MAULID berasal dari perkataan Arab yang bermakna melahirkan terutamanya merujuk kepada kelahiran bayi.
Namun dalam konteks hari ini ia dirujuk khusus kepada hari keputeraan Nabi Muhammad iaitu pada 12 Rabiulawal setiap tahun.
Sejarah ringkas
Sambutan Maulidur Rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir yang meraikannya secara besar-besaran.
Mereka bukan sahaja meraikan hari keputeraan Rasulullah, tetapi juga yang membabitkan ahli keluarga baginda Zainab, Hassan, Hussain.
Walau bagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 H atas perintah Perdana Menteri, al-Afdal Shahindah yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer.
Ia berhenti diraikan sehingga Al-Ma’moon Al-Bataa’ni memegang kuasa kerajaan.
Apabila kerajaan al-Ayubbiyyah merampas kuasa, semua perayaan itu sekali lagi dihentikan.
Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya di kalangan keluarga mereka secara tertutup.
Pada Abad ke-7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa’d Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen ‘Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil.
Muzafar yang merupakan seorang sunni mengambil berat akan perayaan Maulidur Rasul hingga memerintahkan persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan seawal dan sebaik mungkin.
Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan itu dalam khemah yang telah didirikan.
Hujah membolehkan Maulidur Rasul
Antara ulama yang menyokong Maulidur Rasul terutamanya Imam Jalaluddin Sayuti dan Sheikh Dr. Yusuf Al Qaradawi.
Imam Jalaluddin Sayuti:
“Ibadat macam itu adalah bidaah hasanah (bidaah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia”.
Sheikh Dr. Yusuf al Qaradawi: “Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah.
“Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah itu kekal di dalam hati dan juga ingatan.
“Sa’d bin Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah kepada kanak-kanak sama seperti mana keghairahan mereka mendidik anak-anak itu mengenai al-Quran.
“Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah, maka tidak perlulah merayakan seperti mana dirayakan Maulid Rasul kini.
“Bagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya.
“Dengan itu, perayaan Maulid Rasul diadakan bertujuan mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah masih hidup. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam.
“Maka dibolehkan meraikan Maulid nabi ini dengan syarat tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bidaah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan akan sejarah Islam”.
Antara dalil bagi yang membolehkan Maulid ini:
1) Allah berfirman yang bermaksud: Maka orang yang beriman kepadanya (Muhammad saw) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran) mereka itulah yang beruntung. (al-A’raf: 157)
Keterangan: Tujuan maulud adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad. Maka perayaan maulud masuk dalam umum ayat tersebut.
2) Firman Allah yang bermaksud: Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. (Ibrahim: 5)
Keterangan: Al-Baihaqi di dalam Syakbu al-Iman daripada Ubai bin Kaab daripada Nabi SAW, sesungguhnya baginda menafsirkan ‘hari-hari Allah’ adalah hari-hari nikmat dan kurniaan Allah. Al-Alusi dalam Ruh al-Ma’animenjelaskan lagi dengan katanya “kelahiran Nabi merupakan nikmat yang paling besar”.
3) Bahawasanya Nabi Muhammad datang ke Madinah maka beliau mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharam, maka Nabi bertanya kepada orang yahudi itu: “Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?” Jawab mereka: “Ini adalah hari peringatan, pada hari itu dikaramkan Firaun dan pada hari itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan”.
Maka Nabi berkata: “Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu”. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Ibnu Hajar Al-Asqalani pengarang Syarah Bukhari yang bernama Fathul Bari berkata, bahawa dari hadis itu dapat dipetik hukum: Umat Islam dibolehkan bahkan dianjur memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari Maulud, Israk dan Mikraj dan lain-lain.
- Nabi pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya yang hak.
12 Rabiul Awal merupakan tarikh yang bersejarah yang mana saban tahun umat Islam seluruh dunia sama-sama menyambut hari kelahiran putera bertuah yang telah merubah peradaban dunia. Muhammad begitulah nama indah kepada putera Abdullah dan Aminah ini yang telah menunjukkan sifat keperibadian dan akhlak yang terpuji semenjak kecil lagi. Tujuan perayaan ini dilakukan bukanlah untuk memuja Rasulullah S.A.W tetapi sebaliknya bagi mengingati segala pengorbanan baginda dan yang lebih utama lagi untuk mencontohi akhlak serta segala sunnah yang ditinggalkan kepada kita.
Menurut sejarah, Malikus Salleh yang merupakan seorang pendakwah yang terkenal pada masa itu telah memperkenalkan perayaan ini apabila beliau melihat umat Islam di kepulauan Melayu pada masa itu kurang mengamalkan sunnah serta mengabaikan akhlak-akhlak yang terpuji yang pernah ditonjolkan oleh Rasulullah S.A.W. Sesiapa yang menyambut kelahiran Rasul yang mulia ini tetapi hanya untuk bermegah-megah dan tidak mahu menurut segala apa yang yang dibawa oleh baginda S.A.W serta menolak hukum Pencipta mereka maka inilah yang dikatakan perayaan yang dibuat itu adalah bid’ah yang sesat yang menempah siksaan dan bala dari Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kita bukan mengadakan perayaan untuk mengingati baginda S.A.W sahaja tetapi mestilah diikuti dengan pelaksaan segala perintah dan sunnah Rasulullah S.A.W. Pelaksaan pula hendaklah meliputi semua aspek dan bukannya menurut kehendak hati sahaja seperti yang berkait dengan ibadat khusus, sunnah yang berbentuk amalan sunat dan meninggal apa yang sukar dan tidak bertepatan dengan nafsu kita seperti politik, ekonomi, perundangan, pemerintahan, batas-batas pergaulan harian dan pemakaian pakaian yang menutup aurat bukan sahaja disekolah, universiti, tempat kerja malah di mana sahaja termasuk di rumah apabila adanya mereka yang bukan muhrim ( halal berkahwin ) bersama.
Kelahiran Rasulullah S.A.W adalah pada tahun Gajah di mana tentera Abrahah yang berpusat di Yaman telah datang ke Mekah untuk meruntuhkan Ka’bah. Perancangan ini adalah bertujuan memastikan manusia pada masa itu tidak lagi tertumpu di Mekah setiap tahun dalam mengerjakan ibadat haji sebaliknya mengerjakannya di Yaman. Datu baginda iaitu Abdul Muttalib apabila melihat kemaraan tentera bergajah Abrahah meminta agar kesemua penduduk Mekah untuk bersembunyi bagi menyelamatkan diri masing-masing daripada tentera itu. Beliau menyatakan bahawa Ka’bah adalah milik Tuhan yang mana Dia tetap menjaganya daripada pencerobohan mereka yang zalim. Akhirnya Allah menghantar burung Ababil untuk menghancurkan tentera bergajah Abrahah. Tentera Allah yang kecil iaitu burung mampu mengalahkan tentera bergajah Abrahah dengan lontaran batu-batu kecil sahaja. Ini bermakna setiap sesuatu tidak mampu melawan kehendak Allah yang Maha Pencipta. Pejuang Islam mesti yakin dengan pertolongan Allah yang akan bersama mereka yang ikhlas dan bersungguh dalam memperjuangkan Islam sebagaimana keyakinan yang wujud dalam hati datuk Rasulullah s.a.w iaitu Abdul Muttalib yang begitu yakin bahawa Ka’bah tetap akan dijaga oleh Tuannya iaitu Allah ketika melihat kemaraan tentera Abrahah. Kita sebagai pendakwah mesti lebih yakin daripada beliau terhadap pertolongan Allah dalam mengembalikan ketuanan Islam.
Lahirnya Rasulullah s.a.w daripada bangsa arab berketurunan Quraisy selain daripada menempelak Yahudi dan Kristian yang mendakwa bahawa bani Israel merupakan anak dan kekasih Allah, ia juga memberi pengajaran kepada kita bersama bahawa lahirnya pendakwah daripada keturunan yang baik disertai pula dengan akhlak dan keperibadian yang soleh akan menjadi pemangkin yang begitu penting dalam penyebaran dakwah. Oleh itu kita perlu menitik beratkan mengenai keturunan kita dalam memastikan dakwah Islam yang kita bawa akan lebih tersebar. Ingatlah bahawa keluarga merupakan fitnah yang begitu besar kepada pendakwah di mana ramai dikalangan mad’u atau mereka yang didakwah akan melihat bagaimana keadaan keluarga pendakwah sebelum menerima dakwah yang dibawa. Memang tidak dinafikan bahawa bukannya hanya faktor keturunan yang akan membantu dalam berdakwah kerana ramai juga yang dilahirkan dalam keadaan keturunan yang tidak terkenal tetapi mampu dan berjaya untuk menjalankan kerja-kerja dakwah. Ada juga yang berketurunan baik tetapi dirinya sendiri terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar sehingga menjadi seorang yang tidak berguna malah penentang kepada Islam itu sendiri. Namun begitu persoalan mengenai keturunan yang mulia dibantu oleh sifat yang terpuji serta amal yang mulia merupakan gabungan yang ideal dalam memastikan kerja-kerja dakwah yang lebih berjaya. Oleh itu Allah melahirkan baginda s.a.w dalam keluarga yang berketurunan yang mulia dan dihormati pada masa itu bagi membantu baginda s.a.w ketika menyampaikan dakwah. Mereka yang masih kufur tidak boleh lagi berhujjah bahawa Islam tidak dapat diterima kerana ia dibawa oleh seorang yang berketurunan biasa kerana baginda s.a.w berketurunan baik dan terpilih.
Keadaan Jahiliah Dan Material
Lahirnya baginda di celah-celah kegemilangan kerajaan Rom, Parsi, India dan beberapa buah lagi kerajaan yang lain menunjukkan kepada kita bahawa kemajuan sesuatu tamadun itu bukannya terletak pada kemajuan material semata-mata tetapi mestilah selari dengan pembangunan insan. Kemajuan yang berasaskan maddiah dengan mengenepikan pembangunan ruhiah tidak mampu memberikan kebahagian yang berkekalan kepada sesuatu bangsa. Kita pernah membaca dan melihat sendiri kesan kegemilangan kerajaan-kerajaan tersebut seperti kerajaan Rom di Jordan yang begitu hebat dari segi seni binanya tetapi mereka tidak mampu berlaku adil pada rakyat mereka sehingga adanya undang-undang yang melahirkan lapisan masyarakat yang berbeza taraf serta perhambaan di kalangan mereka. Mereka lebih mementingkan kehebatan dari segi material dan meninggalkan kepentingan pembinaan insan kerana mereka berada jauh daripada petunjuk wahyu Ilahi. Sikap mereka ini menular kembali ke dalam pemerintahan di negara yang menggunakan ideologi ciptaan manusia dan meninggalkan hukum Allah Yang Maha Kuasa pada masa kini. Oleh itu tujuan sebenar kedatangan Rasulullah S.A.W adalah untuk memberi sinar iman setelah begitu lama manusia lemas dalam lautan jahiliah dan kekufuran serta mengubah daripada perhambaan sesama manusia kepada tunduk dan patuh kepada Allah yang Maha Kuasa. Namun begitu Islam bukanlah menafikan sebarang pembangunan material tetapi Islam mahu melihat bagaimana pembangunan material dan rohani mampu diselaraskan demi melihat kejayaan di dunia dan akhirat. Adakah masyarakat hari ini menjadikan Jepun atau negara barat sebagai model terbaik dalam pembinaan tamadun moden semata-mata pembangunan material yang tersergam indah atau pun kerana disiplin masa dan ketekunan mereka dalam bekerja dan mengkaji?. Kita dapat lihat sendiri apa yang berlaku dalam negara di mana berbilion wang dihabiskan untuk membina bangunan yang tinggi-tinggi demi mencipta nama di mata dunia walau pun semakin hari semakin tinggi jumlah hutang negara yang ditanggung sedangkan berapa banyakkah wang yang dihabiskan untuk pembinaan manusia. Sikap memandang remeh terhadap pembinaan insan ini menyebabkan ramai rakyat yang terlibat dengan amalan yang tidak sihat malah menggugat keamanan negara. Berapa bilion terpaksa dihabiskan untuk membina penjara, pusat serenti dan pelbagai lagi dalam membendung penagihan dadah, jenayah seks dan sebagainya. Pemimpin sendiri terlibat dengan masalah politik wang yang mampu menggadaikan keseluruhan hasil dan tanah negara dalam masa terdekat dan jaka panjang.
Kehidupan baginda s.a.w dalam suasana jahiliah yang dipenuhi oleh amalan penyembahan berhala mengingatkan kita bagaimana suasana itu tidak mampu menggoyah dan memberi kesan kepada keperibadian Rasulullah s.a.w yang sentiasa berada di bawah naungan tarbiah Ilahi. Suasana ini juga memberi pengajaran kepada kita bersama bagaimana Rasulullah s.a.w menjadi baik dan berakhlak mulia bukannya disebabkan suasana sekitar yang baik dan soleh sebaliknya kerana didikan Allah. Ini bagi menafikan dakwaan yang menyatakan bahawa baginda s.a.w menjadi soleh dan berakhlak mulia kerana terasuh dan terdidik oleh suasana sekitarnya yang baik. Kita sebagai pejuang Islam mestilah berusaha dalam membina keperibadian muslim sejati walau pun berada dalam suasana jahiliah moden yang mencengkam bagi menyahut maksud hadis di mana Rasulullah s.a.w menyifatkan keadaan muslim yang sejati sebagaimana ikan di laut yang mana ia tidak masin seperti air laut sebaliknya dagingnya tetap manis.
Yatim Piatu Dan Miskin
Semenjak kecil lagi Rasulullah telah diuji dimana seorang demi seorang mereka yang merupakan tempat baginda bergantung dan mengharapkan kasih sayang sebagaimana anak-anak kecil yang sebaya dengan baginda telah pergi menemui Al-Khaliq iaitu dengan dimulai dengan kematian ayahandanya Abdullah semasa baginda dalam kandungan ibundanya lagi. Kemudian diikuti dengan kematian ibundanya Aminah ketika mana baginda baru mula mengerti erti belaian kasih sayang seorang ibu. Selepas itu datuknya Abdul Muttalib pula pergi menemui Ilahi yang mana penjagaan baginda selepas itu diambil alih oleh bapa saudaranya Abu Thalib. Ujian ini telah mematangkan baginda dan menunjukkan kepada kita bahawa usaha dakwah kepada kebaikan memerlukan pengorbanan disamping di uji dengan mehnah atau cabaran. Ujian ini juga adalah untuk menjauhkan Rasulullah S.AW daripada tuduhan liar bahawa ilmu yang beliau sebarkan adalah hasil warisan dan pengajian yang baginda S.A.W perolehi daripada ibubapa dan datuk baginda S.A.W sebaliknya ia adalah wahyu Ilahi. Begitu juga untuk menghindar daripada tuduhan yang mengatakan segala kematangan dan perilaku yang mulia pada diri Rasulullah S.A.W adalah kerana hasil penjagaan dan didikan daripada ibubapa dan datuk baginda S.A.W. Kehidupan sebagai anak yatim piatu juga mengajar baginda yang bakal menjadi nabi lagi rasul untuk berdikari dan juga melahirkan dalam diri baginda s.a.w sifat kasih terhadap orang susah dan menderita terutama anak yatim piatu.Sebagaimana sekarang kita dapat dapat bezakan antara yang menjadi ahli koprat kerana dilahirkan dalam keluarga koprat berbeza dengan mereka yang menjadi ahli koprat hasil usahanya sendiri. Tanggapan orang ramai mengenai kedua-dua mereka adalah berbeza walaupun kedua-duanya merupakan ahli koprat dan mereka yang lahir menjadi ahli koprat hasil daripada usahanya sendiri biasanya lebih matang kerana pernah menghadapi cabaran dan jatuh bangunnya perniagaan sebelum lahir sebagai ahli koprat. Ingatlah bahawa perjuangan untuk meninggikan kalimah La ila ha illallah bukannya dihamparkan dengan permaidani merah tetapi dibentangkan dengan onak dan duri di sepanjang perjalanan menuju matlamatnya yang suci.
Kehidupan baginda s.a.w juga tidak dihiasi dengan warisan kekayaan keluarga sebaliknya dipenuhi dengan kemiskinan sehingga jika kita membaca kitab sirah nabawiyyah ada menceritakan bagaimana keluarga ibu susunya Halimatus Sa’diyah hanya bersetuju untuk menjaga baginda s.a.w setelah mereka tidak mendapati kanak-kanak selain baginda s.a.w untuk diasuh. Ini adalah bertujuan untuk mendidik baginda s.a.w dengan erti kesusahan dan juga bagi mengelakkan kekayaan itu menjadi fitnah kepada tujuan mereka yang memeluk Islam selepas kenabian nanti. Ia juga mengingatkan bagaimana sebagai pendakwah Islam yang tulen kita mesti meneruskan usaha dalam memastikan bendera La ilaha illaLlah akan berkibar megah samada ketika senang atau pun susah. Kewangan bukanlah penghalang yang besar kepada kerja dakwah sebaliknya ia hanya sekadar bantuan sahaja dalam melancarkan tugas-tugas kita sebagai pendakwah.
Bibliografi :
1. Ar-Rahikul Makhtum, Sofiyyurrahman al-Mubarakfuri, Darul Salam, Riyadh.
2. Fiqh as-Sirah, Doktor Muhammmad Sa’id Ramadhan al-Buthi, Darul Fikir.
3. As-Sirah an-Nabawiyyah, Doktor Mustafa as-Siba’ie, Al-Maktab al-Islami
4.Sumber : Pondok Pasir Tumbuh ( Al Bakriah.com)