama sudah tidak ke ladang,
Padi sudah dililit kangkung,
Selama tuan tidak kupandang,
Putus hati pengarang jantung.

Sekian, terima kasih.. ^_^

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...