Saturday, June 11, 2016

Ramadhan dan Kenangan : Bahagian 1

Termenung sendiri setelah sahur. Sudah masuk seminggu berpuasa. Segala puji bagi Allah yang mengurniakan kesihatan yang baik untuknya meneruskan puasa.

Sejak akhir-akhir ini, menjadi-jadi pula batuknya. Bulan lepas memang dia menghidap demam selesema. Dekat dua minggu juga baru selesemanya pulih. Hanya batuk sahaja yang tinggal sekarang. Seringkali batuk mengganggu bacaan dalam solatnya. Kadang-kadang bila jadi imam solat terawih di rumah, terpaksa dia menghentikan seketika bacaan kerana batuk.

"Saya peliklah. Awak belum pulih lagi daripada batuk sejak hari itu. Ke awak ada penyakit lain?"tanya seorang kawan, Salsabila namanya.

Salsabila seorang yang periang. Namun, di sebalik keriangannya terselit kisah duka yang tak pernah terfikir oleh kita. Sejak di sekolah rendah, keluarganya telah diuji Allah dengan pelbagai cubaan. Bermula dengan kakak sulungnya yang berhenti belajar di kolej kerana ingin mengikut lelaki yang dicintainya. Keluarganya cuba menghalang, tetapi hati kakaknya telah dibutakan dengan cinta lelaki itu. Mereka kahwin tanpa restu keluarga. Ibunya sangat marah dengan keadaan itu. Rupa-rupanyadi sebelah keluarga lelaki, kakaknya sering diseksa dan dimaki dengan pelbagai tohmahan. Hasil daripada perkahwinan mereka, mereka dikurniakan beberapa orang anak. Di sebelah keluarga Salsabila pula, orang-orang kampung turut mengeji mereka. Tampak kesedihan pada wajah Salsabila sewaktu menceritakan kisah hidupnya itu.

Tidak sampai di situ sahaja, suami kakaknya didapati menghisap dadah ketika berhijrah ke kota raya. Setelah keluar dari pusat pemulihan, kakak Salsabila yang menguruskan segala keperluan suaminya walaupun selama ini dia menjadi tempat kemarahan suaminya dan tohmahan keluarga suaminya. Keluarga mertua kakak Salsabila terlalu malu dengan keadaan anaknya sendiri sehingga menyembur racun serangga dalam nasi yang dihidangkan kepada suaminya. Akhirnya suaminya meninggal dunia selepas makan nasi tersebut.

"Safiah, oo Safiah..Awak dengar tak saya panggil ni?"laung Salsabila dari dapur.

Safiah tersentak seraya mengerling ke arah dapur. 'Rajin pula budak seorang ni bulan puasa,'getus Safiah.

Salsabila menghampiri Safiah lalu bertanya,"Awak dengar tak saya tanya?"

"Awak tanya apa tadi? Maaflah, saya..."

"Ha, tu la.. orang bercakap, tak beri perhatian. Nak makan apa cik Safi? Kita nak masak untuk awak ni."

"Awak masaklah apa-apa pun. Saya tak kisah. Eh, ke sebenarnya nak saya tolong?Patutnya cakaplah awal-awal."

"Betul la tu kot Safi. Dari tadi Bila ni duk panggil awak je,"sampuk Farhana. Baru turun dari tingkat atas. Humaira pula berada di dalam bilik, sebilik dengan Safiah.

Salsabila tersengih-sengih. Safiah pun membalas sengihannya lalu terus ke dapur. Selalunya bulan puasa beginilah. Ada sahaja masakan istimewa yang hendak dimasak oleh orang-orang perempuan. Baru seronok, ada motivasi hendak puasa lagi esoknya. Tapi memang kena puasa juga sebab ini suatu kewajipan dalam bulan Ramadhan.

Apabila bersendirian, Safiah terkenang saat belajar di kampung dahulu, saat berbuka di rumah, saat berbuka di sekolah berasrama penuh, saat Ramadhan di Kuala Lumpur dan Kelantan serta paling tidak dapat dilupakan, solat tarawih di Masjid Marang.

Ramadhan kali ini dirasakan semakin singkat umurnya. Bertambah pula dengan penyakit gastrik yang menyerangnya dua tahun lepas. Tahun lepas pula terjumpa artikel bahawa penyakit gastrik mampu menular ke jantung. Adakah sebab itu dia selalu sakit dada dan batuk-batuk?

Baru-baru ini pula dia terbaca tentang penyakit GERD, iaitu penyakit refluks gastroesofageal. GERD adalah keadaan yang terjadi apabila refluks atau jeluak kandungan gastrik menyebabkan simptom atau komplikasi yang mendatangkan masalah.

Sejak kerja, sememangnya Safiah kurang mengambil berat tentang pemakanan. Pedih ulu hati sudah biasa dilaluinya. Apabila pedih ulu hati menyerang, dia akan berbaring sambil memeluk bantal untuk menahan sakit. Tambah pula bulan puasa ini, kawan-kawannya telah menyediakan nasi untuk sahur supaya Safiah tidak diserang gastrik.

Ketika sakit barulah kita faham nikmat sihat itu. Safiah berasa bersalah terhadap kedua ibu bapanya. Jika dia tidak mampu hidup lama, dia masih belum menggembirakan hati kedua orang tuanya. Safiah hanya bekerja sebagai seorang guru tadika, namun dia selesa berada di sini. Kawan-kawannya baik, penyayang serta mengambil berat tentang dirinya. Safiah sangat yakin hal itu kerana pada awal kemasukannya sebagai guru di situ, dia diserang gastrik sehingga tidak mampu bangun. Pada hari keempat, Salsabila dan Farhana datang mengurut kakinya untuk melegakan urat bahagian yang sakit. Pada ketika itu, dia berasa segan yang teramat sangat. Rupa-rupanya sakitnya yang teramat itu bercampur dengan sakit senggugut yang jarang-jarang dialaminya.

Seronok sakit sebenarnya. Kita dapat tengok siapa yang prihatin dengan kita dan siapa yang mengabaikan kita. Kadang-kadang kita tidak tahu hati orang itu sehinggalah berlaku peristiwa yang tidak diduga.

Tentang kerja Safiah sekarang lebih baik daripada pekerjaan yang dahulu di negerinya. Tentang kahwin? Aduh, itulah yang merunsingkan Safiah. Sedangkan dia berasa sangat serabut jika berfikir tentang itu pada waktu sekarang. Memanglah umurnya kalau tahun depan sudah menghampiri angka 30. Hanya dia belum berjumpa yang benar-benar boleh menjaga hatinya, yang akan selalu menjaganya, yang baik agamanya dan menepati janji. Pantang bagi Safiah jika mengucap janji tetapi tidak dikotakan.

Memang ada seorang pemuda yang ingin berkenalan dengan Safiah. Sebelum menjadi guru lagi, pemuda itu cuba merisik-risik tentang Safiah. Tetapi hati Safiah belum terbuka untuk menerima seseorang yang istimewa dalam hidupnya. Diceritakanpada kawannya, kawannya menganjurkan dia istikharah dan jangan memberi harapan kepada orang.

Safiah memang tidak suka memberi harapan kepada orang. Sementelah lagi, dia tahu bagaimana sakitnya kecewa itu. Bukan sehari dua mampu dipulihkan kesakitan itu. Cerita lama itu telah menarik kegembiraannya selama setahun. Sehinggalah dia kembali berorganisasi dan mengikuti usrah tarbiah, barulah hatinya dapat dipulihkan. Kini, takkanlah sewenangnya dia ingin menyerahkan hatinya yang baru sahaja pulih itu kepada seseorang yang entah siapa-siapa.

...Bersambung

P/s : Cerita ini adalah berdasarkan kisah hidup penulis. Nama-nama dalam cerita hanyalah rekaan semata-mata.

Rujukan:
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20141005/kn_04/Hidup-selesa-tanpa-GERD#ixzz4BK7lrJh6 
© Utusan Melayu (M) Bhd 



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...