Thursday, August 25, 2016

Ramadhan dan Kenangan : Bahagian 2

Terkedu seketika tatkala mendengar berita itu. Sementelah pula sudah beberapa hari mereka tidak bertegur sapa. Dia  menyangka mungkin penyakit kawannya datang lagi. Tidak sanggup menghadapi air muka kawannya yang seakan marah padanya, dia cuba mengelak setiap kali bertembung.

Memang agak terguris hatinya tetapi dia faham. Tingkah kawannya yang pelik itu mungkin disebabkan gangguan yang dialaminya. Dia juga tidak lena tidur memikirkan semua itu.

Bukan mudah untuk menamatkan semua ini. Walaupun dia baru sahaja mengenali Salsabila, namun hatinya sudah sayang. Sayang seorang sahabat. Dan yang paling pedih baginya, untuk melupakan kenangan mereka setelah kesulitan yang berlaku.

Satu mesej masuk.

"Safiah, maafkan Bila. Bila terpaksa buat semua ini supaya 'benda' itu tak kacau Safi."

Dadanya yang sedia menahan sebak mula berombak. Cuba menahan tangis.

"Safi dah banyak tolong  Bila. Bila rasa bersalah sangat. Benda tu yang tak suka Safi sebab Safi banyak tolong bawa Bila berubat."

Tangisnya mulai pecah.

Teringat cerita semalam. Hari dia mendapat berita itu. Tengahari.

"Safi tahu tak, Bila dah dapat posting?"

"Oh ye ke? Kat mana?"

"Tak tahu lagi. Tapi kira dapat dah tu. Bila dapat berhenti hari ini juga kat sini."

Berhenti hari ini? Hatinya terpempan. Dia cuba sembunyikan duka.

"Baguslah. Alhamdulillah..memang itu yang Bila nak kan.." Balasnya selamba.

Isnin hari itu. Lalu mulai Selasa, Safiah mula menggantikan tempat Salsabila yang menjadi guru kelas 5 tahun.

Kucar-kacir seketika hatinya. Ditambah pilu yang berbuku, hanya disimpan.

Selepas Maghrib Isnin itu, Safiah dan Hafizah bersiap untuk ke kelas mengaji malam. Sebelum keluar rumah, tampak Salsabila sedang bersiap untuk pulang ke kampung. Zahira yang akan menghantarnya ditemani Hani dan Atira.

Safiah naik ke tingkat atas untuk bersalaman dengan Salsabila. Dirasakan tidak mungkin dapat bertemu lagi. Saat Safiah memeluk Salsabila, Salsabila yang baru sahaja ingin melepaskan pegangan tangannya membalas pelukannya. Matanya sudah tidak mampu menakung air mata.

"Maafkan Bila, Safi. Doakan Bila ya.."

Safiah hanya mengangguk dan  cepat-cepat berjalan keluar dari Rumah. Di luar rumah, baru dia melepaskan sendunya.

Hampir seminggu dia agak emosi. Orang sekeliling pun sekadar tegur biasa. Safiah harus memulihkan semangatnya kerana tidak lama lagi akan berlangsung pertandingan kanak-kanak antara tadika di kawasan itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...