Tuesday, April 30, 2013

BEDAK ARAB MAGIC

Assalamualaikum semua...

PERHATIAN!! PERHATIAN!!

Memperkenalkan Bedak Arab Kokuryu



1. Bedak Arab ini beratnya 50 gm iaitu 3 ke 4 kali ganda beratnya daripada bedak biasa.
2. Mengikut pengalaman pengguna yang telah mencubanya, penggunaanya tahan selama lebih daripada 3 bulan.
3. Bedak ini merangkumi moisturiser, foundation dan bedak. Jadi, dalam masa 3 bulan, hanya bli satu bedak sahaja tetapi dah merangkumi 3 produk, daripada membeli 3 produk berasingan.
4. Penggunaannya yang ringkas dan memakan masa yang singkat, dapat menjimatkan masa untuk berhias.
5. Cantik terletak seolah-olah ada satu kulit menutupinya. Berbeza dengan bedak-bedak biasa yang terdapat di pasaran yang berdebu dan melekat di tudung.
6. Memandangkan bedak arab memang sudah biasa di Tanah Arab, tempat yang sedia panas, jadi bedak ini juga tahan panas dan mempunyai perlindungan UV.
7. Sesuai untuk lelaki dan perempuan.
8. Sangat mudah dipakai. Hanya perlu basahkan sedikit sponge dan terus sapukan di muka. Sponge jangan terlalu basah/kering, takut nanti tak lekat.


Jika berminat, boleh pm d facebook saya, http://www.facebook.com/ctz91

Harga boleh runding. Jangan lepaskan peluang ini. Selamat mencuba.. ^_^


Kisah Cinta Isteri Yang Setia

Bismillahirrahmanirrahim..

Apabila berbicara tentang kesetiaan, cinta dan kasih sayang, dapat dilihat daripada kisah cinta pada zaman Rasulullah S.A.W. . Seakan bergetar hati ini mendengar namanya dan kisah kesetiaan yang dipamerkan. Di sini saya ingin berkongsi cerita tentang beliau.

Kisah Zainab binti Muhammad

Kisah Zainab binti Muhammad adalah contoh terbaik dalam memperkatakan kesetiaan seorang isteri, keikhlasan cinta dan ketulusan iman. Zainab merupakan puteri sulung Muhammad bin Abdullah dan Khadijah binti Khuwailid, yang dilahirkan selepas dua tahun perkahwinan ibu bapanya. Ketika itu Muhammad berusia 27 tahun, sementara Khadijah 42 tahun.

Kelahiran Zainab memberikan kegembiraan yang tidak terhingga kepada ibu bapanya walaupun masyarakat jahiliah ketika itu tidak menyukai anak perempuan. Zainab menjadi remaja yang tertib hasil didikan orang tuanya. Dia dikagumi kerana cekal menguruskan adik-adiknya disebabkan usia Khadijah ketika itu agak lanjut. Ketika tiba usia perkahwinan, ibu saudaranya, Halah binti Khuwailid, telah melamar gadis itu untuk puteranya, Abu al-'Ash bin Rabi'. Perkahwinan Zainab dilangsungkan meriah dan ibunya memberikan seutas kalung sebagai hadiah perkahwinan. Pasangan ini dianggap ideal dan mereka hidup aman bahagia.

Ketika Muhammad berusia 40 tahun, baginda diangkat sebagai Rasulullah. Zainab antara orang yang terawal mengikut jejak langkah bapanya menerima Islam. Bagaimanapun Abu al'Ash enggan memeluk Islam dengan pelbagai alasan. Sebagai isteri, Zainab tidak dapat berbuat apa-apa tetapi dia masih tinggal serumah dengan suaminya. Lagipun ketika itu belum ada wahyu yang melarang suami isteri yang tidak seagama tinggal serumah. Ketika bapanya berhijrah ke Madinah, Zainab tidak turut serta kerana masih setia kepada suaminya.

Perang Badar meletus pada tahun ke-2 Hijrah /624 Masihi. Kaum musyrikin kalah teruk dalam pertempuran itu dan ramai yang menjadi tawanan di Madinah. Salah seorangnya adalah Abu al-'Ash, suami Zainab, menantu Rasulullah. Ketika mendengar suaminya menjadi tawanan bapanya di Madinah, Zainab telah mengirimkan kalung hadiah ibunya sebagai bayaran tebusan suaminya. Menitis air mata Rasulullah kerana baginda mengenali pemilik kalung itu dan memahami cinta Zainab terhadap suaminya.

Kaum muslimin bersetuju memulangkan kalung itu kepada Zainab dan membebaskan Abu al-'Ash. Kepulangan suaminya disambut gembira. Bagaimanapun dia amat terkejut apabila Abu al-'Ash menceraikannya. Abu al-'Ash memberitahu perceraian itu atas arahan Rasulullah berikutan turun wahyu yang melarang suami isteri tinggal bersama selepas salah seorangnya memeluk Islam. Kerana itu Abu al-'Ash mesti menceraikan Zainab dan memulangkan isterinya kepada bapanya di Madinah.

Kedua-dua suami isteri ini tidak dapat menahan kesedihan masing-masing apatah lagi kerana Zainab sedang hamil empat bulan. Abu al-'Ash tidak tergamak untuk mengiringi Zainab keluar Mekah, lantas mengamanahkan adiknya Kinanah menghantar Zainab ke sana. Dia berpesan supaya melindungi Zainab dan mempertahankan wanita itu dengan nyawa. Sementara di luar kota Mekah, Zaid bin Harisah dan seorang lelaki Ansar menjadi wakil Rasulullah untuk membawa puteri baginda ke Madinah.

Kaum kafir Quraisy mendapat tahu mengenai keberangkatan itu. Mereka keluar mencari Zainab dan bertembung dengannya di Dzi Thuwa. Untanya ditombak menyebabkan Zainab terjatuh dan mengalami keguguran. Abu Sufyan yang turut serta dalam kumpulan lelaki Quraisy itu memberitahu Kinanah bahawa tindakannya membawa Zainab keluar pada waktu siang adalah tidak tepat kerana ia akan menambahkan lagi malu mereka selepas kekalahan Perang Badar. Zainab pun dibawa balik ke Mekah untuk dirawat dan diserahkan kepada wakil Rasulullah pada sebelah malam.

Kedatangan Zainab ke Madinah disambut penuh gembira oleh masyarakat Madinah. Bagaimanapun Zainab dan Abu al-'Ash masih merindui satu sama lain dan sentiasa berharap untuk bersama semula. Pada tahun ke-6H, Abu al-'Ash mengikut satu rombongan dagang ke Syam. Dalam perjalanan pulang, rombongan mereka ditahan orang Islam dan semua hasil dagangannya dirampas. Dia tidak berani pulang ke Mekah dengan tangan kosong kerana dia tahu ramai yang sedang menanti untuk mendapatkan wang masing-masing.

Abu al-'Ash teringat bekas isterinya dan cuba meminta pertolongan. Dia menyusup masuk ke Madinah pada waktu malam dan meminta Zainab melindungi serta mendapatkan hartanya yang dirampas. Kerana cinta, Zainab berikrar membantu Abu al-'Ash. Rasulullah mendapat tahu hal itu dan menasihatkan puterinya bahawa Abu al-'Ash haram baginya sebelum dia memeluk Islam.

Bagaimanapun baginda faham bahawa puterinya itu masih mempunyai perasaan terhadap bekas suaminya dan pengorbanan besar Zainab terhadap Islam. Zainab akur dengan arahan bapanya dan menyerahkan Abu al-'Ash kepada orang Islam untuk dihukum. Abu al-'Ash ditanya kesediaannya untuk memeluk Islam tetapi katanya, dia perlu memulangkan hasil dagangan itu kepada rakyat Mekah terlebih dahulu supaya tidak digelar pengkhianat. Jika dia memeluk Islam dahulu, imej Islam pasti akan tercemar.
Harta itu dipulangkan kepada Abu al-'Ash. Dia kembali ke Mekah membahagikan hasilnya kepada rakyat dan dipuji kerana amanahnya. Selesai tugasnya, Abu al-'Ash mengumumkan pengislamannya dan berhijrah ke Madinah. Pasangan itu dikahwinkan semula mengikut syarak dan hidup bahagia. Kesan keguguran yang pernah dialami Zainab menyebabkan kesihatannya terganggu. Dia meninggal dunia 
ada tahun ke-8H, diikuti suaminya empat tahun kemudian. Sehingga kini Zainab dikenang sebagai seorang isteri yang setia, juga taat kepada Islam.

Tuesday, April 16, 2013

Test pukul 2, Study pukul 3

Sejurus menulis post yang sebelum ini, Persahabatan Kerana Allah, aku mula berehat-rehat sebentar. Sebenarnya, tengahari itu dalam pukul 12 tengahari sepatutnya aku ada satu test, financial planning tapi ditunda pada hari Rabu (esok). Petang ini, pukul 6 petang hingga 8 malam, akan diadakan test ECO 539, Intermediate Economics. Banyak lagi masa memandangkan baru sahaja pukul 2 petang. Aku berkira-kira ingin start study pukul 3 petang nanti.

Selepas bertemu madam sekejap lebih kurang pukul 12.30 tengahari tadi, aku pergi makan dengan Syawal sementara Aimi dan Ili pulang ke rumah untuk study ECO 539. Selepas makan, aku dan Syawal berborak sekejap. Di hadapan kami, Yasin dan Uwais pun sedang berjeda.

"Pelik pulak aku. Diorang ni tak study ke?" getus hatiku."Mungkin study kat library kot.."

Selepas lama bersembang berkongsi cerita kami, aku dan Syawal berpisah untuk balik. Sampai sahaja di rumah, rupa-rupanya semua sudah balik. Aku solat Zuhur dan bersedia untuk belajar. Aku membaca dengan relaksnya atas katil.

Terdengar Nailah dan kawan-kawannya balik menegur Aimi dan Fifi.

"Bukan ke korang ada test sama dengan Haziq ke hari ni? Tahu tak, test tu dah bawa pukul 2 petang.."

Aku dengar tapi aku buat tak tahu je sebab duduk dalam bilik. Mereka semua di ruang tamu. Banyak kali Nailah ulang pasal test tu. Aimi yang memang tertidur tak ambil part dan Fifi pun layan je walaupun mamai-mamai.

Aku terbangun lantas terjun dari katil.

"Biar betul???" aku menerkam ke luar.

Jam menunujukkan pukul 3 petang.

"Betul. test korang kul 6 petang kan? Dah bawa ke pukul 2 petang.. Diorang yang cakap tadi.." Nailah menegaskan lagi.

"Astaghfirullah.. ya Allah.. Subhanallah.. Apa nak buat ni? kita tak tahu apa pun..,"kataku..

"Ha'ah, kami tak tahu apa pun.. kenapa budak kelas kita tak bagitahu kita?"kata Ili pula berbaur kesal.

"Awat diorang tak habaq kat kita...,"kata Aimi pula.

Kami bertiga dah runsing.. Fahain datang ambil bukunya lalu memberi kami nombor telefon miss. Ili telefon miss dan menjelaskan keadaan sebenar.

Ya Allah.. memang dugaan. Dahlah test asyik pinda-pinda. Lepas tu, kelas yang sebelum ni, pun ada kami terlepas sebab budak kelas kami yang tu tak inform kami. Ya Allah.. nak kata sakit hati, memang sakit hati. Nak kata geram pun, memang geram sangat sampai tak terkata.

Patutlah Yasin dan Uwais berjeda-jeda kat kedai makan tadi. Sungguh tak tipu, memang aku pelik dengan diorang. Biasanya diorang memang balik terus or makan sekejap then terus balik. Aimi tiba-tiba teringat sesuatu ketika kami sedang bersiap-siap itu.

"Ili, patutlah Yasin cakap dia pun baru tahu hari ni.. Tapi tak tahu la tahu apa. Mungkin tahu yang test bawa ke pukul 2 kot.."

"Ha'ah.. yalah.. patutlah..,"aku mengiakan.

Monday, April 15, 2013

Persahabatan kerana Allah

Sahabat sejati sukar dicari..

Ungkapan yang sering aku ulang-ulang dalam hatiku tatkala tiba di suatu persinggahan, lantas ingin mencari seorang pendamping yang bakal berkongsi susah dan senang. Sememangnya tidak mudah dan agak mustahil. Namun, dalam persahabatan tidak perlu mencari sebuah kesempurnaan. Cukuplah keikhlasan yang tetap setia dalam persahabatan yang ada.

Bagi aku, kawan tetap kawan. Namun, apabila aku mulai rapat dengan seseorang, aku akan menyayanginya sepenuh hatiku. Aku akan cuba untuk bahagiakan dia. Aku sangat sayangkan sahabat dan persahabatan. Sungguh aku tak rela persahabatan yang terbina walaupun hanya sekadar beberapa ketika terlerai begitu sahaja.

Namun, bukan bermakna aku tidak menyayangi kawan-kawan yang lain. Aku pasti, setiap orang ada teman rapat atau lebih tepatnya disebut sahabat. Kadang-kadang dalam persahabatan, persamaan membuatkan kita serasi dengannya. Namun, kekurangan yang ada pada kita tertampung dengan kelebihan yang ada padanya. Begitu juga dengan kekurangan yang ada padanya.

Aku lebih senang bersendiri daripada mengharap kasih orang. Aku memang inginkan seorang teman yang boleh aku bercerita tentang perkara yang tak mungkin aku ceritakan pada orang lain. Salahkah aku mencari seorang sahabat? Salahkah kiranya pada suatu ketika, aku terlalu teruja menyayanginya sehingga pada semua orang aku ingin ceritakan semua kebaikannya padaku? Salahkah begitu?

Kerana sebuah persahabatan, aku rela mengalah. Aku memang selalu mengalah tapi bukan bermakna aku kalah. Aku hanya ingin mencari ruang supaya hatiku dapat tenang dengan situasi ini. Aku memang tidak pandai mengambil hati orang, tidak tahu menjaga hati orang.. Tapi aku cuba untuk tidak menyakiti hati orang. Aku ingin menerima orang lain seadanya namun mengapa terkadang orang tidak boleh menerima kita seadanya? Aku buntu.

Mencari sebuah jawapan dalam ketidakpastian ini memang agak sukar. Namun haruskah aku berdepan dengan mereka dan bertanyakan semua soalan ini? Dalam hidup ini dan lebih tepatnya sepanjang aku hidup kini, tiada jawapan yang menepati kehendak soalanku. Kadang-kadang soalan itu dibalas dengan soalan pula ataupun dibiarkan senyap begitu sahaja. Lebih baik jangan bertanya dan diam sahaja.

Untuk mengharapkan orang lain suka kepada kita juga adalah suatu yang mustahil sebenarnya. Kalau terjadi pun, alhamdulillah. Allah mengkehendakinya begitu. Anggap sahaja semua orang suka pada kita, cuma yang paling tak mungkinnya ialah sayangnya orang pada kita. Husnu zhon itu lebih baik. Biarlah orang nak bersangka buruk dengan kita. Tapi kita tetap kena jadi muslim yang menjaga hati. Jaga prasangka supaya tidak berfikir bukan-bukan tentang orang lain.

Keegoan dalam diri kadang-kadang menghancurkan sebuah persahabatan. Selalunya orang yang ego tidak sedar dia ego sehinggalah orang lain mengatakannya ego. Ego bukan sombong tapi keras hati. Dalam sesetengah perkara, susah untuk mengaku kesalahan dan meminta maaf. Cara untuk lembut hati ialah kurangkanlah ego dan rendahkan sedikit hati untuk meminta maaf dengan orang. Allah pun Maha Pengampun dan suka pada orang-orang yang pemaaf. Bahkan , Nabi Muhammad s.a.w. juga contoh teladan yang baik dalam sifat pemaaf baginda.

Persahabatan memang sangat unik dan tak dijangka. Tiba-tiba kita dengan seseorang ini. Di masa yang lain pula kita dengan orang itu pula. Tapi, sampai bila-bila sahabat tetap di hati..

لَا يُؤْ مِنُ اَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِاَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

"Tidak sempurna iman seseorang sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri."
(HR. Bukhari-Muslim) 



Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...