Tuesday, October 21, 2014

Cintai Nabi Muhammad Sallahu 'Alaihi Wasallam

Bismillahirrahmanirrahim..

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku (Rasulullah), nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.”” (Surah Ali Imran, 3: 31)

Bagaimana untuk mencintai Allah? Mulakan dengan mencintai Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam. Baginda sangat dicintai Allah subhanahu wa ta'ala. Akhlak baginda tiada bandingan dengan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini kerana baginda adalah kekasih Allah yang telah disucikan hatinya dan dijaga dengan penuh perhatian oleh Allah subhanahu wa ta'ala.
Bacalah Al-Qur'an dan pelajarilah hadith-hadith Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Kenali Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam melalui sahabat-sahabat baginda. Pastinya sahabat-sahabat baginda bukanlah calang-calang orang. Mereka semua orang-orang yang dipilih oleh Allah subhanahu wa ta'ala sebagaimana Allah telah memilih untuk Nabi Musa alaihissalam dan Nabi Isa alahissalam sebilangan kecil pengikut untuk menyembah Allah subhanahu wa ta'ala.
Cara-cara mencintai Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:
  • Menghidupkan sunnah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasalam dengan berpegang teguh kepada ajaran al-Qur'an dan sunnah Baginda. Jangan tinggalkan satu hari dalam hidup kita tanpa mengamalkan sunnah-sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wasallam.
Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan tersesat selama mana kamu berpegang teguh pada keduanya iaitu kitab Allah (al-Qur'an) dan sunnah Nabi-Nya." (Hadits riwayat Malik)


  • Mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.
Rasa cinta kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam juga dapat direalisasikan dengan sentiasa memperbanyakkan shalawat ke atas Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang dituntut oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam firman-Nya:
Tafsir-Nya: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya bershalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi; wahai orang-orang yang beriman! Bershalawat kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (Surah al-Ahzab: 56)


Fadhilat Mencintai Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam

Selain daripada memenuhi tuntutan ugama, mencintai Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dengan keikhlasan hati juga mengandungi fadhilat yang menguntungkan. Antaranya:

1. Memperolehi kasih dan cinta Allah Subhanahu wa Ta'ala, di samping mendapat keampunan dosa-dosa kecil.
Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala sendiri:
Tafsir-Nya: "Katakanlah (wahai Nabi Muhammad!): "Jika kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih." (Surah ali 'Imran: 31)

2. Merupakan sebahagian daripada kesempurnaan iman.
Daripada Anas Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Tidak (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehingga diriku menjadi orang yang paling dicintai melebihi ibu bapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya." (Hadits riwayat al-Bukhari)

3. Memperolehi kemanisan iman sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu 'anhu:
Maksudnya: "Tiga perkara apabila seseorang itu miliki dalam dirinya, nescaya dia akan merasakan manisnya iman, iaitu: Allah dan rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya, mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia benci dicampakkan ke dalam api Neraka." (Hadits riwayat al-Bukhari)

4. Mendapat kedudukan di sisi Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam
Maksudnya: "Selawat umatku dipersembahkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak berselawat kepadaku, dialah yang mempunyai kedudukan yang paling dekat denganku." (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Selawat dari segi bahasa bererti doa serta permohonan rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Pada kebiasaannya perkataan selawat digunakan untuk memuji Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.
Fadhilat bershalawat kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam amat banyak dan antaranya ialah mendapat kedudukan yang dekat dengan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Fadhilat ini disebut kerana orang yang sering bershalawat ke atas Baginda adalah orang-orang yang mencintai Baginda.

Mencintai dan mengasihi Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bukan semata-mata hanya di mulut sahaja, malahan juga diiringi dengan mencontohi akhlak Baginda yang mulia kerana dengan kecintaan kita yang mendalam terhadap Baginda akan membawa kita dekat di sisi Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Dalam sebuah hadits riwayat Anas Radhiallahu 'anhu, beliau menceritakan:
Maksudnya : "Seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam tentang hari kiamat, katanya: "Bilakah berlaku hari Kiamat?"
Baginda Sallallahu 'alaihi wasallam bertanya semula kepada lelaki tersebut: "Apa yang engkau sediakan untuk menghadapinya?"
Lelaki itu menjawab: "Tiada apa-apa kecuali kecintaanku kepada Allah dan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam."
Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Engkau akan bersama orang yang engkau cintai." (Hadits riwayat al-Bukhari)
Wallahu A'lam.. Marilah sama-sama beramal untuk menggapai redha Allah Subhanu wa Ta'ala..
rujukan : http://www.pelitabrunei.gov.bn/template/item/694-mencintai-rasulullah-shallallahu-alaihi-wasallam--satu-tuntutan-wajib

No comments:

Post a Comment

Coretan buat Putri Kedua

 Assalamualaikum.. Alhamdulillah dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kami dikurniakan seorang puteri lagi, bakal menjadi teman untuk puter...