Bicara singkat di pagi yang agak dingin ini membuka sedikit ruang untuk aku berkongsi sedikit cerita atau lebih tepatnya musykilat.
Sejak akhir-akhir ini, aku berasa kurang enak. Bukan kerana aku sakit tetapi sesuatu yang amat payah untuk aku ungkapkan.
Bagaimana untuk menjaga perasaan dan hubungan kita dengan manusia yang kita cintai tanpa meninggalkan Allah yang sepatutnya kita cintai lebih daripada segala-gala yang kita ada di dunia ini?
Bagaimana untuk menjaga harga diri supaya tidak dipandang serong oleh orang sekeliling?
Aku memahami situasi yang berlaku sekarang. Ceritanya begini,
Seorang hamba Allah ini gemar bertarbiah dan selalu berhalaqah. Dia dan sahabat-sahabatnya selalu berpesan-pesan antara satu sama lain. Setiap kali pesanan dan nasihat diakhiri dengan kesimpulan yang sama, mengharap cinta dan redha Allah.
Suatu ketika hamba Allah ini didatangi seseorang yang berniat untuk menjadikannya teman hidup untuk bersama-sama mengharap redha Allah. Hamba Allah ini menganggap baik niat tersebut lalu menerimanya setelah beberapa kali istikharah. Setiap kali hatinya ragu, dia istikharah lagi. Keputusan yang diterima tetap sama.
Namun begitu, bermula pada hari itu hamba Allah ini tidak lagi bertarbiah seperti dahulu. Mungkin salah dirinya sendiri kerana tidak cuba menyesuaikan diri dalam keadaan tersebut. Ikatan antaranya dengan ikhwan tersebut belum sampai kepada pernikahan, mungkin kerana itulah terjadi salah faham dengan orang sekeliling.
Aku merenung kembali cerita tersebut. Mungkin benar hamba Allah ini telah bertemu jodoh sekarang tetapi dia belum mampu untuk bernikah kerana belum habis belajar. Sabda Rasulullah S.A.W.,
"Wahai sekalian anak muda, sesiapa antara kamuyang mempunyai kemampuan, maka bernikahlah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata serta lebih menjaga kehormatan diri. Dan sesiapa yang belum mampu hendaklah berpuasa, kerana puasa itu dapat membentenginya."(Muttafaq 'alaih)
Aku sendiri dapat merasakan hamba Allah ini pastinya berasa sangat rindu untuk duduk bersama lagi dalam halaqah dan sama-sama mentarbiah diri. Namun, sahabat-sahabatnya terasa semakin jauh. Entah bila kemesraan dan perkongsian mengharap cinta dan redha Allah akan terjadi lagi. Perasaannya kepada ikhwan tersebut juga mahu dijaga sebaiknya kerana sudah tetap di hati itu pilihannya. Tetapi, bagaimanakah caranya untuk dia menjaga dirinya dan ikhwan tersebut supaya tidak dimurkai Allah serta tidak dipandang serong oleh manusia lain..
"Ya Allah, jika ada cinta-Mu untukku, limpahkanlah rahmat-Mu untukku dan orang-orang yang bersama denganku, lindungkanlah kami di bawah lembayung hidayah-Mu dan jadikanlah kami daripada kalangan hamba-hamba-Mu yang sentiasa beringat-ingat dan bertakwa. Sesungguhnya tidak kuharapkan redha selain hanya daripada-Mu ya Allah..."