Friday, April 15, 2011

Imanku tak pernah tetap




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Dingin terasa pagi ini. Hujan yang turun sejak pukul 10 tadi masih belum berhenti. Angin sejuk yang bertiup masuk melalui tingkap bilikku seolah-olah ingin menyampaikan suatu pesan padaku. Pesanan dari Tuhanku untuk diriku.

Aku sendirian waktu ini. Masih mencari di mana diriku yang dulu. Saat itu, sujudku sentiasa merasakan kehadiran-Nya. Sepiku sentiasa terisi dengan mengingati-Nya. Ruangku yang ada hanya untuk-Nya. Di manakah aku yang itu?

Perlahan kuturunkan sedikit langsir tingkap, sambil merenung alam yang amat tenang. Tapi bisakah aku mendapat ketenangan seperti itu? Ketenangan yang selalu berulang tetapi dinikmati dalam rasa yang berlainan.

" Wahai pokok, bahagianya engkau. Tak perlu memikul beban berat sepertiku. Aku ini selalu menghampakan Penciptaku dengan kepentingan diri sendiri. Diri sendiri tak mampu dijaga. Bahagianya kau wahai pokok.. Kau selamat walau hanya berdiam diri begini. Kalau dicabut pun, kau tetap tiada dosa. Aku pula bagaimana? Memikul tanggungjawab khalifah bukanlah senang seperti memikul barang-barang yang berat. Malahan, ini lebih berat lagi... " kataku pada pokok yang baru kusiram, terletak di dalam pasu.

Sudah terlalu banyak dosaku kepada Allah. Terlalu banyak sehingga aku tak tahu masih adakah pengampunan terhadapku. Cuma yang aku yakini, Allah Maha Pengampun. Akulah yang perlu bertaubat dan meninggalkan dosa-dosaku itu.

Penatkah hidup di dunia ini? Tidak sebenarnya jika kita benar-benar mentaati Allah dan sentiasa menjauhi larangannya. Menyebut mujahadah memang senang seperti menulisnya, tetapi tak semudah untuk amalkannya. Itulah yang paling berat dalam hal menuntut ilmu. Setelah menuntut ilmu, perlu beramal pula dengan ilmunya. Sedangkan aku bukanlah termasuk orang-orang yang beramal.

Aku menjadi sangat segan untuk bergaul dengan sahabat-sahabatku yang shadid seperti dulu. Mereka sangat menjaga diri, sedangkan aku tidak pandai menjaga diri dan hatiku. Aku sering terlupa tetapi bila teringat semula aku akan menangis tidak henti-henti. Perasaan kesal amat menggunung dan tak mungkin akan dilupakan begitu sahaja.

Di saat ini, aku berdoa bersungguh-sungguh untuk mendapat rahmat Allah, meminta agar dikasihani. Aku ini hamba, sedangkan Allah itu Pemilik segala-galanya. Aku meminta supaya diampunkan dosaku dan orang-orang yang bersama denganku, meskipun kutahu sebagai orang yang berdosa, doaku mungkin susah untuk dikabulkan dan jika dikabulkan pun, mungkin hanya kerana rahmat dari Allah.

Hujan masih lagi belum berhenti, menghiasi hariku yang penuh tangisan. Jika bukan tangis dari air mataku, tangisnya dari hatiku. Aku diselubungi ketakutan kerana dosa-dosaku. Aku memang patut disalahkan. Allah masih sayang aku kerana memberi aku peluang untuk terus bertaubat dan semoga Allah menutup peluang untuk segala dosa-dosa menghampiriku lagi.

No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...